Halloween Costume ideas 2015
MPS
10/01/2010 - 11/01/2010

sambungan bahagian 1 (bah. 1 klik sini)

Pandangan Alam Islam: Hakikat Realiti dan Kebenaran
1. Konsep Pandangan Alam Islam
Pandangan alam Islam (worldview of Islam) atau diistilahkan dalam Bahasa Arab sebagai ru`yat al-Islam li al-wujud bertitik tolak daripada pandangan bahawa kewujudan alam ini bukan sekadar hanya yang tertanggap oleh indera manusiawi, bahkan juga yang tidak mampu dicerap dengan fakulti rasio insan (sumber ilmu ma`qulat, empiris dan rasional).
Dari segi tinjauan Islam, yang disebut ‘pandangan’ itu bukan hanya merujuk kepada pandangan minda, iaitu apa yang dilihat oleh mata kepala manusia dan direncanakan dengan fahaman akal nazari berdasarkan penglihatan zahir. Ia juga bukan sekadar apa yang difahami akal nazari terhadap alam jasmani semata-mata seperti pandangan terhadap penglibatan manusia dalam sejarah, masyarakat, politik dan kebudayaan. Oleh sebab ‘alam’ menurut Islam bukan terhad kepada alam fizikal tetapi merangkumi alam ghaib, maka pandangan alam Islam  meyakini bahawa dunia mesti dinisbahkan pada akhirat secara yang ‘sangat mesra’ dan  tidak mungkin berlaku perpisahan antara keduanya kerana akhirat itu mengandungi penghabisan makna serta tujuan hidup kita di dunia ini. Dunia dilihat sebagai persediaan bagi akhirat. Segala-galanya dalam Islam akhirnya bertumpu pada wajah akhirat dengan sedemikian cara tanpa sekali-kali menganjurkan sikap mengabaikan atau tidak mempedulikan wajah dunia.[1]
 Islam adalah al-Din yang juga merupakan nizham al-hayah (sistem hidup). Sifat Islam yang sempurna (kamil) dan menyeluruh (syamil) yang menayangkan kepada kita pandangan alamnya yang holistik dan integral sepertimana yang diungkapkan oleh tokoh besar Gerakan Islam Ikhwan al-Muslimun, as-Syahid Imam Hassan al-Banna:

“Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakup seluruh fenomena kehidupan. Maka, ia adalah Negara dan tanah air atau kerajaan dan ummat; akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan; kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman; material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan; jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sohih tidak ada bezanya”[2]

Ciri-ciri pandangan alam Islam termasuklah merangkumi aspek fizikal dan spiritual, ruh dan jasad, Tuhan dan manusia, serta akhirat dan dunia. Pandangan alam Islam memberi penekanan terhadap perkara yang kekal dan mutlak sebagai asas kepada perkara yang berubah, kebenaran yang diwahyukan yang sempurna dan menyeluruh dari awal kehadirannya. Dengan itu, kemunculan Islam bukan merupakan terbitan daripada elemen falsafah atau kebudayaan sesuatu kaum yang melalui proses evolusi merentas zaman kerana Islam hadir dengan kesempurnaan tanpa memerlukan perubahan. [3]
 Ia kekal dan tidak berubah.[4] Ini bukan sekadar teori kosong, tetapi telah terbukti dalam pengalaman sejarah umat Islam yang menunjukkan bahawa elemen asas dan fundamental dalam pandangan alam (worldview) seperti konsep Tuhan dan Ketuhanan, konsep hakikat manusia dan psikologi jiwa insan, konsep dan makna ilmu, makna kebahagiaan, konsep adab dan hikmah, dan konsep kenabian tidak pernah mengalami perobahan walaupun telah melepasi jangka masa yang berkurun lamanya[5] (rujuk lampiran – rajah 1).
Pandangan alam Islam bersumberkan al-Qur`an iaitu kitab suci kalamullah yang bagaikan kemudi yang menetapkan pelayaran sesebuah kapal, menetapkan seseorang insan atas landasan yang teguh dalam mengharungi perjalanan hidupnya menuju pantai kesejahteraan.[6] Pandangan alam Islam menayangkan dalam akal budi insan pandangan tentang hakikat wujud, iaitu suatu pandangan yang saujana luasnya meninjau alam syahadah dan alam ghaib dengan melihat pada kehidupan secara keseluruhannya, yang ‘menyatakan pada insan martabatnya’ dalam ciptaan Allah SWT.

