Halloween Costume ideas 2015
MPS

Gerakan Pembaharuan di Mesir; Meninjau Konsep Islah dalam Gerakan

oleh:
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



Pendahuluan
            Islam merupakan agama (deen) yang diturunkan Allah kepada manusia melalui perantaraan para Rasul ‘Alihim al-Solat al-Salam untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam. Sebagai agama risalah, al-Qur`an menyarankan dua bentuk penyebaran agama Islam kepada manusia. Pertama, seruan dakwah terhadap mereka yang berada di luar lingkungan agama.[1] Usaha ini perlu dilakukan dengan kebijaksanaan, nasihat yang baik dan dialog yang berhemah.[2] Sehinggakan kepada penguasa zalim seburuk Fir’aun pun, Nabi Musa AS diperintah Allah untuk berdakwah menggunakan perkataan yang lembut dan mengetengahkan hujah yang benar dan baik.[3] Bentuk kedua penyebaran risalah Islam pula lebih bersifat dalaman iaitu usaha memperbaik masyarakat Islam itu sendiri. Dalam melaksanakan usaha islah dalaman ini, al-Qur`an mengetengahkan dua bentuk tindakan yang beriringan dan saling melengkapi: (1) menyeru kepada perkara-perkara kebaikan (amr bi al-ma’ruf); (2) mencegah segala bentuk kemungkaran (nahy ‘an al-munkar).

            Tugas islah ini merupakan kefarduan, malah keunggulan umat Islam sebagai umat terbaik (khayra ummah) juga bersyaratkan kejayaan mereka melaksanakan tugas ini. Hakikat ini disokong oleh hadis Nabi SAW yang menjamin kemestian berlakunya usaha pembaharuan ini secara berterusan dengan kemunculan seorang pembaharu agama: “Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat ini pada setiap awal kurun seorang yang akan memperbaharui agamanya (man yujaddidu laha dinaha).[4]

            Dalam tugasan ini, kami berhasrat membincangkan perihal gerakan islah (pembaharuan) yang muncul di Mesir pada kurun ke-19. Gerakan Islah ini mempunyai pengaruh yang besar kepada seluruh dunia Islam sehinggakan tokoh-tokoh pelopor gerakan Islah di Mesir digelar sebagai “Pembangkit Orang Timur”.[5] Kertas ini pertama sekali cuba menyorot sejarah umat Islam umumnya dan Mesir khususnya, bermula abad ke-17 sehingga abad ke-19 M yakni pada kurun-kurun kejatuhan umat dan penjajahan Eropah ke atas dunia Islam. Kedua, atas sebab topik ini berkaitan dengan islah, di bawah sub-topik ‘Islah dan Pengislahan: Gagasan Pembaharuan yang Sebenar’, konsep islah dikupas dengan teliti menurut khazanah pentafsiran kecendikiawanan Islam.

            Ketiga, di bawah sub-topik ‘Martabat Insan dan Kebebasan Menurut Pandangan Alam Islam’, kami cuba mengutarakan ciri-ciri ‘pandangan alam’ (weltanschauung/worldview) Islam dengan memfokuskan kepada makna kebebasan dan martabat insan. Pengislahan menuntut kepada pembebasan insan daripada perhambaan selain daripada Allah dan pengangkatan kembali martabat manusia pada kedudukan yang sepatutnya sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah. Keempat, kami mengupas sebab kemunculan gerakan islah di Mesir, ciri-ciri gerakan terutama bawaan Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh, dan metod serta kaedah dalam melaksanakan gagasan islah mereka, di bawah sub-topik ‘Gerakan Islah di Mesir: Permulaan Episod Perjuangan Kebebasan’.

            Manakala di bawah sub-topik terakhir ‘Tokoh-tokoh Utama: Riwayat Hidup dan Pemikiran’, kami cuba mengetengahkan riwayat hidup dan pemikiran dua orang tokoh pelopor utama gerakan islah di Mesir iaitu Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang mewaqafkan diri mereka demi perjuangan yang murni. Sesungguhnya, penat jerih mereka harus menjadi inspirasi yang membakar semangat setiap individu Muslim agar berusaha mengislah diri dan masyarakat seluruhnya agar kita bersama memperoleh kebahagian dan redha Ilahi.

                                                                                                                                                      
Latar Belakang Sejarah
Pada awal era moden, para pemikir dan pemimpin Muslim telah menyedari pentingnya pembaharuan (islah) sebagai usaha memajukan umat terutama untuk menghadapi hegemoni sosio-ekonomi dan kebudayaan Barat.[6] Kelemahan umat Islam tampak ketara dengan peristiwa seperti kegagalan serangan Empayar Uthmaniyah terhadap Vienna pada 1683, yang bukan sahaja menandai runtuhnya kekuatan tentera Islam yang ketika itu sangat digeruni tetapi juga menayangkan pudarnya kebanggaan dan rasa percaya diri terhadap keagungan peradaban umat Islam. Keadaan ini diperburuk lagi dengan Perjanjian Carlowitz 1699 M dan Passorwitz 1718 M yang merugikan umat Islam. [7]

Keruntuhan yang sama juga terasa di Empayar Moghul India di mana tentera pimpinan Nawab Siraj al-Daulah dikalahkan oleh Syarikat Hindia-Timur Inggeris (English East India Company) dalam suatu peperangan di Plassey pada 1757. Perjanjian Kutruch Quinarji pada 1774 M antara Empayar Uthmaniyah dengan Rusia turut menyumbang kepada keruntuhan kekuatan tentera dan peradaban Uthmani di mata Eropah sehingga ke hari ini. Di Mesir, kejayaan serangan tentera pimpinan Napoleon Bonaparte pada 1798 M semakin menyingkap keruntuhan kekuatan tentera Islam.[8]

Mesir pada abad ke-18 masih lagi merupakan sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah dan sepanjang kurun ke-17 dan ke-18, Mesir mengalami beberapa konflik politik yang parah akibat perebutan kuasa antara kelompok-kelompok Mamluk (pemerintah tempatan)[9] suasana politik yang tidak stabil itu membawa kepada kekacauan dan menjejaskan ekonomi Mesir ketika itu. Bermula abad ke-18, Mesir bukan lagi sebuah wilayah yang kaya-raya sebagaimana zaman kemuncak kegemilangan Islam. Ia telah hilang keistimewaannya sebagai sebuah pusat kebudayaan dan ketamadunan.[10]

