Halloween Costume ideas 2015
MPS
11/01/2010 - 12/01/2010


Konon, di sebuah kolam tinggal tiga ekor ikan: Si Perasan Pandai, Si Macam Pandai, dan Si Terlajak Pandai.  Kehidupan  mereka  berlangsung biasa  saja  seperti  ikan-ikan lain, hinggalah pada suatu hari, datang seorang manusia (nelayan) ke kolam itu.



Manusia itu membawa jala. Si Perasan Pandai terlihatnya dari dalam air. Teringat akan pengalamannya, juga dari cerita-cerita yang pernah didengarnya, Si Perasan Pandai  memutuskan  untuk melakukan sesuatu.



“Hampir  tak  ada  tempat berlindung di kolam ini,”  lalu dia memutuskan, “jadi aku akan pura-pura mati saja.”




Ia mengumpulkan seluruh tenaganya dan meloncat ke luar kolam, jatuh tepat di kaki nelayan itu. Tentu saja si Nelayan  terkejut. Oleh sebab ikan  tersebut  menahan   nafas, nelayan  itu  menyangkanya  mati, lalu dia pun melemparkan ikan itu kembali ke kolam. Ikan  itu  kemudian  meluncur  tenang  dan bersembunyi di sebuah ceruk kecil dekat pinggir kolam.


Ikan yang kedua, Si Macam Pandai, sebenarnya tidak begitu memahami apa yang telah terjadi. Ia pun berenang mendekati Si Perasan Pandai dan bertanya akan hal  itu.



“Emmm… tengoklah siapa ni.. Abangmu ni.. Senang saja,” kata Si Perasan Pandai. “Aku berpura-pura mati, dan nelayan itu melemparkanku  kembali  ke kolam.” 





Mendengar kata-kata Si Perasan Pandai itu, Si Agak-Pandai berkata, “Mantap mu…” lalu dia pun segera melompat ke darat, lalu jatuh dekat dengan kaki nelayan.

“Aneh,” fikir  nelayan  itu.  “ikan-ikan  ini loncat ke luar kolam?.” 



Namun, Si Macam Pandai ini ternyata lupa menahan nafas,dan iapun dimasukkan ke bekas simpanan ikan.


Nelayan itu kembali  mengamat-amati  kolam,  dan  kerana agak hairan memikirkan  mengapa ikan-ikan yang berloncatan ke darat, dia pun lupa menutup bekas simpanan ikannya. Menyedari hal ini, Si Macam Pandai berusaha melepaskan   diri  ke  luar  dari  bekas simpanan ikan itu, meloncat keluar, membalik-balikkan badannya, dan masuk kembali ke kolam.

Si Macam Pandai lantas mencari-cari  ikan pertama, ikut bersembunyi dekatnya. Nafasnya tak tertahan lagi – termengah-mengah. Si Macam Pandai berkata, “amacam Abang mu ni..?”. Si Perasan Pandai lalu menjawab “Mantap mu..”  


Dan ikan ke tiga, Si Terlajak Pandai, walaupun telah menerima penerangan terperinci daripada Si Perasan Pandai dan Si Macam Pandai yang menekankan kepentingan menahan nafas, dengan selamba mengucapkan “Terimakasih: aku sudah tau, Abang mu ni!” kata Si Terlajak Pandai sambil mendabik dada.  




Selesai mengucapkan  itu, dia pun melemparkan dirinya ke darat, jatuh tepat dekat kaki nelayan. Si Nelayan  langsung  memasukkan ikan ketiga (Si Terlajak Pandai) itu ke dalam bekas yang dibawanya tanpa memerhatikan apakah ikan itu bernafas atau tidak.

Berulang-ulang kali dilemparkannya jala ke kolam, namun kedua-dua ikan yang mula melompat tadi (Si Perasan Pandai dan Si Macam Pandai) dengan senyap bersembunyi dalam sebuah ceruk. Dan sekarang bekas ikan nelayan itu telah tertutup rapat.