2. Manusia, Agama dan Kebebasan
Manusia adalah hamba, tetapi ‘bebas merdeka’. Ini yang dimaksudkan oleh al-Attas sebagai “keadaan diri yang yakin dengan hak Ta’ala- dan penunaian amalan yang dikerjakan oleh diri itu berdasarkan keyakinan itu dan menuturi titah batinnya”. Al-Quran sebagai sumber pandangan alam Islam menyalurkan ilmu sah dan thabit (tetap) [7] yang membuahkan keyakinan (al-Yaqin), tanpa wahm (ilusi), syak (ragu) dan dzhan (sangkaan), yang menjadi tunjang kepada akidah Islam. Berlakulah pengiktirafan martabat segala kewujudan dalam alam ini, iaitu Allah adalah Tuhan yang Maha Mencipta yang tiada sesuatu pun yang serupa akannya Allah Ta’ala[8] dan segala yang selain daripada-Nya adalah ‘alam yang hadith iaitu sentiasa baharu. Antara ciptaan-Nya yang terbaik dan termulia ialah insan[9]. Insan diperhebat kemuliaannya dengan ilmu yang mengangkat martabatnya menjangkau martabat malaikat.[10]
                 Insan yang hidup berlandaskan agama yang benar adalah pengabdian diri yang sebenar-benarnya. Ia satu bentuk kemuliaan yang tertinggi. Bersandarkan kepada ilmu yang hak, insan berikhtiyar memilih yang terlebih baik dengan membuat pertimbangan yang adil menggunakan akal yang sihat dalam menyerah dirinya secara sukarela dalam pengabdian kepada Allah SWT. Inilah erti kebebasan (freedom) yang sebenar yang terpancar daripada pandangan alam Islam- ikhtiyar yang sebenar dalam memilih yang terlebih baik untuk kesejahteraan diri - pertimbangan dan tinjauan akal yang mengarah diri kepada mengamalkan perilaku terpuji dan menzahirkan akhlak mulia yang diserikan dengan sifat-sifat mahmudah yang menatijahkan nilai-nilai murni.[11]
                 Bukanlah kebebasan sebenar jika diri dibiarkan liar tanpa pengawasan peraturan yang dapat membendung segala naluri dan tabiat haiwaniyah dalam diri. Malah, barangsiapa yang terjerumus ke jurang kehinaan yang sedemikian maka ia bukanlah insan yang sebenar tetapi hanyalah insan dalam rupa bentuk dan adalah terlebih rendah dari segala haiwan yang rendah.[12] Dalam erti kata lain, kebebasan itu bukan sebenarnya bebas kerana diri yang liar itu sebenarnya berada di bawah pengaruh dan bawaan hawa nafsu dan keadaan diri yang seperti itu sebenarnya meletakkan martabat insan itu pada kedudukan yang paling hina dan  rendah[13] walaupun asalnya manusia itu mulia dan berada pada darjat yang tinggi.
                 Tuntasnya, insan akan bebas dalam erti kata yang sebenar apabila berpegang pada simpulan yang kukuh iaitu akidah yang benar bertunjangkan al-Tawhid. Bagaikan pohon yang tegap berdiri, segar, teguh, dan kukuh kerana akarnya mencengkam bumi dengan cabang-cabangnya menjulang ke langit biru, begitulah cabang-cabang kehidupan insan yang berpandukan akidah dan pandangan alam yang sohih.[14]
                 Perjalanan hidup manusia itu tidak terganggu kerana dia telah memihak kepada cara hidup yang berlandaskan kebenaran yang pasti. Dengan pandangan alam yang benar, insan, tanpa sebarang had zaman dan usia, akan tetap teguh berbekalkan nilai-nilai wahyu yang dipegangnya. Jelas, dalam tradisi Islam, tidak berlaku sebarang gejala negatif seperti keruntuhan akhlak, krisis identiti dan jurang antara generasi melainkan setelah insan bergerak menjauhi realiti dan hakikat kehidupan manusiawi. Kupasan mengenai hakikat insan dan psikologi jiwa manusia dilanjutkan dalam subtopik seterusnya.