Pencerobohan tentera Perancis ke atas wilayah Negara Mesir pada 1978 M merupakan antara peristiwa penting yang merobah lanskap sosio-politik Mesir. Tentera Perancis yang dipimpin Napoleon Bonaparte, seorang diktator yang memperoleh kuasa di Perancis berikutan Revolusi Perancis, dengan mudah mengalahkan Tentera Mamluk Mesir. Dengan itu bermulalah pendudukan Perancis ke atas Mesir selama tiga tahun sehingga tahun 1801M.[11]

Awal abad ke-19, Muhammad Ali, seorang wakil kerajaan Turki Uthmaniyah telah melantik dirinya sebagai Gabenor Mesir ketika timbulnya konflik politik yang disebabkan oleh kemasukan Perancis ke Mesir.[12] Selepas pengunduran Perancis, beliau dengan helah dan tipu dayanya berjaya menegakkan kuasanya sendiri. Pada tahun 1805 M, beliau telah diakui oleh Sultan Salim ɪɪɪ sebagai wakil Uthmaniyah di Mesir dan dikurniakan gelaran Pasha.[13] Beliau telah membentuk sekumpulan pemerintah yang terdiri daripada bangsa Turki, pasukan dan pegawai elit yang terpelajar untuk mengurus pentadbiran Negara dan mengutip cukai di seluruh Mesir.[14] Pemerintahan Muhammad Ali dari tahun 1805 M hingga 1848 M adalah permulaan kepada sebuah dinasti yang memerintah Mesir.[15]

Pentadbiran ekonomi yang teruk dan sikap tamak pemerintah yang menaikkan cukai sesuka hati membawa kemelaratan kepada penduduk mesir, terutama golongan Petani yang miskin. Dasar-dasar kerajaan Muhammad Ali seperti memilik-negarakan tanah dan kerahan tenaga menyebabkan rakyat Mesir tambah menderita.[16] Atas ketegangan suasana dan keadaan kacau bilau ini menyebabkan para ulama bangkit menentang ketiadak-adilan yang berlaku. Kesedaran untuk menghalang kemaraan penjajah Eropah dan boneka mereka serta mengembalikan maruah umat nampak ketara terutama pada idea dan praktis para pelopor gerakan ‘Islah’ seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang menyedari keperluan bagi umat melakukan ‘pencarian semula identiti umat’[17]



Islah dan Pengislahan: Gagasan Pembaharuan yang Sebenar
            Pengislahan dan pembaharuan yang sebenar mengisyaratkan suatu kegiatan penting dan terancang yang menghasilkan kebaikan. Dengan kata lain, ia merupakan suatu gerak perobahan dari keadaan buruk kepada baik, yang baik kepada yang lebih baik dan yang mengekalkan keadaan baik itu.[18] Lawan kepada makna pengislahan dan pembaharuan semestinya keburukan, penyelewengan, dan kejahatan.

 Pengislahan berasal daripada perkataan Arab iaitu Islah, yang menurut Ibnu Manzur bermaksud, perbuatan ke atas seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul, teratur, adil, sesuai dengan segala nilai yang tinggi.[19] Sehubungan itu, menurut Wan Mohd. Nor Wan Daud, sesuatu tindakan samada yang maju ke depan atau mundur ke belakang, samada yang bertambah atau berkurang, samada yang giat bergerak atau yang statik, adalah dianggap sebagai pengislahan jika ianya menghasilkan kebaikan dan keadilan dalam pelbagai segi.[20] Malah, pengislahan juga boleh membawa maksud ‘meruntuhkan’ dalam konotasi yang positif, umpanya meruntuhkan kezaliman dan maksud ‘meruntuhkan’ umpamanya meruntuhkan kejahilan.[21]

Sementara itu, Uthman El-Muhammady menafsirkan perkataan islah dalam konteks yang lebih luas yakni “menjadikan sesuatu itu baik, betul, munasabah dengan kedudukan yang wajar, tersusun dengan baik, soleh, bertaqwa, sihat, berkembang maju, berguna, bermanfaat, sesuai, munasabah, layak; meletakkan sesuatu mengikut apa yang selayaknya, pengembalian kepada yang wajar, memperbetulkan, mengelokkan, membuat pembaharuan yang diperlukan, memperbaiki, menjadikan Berjaya, mendamaikan dua pihak, demikian yang seterusnya.”[22]

Dalam al-Qur`an, terdapat penggunaan perkataan ‘islah’ dalam pelbagai pengertian di atas, antaranya dengan maksud ‘mengurus secara patut’ sebagaimana dalam surah al-Baqarah (2), ayat 220: “…dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: "Mengurus urusan mereka secara patut (islahun lahum) adalah baik…”. Penggunaan perkataan islah yang merujuk kepada maksud ‘perdamain’ terdapat dalam surah al-Nisa`, ayat 114 dan surah al-Hujurat, ayat 10[23]:


“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia..” (al-Nisa`: 114)

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (al-Hujurat: 10)
           
            Islah juga bermaksud mendatangkan kebaikan, sepertimana dalam ayat 88 surah Hud:

“Syu'aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana pikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan (al-Islah) selama aku masih berkesanggupan…”


            Wahbah al-Zuhaili, dalam menafsirkan ayat “..aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan (al-Islah)..” di atas mengaitkan fungsi Islah dengan konsep dakwah iaitu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah yang mungkar.[24] 

Lawan kepada pengislahan ialah fasad yang memberi makna kerosakan, kezaliman, penyelewengan, kemerosotan, pembaziran, kekacauan dan sebagainya dari pelbagai sudut dan jenis kegiatan manusia.[25] Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran al-Karim, Allah melagakan makna islah dengan fasad, dalam surah al-Baqaarah (2), ayat 11 hingga 12:

“Bila dikatakan kepada mereka, “Janganlah membuat kerosakan dan penyelewengan (fasad) di bumi,” mereka menjawab, “kami hanya membuat kebaikan (islah)”. Sesungguhnya merekalah yang melakukan kerosakan dan penyelewengan (fasad), tetapi mereka tidak menyedarinya.”