Akhirnya  nelayan  itu  menghentikan  usahanya.  Ia  membuka bekas ikannya, menyedari bahawa ternyata  ikan  yang  di  dalamnya tidak bernafas (sudah mati). Ikan itupun (Si Terlajak Pandai) dibawanya pulang untuk makanan kucing.


........................


06.40 petang, 12hb November 2010
Batu 8, Gombak

sambungan bahagian 2 (bah. 2 klik sini)



Ta`dib Sebagai Pendidikan Remaja yang Bercitra Islami dan Komprehensif
Umat Muslim seharusnya memahami visi dan citra Islami sebagai tujuan utama pendidikan atas sebab prinsip-prinsip asas kehidupan terbit daripada al-Qur`an. Unsur-unsur utama sistem pendidikan Islam adalah berdasarkan beberapa kata kunci (key concepts) seperti konsep agama (din); konsep manusia (al-insan); konsep ilmu pengetahuan (‘ilm and ma’rifah);  konsep kebijaksanaan (hikmah); konsep keadilan (‘adl); konsep amal baik (‘amal or adab); dan konsep universiti (kulliyah—jami’ah).[1] Kesemua elemen utama ini merupakan manifestasi ‘pandangan alam Islam’ yang terbit daripada wahyu dan telahpun dijelaskan sebelum ini.

1. Makna Pendidikan
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pendidikan’? Secara umum, pendidikan bermaksud ‘suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia’ (a process of instilling something into human being).[2] Berdasarkan definisi ini, ‘suatu proses menerapkan/menyuntik’ (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, ‘sesuatu’ (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima.[3] (rujuk lampiran – rajah 2)
Persoalannya, bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini jelas tersasar dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan telah di’komoditi’kan, di’komersialisasi’kan dan di’politisasi’kan. Siddiq Fadzil dalam kritikannya terhadap pendidikan masa kini menyatakan:

“Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut.  Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti.  Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat.  Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, “Pendidikan Yang Memiskinkan” dan “Orang Miskin Dilarang Sekolah”.   Andainya demokratisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau.  Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.”[4] 

Al-Attas – seorang yang begitu akrab dengan tradisi akhlak dan metafizik tasawuf –mendefinisikan ‘pendidikan Islam’ sebagai:

“pengenalan dan pengakuan, yang secara progresif diterapkan kepada manusia, tentang kedudukan sebenar segala sesuatu menurut martabat kejadiannya, dengan itu membawa kepada pengenalan dan pengakuan tentang kedudukan/ martabat Tuhan menurut susunan kewujudan” (recognition and acknowledgement, progressively instilled into man, of the proper places of things in order of creation, such that it leads to the recognition and acknowledgement of the proper place of God in order of being and existence).[5]

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, konsep pendidikan dalam Islam terbit daripada pandangan alam Islam yang mana ditayangkan daripada wahyu, manakala wahyu ditafsirkan ulama` sebagai: “kalamullah (kata-kata Allah) yang berkaitan Diri-Nya, makhluk-Nya, ciptaan-Nya, hubungan antara mereka, dan saluran komunikasi dengan rasul-Nya, dengan susunan kalimah mengikut kehendak-Nya, kemudian disebarkan oleh rasul  kepada manusia dalam bentuk linguistik  yang baharu lagi mudah difahami (bahasa Arab dengan makna yang dibaharu), tanpa diganggu gugat oleh kekeliruan, subjektiviti mahupun imaginasi kognitif rasul-Nya.[6]