Punca Masalah Remaja Islam dan Psikologi Jiwa Manusia
1. Punca Permasalahan Umat Islam dan Remajanya                       
            Tidak ada satu pun pengertian yang tetap untuk mendefinisikan ‘remaja’. Namun secara umum, remaja biasanya dianggap sebagai kelompok usia peralihan antara anak-anak dan dewasa, iaitu antara usia 12 dan 20 tahun atau mungkin lebih. Menurut Majlis Belia Malaysia, usia golongan belia adalah antara 13 hingga 40 tahun dan remaja adalah termasuk dalam ketegori belia. Hilgard menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya ada tiga aspek penting yang menandai peringkat remaja: (1) berlakunya perubahan fizikal (berkembangnya hormon dan organ-organ seksual), (2) berlaku pencarian dan pemantapan identiti diri, dan (3) mempunyai persiapan menghadapi tugas dan tanggung jawab sebagai manusia yang mampu berdikari.[15]
            Peringkat usia remaja sering dianggap sebagai fasa yang sangat tidak stabil dalam tahap perkembangan manusia. G.S. Hall, sebagaimana dipetik Alwi Alattas, memperihalkan peringkat ini sebagai peringkat masa guruh dan taufan (strum und drang), sementara James E. Gardner menyebutnya sebagai fasa penuh gejolak (turbulence).[16] Penilaian ini tentu sekali bersandarkan realiti psikologi dan sosial remaja semasa terutama dalam era globalisasi.
                 Pandangan alam Islam tentang kehidupan dan manusia telahpun disingkap dalam subtopik sebelum ini. Kita dapati secara jelas bahawasanya dalam tradisi Islam, tidak berlaku sebarang gejala negatif seperti keruntuhan akhlak, krisis identiti dan jurang antara generasi melainkan setelah insan bergerak menjauhi realiti dan hakikat kehidupan manusiawi. Adakah ini sekadar teori yang ideal semata-mata? Pastinya tidak kerana ia telah terbukti dalam pengalaman sejarah umat Islam yang Berjaya membina tamadun jasmaniah dan rohaniah yang gemilang. Walau bagaimanapun, realiti semasa umat Islam dan remajanya seakan menampilkan hakikat yang berbeza dengan hakikat sebenar agama Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan umat sendiri yang lari daripada agama malah menyalahkan agama sebagai penyebab kemunduran umat.
                 Tohmahan terhadap agama Islam ini dijawab dengan baik oleh cendekiawan Islam. Al-Attas menyatakan: “Islam itu – iaitu pada hakikat batinnya – dengan kesuciannya dan kemurniaannya dan keluhurannya dan keagungannya tetap sama Islam jua; tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan atau perubahan seperti yang telah berlaku pada agama-agama dan falsafah-falsafah lain…[17] Beliau menambah: “Akan tetapi justeru pada hakikat zahirnya Islam itu ditayangkan kepada dunia oleh para penganutnya Kaum Muslimin; dan kaum Muslimin tiada senantiasa suci dan murni dan luhur dan agung. Maka kita ini ibarat rupa zahir yang kononnya membayangkan hakikat batin Islam itu…[18]   
                 Punca utama masalah masyarakat Islam termasuk remajanya ialah masalah ilmu.perkara inilah yang menyebabkan kejatuhan maruah dan kehilangan iman dalam diri masyarakat Islam. Disebabkan masalah ini, masyarakat Islam yang diibaratkan oleh al-Attas sebagai ‘cermin bidal tamsil’ agama Islam, telah menayangkan hakikat zahir Islam yang kotor dan berdebu justeru gagal menggambarkan hakikat batin agama Islam yang sebenar.
                 Masalah ilmu yang dimaksudkan berpunca daripada dua faktor utama, faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman umat Islam dapat dirumuskan sebagai ‘keruntuhan adab’ (the lost of Adab) yang berlaku dalam pelbagai peringkat termasuk dalam diri manusia itu sendiri.[19] Makna ‘adab’ di sini dihuraikan sebagai ‘pengenalan dan pengakuan adanya tempat yang wajar bagi sesuatu’. Apabila adab telah runtuh, maka berlakulah kecelaruan dan permasalahan berterusan dalam diri dan masyarakat islam dengan wujudnya pemimpin palsu dalam setiap bidang kehidupan yang akhirnya mempengaruhi orang-orang yang dipimpinnya.
                 Al-Attas meringkaskan masalah ini melalui rumusan berikut: (1) kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu (masalah epistemologi), dan keadaan ini membawa akibat (2) keruntuhan adab dalam kalangan masyarakat Islam. Sementara keadaan (1) dan (2) telah menjelmakan natijah (3) kemunculan pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah, dan yang tiada memadai taraf kepimpinan yang dikehendaki oleh Islam. Pemimpin yang sedemikian mengekalkan terjadinya perkara (1) dan (2) dan menjamin berlakunya terus pengeluaran dan penempatan pemimpin sepertinya (Rujuk Lampiran – Rajah 3). [20] Beliau (al-Attas) mengenalpasti tiga golongan (dalam bidang ilmu khususnya) sebagai penyumbang kepada keruntuhan adab dalam masyarakat Islam iaitu golongan modenis, kelompok pembaharu aliran nakali dan golongan sekular.
                 Sementara masalah umat Islam yang timbul daripada faktor luaran berpunca daripada cabaran ang datang dari tamadun dan kebudayaan Barat. Pengalaman dan falsafah kebudayaan Barat yang rancam dan rancu bercampur baur antara warisan keagamaan judeo-kristian yang ditahrifkan (diubahsuai) dan falsafah bangsa-bangsa Eropah seperti Jerman, Inggeris dan Perancis.[21] Justeru, asas dan teras sebenar kebudayaan Barat kini adalah falsafah dan agama secara jelas dibelakangkan. Malah, selepas abad pertengahan di Eropah, unsur-unsur yang mendominasi kebudayaan Barat ialah unsur-unsur sekular yang didasari oleh tiga fahaman penting iaitu ‘humanisme’, ‘dualism’, dan ‘tragik’. ‘Humanisme’ meletakkan keistimewaan manusia dan kebendaan semata-mata sementara ‘dualisme’ menduakan hakikat sesuatu termasuk nilai kebenaran, dan ‘tragik’ merupakan pencarian makna hidup yang tidak tercapai dan penerimaan pengalaman kesengsaraan hidup sebagai satu kepercayaan yang mutlak.[22]
                 Unsur-unsur ini telah melahirkan pelbagai fahaman sekular yang lain seperti penekanan terhadap sangkaan dan syak (doubtness) dalam dalam bidang ilmu pengetahuan, penekanan berlebihan terhadap kenegaraan (nasionalisme), penekanan ekstrem terhadap faham perubahan (change and reform), pembangunan (development) dan kemajuan (advancement) yang tidak berkesudahan dan kesemua fahaman ini jelas terpamer pada wajah globalisasi.

2. Jurang Generasi dan Krisis Identiti
                 Oleh sebab kebudayaan Barat tidak mempunyai akar yang kukuh dan tetap, ia sentiasa berubah-ubah. Masyarakat Barat yang tiada pegangan dan nilai yang tetap ini tercari-cari makna hidupnya. Masalah ini telah membahagikan masyarakat Barat kepada tiga golongan iaitu golongan belia, golongan usia pertengahan dan golongan tua. Golongan-golongan ini masing-masing menandakan ruang perpisahan antara tiap suatu keturunan sehingga menimbulkan masalah ‘jurang generasi’ (generation gap). Setiap golongan, masing-masing mencari makna diri sehingga menderita penyakit ‘krisis identiti’ (identity crisis).[23]
                 Golongan belia (termasuk remaja), yang sedang mengalami perubahan hidup, menganggap nilai-nilai warisan golongan setengah umur sudah tidak sesuai dan releven dengan kehidupan mereka. Mereka tidak langsung menganggap golongan lain sebagai pemantau, pemandu dan contoh tauladan kepada mereka, malah menuntut kebebasan dalam menentukan nilai-nilai dan nasib sendiri.[24]
                 Golongan usia pertengahan pula, yang merupakan ibu bapa golongan belia menyedari bahawa nilai-nilai mereka sendiri tidak mampu memandu kehidupan sendiri, apatah lagi anak-anak mereka. Justeru, mereka memberi kebebasan kepada golongan belia untuk mencari nilai dan menentukan nasib sendiri. Nilai hidup mereka didasari dengan kejayaan dari aspek memperoleh kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan kemewahan harta benda. Maka, segala tenaga dan usaha ditumpukan kepada masyarakat dan negara dalam konteks keduniaan dan kekayaan material.[25]
                 Jelasnya, masyarakat ini mendakyahkan pembangunan bersifat duniawi dan dimensi ukhrawi ditolak mentah-mentah. Bagi mereka, pembangunan manusia adalah bermatlamatkan keseronokan dunia seperti kata-kata bongkak “The World is all and Enough” (Dunia ini adalah segala-galanya dan sudah mencukupi).[26] Bertitik tolak dari sini, mereka menganggap manusia sebagai suatu hidupan yang mempunyai diri tanpa roh dan menempati daripada kelas haiwan yang termaju (most evolved species). Hal ehwal rohaniah telah ditolak secara mutlak sebagai kepercayaan karut dan kerana itu telah digugurkan daripada sebarang perbincangan dan perencanaan rasmi mengenai pembangunan insan dan negara.
                 Apabila keupayaan fizikal dan akliah telah merosot, golongan usia pertengahan yang sudah tua ini berasa kesal dan pada ketika itu, segala-gala miliknya dahulu seperti kekuatan jasmani, kekayaan, harta, kejayaan, malah keluarga pergi meninggalkan golongan tua sendirian.[27] Golongan tua sudah tidak mempunyai peranan penting dalam masyarakat dan negara, malah dianggap sebagai liabiliti seperti kata pepatah Farsi: “yang muda remaja mungkin mati, yang tua ‘mesti’ mati”.[28] Belenggu pencarian makna diri atau krisis identiti ini terus menerus berputar dalam kehidupan kesemua golongan tadi. Tiada penyelesaian mahupun jalan keluar ditemui.
                