Dalam menjelaskan pertentangan antara islah dan fasad, Wan Mohd Nor Wan Daud melemparkan persoalan, “siapakah yang menentukan baik dan buruk dan apakah pula ukuran penentu samada suatu bangsa itu sudah muslih (developed) atau sedang muslih (developing) ataupun fasad (undeveloped)? Menurut beliau, persoalan ini wajar difikirkan kerana dalam rantaian ayat-ayat al-Qur`an yang bersangkutan dengan yang disebut di atas, Allah menggambarkan keadaan mereka yang mengingkari agama yang sebenar, yang menganggap diri mereka pintar dan cerdik sebaliknya mereka menganggap orang-orang yang sebenarnya beriman dan beramal soleh sebagai bodoh dan bebal.[26] 


Justeru, merekalah kononnya yang berbuat Islah sedangkan pada hakikatnya merekalah menghasilkan penyelewengan, kerosakan, kezaliman dan lain-lain. Atas sebab itu juga, a-Qur`an sentiasa menghubungkan kegiatan yang sebenarnya membangun (amal soleh) dengan iman yang benar. Malah, amal soleh hanya boleh lahir daripada jiwa yang sebenarnya beriman.[27]

Hakikatnya, kemunculan gerakan islah adalah bertujuan membangunkan diri dan melaksanakan Islam berteraskan iman dan amal menurut ajarannya yang murni. Ia dapat memberi keyakinan kepada umat Islam tentang kesesuaian Islam untuk dilaksanakan pada setiap masa dan dalam sebarang situasi. Konsep Islah yang didokong gerakan ini memfokuskan kepada pemurnian ajaran agama dan penyatuan umat. Apabila setiap individu Muslim menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang hamba dan khalifah, perpaduan umat pasti tercapai dan cita-cita besar umat bagi mengembalikan tamadun khayra ummah adalah tidak mustahil menjadi kenyataan.



Martabat Insan dan Kebebasan Menurut Pandangan Alam Islam
Kesedaran kepada kemunculan gerakan islah di Mesir yang dimanifestasikan melalui idea dan praktis para pelopor gerakan ‘Islah’ seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh adalah bertujuan mengangkat martabat insan dan menuntut kebebasan daripada penjajahan dan perhambaan sesama manusia, dengan kembali kepada mentawhidkan Allah sebagaimana ajaran al-Qur`an dan al-Sunnah yang murni. Kesedaran ini merupakan manifestasi daripada pandangan alam Islam yang memancarkan realiti dan hakikat kebenaran.[28] Pandangan alam Islam (worldview of Islam) atau diistilahkan dalam Bahasa Arab sebagai ru`yat al-Islam li al-wujud bertitik tolak daripada pandangan bahawa kewujudan alam ini bukan sekadar hanya yang tertanggap oleh indera manusiawi, bahkan juga yang tidak mampu dicerap dengan fakulti rasio insan (sumber ilmu ma`qulat, empiris dan rasional).

Dari segi tinjauan Islam, yang disebut “pandangan” itu bukanlah hanya pandangan minda, iaitu apa yang dilihat oleh mata kepala manusia dan direncanakan dengan fahaman akal nazari berdasarkan penglihatan zahir. Ia juga bukan sekadar apa yang difahami akal nazari terhadap alam jasmani semata-mata, sebagai contoh pandangan terhadap penglibatan manusia dalam sejarah, masyarakat, politik dan kebudayaan. 


Alam menurut Islam bukan terhad kepada alam fizikal tetapi merangkumi alam ghaib. Pandangan alam Islam meyakini bahawa dunia mesti dinisbahkan pada akhirat secara yang ‘sangat mesra’ dan tidak mungkin berlaku perpisahan antara keduanya kerana akhirat itu mengandungi penghabisan makna serta tujuan hidup kita di dunia ini. Dunia dilihat sebagai persediaan bagi akhirat. Segala-galanya dalam Islam akhirnya bertumpu pada wajah akhirat dengan sedemikian cara tanpa sekali-kali menganjurkan sikap mengabaikan atau tidak mempedulikan wajah dunia.[29]

 Islam adalah al-Din. Ia adalah nizham al-hayah (sistem hidup). Sifat Islam yang sempurna (kamil) dan menyeluruh (syamil) yang menayangkan kepada kita pandangan alamnya yang holistik dan integral sepertimana yang diungkapkan oleh tokoh besar Gerakan Islam Ikhwan al-Muslimun, as-Syahid Imam Hassan al-Banna;


“Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakup seluruh fenomena kehidupan. Maka, ia adalah Negara dan tanah air atau kerajaan dan ummat; akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan; kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman; material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan; jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sepertimana ia adalah akidah yang benar dan ibadah yang sohih tidak ada bezanya”[30]


Ciri-ciri pandangan alam Islam termasuklah merangkumi aspek fizikal dan spiritual, ruh dan jasad, Tuhan dan manusia, serta akhirat dan dunia. Pandangan alam Islam memberi penekanan terhadap perkara yang kekal dan mutlak sebagai asas kepada perkara yang berubah, kebenaran yang diwahyukan yang sempurna dan menyeluruh dari awal kehadirannya. Dengan itu, kemunculan Islam bukan merupakan terbitan daripada elemen falsafah atau kebudayaan sesuatu kaum yang melalui proses evolusi merentas zaman kerana Islam hadir dengan kesempurnaan tanpa memerlukan perubahan. [31] Ia kekal dan tidak berubah.[32] 


Ini bukan sekadar teori kosong, tetapi ia telah terbukti dalam pengalaman sejarah umat Islam yang menunjukkan bahawa elemen asas dan fundamental dalam pandangan alam (worldview) seperti konsep Tuhan dan Ketuhanan, konsep hakikat manusia dan psikologi jiwa insan, konsep dan makna ilmu, makna kebahagiaan, konsep adab dan hikmah, dan konsep kenabian tidak pernah mengalami perobahan walaupun telah melepasi jangka masa yang berkurun lamanya.[33]

Pandangan alam Islam bersumberkan al-Qur`an iaitu kitab suci kalamullah yang bagaikan kemudi yang menetapkan pelayaran sesebuah kapal, menetapkan seseorang insan atas landasan yang teguh dalam mengharungi perjalanan hidupnya menuju pantai kesejahteraan.[34] Pandangan alam Islam menayangkan dalam akal budi insan pandangan tentang hakikat wujud, iaitu suatu pandangan yang saujana luasnya meninjau alam syahadah dan alam ghaib dengan melihat pada kehidupan secara keseluruhannya, yang “menyatakan pada insan martabatnya” dalam ciptaan Allah SWT.