2. Konsep Ta`dib
Oleh sebab wahyu diturunkan dalam Bahasa Arab, adalah signifikan untuk kita merujuk kepada perkataan seerti bagi perkataan ‘pendidikan’ dalam bahasa Arab dan aplikasinya yang sebenar.[7] Maka, analisis terhadap perkataan harus diformulasi berdasarkan makna sebagaimana yang difahami dalam citra Islami yang asal, iaitu sebelum berlakunya gugahan atau ekspresi tanpa justifikasi terhadap makna perkataan.[8]
Antara keunikan Bahasa Arab ialah bahasa ini dibangunkan di atas sistem kata akar yang kukuh (firm system of roots) dan struktur semantiknya yang dicakup oleh sistem lapangan semantik (semantic field) yang jelas. Ini menentukan struktur-struktur konsep yang merupakan asas dalam kosa kata.[9] Beberapa kalimah Arab digunakan bagi merujuk kepada ‘pendidikan’ seperti tarbiyah, ta’lim, ta`dib, tahdhib, tamrin, dan tathqif. Tiga kalimah utama sering digunakan merujuk makna pendidikan iaitu tarbiyah, ta’lim and ta`dib. Dalam penelitian ini, penulis membincangkan konsep ta`dib dengan menentukan makna sebenar ta`dib melalui pendekatan menghuraikan aspek sintaktik perkataan dan struktur-lapangan semantiknya.
Makna asal perkataan ta`dib ialah perbuatan menjemput ke majlis khas (banquet).[10] Ta`dib terbit daripada kata akar a-d-b yang juga menerbitkan perkataan adab. Perkataan adab atau perkataan yang terbit daripada kalimah adaba disebut dalam hadith Nabi Muhammad SAW. Perkataan-perkataan ini membawa maksud ‘perangai’, ‘tingkah laku yang baik’, dan ‘latihan, menjinakkan atau suruhan berkelakuan baik’.[11] Berdasarkan penelitian di atas, menurut Nasrat Abd-Rahman, menyokong hadith nabi yang bermaksud, “Tuhanku telah mendidik aku, maka elok/ cemerlanglah pendidikanku” (addabani rabbi fa ahsana ta`dibi).[12]
 Dalam leksikon Bahasa Arab, kalimah adab diaplikasikan dalam dua bentuk iaitu adab jiwa (adab al-nafs) dan adab belajar (adab al-dars). Al-Ghazali menggunakan perkataan adab and addaba dengan menyemangati citra pendidikan yang komprehensif seperti katanya:

“sesungguhnya, kelakuan yang paling tinggi dan sempurna, perbuatan yang paling baik dan cantik adalah adab dalam agama yang mana melaluinya orang-orang beriman mengikuti sifat ketuhanan dan tingkah laku para nabi dan rasul. Tuhan telah mengajarkan kita (addabani) dengan apa yang telah ditayang dan dijelaskan dalam al-Qur`an. Dia juga mengajarkan kita (addabani) dengan kehadiran pesuruh-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW melalui hadith Baginda. Sebegitu juga, kita harus mengikuti jejak para sahabat dan pengikut mereka, juga mengikuti langkah orang-orang ahli adab (ahl al-adab) dalam kalangan mukmin”.[13]

