Pak Lah; satu Apresiasi Kritis
Selepas mesyuarat agung UMNO ke 59 yang lalu, saya (Peminggir Kota) ada melakukan beberapa analisa berhubung kepemimpinan Pak Lah dan UMNO. Namun, baharu kini tergerak untuk berkongsi hasil analisis penulis dengan sahabat-sahabat yang lain.
Perhimpunan Agong UMNO ke-59 umpama majlis ucap selamat tinggal besar-besaran kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Dato` Seri) – Perdana Menteri ke-5 Malaysia. Ucapannya agak panjang lebar. Dia batuk-batuk. Tapi tetap juga meneruskan ucapannya. Tajuk ucapan dasar Ucapan Dasar Masa Depan dan Survival Parti seolah-olah sesuai benar dengan nadanya. Manakan tidak, maudhu’ ucapan dasar sudah melambangkan keadaan yang lebih teruk daripada batuk-batuknya Pak Lah; keadaan parti yang sudah menjalar virus maut dalam tubuhnya- terngiang-ngiang panggilan kubur di daun telinga.
Pak Lah; orangnya lemah lembut, bersopan-santun, malah tidak terzahir akan perbuatannya yang merendah-rendahkan orang lain. Namun, ke’lemah lembut’annya bukanlah semesti menjadi tiket yang membenarkan beliau menjadi ejekan orang ramai dengan panggilan ‘lembik’- dan memang tak patut patut pun seorang pemimpin itu lembik atau nampak lembik; kerana seseorang pemimpin itu menjadi tunggak dan lambang kekuatan keseluruhan kepemimpinannya. Malah, Syeikh Ibn Taimiyah pernah menukilkan dua ciri utama yang perlu ada pada pemimpin dalam kitab beliau, al-Siyasah al-Syar'iyah fi islahir Ra'i wa Ra'iyah iaitu al-quwwah (kuat) dan al-hikmah (bijaksana).
Pak Lah dalam ucapan dasarnya menjelaskan kerosakkan dalaman yang sedang menjangkiti ahli-ahli UMNO terutama dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dalam semua sayapnya, namun nampak seperti bersifat kontradik dengan ucapan bekas ketua pemuda yang kini dinaikkan sebagai Naib Presiden, Hisyamuddin Tun Hussien. Hisyamuddin nampaknya menyelar dan menuduh orang lain di luar parti sebagai petualang bangsa. Ini menghairankan saya kerana sepanjang kempen merebut jawatan dalam persidangan ini, sebanyak lebih 900 aduan politik wang dalam UMNO dilapor dan direkodkan Lembaga Disiplin UMNO. Jadi, siapa petualang bangsa sebenarnya?
31 Oktober 2003, Pak Lah mula menjadi orang nombor satu Negara. 5 tahun 3 bulan berada di puncak tampuk pemerintahan,; walaupun sebelum itu tak ramai yang mengenali beliau melainkan setelah beliau diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Mahathir.
Sebenarnya, keterlibatan Pak Lah dalam dalam politik sudah lama. Begitu juga dengan keluarganya. Bapanya, Ahmad Badawi merupakan antara politikus yang kuat mempelopori idea kesatuan ummat Melayu Islam melalui wadah politik partai era 70-an; semasa PAS bertahalluf dengan UMNO-BN. PAS ketika itu di bawah kepemimpinan seorang tokoh hebat, Dato Asri Muda. Menariknya, ketika itu diperkenalkan dwi-keahlian PAS-UMNO.
Secara peribadi, saya punya pandangan sendiri terhadap fenomena politik di Malaysia. Dan juga sebagai mahasiswa, saya mendokong aspirasi mahasiswa untuk berpolitik objektif, tapi bagi saya mesti membawa idealisme mahasiswa yang asli tanpa tercorak oleh faham taasub kepartaian. Justeru, saya tidak sanggup menjadi seperti ‘kerbau tercucuk hidungnya’ – mengikut apa sahaja kehendak dan tindakan partai sehingga mengetepikan pertimbangan kebenaran, kerasionalan, juga maslahat ‘ammah. Fenomena ini yang berlaku sekarang baik di kampung mahupun kota, dari warung kopi hingga ke pejabat, di bangku sekolah sehingga ke menara gading;- orang kita masih tak mampu berfikir secara rasional dan analitikal sehingga begitu mudah diperkotak-katikkan sesetengah pihak. Tak perlu saya bicara panjang tentang politik Malaysia. Saudara saudari boleh rujuk tulisan saya sebelum ini bertajuk “Patriarch; berkuburlah”
Saya melihat ketidak mampuan kebanyakan kita untuk berfikir secara analitik dan kritis adalah disebabkan “kesilapan kita melihat dan menanggap situasi”.