3. Rasulullah SAW sebagai Contoh Tauladan
                 Golongan-golongan seperti belia, usia pertengahan dan tua pasti wujud dalam mana-mana masyarakat kerana itu merupakan fitrah manusiawi yang pasti berlaku. Akan tetapi, masalah jurang generasi dan krisis identiti tidak berlaku dalam masyarakat Islam yang benar-benar mematuhi ajaran Allah. Ini kerana sifat agama Islam itu sendiri yang tetap, jelas dan sempurna sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini. Justeru, makna diri dan nilai-nilai yang dianut oleh individu dalam masyarakat Islam adalah tetap, jelas dan sempurna sebagaimana sifat agamanya. Maka, golongan usia pertengahan mewariskan kepada anak-anak mereka yakni golongan belia remaja nilai-nilai hakiki agama Islam sebagai panduan hidup sebagaimana yang mereka warisi sewaktu belia remaja dahulu.[29]
                 Di samping itu, masyarakat Islam mempunyai contoh manusia sempurna yang menjadi contoh tauladan bagi mengendalikan kehidupan. Ini jelas kelihatan pada cara, tingkah laku, perangai dan peribadi Nabi Muhammad SAW. Baginda merupakan insan kamil (manusia sempurna) yang menjadi ikutan semua golongan dalam masyarakat baik golongan belia remaja, golongan usia pertengahan mahupun golongan tua. Setiap individu Muslim, baik lelaki mahupun perempuan, melihat Nabi SAW bukan kepada peringkat-peringkat umur yang tertentu, tetapi melihat Baginda dari segi pandangan insan. Nabi Muhammad SAW menjadi sumber tauladan yang sempurna bagi seumur hidup insan dan manusia sempurna seperti ini tidak terdapat pada agama dan masyarakat lain.[30]

 4. Psikologi Jiwa Manusia Menurut Islam
                 Manusia dikurniai kebolehan untuk mencapai ilmu. Tempat letak ilmu dalam diri manusia adalah unsur rohaniahnya yang disebut dalam al-Qur`an dalam pelbagai kalimah iaitu sebagai ‘hati’ (al-qalb) ‘jiwa/diri’ (al-nafs), ‘roh’ (al-ruh), dan ‘akal’ (al-‘aql), tetapi kesemuanya itu merujuk kepada hakikat yang sama iaitu unsur rohaniah manusia.[31] Pada asalnya, manusia mengetahui Hakikat Tuhan dan kesatuan Mutlak-Nya (al-tawhid) sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, surah al-A’raf (7), ayat 172 yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).
                
                 Ayat di atas merujuk kepada perjanjian (al-mithaq/ al-‘ahd) manusia dengan Tuhan semasa di alam roh. Manusia telah mengenali dan mengakui keadaan dan keesaan Tuhan lalu mengikat perjanjian yang menentukan tujuan, tindakan dan sikap mereka terhadap diri dan Tuhan. Ikatan perjanjian ini merupakan ikatan dan penentuan dalam agama (al-din) yang merupakan pengabdian sebenar (al-Islam). Tujuan kewujudan manusia adalah untuk mengenal Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya[32] dan tugasnya adalah untuk taat (ta’ah) kepada Tuhan sesuai dengan fitrah insaniahnya.[33]
                 Walau bagaimanapun, manusia juga mempunyai masalah ‘lupa’ (nisyan). Menurut Abdullah Ibn Abbas, merujuk kepada surah Tha Ha (20), ayat 115: “Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemauan yang kuat”, perkataan insan terbit daripada kalimah nasiya kerana kata Ibn Abbas, manusia telah melakukan perjanjian dengan Tuhan tetapi mereka lupa (nasiya). Kelupaan merupakan penyebab keengkaran, dan kesan penderhakaan ini menjatuhkan manusia ke dalam kezaliman (zulm) dan kejahilan (jahl). Namun begitu, Tuhan telah melengkapkan manusia dengan akal dan wahyu yang mampu melorongkan mereka ke jalan yang benar. Untuk memilih kepada kebaikan (ikhtiyar), terserah kepada manusia itu sendiri.[34]
                 Hakikat diri manusia yang sebenar berasal dari alam tinggi (al-malakut) dan alam perintah (al-amr). [35] Terdapat beberapa peringkat/ martabat (level/ stages) bagi jiwa manusia. Apabila manusia cenderung kepada jalan yang benar, ketenangan sebenar yang transenden (al-sakinah) akan hadir dan mereka akan berada dalam kebebasan dan ketenangan dalam ingatan kepada Tuhan. Keadaan jiwa seperti ini dinamakan keadaan jiwa yang tenang (al-nafs al-mutma’innah) dan merupakan peringkat tertinggi jiwa manusia. Kadangkala, jiwa manusia bergelora dan berlawanan antara daya akliahnya dan daya kebinatangannya. Apabila jiwa berada dalam keadaan yang jahat, kemudian ia sedar lalu berusaha melawan kejahatan tersebut dan mengutuk kelakuannya. Keadaan jiwa seperti ini dinamakan al-nafs al-lawwamah iaitu jiwa yang mengutuk diri sendiri. Manakala, keadaan jiwa yang terperangkap dalam kejahilan dan kejahatan dinamakan al-nafs al-amarah bi al-su`.
                 Jiwa manusia juga mengandungi beberapa ‘keadaan upaya’ (quwa) yang termanifestasi dalam hubungannya dengan aspek jasmani manusia. ‘Keadaan upaya’ tersebut ialah jenis-jenis jiwa iaitu (1) jiwa tumbuhan (al-nafs al-nabatiyah), (2) jiwa haiwan (al-nafs al-hayawaniyah), dan (3) jiwa rasional (al-nafs al-natiqah).[36] Tumbuh-tumbuhan mempunyai kekuatan untuk membesar, kekuatan kesuburan dan produktif.  Kekuatan-kekuatan ini juga terdapat pada haiwan dan manusia. Boleh dikatakan, manusia mempunyai jiwa-jiwa yang sama dengan haiwan, Cuma yang membezakannya adalah jiwa rasional (al-nafs al-natiqah) yang hanya terdapat pada diri manusia, tidak haiwan mahupun tumbuhan. Keadaan inilah yang menjadikan manusia itu sebagai ‘manusia’ dan sekiranya manusia kehilangan keadaan upaya ini, maka manusia tersebut tiada berbeza dengan haiwan.         
                 Jiwa rasional (al-nafs al-natiqah) merupakan petanda ciri-ciri unggul bagi manusia. Kalimah Natiq (al-natiqah) bermakna daya akliyah yang merujuk kepada fakulti rasional manusia, selari maksudnya dengan perkataan logos (Greek) dan ratio (Latin). Natiq merupakan fakulti dalaman yang menanggap dan memahami realiti-realiti seterusnya memformulasi makna berkaitan membuat keputusan, pengelasan dan penjelasan.[37] Al-nafs al-natiqah juga merujuk kepada akal. Namun, akal (al-‘aql) dalam Islam bukan seperti yang difahami dalam kebudayaan Barat. Dalam kebudayaan Barat, akal hanya merujuk kepada ratio yang merupakan alat untuk memahami dan menguasai alam zahir (aspek saintifik) semata-mata. Ratio dipisahkan daripada intellectus yang bermaksud fakulti untuk merenungi hakikat rohaniah. Akal dalam Islam merangkumi sekaligus aspek ratio dan intellektus. Akal, menurut Islam, jika dijaga dengan baik, akhirnya akan membawa implikasi akhlak yang penting. 
                 Daripada perbincangan ini, dapatlah kita mengerti keadaan jiwa manusia yang sebenar sebagaimana fitrah kejadian Tuhan. Kelupaan manusia dan keengkarannya untuk kembali ke jalan kebenaran (al-inabah/ al-taubah) walapun dikurniakan Tuhan dengan keupayaan untuk berbuat demikian, telah menenggelamkan manusia dalam lembah kehinaan yang meletakkan martabatnya pada kedudukan yang rendah, malah lebih rendah daripada haiwan.
                 Dengan hilangnya kesedaran diri manusia yang sebenar, maka anasir jahat dari luar seperti dampak negatif globalisasi dengan mudah mempengaruhi gaya fikir dan gaya hidup manusia. Tidak terlepas daripada menjadi mangsa ialah golongan remaja yang sepatutnya dididik dan diasuh dengan nilai-nilai agama Islam yang hakiki. Sekiranya didikan tersebut tidak berlaku, golongan yang sedang mencari makna diri ini akan mudah dikaburkan dengan keduniaan dan fahaman songsang seperti yang terpamer pada wajah globalisasi.


