Dongengan Terpimpin 1
Hari itu, Persidangan Perhimpunan Agung sebuah parti siasah tertua di Malaysia bermula. Penulis sempat mendengar secara langsung ucapan perasmian serentak persidangan Pemuda dan Wanita oleh Timbalan Presidennya. Tampak menarik dan meyakinkan. Memang, Dato’ Timbalan Presiden antara orang yang bijak mengatur kata. Bersahaja, tenang.
Tidak sedikit perkara yang disinggungnya. Namun, dalam kesempatan ini, penulis hanya mahu menukil dan mencungkil kata dan hujahnya berkenaan bahasa dan bangsa.
Sebelum ini, dalam laman blog ini juga telah diceritakan tentang dongengan terpimpin puak ini. (rujuk artikel “10 Dongengan Bahasa & Bangsa Melayu”). Nah, penulis hanya menukil kembali salah satu dongengan puak ini berkenaan Bahasa dan Bangsa.
Dongengan keenam: Bahasa nasional negara membangun bergantung pada nasib S &T bangsa berkenaan, atau sedap cakapnya “maju bangsa majulah bahasa”.
*S&T dalam artikel ini merujuk kepada Sains dan Teknologi
Ini pepatah orang-orang yang berkuasa dan bersedap-sedap cakap para pemimpin negara membangun. Jika bahasa asing (Inggeris itu umpamanya) yang digunakan sepanjang masa dalam pendidikan, dalam urusan penting yang lain atau kehidupan bekerjanya, bagaimanakah bahasa nasional itu boleh tiba-tiba turut berkembang? Tidakkah mahu dilihatnya betapa kuatnya dongengan ini menerusi telatah anak bangsanya yang “dianggap berjaya (maju)” dalam bahasa dan budaya Inggeris itu sahaja? Bukankah orang-orang ini rata-rata berasa kekok, jengkel dan kadang kala menghina bahasanya sendiri dengan pelbagai gaya kerana mereka tidak pernah menggunakan bahasanya kecuali semasa bercakap di pasar-pasar lambak, dengan buruh kasar, drebar atau jaga (pegawai keselamatan) sahaja! Lagi pun di manakah adanya contoh bangsa yang maju (S & T, malah ekonomi pun) dalam bahasa lain dahulu kemudian bahasanya menjadi maju (bahasa S & T)?
26 Mac 2009
01.04 petang
Kampung Pinang, Kamunting, Perak Darul Ridzuan
Catat Ulasan
melampaukah video ini????
[url] http://www.youtube.com/watch?v=H47lUceQBG0&eurl=http%3A%2F%2Fohtidak%2Ecom%2F&feature=player_embedded [/url]