Manusia adalah hamba, tetapi ‘bebas merdeka’. Ini yang dimaksudkan oleh al-Attas sebagai “keadaan diri yang yakin dengan hak Ta’ala- dan penunaian amalan yang dikerjakan oleh diri itu berdasarkan keyakinan itu dan menuturi titah batinnya”. Al-Quran sebagai sumber pandangan alam Islam menyalurkan ilmu sah dan thabit (tetap) [35] yang membuahkan keyakinan (al-Yaqin), tanpa wahm (ilusi), syak (ragu) dan dzhan (sangkaan), yang menjadi tunjang kepada akidah Islam. Berlakulah pengiktirafan martabat segala kewujudan dalam alam ini, iaitu Allah adalah Tuhan yang Maha Mencipta yang tiada sesuatu pun yang serupa akannya Allah Ta’ala[36] dan segala yang selain daripada-Nya adalah ‘alam yang hadith iaitu senantiasa baharu. Antara ciptaan-Nya yang terbaik dan termulia ialah insan[37]. Insan diperhebat kemuliaannya dengan ilmu yang mengangkat martabatnya menjangkau martabat malaikat.[38]

                 Insan yang hidup berlandaskan agama yang benar adalah pengabdian diri yang sebenar-benarnya. Ia satu bentuk kemuliaan yang tertinggi. Bersandarkan kepada ilmu yang hak, insan berikhtiyar memilih yang terlebih baik dengan membuat pertimbangan yang adil menggunakan akal yang sihat dalam menyerah dirinya secara sukarela dalam pengabdian kepada Allah SWT. Inilah erti kebebasan (freedom) yang sebenar yang terpancar daripada pandangan alam Islam- ikhtiyar yang sebenar dalam memilih yang terlebih baik untuk kesejahteraan diri - pertimbangan dan tinjauan akal yang mengarah diri kepada mengamalkan perilaku terpuji dan menzahirkan akhlak mulia yang diserikan dengan sifat-sifat mahmudah yang menatijahkan nilai-nilai murni.[39]

                 Menurut al-Attas, bukanlah kebebasan sebenar jika diri dibiarkan liar tanpa pengawasan peraturan yang dapat membendung segala naluri dan tabiat haiwaniyah dalam diri. Malah, tambah beliau lagi barangsiapa yang terjerumus ke jurang kehinaan yang sedemikian maka ia bukanlah insan yang sebenar tetapi hanyalah insan dalam rupa bentuk dan adalah terlebih rendah dari segala haiwan yang rendah.[40] Dalam erti kata lain, kebebesan itu bukan sebenarnya bebas kerana diri yang liar itu sebenarnya berada di bawah pengaruh dan sodoran hawa nafsu dan keadaan diri yang seperti itu sebenarnya meletakkan martabat insan itu pada kedudukan yang paling hina dan rendah[41] walaupun asalnya manusia itu mulia dan berada pada darjat yang tinggi.

                 Tuntasnya, insan akan bebas dalam erti kata yang sebenar apabila berpegang pada simpulan yang kukuh iaitu akidah yang benar bertunjangkan al-Tawhid. Bagaikan pohon yang tegap berdiri, segar, teguh, dan kukuh kerana akarnya mencengkam bumi dengan cabang-cabangnya menjulang ke langit biru, begitulah cabang-cabang kehidupan insan yang berpandukan akidah dan pandangan alam yang sohih.[42] Perjalanan hidup manusia itu tidak terganggu kerana dia telah memihak kepada cara hidup yang berlandaskan kebenaran yang pasti. Maka, dengan ini islah adalah diperlukan bagi mengembalikan kehidupan insan kembali dilandasan kebenaran.


Gerakan Islah di Mesir: Permulaan Episod Perjuangan Kebebasan
            Dengan jatuhnya Mesir ke tangan Napoleon Bonaparte pada tahun 1798 M, maka bermulalah lembaran baharu dalam episod sejarah Mesir. Beliau mula memperkenalkan Tamadun Barat kepada orang-orang Mesir melalui Institut d’Egypte yang didirikannya bersama 167 orang sarjana Barat pelbagai bidang.[43] Selain itu, konsep-konsep modernisme yang dicetuskan oleh Revolusi Perancis seperti sistem republik, nasionalisme, konsep kesamarataan (equality), dan sebagainya mula menapak di Mesir. Setelah pengunduran Perancis pada 1801 M, Muhammad Ali yang menjadi Gabenor di Mesir pada tahun 1805 M memarakkan lagi pengaruh Tamadun Barat di Mesir. Beliau menubuhkan Kementerian Pendidikan, sekolah dan maktab tentera, teknik dan perubatan yang guru-gurunya didatangkan dari Eropah. Malah, beliau juga mengirim pelajar ke England, Perancis, Itali dan Austria.[44] Dengan ini maka berkembanglah pengaruh tamadun Barat di Mesir, samada oleh orang-orang Barat mahupun oleh anak-anak tempatan seperti Rifaah Badawi Rafi’ al-Tahtawi.[45]

            Dalam belenggu penjajahan Barat baik secara fizikal dan mental, terdapat tiga keadaan yang melatari suasana politik Mesir ketika itu. Pertama ialah kemunduran umat Islam disebabkan faktor-faktor dalaman dan akibat daripadanya muncullah gerakan islah. Kedua, penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas dunia Islam yang mengakibatkan berkembangnya semangat permusuhan dan sikap anti-Barat dalam kalangan umat Islam. Ketiga, keunggulan Barat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains, teknologi dan organisasi.[46]  

Berhadapan gelombang ghazw al-fikr atau peperangan pemikiran Barat yang telah menguasai hampir segenap aspek kehidupan umat seperti politik, ekonomi, dan kebudayaan bukan tugasan mudah. Gerakan Islah menerima tamparan hebat apatah lagi arus sekularisasi bawaan Barat membadai dunia Islam dengan ganasnya. Seruan islah oleh tokoh-tokoh pemikir Islam seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani (1838-1897) dan Muhammad Abduh (1849-1905) telah melahirkan suatu organisasi atau gerakan perjuangan yang dikenali sebagai gerakan islah. Ia berkembang secara menyeluruh bukan sahaja di Mesir bahkan seluruh dunia terutama pada awal abad ke-20, dan jejak langkah mereka dituruti dengan kelahiran gerakan dakwah seperti al-Ikhwan al-Muslimun (1928) yang sifatnya lebih terorganisasi dan tersusun.[47]