Menurut al-Attas, perkataan ta`dib itu sendiri sudah merangkum dalam struktur konsepnya elemen-elemn seperti ilmu pengetahuan (‘ilm), pengajaran (ta’lim), and penjagaan yang baik (tarbiyah).[14] Justeru, Ta`dib dianggap sebagai perkataan yang paling tepat untuk memaknakan konsep pendidikan dalam Islam. Hakikatnya, pendidikan sebagai ta`dib merujuk kepada penerapan adab terhadap manusia. Adab termanifestasi dalam kesemua unsur fundamental pendidikan iaitu ‘proses’, ‘kandungan’, dan ‘penerima’.[15] Ini juga menunjukkan bahawa unsur utama ‘ilm (ilmu pengetahuan) dan ‘aql (intelek manusia) terkandung dalam perkataan ta`dib.
Seperti perbincangan sebelum ini, pendidikan harus selari dengan realiti manusia kerana manusia adalah ‘penerima’. Dalam perbahasan falsafah, manusia diertikan sebagai ‘haiwan rasional’ (al-hayawan al-natiq). ‘Natiq’ yang bermaksud ‘rasional’ merupakan fakulti dalaman manusia yang memformulasi ‘makna’ (dhu nutq)”.[16] Manakala konsep ‘makna’ (ma’na) adalah pengenalan terhadap tempat letak sesuatu dalam sistem yang diketahui apabila hubungan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam sistem berlaku dan difahami.
Artikulasi atau penampakkan (articulation) simbol linguistik kepada susunan bermakna (meaningful pattern) merupakan ekspresi luaran terhadap hakikat dalaman iaitu akal (‘aql).[17] ‘Aql ialah suatu perkara dalaman (an innate property) yang memegang dan menjalin objek-objek pengetahuan melalui perkataan-perkataan.[18] Dengan kata lain, makna perkataan dijana dan difahami oleh daya akliah (cognitive power) iaitu akal, yang membentuk dan menyampaikan isyarat-isyarat bermakna (meaningful signs). Disebabkan isyarat-isyarat bermakna ini dijana oleh akal yang bersifat batin (dalaman), maka ia disampaikan atau diekspresikan ke dunia luar melalui daya berbahasa atau daya pertuturan dan pemahaman ini mendorong kepada tindakan jasmani.[19] Unsur lain pendidikan ialah ‘kandungan’ yang merujuk kepada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang sebenar mengandungi pengenalan tentang tempat letak sesuatu menurut martabat dan penciptaan-Nya, dan membawa kepada pengenalan martabat Tuhan dalam susunan kewujudan.[20]
Daripada perbincangan di atas, kita dapat meringkaskan makna pendidikan (ta`dib) dan adab seperti yang diringkaskan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud, sebagaimana  berikut:[21] (1) perbuatan mendisiplinkan jiwa dan minda, (2) pencarian kualiti dan sifat jiwa dan minda, (3) perilaku yang benar dan sesuai yang berlawanan dengan perilaku salah dan buruk, (4) ilmu yang dapat menyelamatkan manusia, (5) pengenalan dan pengakuan kedudukan sesuatu secara benar dan tepat, (6) suatu kaedah mengetahui yang menghasilkan kedudukan sesuatu secara tepat dan benar, (7) jelmaan keadilan (‘adl) sebagaimana ditonjolkan oleh kebijaksanaan (hikmah).
Konsep Ta`dib ini juga bukanlah satu teori yang bersifat utopia. Konsep in telah teruji kerana sejarah manusia telah membuktikan kejayaannya. Ini dapat dilihat pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, pada zaman Tabi’in dan selepasnya, dan juga zaman kegemilangan tamadun dan peradaban Islam. Justeru, ta`dib harus dibugar semula dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini.