[1]  Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Worldview of Islam: An Outline, diedit oleh Sharifah Shifa Al-Attas dalam “Islam and the Challenge of Modernity”,(Kuala Lumpur: ISTAC, 1994), hal. 15
[2]  Muhammad al-Quraisy. “Prinsip pertama Usul 20 Hassan al- Banna”,  Sekitar Risalah Taalim (KL: DPF, 2009)
[3] Adi Setia Mohd Dom, Worldview of Islam Academy: The Concept, (Kuala Lumpur: HAKIM, 2010), hal. 7
[4] Ibid. hal. 6
[5] Ibid.
[6] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Meaning and Experience of Happiness in Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC 1993) diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan Pengenalan dan Nota Penjelasan oleh Dr. Zainiy Uthman dengan tajuk Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), hal. pendahuluan
[7]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Baqarah (2) ayat 2, Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa
[8]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Syuura (42) ayat 11, “....tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat”
[9] Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 4, “sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
[10]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Baqarah (2) ayat 31-33, “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!" (31) Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana (32) Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" (33)”
[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, (Penang: USM, 2007), hal. 66
[12] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), hal. 28
[13] Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 5, Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),” dan al-Furqan (25) ayat 44, “atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”
[14]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 5,
[15] Ernest R. Hilgard, Rita L. Atkinson, & Richard C. Atkinson, 1979, Introduction to Psychology, New York: Harcourt Brace Jovanovich, Inc., hal. 88.
[16] Alwi Alattas, Pendidikan Remaja dari Sudut Pandang Psikologi Islami, (Jakarta, Fakultas Psikologis Universiti Indonesia, 2006)
[17] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 6, selepas ini ditanda sebagai Risalah Untuk Kaum Muslimin
[18] Ibid.
[19] Ibid. hal. 135
[20] Ibid. hal. 137-138
[21] Ibid. hal. 18
[22] Ibid. hal. 20-22
[23] Ibid. hal. 93
[24] Ibid.  hal. 93
[25] Ibid. hal. 94
[26] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 5
[27] Ibid.
[28] Ibid. hal. 95
[29] Ibid.
[30] Ibid.
[31] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 2
[32] Al-Quran al-Karim, Surah al-Dzariyat (51) ayat 56, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
[33] Al-Quran al-Karim, Surah al-Rum (30) ayat 30, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
[34] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 6
[35] Al-Quran al-Karim, Surah Ya Sin (36) ayat 83;  surah al-Mukminun (23): 88
[36] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 8
[37] Ibid. hal. 39



Bersambung bahagian 3

Apabila terpelihara mata
Sedikitlah cita-cita

Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tiadalah damping

Apabila terpelihara lidah
Nescaya dapat daripadanya faedah

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan

Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi`il yang tidak senonoh

Hendaklah peliharakan kaki
Daripada berjalan membawa rugi



24 Ogos 2009
6.31 petang
Kampung Pinang, Kamunting

       
Sebarang transformasi sosial dalam masyarakat memerlukan seorang aktor yang berpengaruh, berkesan,  kritis, kreatif dan berani. Pemikiran atau idea baru tidak tumbuh dan bercambah dalam satu vakum.  Faktor sosial, politik dan ekonomi adalah penyumbang yang signifikan dalam pertumbuhan idea-idea baru.  Dalam kontek ini Dunia Melayu tidak sunyi dari ketokohan aktor - pemikir.





Tahukah anda bahawa:

  • Bahasa Melayu dan tulisan jawi berkembang atas inisiatif Sh Daud al-Fatani?
  • Pendidikan tasawwuf yang dipelopori oleh Sh Abd al-Samad al-Palembani adalah satu komponen penting kurikulum pendidikan Islam masa lalu?
  • Dunia Melayu mempunyai pakar sosiologi dan etnografinya sendiri pada kurun ke-19?
  • Apakah yang tersirat disebalik novel Faridah Hanum karya Sayid Sheykh Al-Hadi?
  • Sumbangan Mahmud Yunus dalam Pendidikan Islam selain daripada Tafsir al-Qur’annya?
  • Dunia Melayu telah pun memiliki “Chomsky”nya dalam teori belajar bahasa – antara komunikasi dan nahu?
  • Imam Zarkasyi berfikiran jauh dengan melahirkan teori hubungan kegiatan kokurikulum dan pembentukan syakhsiyah?
  • Pendita Za’ba amat khuatir tentang kemiskinan ilmu melebihi kemiskinan material orang Melayu, dan berjuang untuk pendidikan bersepadu dan universiti Islam pada tahun 1930an lagi?
  • Dalam usaha untuk memodenkan pondok, Tok Kenali memperkenalkan Bahasa Inggeris?
  • HAMKA giat memperjuangkan kepentingan akal dan falsafah sebagai asas intelektual Agama Islam sehingga dilabel Kaum Muda?
  • Harun Nasution mengubah haluan kurikulum Institut Agama Islam Negeri dengan memugar kepentingan falsafah dan rasional?

Jika anda tidak mengetahui perkara-perkara ini, bermakna anda sudah terputus daripada wacana tradisi intelektual Islam Dunia Melayu.  Justeru itu, memugar wacana ini amat penting bagi survival dan kebangkitan umat dan Seminar ini akan membantu anda menyambung semula kesinambungan tradisi intelektual kita, insha’Allah





Topik dan Pembentang


Sheikh Daud Al-Fatani:
Kitab Jawi dan Perkembangan Bahasa Melayu
Jawi Textbooks and the Development of the Malay Language
Dr Ibrahem Narongraksakhet , PSU, Thailand

Shaykh ‘Abdu’s-Samad Al-Palembani:
Konsep Pendidikan Islam dan hubungannya dengan Pembentukan Syakhsiah Bersepadu
The Islamic Concept of Education in Relation to Developing the Integrated Personality
Ust Uthman el-Muhammady, ISTAC, Malaysia

Munshi Abdullah:
Pengkritik  Awal  Masyarakat dan Budaya Melayu
An Early Critic of Malay Society and Culture
Prof Dr Rosnani Hashim IIUM Malaysia

Sayid Syekh Al-Hadi:
Pembaharuan Pendidikan Islam di Malaya
Reform of Islamic Education in Malaya
Prof Madya Dr Ibrahim Abu Bakar, UKM, Malaysia

;Mahmud Yunus:
Pengajaran Pendidikan Agama Islam di Sekolah Umum
Islamic Religious Instruction in the Public School
Yety Rochwulaningsih, U Diponegoro, Indonesia

Imam Zarkasyi:
Pembaharuan Pesantren Tradisional di Indonesia
Reform of the Traditional Pesantren in Indonesia
Dr Hamid Fahmy Zarkashi, Darussalam Institute of Islam Studies, Gontor, Indonesia

Pendeta Za’ba:
Pendidikan untuk Pencerahan di Malaya
Education for Enlightenment in Malaya
Prof Dr Adnan Nawang, UPSI, Malaysia

Tok Kenali:
Pemodenan Pondok di Kelantan
Modernization of the Pondok in Kelantan
Dr Wan Mazwati Wan Yusoff, IIUM, Malaysia

Hamka:
Intelektualisme dan Transformasi Sosial Alam Melayu
Intellectualism and Social Transformation of the Malay World
Prof Dr Mohd Redzuan Othman, UM, Malaysia

Harun Nasution:
Pembaharuan Pendidikan Islam Tinggi di Indonesia
The Reform o f Higher Islamic Studies in Indonesia
A. Fatah Syukur, IAIN Walisongo, Kudus Indonesia.




http://www.iium.edu.my/ietim/

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget