Maka matilah Patriarch pada hari itu. Sabtu, pukul sepuluh pagi, tak kurang tak lebih. Seluruh negara memperlihatkan fiil. Dan kemarau yang membahangkan Kota Belantara berterusan juga bagaikan turut serta mempamerkan perangai mengucapkan selamat tinggal buat Patriarch; malah angin bertiup lebih kencang menerbangkan debu dan habuk, menampan setiap batu bata yang mengkonkrit Kota Belantara. Sungai-sungai, parit-parit, longkang-longkang, caruk-caruk masih juga berkelebur, tapi bau tengik dan hamis hancing berkuap ganas merujuh setiap lubang yang terpokah, termasuk lubang-lubang hidung dengan tikaman yang benar-benar meloyakan tekak dan hulu hati. Najis-najis, bangkai-bangkai, serdak-serdak berkulat, sisa-sisa plastik yang sudah kusam, hampas-hampas makanan yang sudah berlendir dan berlengket, keronyok-keronyok kertas yang sudah berkecai hancur bersumbatan tindih-menindih bersimpul pintal-memintal dalam sungai, parit, longkang dan caruk. Dan kemarau yang melanda Kota Belantara masih juga mengganas tanpa simpati secuping pun.
Perenggan pertama dalam Novel ‘Patriarch’ oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad
Begitu, antara cebisan luahan seorang sasterawan yang menanggapi situasi kepemimipinan semasa negara era akhir 80-an /awal 90 –an lewat karya novel beliau; ‘Patriarch’. Saya cuba mencungkil pokok persoalan dalam novel tersebut. Ternyata, bukan mudah membaca pemikiran ‘orang sastera’ ini.
Awal-awal lagi sudah membawa suasana kematian. Kematian Patriarch sendiri. Saya terfikir kenapa mesti bermula dengan kematiaan?
Kiranya dapat saya selami apa yang ingin beliau sampaikan……
Tertekan. Itu kata kuncinya.
Pelbagai tekanan hasil daripada pemerhatian dan penghayatannya terhadap pencabulan yang berlaku terhadap nilai-nilai murni sejagat sehingga benar-benar boleh menhakis dan akhirnya meluputkan keinsanan yang amat penting itu. Tercabul etika luhur, penyalahgunaan kuasa, harta dan fitnah, pencabulan terhadap batasan kepemimpinan yang diberi, keserakahan dan kerakusan tanpa batasan pengaliran hawa nafsu yang melencong daripada sebarang landasan keimanan dan penyampaian janji yang pada suatu ketika dahulu diikat penuh dengan “ya ya” dan “Ok, Ok”.
Tekanan yang menggila. Ketidaksabaran melihat perlakuan yang songsang dan pelik yang rancak dan tanpa segan silu sedang bermain di hadapan mata, perlakuan yang memomokkan tradisi kepemimpinan bangsa dan perlakuan yang mengaibkan martabat kesucian agama kita.
Demikian secara kasarnya premis yang menjadi titik tolak novel ‘Patriarch’, yang dijuruskan kepada pergolakan politik Tanah Air semenjak mula mencapai kemerdekaan sampailah zaman beliau menulis novel tersebut (saya kira masih punya relevensi hingga sekarang). Pergolakan yang berlaku bukan sahaja kabur arahnya, malah bakal menghakis bangsa dan agama.
Bagi saya, seorang rakyat Malaysia dan juga Muslim dari bangsa Melayu menyimpulkan sekian banyak persoalan. Apa yang sedang dilagangkan oleh pemimpin kita? Ke mana perginya inspirasi bangsa dan negara? Mengapa golongan cerdik pandai seolah-olah menyepi membiarkan kebobrokan berleluasa? Tidak adakah pilihan lain untuk mengambil alih kepemimpinan sekarang yang terlalu banyak menarik buluh dari pucuk? Mengapa pemimpin semakin serakah, gelojoh, buas dan bernafsu, begitu mengada-ngada dalam sesuatu hal dan sering pula mempamerkan tabiat gemar bercakaran sesame sendiri, suka buat fitnah, pelahap serta tak pernah ada sempadan dalam proses memboyotkan perut.
Bangsa kita bukan semakin kuat, malah semakin banyak perpecahan, semakin lemah dan malap. Sekiranya pemimpin-pemimpin jenis ini dibiarkan berleluasa, berkuasa, bermaharajalela, dan dibiarkan berbuat sesuka nafsu mereka, maka akan tiba satu ketika- apabila revolusi rakyat tak dapat dibendung lagi. Maka, tidak hairan jika pengarang;- Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ‘membunuh’ watak tersebut (Patriarch) dalam karyanya; malah beliau berhak membunuh siapa sahaja dalam proses kreatif sereka seperti dalam karya ‘Patriarch’nya ini.
Apa sebenarnya ‘Patriarch’?
Sebenarnya, ‘Patriarch’ mendokong makna ketua atau kepala keluarga tetapi dalam novel ini, asosiasinya lebih mengarah makna pemimpin Negara. Dalam konteks novel ini, Patriarch khusus menyarankan konotasi kepemimpinan secara menyeluruh yang sudah sekian lama ditenang oleh rakyat jelata. Kematian Patriarch lebih menyarankan kesudahan kepemimpinan yang ada sehingga tak tertanggung lagi oleh rakyat jelata akibat daripada tabiat ke’onar’an dan ke’hodoh’an yang tak habis-habis berlaku.
Novel ini kemudiannya menyorot kembali (flashback) kisah kepemimpinannnya selapis demi selapis untuk memperlihatkan kesongsangan yang berlaku tahap demi tahap.
Kadangkala, rasa berserabut gaya penyusunan plot. Namun, jalinan setiap babak dengan premis awal iaitu ‘kematian’ senantiasa dicangkuk bagi menampakkan kemantapan dan relevensi.
Demikianlah tekanan dan perasaan ingin membanteras kebinatangan yang sedang berlaku di hadapan mata. Tekanan dan keradangan pengarang (Sasterawan Negara Shahnon Ahmad) diharapkan beliau menjadi tekanan dan keradangan rakyat sebagai akibat daripada penyelewengan yang rakus tanpa keimanan sebagai obor penyuluh jalan. Kepemimpinan ini berada dalam ke’gelapgelita’an yang membuta mata, mata hati, dan membawa kesesatan. Kepemimpinan yang dirosakkan oleh kegilaan pada kuasa, kemahsyuran dan kemewahan. Kepemimpinan ini sudah reput akar tunjang ke’tauhid’annya dan kebangsaannya meskipun slogan dan cogan kata unutk kedua-dua gagasan ini diriuhkan ke seluruh pelosok tanah air melalui pelbagai jenis media massa arus perdana
Idea tentang kepemimpinan yang bobrok, rakyat yang patriotik, kematian yang menjijikkan dan revolusi yang tercetus ini agaknya sudah lama bersarang dalam diri beliau. Inilah tekanannya. Inilah penderitaan dan kesakitan yang meninggalkan ni’mat dalam diri sasterawan. Penderitaan dan kesakitan yang perlu diungkapkan dan diluahkan dalam bentuk yang indah dan bahasa yang bergaya. Selagi tekanan dan kesakitan ini tidak diluahkan, selagi itulah tekanan akan mengakar dan menjadi barah yang memudaratkan. Tetapi apabila luahan ini wujud, ketenteraman dengan sendirinya muncul mengambilalih tekanan dan kesakitan. Buat sementara waktu, seorang sasterawan berasa puas dengan karyanya sehingga muncul tekanan baharu yang memaksa beliau untuk meluahkan dalam proses kreatif yang lain pula.
Agaknya, atas asas tersebut juga beliau (Sasterawan Negara Shahnon Ahmad) mencetuskan kontroversi dengan kemunculan novel satira juvenal berjudul ‘SHIT’ pada tahun 2000 atau 2001. Novel itu diharamkan di Malaysia tak sampai sebulan dikeluarkan.
3 April 2009
5.45 petang
Kampung Pinang, Kamunting, Perak
Catat Ulasan