Kesimpulan
            Tamadun dan peradaban Barat sedang berkuasa dan mendominasi dunia pada waktu ini. Sifat budayanya yang memaksa masyarakat lain untuk menganut faham Barat berjalan melalui perlbagai kaedah termasuklah ‘globalisasi’. Berkali-kali ditegaskan, penulis tidak menderita penyakit xenophobia tetapi bersikap tegas terhadap anasir perosak ini. Jelas, remaja di Malaysia sudahpun merasai penderitaan penyakit berkaitan jiwa sehingga memaksa perlakuan yang sama sekali jauh daripada norma-norma ketimuran. Penyakit jiwa manusia ini telah mendorong pelbagai perilaku yang menyalahi norma kemanusiaan. Dua faktor utama masalah ini dikenal pasti, faktor dalam insan iaitu kehilangan adab dan ditambahburukkan oleh faktor luaran yakni cabaran kebudayaan Barat seperti  globalisasi.
            Hakikatnya, pandangan alam Islam adalah sama sekali berbeza dan bertentangan dengan pandangan hidup Barat yang ditonjolkan melalui globalisasi. Pandangan alam Islam adalah komprehensif dan integral dan menunjukkan manusia nilai-nilai Islam yang hakiki. Manakala pandangan hidup Barat bersifat rencam dan rancu sehingga menyebabkan masyarakat Barat hidup dalam penderitaan mencari makna diri. Psikologi jiwa manusia jelas menunjukkan hakikat kemanusiaan berdasarkan fitrah yang Tuhan ciptakan.
Hasil daripada sumber wahyu yang tulen dan terpelihara, intipati agama Islam tidak mengalami perubahan sebagaimana yang berlaku dalam agama-agama lain. Justeru, masyarakat Islam tidak sewajarnya terikut-ikut dan hanyut dibawa arus globalisasi dan semboyan perubahan dan kemajuan yang ditiup oleh Barat. Sebaliknya, sesuai dengan makna al-din yang antara lain membawa maksud ‘pengembalian kepada fitrah asal yang tunduk kepada Tuhan’, setiap tindakan dan pemikiran Muslim harus dilihat sebagai proses pengembalian diri (raj’) melalui penghambaan diri (‘ubudiyah) kepada Tuhan. Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan akhlaqiyah yang kekal dan berterusan kepada semua generasi umat Islam juga amat penting dalam menanggapi isu-isu yang dicanang oleh Barat seperti kebebasan, akhlak, krisis identiti, jurang generasi, perubahan dan kemajuan.
Konsep ta`dib sebagai pendidikan yang tulen sepatutnya diterap kembali dalam sistem pendidikan remaja. Hakikat pendidikan semasa telah berubah daripada fitrah pendidikan yang sebenarnya. Pendidikan hanya dilihat sebagai sarana mendapat pekerjaan, dengan pekerjaan yang baik dapat mengumpul harta benda keduniaan dan hidup akan bahagia. Sedangkan kebahagiaan sebenar hanya akan terbit daripada jiwa yang tenang (al-nafs al-mutma’innah).













Bibliografi

abd-Rahman,  Nasrat.      “The Semantics of Adab”, ISTAC’s Jurnal Al-Shajarah yr.2 vol. 2 1997, KL: ISTAC, 1997.

Abdullah, Azlina.      “Kajian Mengenai Gejala Sosial”, Kajian Inventori Penyelidikan Pembangunan Sosial di Malaysia 2001-2005, (KL: Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 2006)

.      “Penyelidikan tentang Gejala Sosial di Malaysia dalam Dekat 2000-an”, The 7th International Malaysian Studies Conference (MSC7), Critical Transitions: Repositioning the State, Market and Society, 16-18/03/2010

Alattas,    Alwi.       Pendidikan Remaja dari Sudut Pandang Psikologi Islami, Jakarta, Fakultas Psikologis Universiti Indonesia, 2006.

Alattas,   Sharifah Syifa.      “The Worldview of Islam: An Outline”, Islam and the Challenge of Modernity, Kuala Lumpur: ISTAC, 1994.

al-Attas,   Syed Muhammad Naquib.     Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, Kuala Lumpur: ISTAC, 1995.

.       The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education, Kuala Lumpur: ISTAC, 1999.

.       Risalah Untuk Kaum Muslimin, KL: ISTAC, 2001.

.      “Islamic Weltanschauung: A Brief Overiew”, Forum ISTAC al-Hikmah, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), yr. 5 issue no.1.

.      The Meaning and Experience of Happiness in Islam, Kuala Lumpur: ISTAC 1993.

.      Islam and Secularism, PJ: ABIM, 1978.

.     The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, Kuala Lumpur: ISTAC, 1990.


Ernest R. Hilgard, Rita L. Atkinson, & Richard C. Atkinson, Introduction to Psychology, New York: Harcourt Brace Jovanovich, 1979.

Fadzil,    Siddiq.   “Umat Melayu dan Cabaran Globalisasi”,  Khairaummah.com, 26 -01-06

.  “Krisi Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka”, Pendidikan al-Hikmah, KL: KDH, 2008.

Hashim,   Rosnani.     Educational Dualism in Malaysia; Implication for Theory and Practice, KL: Oxford University Press, 1996.

Hodgson,   Marhall S.    The Venture of Islam Vol. 3, Chicago & London: The University of Chicago Press, 1974.

Khan,   Israr Ahmad.      Qur`anic Studies: An Introduction, Kuala Lumpur: Zaman Islam Media, 2000.

Mohd Dom,      Adi Setia.   Worldview of Islam Academy: The Concept, Kuala Lumpur: HAKIM, 2010.

.     “Teori dan Penemuan Barat tentang ‘Aqal: Tinjauan dan Penilaian Ringkas Menurut Kerangka Faham Ilmu Islam”, Seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam, KL: IKIM, 13-14 Mei 2008.

al-Qaradawi,      Yusuf.      “Mafhum al-`Aulamah wa Maza Ta`ani” http://www.islamonline.net/ Arabic/contemporary/2003/02/article01.shtml,  29-06-05

al-Quraisy,       Muhammad.      Sekitar Risalah Taalim Prinsip pertama Usul 20 Hassan al- Banna, KL: Dewan Pustaka Fajar, 2009.

Rosenthal,    Franz.        Knowledge Triumph: The Concept of Knowledge in Medieval Islam, Leiden: E.J Brill, 1970.

Stanford Encyclopedia,  http://plato.stanford.edu/entries/globalization/

Shafie,   Ahmad Bazli.     The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, KL: ISTAC IIUM, 2004

Wan Daud,    Wan Mohd Nor.    The Educational Philosophy & Practice of Syed Muhd Naquib al-Attas, KL: ISTAC, 1998.

 .      Knowledge, Language, Thought & the Civilization of Islam, Johor Bharu: UTM Press, 2010.

 .      The Concept of Knowledge and Its Implication for Education in a Developing Country, London & New York: Mansell, 1989.

 .      Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna, KL: ISTAC, 2001.


[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam, hal. nota penulis. Untuk penjelasan lanjut kata-kata kunci (key concepts) tersebut, lihat juga Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995).
[2] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), hal. 19, selepas ini ditanda sebagai The Concept of Education in Islam.
[3] Ibid.
[4] Siddiq Fadzil, “KRISIS KEPENDIDIKAN MASA KINI: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka”, Khairaummah.com, 26-10-06
[5] Ibid. hal. 13
[6] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena, pg. 6
[7] Ahmad Bazli Shafie, The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, (KL: ISTAC IIUM, 2004), pg. 24, selepas ini ditanda sebagai The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh
[8] Ibid. pg. 25
[9] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam, pg. 2
[10] Ahmad Bazli Shafie, The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, pg. 44. See also his elaboration of the original basic meaning of adab in his footnote at the same page
[11]Ibid.
[12] Nasrat abd-Rahman, “The Semantics of Adab”, ISTAC’s Jurnal Al-Shajarah yr.2 vol. 2 1997, (KL: ISTAC, 1997), pg. 191-192
[13] Al-Ghazali, Munqidz min al-Dhalal (Beirut: Muassasal al-Tsaqafiyah, 1987), pg. 133 - dipetik oleh Ahmad Bazli Shafie, The Educational Philosophy of al-Syaikh Muhammad ‘Abduh, hal. 47
[14] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam, hal. 33
[15] Telah disentuh sebelum ini tentang tiga unsur fundamental dalam pendidikan dalam perenggan awal bagi subtopik “Ta`dib Sebagai Pendidikan Bercitra Islami yang Komprehensif” dalam kertas kerja ini.
[16] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam, hal. 14
[17] Ibid.
[18] Ibid.
[19] Adi Setia Mohd. Dom, “Teori dan Penemuan Barat tentang ‘Aqal: Tinjauan dan Penilaian Ringkas Menurut Kerangka Faham Ilmu Islam”, Seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam, KL: IKIM, 13-14 Mei 2008.
[20] Ibid.
[21] Wan Mohd Nor Wan Daud, The Educational Philosophy & Practice of Syed Muhd Naquib al-Attas, pg. 142

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget