Pantun Lara Jiwa Bangsa
Atas permintaan Saudara Saifullah Zulkifli dan beberapa orang sahabat dari Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), penulis siapkan pantun ini dengan seberapa segera.
Bahagian 1 (Bahasa Jiwa Bangsa)
Padi muda jangan dilurut,
Kalau dilurut patah batangnya;
Jiwa Bangsa jangan dijerut,
Kalau dijerut susah datangnya.
Kurus melidi si ayam serama,
Kecil terasa kerana tali;
Bahasa jadi dahan agama,
Pencil bahasa, agama sekali.
Jarum kecil tajam di pangkal,
buat meniti tongkat nan pecah;
kalau akal panjang sejengkal,
kata Munsyi jangan dibantah.
Bahagian 2 (Perjuangan Rakyat)
Anak rusa terkudik-kudik,
Makan mengais di bawah lada;
Pejuang Bahasa jangan diusik,
Kalau diusik, pecah kepala.
Tebang buluh, cabang bersepih,
Batang lurus dibuat titi;
Takkan sungguh rakyat merintih,
Datang seluruh pelosok negeri.
Pergi tenggara mencari gula,
Api membara, panas bakaran ;
Masjid Negara tempat bermula ,
Istana Negara jadi tujuan.
Kaki bangku tiadalah rebah,
Memangku tangan, mengahnya kerap;
Daulat Tuanku patik menyembah,
Ke hadrat Junjungan patik mengharap.
Belajar menulis di batang cerucuk,
Air mendidih, cerek keringat;
Berbondong polis hidung tercucuk,
Senjata pemedih menyekat rakyat.
Naik kereta membawa karung,
Sampai ke jurang mencari kerang;
Pedih mata pasti ku harung,
Semangat juang tidakkan hilang.
Bahagian 3 (Perihal pemimpin)
Limau purut tumbuh di hutan,
Asam paya batang berduri;
Pemimpin menurut nafsu bersetan,
Rosak celaka menimpa diri.
Kapal peri kapal hantu,
Nampak dari kuala Sentul ;
Bapak Menteri buat tak tahu,
Salah diri dikata betul.
Pilih-pilih tempat meniti,
Pelik kedidi meninjau suasa ;
Pilih-pilih cari Menteri ,
Baik budi, sayang bahasa.
Daun sirih naik di junjung,
Limau Jasa banyak bijinya;
Pilih-pilih pimpinan disanjung,
Menjulang bahasa, baik budinya.
Peminggir kota,
25 Mac 2009, 12.19 malam
Kampung Pinang, Kamunting, Perak
Catat Ulasan