            Gerakan Islah bawaan al-Afghani dan Abduh mempunyai ciri-ciri tersendiri walaupun pada takat tertentu, pemikiran dan praktis kedua-dua tokoh ini dilihat berbeza antara satu sama lain. Antara ciri-ciri utama gerakan islah yang dibawa gerakan al-Afghani-Abduh di Mesir ialah: (1) bercita-cita dan berusaha untuk mengembalikan kecemerlangan umat Islam sebagaimana zaman Khulafa al-Rasyidin[48]; (2) berhasrat membina perpaduan tanpa mengira bangsa dan budaya melalui gagasan beliau iaitu al-Jamiah Al-Islamiah (pan-Islamism)[49]; (3) mengkritik taklid Al-A’ma yang bermaksud mengikut sesuatu secara membabi buta tanpa berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah; [50](4) Menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang tulen serta sesuai dilaksanakan sepanjang masa dan tempat;[51] (5) Menyedarkan umat Islam tentang keburukan fanatik kepada sesuatu mazhab yang membawa kepada pepecahan umat Islam sendiri;[52] (6) saranan bahawa umat Islam wajib menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memerdekakan tanah air dan pemikiran mereka dari penjajah;[53] (7) menyarankan umat Islam membebaskan aqal daripada cengkaman pengaruh-pengaruh tradisi dan khayal supaya akhirnya dapat meningkat kea rah kemajuan dan kesempurnaan;[54] (8) mengajak umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah termasuk “ilmu-ilmu Barat” seperti sains dan teknologi untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan seterusnya mampu keluar daripada belenggu penjajahan;[55] (9) menganjurkan semangat ijtihad kerana bagi mereka, pendapat para ulama silam sekalipun ada kesahihannya, perlu dinilai semula;[56] dan (10) mengagungkan peranan akal.[57]

            Kesemua idea dan program islah al-Afghani-Abduh dilaksanakan melalui beberapa metod dan kaedah. Antaranya: (1) melalui proses pengajaran dan pidato, sebagai contoh, al-Afghani pernah bertugas di Universiti al-Azhar Mesir.[58] Di situ, kuliyah beliau mendapat sambutan dan  muridnya yang paling setia ialah Muhammad Abduh sendiri. Muhammad Abduh juga menyampaikan idea islahnya melalui proses pengajarannya di Masjid al-Husaini, Darul 'Ulum, dan Universiti al-Azhar;[59] (2) melalui media massa seperti majalah al-Urwah al-Wuthqa yang diasaskan al-Afghani, akhbar al-Waqa'i'a al-Misriyyah dan al-Manar yang diterbitkan oleh Muhammad Abduh di Mesir;[60] (3) melalui karya-karya ilmiah, sebagai contoh, karya Muhammad Abduh seperti Risalah at-Tawhid, Tafsir Juz' 'Amma, at-Tahrir fi Islah al-Mahakim as-Syar'iyyah, al-Islam Wa ar-Raddu 'ala Muntaqidih, dan al-Islam wa an-Nasraniyyah ma'a al-'ilmi wa al-Madaniyyah, dan karya al-Afghani seperti al-A'mal al-Kamilah, ar-Raddu 'ala ad-Dahriyyin,Tutimmah al-Bayaan fi Tarikh Afghan, al-Khatirat,dan at-Tukayyufat 'ala Syarh ad-Dawani lil-Uqatir al-'Adhuidiya;[61] (4) melalui jawatan-jawatan yang disandang, sebagai contoh al-Afghani pernah menjadi ahli Majlis al-Mu’arif di Istanbul dan Muhammad Abduh pernah menyandang jawatan tertentu dalam kerajaan seperti Hakim Mahkamah Rayuan Mesir, ahli Majlis Pengurusan Universiti al-Azhar Mesir dan Mufti Kerajaan Mesir.[62]

Jamaluddin al-Afghani


Tokoh-tokoh Utama: Riwayat Hidup dan Pemikiran
Sayyid Jamaluddin al-Afghani atau nama sebenarnya Sayyid Jamaluddin Bin Safdar al-Afghani merupakan anak seorng pegawai tentera yang dilahirkan di sebuah kampung bernama Asadabad pada tahun 1254 H bersamaan 1838 M. Beliau digelar ‘sayyid’ kerana salasilah keturunan beliau bersambung dengan Saidina Ali Bin Abi Thalib dan Rasulullah SAW. Keturunan beliau juga bersambung dengan Imam at-Tirmidzi, seorang ulama hadis yang terkenal.[63]

Beliau telah memperoleh pendidikan awal di Afghanistan dan juga Iran.[64] Pada usia 18 tahun, beliau sudahpun mahir dalam ilmu Islami, falsafah dan sains. Semasa di India, beliau mempelajari ilmu Barat seperti sains fizikal dan matematik. Berikutnya, beliau telah terlibat dalam satu perang saudara di Afghanistan iaitu menentang Amir Shir Ali yang didukung oleh British Pada 1869 M, beliau terpaksa keluar dari Afghanistan setelah Shir Ali memperoleh kuasa. Namun sejak itulah bermulanya kehidupan al-Afghani sebagai seorang penentang penjajahan Barat.[65]

Setelah meninggalkan Afghanistan, al-Afghani telah mengembara ke serata tempat dalam rangka mencari seorang ketua Negara Islam yang komited terhadap perpaduan umat Islam sejagat bagi menghadapi penjajahan Barat dengan benar-benar berkesan. Untuk tujuan inilah beliau telah mengembara dan menjelajah antara lainnya ke India, Mesir, Iran, Istanbul, Mekah, Madinah, Paris, London, dan St. Petersburg.[66] Namun, impian beliau tidak berhasil disebabkan para pemimpin Islam dewasa itu lebih bersikap kuku besi dan dalam banyak perkara membelakangkan syariat.

Walau bagaimanapun, kesan daripada perjuangannya itu, khususnya berkaitan idea-idea kerajaan berpelembagaan, kemerdekaan daripada penjajahan asing, membina tradisi keilmuwan Islam dengan meminjam sains dan teknologi Barat, telah kelihatan dengan lebih jelas dan meluas di Mesir.[67] Beliau juga merupakan perintis kepada penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang menjadi antara medium utama menyebarkan idea islah beliau. Beliau cuba mengembalikan keyakinan umat Islam tentang keupayaan mereka menentang penjajah. Antara bait-bait dalam pidato jihadnya ialah:


“seandainya jumlah kamu (umat Islam) yang beratus-ratus juta ini ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga orang Inggeris (penjajah) dengan suara kamu. Seandainya kamu ditaqdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke Tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan Tanah Inggeris, dan kamu akan pulang dengan kemerdekaan..”[68]


Kempen-kempen yang telah dijalankan oleh al-Afghani dengan begitu bersemangat telah menimbulkan perasaan anti-British yang meluap-luap dalam kalangan rakyat Mesir sehingga menjadi antara penyebab tercetusnya Pemberontakan Urabi pada 1881 M sehingga 1882 M.[69] bukan sahaja di Mesir, malah di serata dunia Islam menerima pengaruh tokoh ini sehingga Rashid Ridha meggelar beliau sebagai “Pembangkit Orang Timur”.[70] Al-Afghani meninggal dunia pada tahun 1897 M.

Setelah kematian al-Afghani, Muhammad Abduh, murid al-Afghani yang paling kanan, telah memperkembang idea-idea gurunya tentang dinamisme Islam dan perlunya umat Islam kembali bersatu dalam rangka memulihkan kegemilangan mereka, meskipun Muhammad Abduh mengambil jalan yang berbeza dengan gurunya. Muhammad Abduh cenderung melihat soal pendidikan sebagai kunci kejayaan islah dan bukannya kekuatan politik. Oleh itu, Abduh menumpukan program islahnya melalui reformasi pendidikan.[71]

Muhammad Abduh dilahirkan di Mahallat Nasr, sebuah perkampungan kecil di Mesir pada 1849 M. beliau telah menunjukkan sikap kuran gsenang beliau terhadap system pendidikan tradisional sejak kecil lagi dan sikapnya ini telah menjejaskan pembelajarannya di Universiti al-Azhar.[72] Abduh juga pernah menerima didikan daripada bapa saudaranya, Syaikh Darwish Khadr yang merupakan sufi Tarekat Shadziliyah.[73] Seterusnya, bermulalah fasa awal modernism dan aktivisme dalam hidup beliau. Beliau mula meluaskan ilmu pegetahuannya di bawah bimbingan Sayyid Jamaluddin al-Afghani. Abduh mempelajari falsafah, teologi, undang-undang dan tasawuf. Beliau menulis pengenalan kepada Risalah al-Waridat fi Sir al-Tajalliyat (berkaitan sufisme) pada 1872 M dan komentar kepada Sharh al-Dawwani li al-Aqaid al-‘Adudiyah pada 1875.[74]

Muhammad 'Abduh


Sebagai lapangan perjuangannya, Abduh telah memilih bidang pendidikan untuk membangunkan kembali umat Islam yang telah lesu akibat dicengkam kejahilan, kezaliman pihak berkuasa dan dibelenggu tahyul, khurafat dan taqlid buta.

Sewaktu al-Afghani diusir dari Mesir pada tahun 1879 M, Abduh dituduh berkomplot bagi menjatuhkan kerajaan dan dibuang daerah ke Kaherah. Pada 1882 M, beliau ditangkap dan dibuang negeri kerana penglibatannya dalam Revolusi Urabi. Beliau bersama-sama gurunya, al-Afghani berada di Paris pada tahun 1884 M dan di sinilah beliau dan gurunya sama-sama mengusahakan penerbitan akhbar al-Urwat al-Uthqa yang gemanya menjangkau hampir ke segenap pelosok dunia.[75]

Mengenai aspek pendidikan yang menjadi fokus beliau, pemikirannya mencakupi antara lain penolakan terhadap taklid dan fanatik mazhab serta terhadap kitab-kitab yang bercorak demikian, reformasi al-Azhar, dan menghidupkan kembali buku-buku berkenaan intelektualism Islam dan sejarah umatnya.[76] Beliau juga menekankan tentang integrasi ilmu di mana beliau menyarankan supaya umat Islam mempelajari ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah termasuk “ilmu-ilmu Barat” seperti sains dan teknologi untuk membina umat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Saranannya diterima dan beberapa perobahan berlaku dalam sukatan mata pelajaran di Universiti al-Azhar.[77]

Menurut Fadhlullah Jamil, pilihan Abduh untuk melakukan reformasi dan islah dalam pendidikan adalah pilihan yang tepat, walau bagaimanapun, perubahan yang diusahakannya itu tetap mengandungi kepincangan kerana sebahagian daripadanya dipinjam daripada kebudayaan Barat tanpa penapisan.[78] Manakala Abul Hassan Ali al-Nadwi pernah mengkritik reformasi yang cuba dilakukan Abduh dalam bidang pendidikan. Katanya, “sungguhpun Abduh sangat berjasa dalam usaha membela Islam, memperbaiki system pendidikan dan berusaha mendekatkan generasi baru kepada agama, tetapi dia adalah penganjur kepada modernisasi yang mengajak untuk menerapkan Islam dalam kehidupan abad ke-20 dengan penilaiannya yang tinggi terhadap nilai-nilai Barat, serta cuba menyesuaikannya dengan Islam dan ingin menafsirkan Fiqh Islam dan hokum syarak menurut tafsiran yang ‘sesuai’ dengan tamadun moden, sepertimana perjuanagn Sayid Ahmad Khan di India.”[79]

Berdasarkan tulisan-tulisan beliau, dapat disimpulkan bahawa beliau sememangnya menumpukan program islahnya melalui reformasi ilmu pengetahuan dan terdapat empat aspek penting yang utama dalam reformasi tersebut iaitu: (1) penyucian Islam daripada semua amalan dan pengaruh yang mencemarkannya; (2) pembaharuan pendidikan tinggi; (3) perumusan semula doktrin Islam menurut pemikiran moden; dan (4) melindungi Islam daripada pelbagai pengaruh Eropah dan serangan Kristian.[80] Muhammad Abduh menghembuskan nafas terakhir beliau di Iskandariyah, Mesir pada tahun 1905 M.[81]


Kesimpulan
            Kecelaruan dan kekalutan yang berlaku kepada umat Islam akibat jauhnya diri mereka daripada ajaran dan gaya hidup Islam telah menimpakan bala ke atas mereka. Umat Islam yang pernah suatu ketika digeruni dengan kekuatan persenjataan dan keunggulan ilmu pengetahuan mulai terhina malah diperkotak-katikkan oleh bangsa kuffar. Ibnu Khaldun (1332-1406 M) melalui teori putaran sejarahnya, mengingatkan, runtuhnya sesuatu tamadun itu adalah apabila kemewahan duniawi menyemarakkan semangat individualistik dan menggantikan semangat kekitaan dalam sesuatu kelompok sehingga membenarkan bangsa lain memusnahkan peradaban mereka.[82] Teori beliau ternyata benar dan umat Islam menghadapi masalah rendah diri yang ekstrem akibat kejatuhan Empayar Uthmaniyah yang menandakan keruntuhan sistem khilafah.