Berbalik kepada perihal Pak Lah; zaman pemerintahannya menyaksikan pelbagai kepincangan; baik dalaman mahupun luaran. Malahan kepincangan itu sebenarnya telah lama wujud; Pak Lah Cuma menjadi pewaris kepada kepincangan tersebut. Ini diakui oleh Pak Lah sendiri dalam ucapan dasar belia. Antaranya:
” setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin Umno tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan Umno”
[pengakuan tentang watak sombong dan angkuh orang Melayu UMNO.]
“tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global”
[pengakuan tentang keghairahan dan ketamakan sesetangan Orang Melayu UMNO yang memberi tumpuan terhadap ‘pembesaran perut’ masing-masing sehingga berjaya ‘mengempiskan perut’ rakyat yang sedia kempis seolah-olah kita kembali ke era feudalistik]
“program-program politik Umno yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan”
[merujuk kepada terma ‘kurang berkesan’- pastinya kurang tidak melambangkan lansung tidak. Ini bermakna, program politik UMNO yang kurang berkesan tak bermakna program politik UMNO tidak langsung memberi kesan. Maknanya, ada sikit kesan, tapi malangnya kesan yang merosakkan. Saya sendiri pernah membantu orang-orang pro-UMNO mengajurkan program masyarakat, sungguh tidak mengejutkan – baharu timbul haqqul yaqin tentang dakwaan sikap buruk orang Melayu UMNO]
“perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan didalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.”
[sekali lagi saya tegaskan, ini bukan satu kejutan. Saya sendiri melihat kerja-kerja cantas-mencantas ini dilakukan. Malah, sahabat-sahabat pro-UMNO sendiri yang mengedarkan buku controversial ‘Tuah & Sial Khairy Jamaluddin’ karangan Yahya Ismail kepada saya secara percuma. Rebut jawatan peringkat bahagian pun rasuah, malah ada dakwaan kes tabur duit raih sokongan seperti ‘carpet bombing’]
Namun, saya perlu berlaku adil terhadap beliau (Pak Lah). Pastinya ada jasa yang beliau titiskan.
Bermula dengan slogan-slogan yang pelbagai seawal pemerintahannya, seperti ‘Hamba No. 1 negara’, ‘Bekerja Bersama Saya’. ‘Rasuah Musuh No.1 negara’, ‘Cemerlang Gemilang Terbilang’, ‘Towering Personality’ dan sebagainya, walau tak ternampak ketara manifestasinya sehingga beliau melepaskan jawatan, boleh dikatakan Pak Lah mempunyai visi tersendiri. Cuma kegagalannya mevisualisasikan kata-katanya dalam dunia sebenar meletakkan beliau sebagai seorang tokoh yang ‘aqwal’ – hanya mampu berkata-kata. Ini jelas bertentangan dengan salah satu bait dalam puisi nukilan beliau “Ku Cari Damai Abadi”,
“aku cari mana dia Al-Ghazali, aku cari mana dia AsSyafi’i ”
Kerana menurut Imam AsSyafi’i dalam Diwan Al-Imam Asy-Syafi'I (hal 97),
“Sesungguhnya orang yang faqih itu adalah dinilai dengan perbuatannya Bukanlah orang yang faqih itu dinilai dengan ucapan dan perkataannya”.
Walau bagaimana pun, Pak Lah tetap insan biasa yang lemah daya, pastinya tidak terlepas daripada kesalahan dan kesilapan.
Kata orang, Pak Lah lebih terbuka dan demokratik sehinggakan ada cadangan untuk memakaikan beliau dengan gelaran Bapa Demokrasi Negara. Benarkah? Saya tidak nampak sebarang polisi atau dasar yang jelas yang menatijahkan kondisi keterbukaan itu. Pada hemat saya, Pak Lah sudah tidak mampu lagi menahan gelombang suara rakyat dan kelompok marhaen yang sudah sekian lama rasa terhimpit, bukan kerana memberi peluang rakyat bersuara. Malah, wabak ‘gila-gila UMNO’ semakin menggila. Pihak keselamatan ditunggangi sebaik mungkin di bawah pimpinan Kerajaan (UMNO-BN) yang di’Perdana Menteri’kan Pak Lah bagi menyekat hak dan suara rakyat. Macam mana nak pakaikan gelaran Bapa Demokrasi terhadap Pak Lah. Lihat sahaja bagaimana mereka memperlakukan orang ramai yang tidak berdosa pada 7 Mac 2009. Saya berhasil menggubah untaian puisi lama-pantun bagi mengenang Peristiwa 7 Mac (rujuk Pantun Lara Jiwa Bangsa)
Untuk berlaku adil kepada Pak Lah, apresiasi perlu kita berikan kepada beliau atas beberapa usaha reformasi dan transformasi yang beliau lakukan dalam kerajaan, juga untuk rakyat seluruhnya. Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Bagi Melantik Hakim (JAC) merupakan dua sumbangan besar beliau dalam usaha memerangi rasuah. Agenda Pelan Integriti Nasional (PIN) diletakkan sebagai keutamaan baharu. Juga, usaha reformasi dalam institusi kepolisan Negara.
Namun, yang lebih saya kagumi ialah beliau punya aspirasi dan kesedaran terhadap pembanguna modal insan; tidak seperti pemimpin sebelumnya yang lebih menekankan aspek lahiriah (walaupun berlaku proses reformasi dalam sistem pendidikan era Tun Abdul Razak, namun ia tetap tidak lebih sekadar ‘reformasi kosmetik’).
Usaha penambah baikan dalam system pendidikan seperti J-QAF (Jawi, Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain) merupakan antara usaha yang baik dan perlu disokong. (walaupun pada dasarnya pendirian saya terpaksa menolak J-QAF ini kerana ia juga sekadar tempelan bersifat superficial bukan substancial). Sekiranya kita bersikap pragmatis terhadap J-QAF, pastinya ada kebaikan. Lihat usaha bagi meluaskan penguasaan bahasa Inggeris di Malysia era Mahatir Mohamad, selepas tidak lebih 20 tahun dasar-dasar ‘pengInggeris’an dilaksanakan, kita dapat lihat hasilnya. Mak cik-mak cik di kampong-kampung pun boleh faham bahasa Inggeris. Teacher-teacher Bahasa Inggeris yang di’lahir’kan pada era tersebut apatah lagi gaya hidup Inggerisnya. PPSMI pun diwujudkan dengan ke’BIJAK SINI’an pemimpin tersebut. Jika usaha yang sama dilakukan untuk J-QAF (jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan fardhu ain), mungkin 20 tahun lagi generasi kita mampu menguasai J-QAF. Namun, cabarannya pasti lebih besar. (Pada saya, kita lancarkan reformasi besar-besaran terhadap system persekolah di Malaysia yang sebenarnya selama ini membunuh pendidikan)
Satu lagi gagasan beliau yang menarik ialah ‘Islam Hadhari’. Cukup kontroversi. Menjadi bualan pelbagai pihak. Malahan ada yang mendakwanya sebagai ajaran sesat dan ajaran baharu. Saya pulangkan penilaian terhadap Islam Hadhari kepada saudara saudari. Nasihat saya, kaji dahulu sesuatu perkara sebelum menghukumnya.
Buat akhirnya, terima kasih Pak lah. Kami selaku rakyat Malaysia mendoakan semoga Pak Lah sentiasa sihat dalam hidup pasca persaraannya. Kami juga mendoakan agar Pak Lah diberi hidayah, dikembalikan ke jalan yang benar dan dibukakan pintu hatinya bagi meneruskan perjuangan menegakkan aqidah ahlus Sunnah wal jamaah sebagaimana yang telah diperjuangkan oleh nendanya, seorang ulama terkemuka, Syeikh Abdullah Fahim yang bersungguh-sungguh menentang penyelewengan dalam agama.
Gambar Pak Lah bersama Syeikh Salim al-Hasani (Pengerusi Darul Fatwa Australia)
Nasihat Syeikh Abdullah Fahim kepada seluruh penduduk Tanah Melayu (tulisan tangan beliau)
(Untuk membaca nasihat ini dalam Bahasa Melayu tulisan rumi, klik sini)
18 April 2009
3.57 petang
Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Selangor
Catat Ulasan