Dalam kekalutan ini, gagasan dan pemikiran islah digarap dan diterjemah oleh para pemikir Islam bagi mengembalikan kayakinan umat tentang kemuliaan dan kekuatan yang ada pada diri mereka. Dengan usaha ini, dunia Islam seterusnya memperlihatkan episod penentangan terhadap penjajahan bangsa asing dalam usaha memerdekan tanah air.

Gerakan Islah yang dipelopori Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh dengan jelas memberi impak besar kepada umat terutamanya di Timur Tengah dan Asia Tenggara. Pengaruh gerakan islah ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan gerakan islah pimpinan Shah Waliyullah al-Dihlawi di India. Pengaruh mereka dapat dilihat dalam gagasan, pemikiran dan praktis kelompok reformis di Malaysia dan Indonesia seperti Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, dan Abu Bakar al-Ash’ari. Walau bagaimanapun, gerakan islah di Mesir tetap tidak dapat lari daripada menerima kritikan daripada para sarjana Islam atas beberapa tindakan yang dilihat mengambil pendekatan modernism Barat. [83]

Ketokohan dan kesungguhan al-Afghani dan Abduh dalam memperjuangkan agama Islam dapat dilihat pada riwayat hidup mereka, keunggulan intelektual mereka terakam dalam karya dan penulisan yang mereka hasilkan dan aura semangat serta daya juang mereka terasa mengalir dalam tubuh umat. Sesungguhnya, gerakan islah di Mesir banyak memberi manfaat kepada bukan sekadar rakyat Mesir, malah umat keseluruhannya dan adalah amat signifikan sekiranya kita mampu menyambung rantaian perjuangan ini demi mendaulatkan agama Allah di atas muka bumi ini.




Bibliografi

Abdullah, Abdul Rahman.     Pemikiran Islam Masa Kini: Sejarah dan Aliran, (KL: DBP, 1987),
al-Attas,  Syed Muhammad Naquib.     Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.
.     The Meaning and Experience of Happiness in Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC 1993),
.     “Islamic Weltanschauung: A Brief Overiew”, Forum ISTAC al-Hikmah, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), yr. 5 issue no.1.
.     Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, (Penang: USM, 2007),
al-Zuhaili, Wahhbah      Tafsir al-Munir, Damsyik: Dar al-Fikr, 1991.
alattas,   Sharifah Syifa.      “The Worldview of Islam: An Outline”, Islam and the Challenge of Modernity, Kuala Lumpur: ISTAC, 1994.
Ali,    Abdullah Yusuf.      The Holy Qur’an: Translation and Commentary, U.S.A: Amana Corporation Maryland, 1983.
El-Muhammady, Muhammad Uthman.      “Fiqh al-Dakwah: Mengislah Ummah Awlawiyat Gerakan Islam” http://www.abim.org.my/minda_madani/modules, 12 Feb. 2004
Jamil, Fadhlullah.     Islam di Asia Barat Moden; Sejarah Penjajahan dan Pergolakan, KL: Thinker’s Library, 2000.
Gibb, H.A.R.    Modern Trends in Islam, New York: Octagon Books, 1972
Hashim, Zainudin.    Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden, KL: Jundi Resources, 2009.
Ibn Khaldun,  Abdul Rahman.     Mukadimah Ibn Khaldun, KL: DBP, 2006.
Latif, Ahmad Zaki Abdul.     Transformasi Gerakan Islah dan Dakwah di Timur Tengah dan di Malaysia, Shah Alam: UPENA UITM, 2006.
Mamat, Samsu Adabi.      Cendekiawan Islam: Perintis Peradaban Manusia, KL: Utusan Publication, 2002.
Mentri, Khairul Anam Che.     Muhammad Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran, KL: Middle Eastern Graduate Centre, 2006.
Mohd Dom, Adi Setia.      Worldview of Islam Academy: The Concept, Kuala Lumpur: HAKIM, 2010.
Nor, Riduan Mohamad.     Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, KL: Jundi Resources, 2007.
Sjadzali, H. Munawir.      Islam dan Tata Negara: Ajaran, Sejarah dan Pemikiran, Jakarta: Penerbit Universitas Indonesia, 1993.
Shafie,   Ahmad Bazli.     The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, KL: ISTAC IIUM, 2004
Shahran, Mohd Farid Mohd.     Manhaj Pendidikan Gerakan Islam, KL: ABIM, 2009.
Sharif, M.M.    A History of Muslim Philosophy Vol. 1, Weisbaden: Otto Harrasowitz, 1966.
Wan Daud,    Wan Mohd Nor.    The Educational Philosophy & Practice of Syed Muhd Naquib al-Attas, KL: ISTAC, 1998.
   .      Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna, KL: ISTAC, 2001.
Yahya, Muhammad Zaini.     Pendidikan Islam Tingkatan Lima, KL: DBP, 2003.






[1] Mohd Farid Mohd Shahran, “Ke Arah Pengukuhan Pendidikan dalam Gerakan Islam”, Manhaj Pendidikan Gerakan Islam, (KL: ABIM, 2009), hal. 17
[2] Al-Quran al-Karim, Surah al-Nahl (16) ayat 125, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
[3] Al-Quran al-Karim, Surah Taha (22) ayat 44, “maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.
[4] Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim dari Abu Hurairah
[5] Abdul Rahman Abdullah, Pemikiran Islam Masa Kini: Sejarah dan Aliran, (KL: DBP, 1987), hal. 217
[6] Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy & Practice of Syed Muhd Naquib al-Attas, (KL: ISTAC, 1998), hal. 69
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden; Sejarah Penjajahan dan Pergolakan (KL: Thinker’s Library, 2000), hal. 197
[10] Ibid.
[11] Ibid. hal. 198
[12] Khairul Anam Che Mentri, Muhammad Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran (KL: Middle Eastern Graduate Centre, 2006), hal. 1
[13] Fadhlullah Jamil, op.cit, hal. 199
[14] Khairul Anam Che Mentri, op.cit, hal. 1
[15] Ibid. hal. 2
[16] Ibid.
[17] Riduan Mohamad Nor, Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden (KL: Jundi Resources, 2007), hal. 3
[18] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 69
[19] Ibid. hal. 21. Dalam mencari makna perkataan Islah tersebut, penulis merujuk Kitab Lisan al-Arab karya Ibn Manzur.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam artikelnya “Fiqh al-Dakwah: Mengislah Ummah Awlawiyat Gerakan Islam” dlm. http://www.abim.org.my/minda_madani/modules, 12 Feb. 2004
[23] Ahmad Zaki Abdul Latif, Transformasi Gerakan Islah dan Dakwah di Timur Tengah dan di Malaysia, (Shah Alam: UPENA UITM, 2006), hal. 4
[24] Wahhbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1991), hal. 125 sebagaimana dipetik oleh Ahmad Zaki Abdul Latif, Transformasi Gerakan Islah dan Dakwah di Timur Tengah dan di Malaysia, (Shah Alam: UPENA UITM, 2006), hal. 5
[25] Ibid.
[26]Apabila dikatakan kepada mereka: "Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman." Mereka menjawab: "Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?" Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu,” (surah al-Baqarah, ayat 13)
[27] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 23
[28] Syed Muhammad Naquib al-Attas, “Islamic Weltanschauung: A Brief Overiew”, Forum ISTAC al-Hikmah, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), yr. 5 issue no.1, pg. 3
[29]  Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Worldview of Islam: An Outline, diedit oleh Sharifah Shifa Al-Attas dalam “Islam and the Challenge of Modernity”,(Kuala Lumpur: ISTAC, 1994), hal. 15
[30]  Muhammad al-Quraisy. Sekitar Risalah Taalim Prinsip pertama Usul 20 Hassan al- Banna
[31] Adi Setia Mohd Dom, Worldview of Islam Academy: The Concept, (Kuala Lumpur: HAKIM, 2010), hal. 7
[32] Ibid. hal. 6
[33] Ibid.
[34] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Meaning and Experience of Happiness in Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC 1993) diterjemahkan ke Bahasa Melayu dengan Pengenalan dan Nota Penjelasan oleh Dr. Zainiy Uthman dengan tajuk Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), hal. pendahuluan
[35]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Baqarah (2) ayat 2, Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa
[36]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Syuura (42) ayat 11, “....tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat”
[37]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 4, “sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
[38]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Baqarah (2) ayat 31-33, “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!" (31) Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana (32) Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" (33)”
[39] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, (Penang: USM, 2007), hal. 66
[40] Zainiy Uthman, Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002) terjemahan kepada, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Meaning and Experience of Happiness in Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC 1993), hal. 28
[41] Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 5, Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),” dan Al-Quran al-Karim, Surah al-Furqan (25) ayat 44, “atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”
[42]  Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 5,
[43] Abdul Rahman Abdullah, Pemikiran Islam Masa Kini: Sejarah dan Aliran, (KL: DBP, 1987), hal. 98
[44] Ibid.
[45] Ibid.
[46] H. Munawir Sjadzali, Islam dan Tata Negara: Ajaran, Sejarah dan Pemikiran, (Jakarta: Penerbit Universitas Indonesia, 1993), hal. 113-114
[47] Ahmad Zaki Abdul Latif, op.cit, hal. 3
[48] Muhammad Zaini Yahya, Pendidikan Islam Tingkatan Lima, (KL: DBP, 2003), hal. 239
[49] Ibid.
[50] Ibid.
[51] Ibid.
[52] Ibid.
[53] Samsu Adabi Mamat, Cendekiawan Islam: Perintis Peradaban Manusia, (KL: Utusan Publication, 2002), hal. 240
[54] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 220
[55] Khairul Anam Che Mentri, op.cit, hal. 100
[56] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 220
[57] Ibid. hal. 220-222
[58] Zainudin Hashim, Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden (KL: Jundi Resources, 2009), hal. 129
[59] Muhammad Zaini Yahya, op.cit, hal. 245
[60] Ibid.
[61] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 221
[62] Muhammad Zaini Yahya, op.cit,, hal. 237-247
[63] Ibid. hal. 237
[64] Osman Amin, “Jamal al-Din al-Afghani: An Introduction”, A History of Muslim Philosophy, Vol. 1, diedit oleh M.M. Sharif (Weisbaden: Otto Harrasowitz, 1966), hal. 1484
[65] Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden; Sejarah Penjajahan dan Pergolakan (KL: Thinker’s Library, 2000), hal. 206
[66] Ibid.
[67] Osman Amin, op.cit, hal. 63
[68] Muhammad Zaini Yahya, op.cit, hal. 239
[69] Fadhlullah Jamil, op.cit, hal. 207
[70] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 217
[71] Ahmad Bazli Shafie, The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, (KL: ISTAC IIUM, 2004), hal. 9
[72] Ibid. hal. 18
[73] Ibid. hal. 14
[74] Ibid. hal. 12
[75] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 219
[76] Ibid.
[77] Muhammad Zaini Yahya, op.cit, hal. 239
[78] Fadhlullah Jamil, op.cit, hal. 208
[79] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 101
[80] H.A.R Gibb, Modern Trends in Islam, (New York: Octagon Books, 1972), hal. 33
[81] Muhammad Zaini Yahya, op.cit, hal. 242
[82] Ibn Khaldun, Mukadimah Ibn Khaldun, (KL: DBP, 2006), hal. 107-110
[83] Abdul Rahman Abdullah, op.cit, hal. 101

Catat Ulasan

tulisan ini memerlukan kepada perbahasan dan rujukan lanjut agar pembaca tidak terkeliru dengan apa yang penulis cuba sampaikan. Sememangnya, tokoh-tokoh yg dipaparkan dalam tulisan ini punya banyak buah fikiran dan aksi yang dikritik para sarjana termasuk Prof al-Attas. oleh sebab itu, penulis cuba mengangkat idea 'islah' sbgaimana difahami dan digarap oleh Prof Wan Mohd Nor dlm tulisan beliau sebagai cerminan konsep islah yang komprehensif.

salam, sy ingin bertanya kpd admin berkenaan sejarah mesir dibwah kerajaan uthmaniyah..berdasarkn tulisan ini,sy melihat wujud beberapa fakta yang berbeza dengan apa yg saya belajar dalam buku teks stam sekarang, kitab adab nusus. tajuk pertama tentang mesir ketika zaman uthmaniyah, didalamnya menyatakan bahawa mesir adalah terlebih mundur dibwah taklukan uthmaniyah dan menyatakan kezaliman-kezaliman uthmaniyah terhadap mesir sperti sistem feudal,sistem buruh paksa, sistem diwan dll.. juga menyatakan Muhammad Ali Pasya sebagai penggagas modernisasi mesir dan menyatakan kemasukan perancis membawa masuk kemajuan dan kemodenan kpd mesir..
mohon pencerahan dan pendedahan berkenaan perkara ini..
emel saya born2dakwah@gmail.com

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget