Halloween Costume ideas 2015
MPS
2014


Seorang wanita muda yang baru berkahwin sentiasa menggalakkan dan mengejutkan suaminya untuk solat subuh berjemaah. Pada suatu hari, si isteri terlewat mengejutkan suaminya sehingga si suami terlepas untuk solat subuh berjemaah bersama jemaah yang pertama dan terpaksa berjemaah dengan jemaah yang kedua.

Setelah selesai solat, imam masjid datang kepadanya serta bertanya: Anda suami kepada si fulan? Si suami terkejut dan bertanya: Bagaimana tuan imam boleh mengetahui nama isteri saya? Tuan imam menjawab: Demi Allah! Sesungguhnya pada hari ini, di dalam mimpi saya dapat melihat semua ahli jemaah pertama (solat subuh) berada di dalam syurga dan turut bersama kami seorang perempuan! Lalu saya bertanya tentangnya. Ahli jemaah memberitahu saya bahawa dia adalah isteri si fulan.

Setelah itu si suami pulang ke rumah untuk memberitahu berita gembira ini kepada isterinya. Apabila si suami memasuki rumahnya, dia mendapati isterinya telah kembali kepada penciptanya dalam keadaan sujud kepada Allah SWT.

Mungkin orang yang tidur daripada bangun solat subuh beranggapan dia telah rehat yang cukup. Tetapi si malang ini tidak mengetahui betapa rehatnya hati-hati yang berjaya bangun berdiri untuk beberapa minit bagi mengadap Allah Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib.

Sekiranya anda tidur semahunya dan bangun semahunya tanpa mengambil peduli waktu solat, demi Allah anda akan sentiasa dalam keadaan resah selagi mana solat tidak menjadi keutamaan anda. Demi Allah! Sesungguhnya solat adalah merupakan sebenar-benar rehat dan kebaikan di dunia dan akhirat.

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" 
(Surah Ibrahim: 40)

"Anda tidak akan dapati orang yang lebih mengasihi ke atas anda melainkan Allah.. Demi Allah, jika orang yang bersujud mengetahui betapa banyaknya rahmat meliputi ke atasnya dengan sebab sujudnya itu nescaya dia tidak akan sekali-kali mengangkat kepalanya" 
(Ibn al-Qayyim)


Orang yang memelihara solat subuh adalah kumpulan yang bertuah, wajah mereka berseri-seri, dahi mereka bersinar, waktu mereka diberkati. Sekiranya anda termasuk dari kalangan mereka maka bertahmidlah kepada Allah atas kurniaan-Nya ini. Sekiranya tidak, maka mohonlah agar Allah menjadikan anda daripada golongan mereka ini.

Betapa indahnya solat Subuh:
Solat fardhunya - menjadikan anda di dalam jagaan Allah (Riwayat Muslim no 657)
Solat sunatnya - lebih baik daripada dunia dan segala isinya (Riwayat Muslim no 725)
Bacaan Quran di dalamnya - disaksikan oleh Allah

"...dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)" (Surah Al-Isra: 78)



 DINAMIKA ILMU SEBAGAI WARISAN INTELEKTUAL UMMAH:
PANDANGAN ALAM, BUDAYA, DAN KETAMADUNAN[1]


Mohammad Fazril Mohd Saleh[2]
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)



Kiranya engkau berhajatkan mutiara,
maka akan padang pasir itu tinggalkanlah ia,
dan berlayarlah engkau di lautan samudera;

Dan kira-kira tiada kaujumpa,
barang mutiara yang engkau cita-cita,
paling tidak mencecah air telah kau berjaya.


Muqaddimah

Manusia merupakan makhluk Tuhan yang paling sempurna, yang diciptakan-Nya dengan kurniaan-kurniaan istimewa yang membolehkan ia menentukan nasib hidupnya sendiri. Keupayaan manusia membina peradaban sepanjang sejarahnya adalah suatu pencapaian yang selayaknya. Walau bagaimanapun, nasib sejarah manusia ini tidak selamanya cemerlang. Pasang surutnya tetap ada, dan itu juga fitrah ketamadunan yang sewajarnya diterima umat manusia sebagai ‘ibrah dan pedoman bersama.

Justeru, dalam makalah yang sederhana ini, kami cuba mengungkap beberapa idea peradaban khususnya yang terakam dalam sejarah peradaban umat Islam. Tanpa menafikan peranan dan sumbangan tamadun lain, makalah ini memugar beberapa aspek ketamadunan Islam dengan memfokus kepada ciri unggulnya: ilmu. Bertitik-tolak dari sini, pengembangan horizon pemikiran manusia Muslim membentuk bangunan konsep yang terkembang secara gradual seterusnya membina pandangan alam. Pandangan alam, sebagai suatu mental framework membantu manusia mengkonsepsikan dirinya dalam interaksi dengan kewujudan yang terdapat di sekitarnya. Dalam interaksi manusia sesama manusia dan juga interaksi manusia dengan persekitarannya, suatu fenomena pengembangan sosial berlaku, dikenali sebagai budaya. Budaya adalah suatu fenomena yang wujud dalam perkumpulan manusia atau masyarakat. Perkembangan budaya akan mempengaruhi gaya hidup dan keadaan kehidupan sesuatu masyarakat sehinggakan perkembangan budaya yang maju menandai kewujudan sesuatu tamadun.

Oleh yang demikian, dalam kondisi semasa, sedar atau tidak kita juga sedang hidup dalam suatu kendera tamadun yang tersendiri. Kami meyakini, bahawa tamadun bukan sekadar suatu konsep akademik, tetapi juga hakikat dan realiti. Justeru, usaha kita dan masyarakat hari ini adalah sewajarnya ditumpukan kepada aspek-aspek positif ketamadunan dan pola-pola perkembangan peradaban yang boleh dipelajari daripada tamadun Islam. Malah menjadi mesej utama dalam makalah ini bahawa aspek positif tamadun Islam itu adalah bertitik tolak daripada kecenderungan terhadap ilmu serta sikap terhadapnya, dan kegiatan ilmiah yang aktif, dinamik dan progresif.

“Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya, bagi mereka (balasan) apa yang telah diusahakan oleh mereka...”

Surah al-Baqarah (2): 134


Islam dan Peradaban Manusia

The Arabs, a semibarbaric race in ancient times, entered into world history after their conversion to Islam in the 7th century A.D. Muhammad, the Prophet of Allah, transformed the heathen Arabs into an Islamic nation. Almost immediately after the prophet’s death, the Islamized Arabs emerged as a conquering nation which gradually overran the centres of ancient civilizations such as Syria, Egypt, Iraq, Persia as well as Central Asia, Sind, North Africa, and Spain within eight decades, and thus established one of the greatest medieval empires. They also devised new social, economic, political and legal institutions to implement the ideals of Islam. Soon after the first century Hijrah, the Arabs began to translate (into Arabic) and master the scientific and literary works of ancient civilized Greece, Persia and India. In the process of these energetic and creative activities, the Arabs created a new civilization.                                                                    
M.A.J. Beg


Sebelum kemunculan tamadun Islam, telahpun wujud pelbagai tamadun dalam lintasan sejarah peradaban manusia. Sejarah telah membuktikan wujudnya tamadun-tamadun besar seperti Babylon, Assyria, Chaldea, Israel, Sumeria, Mesir Purba, Phoenicia, Carthage, Parsi, Sasani, Achaemenia, Arya, Parthia, India, Yunani, Rom, Byzantin, Jepun, China dan lain-lain lagi. Banyak tamadun yang hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Oleh sebab yang demikian, sesetengh orang menganggap tamadun Islam juga merupakan salah satu peradaban tinggalan sejarah. Mungkin kemusykilan ini wajar direnung semula. Perbezaan ketara antara tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lainnya ialah ia berorientasikan agama dan bersifat universal, sedangkan tamadun lain bersifat regional dan berorientasikan perkauman atau kebangsaan.[3]

Malah, boleh dikatakan bahawa Islam adalah suatu civilizing force yang sanggup dan mampu membangun peradaban di atas prinsip-prinsip ajarannya. Islam menggariskan tujuan kewujudan sesebuah tamadun adalah untuk kepentingan manusia. Justeru, manusia menjadi fokus utama dalam ketamadunan, bukannya material, kebendaan mahupun teknologi. Sesuatu tamadun yang menitikberatkan pembangunan kebendaan sehingga melupakan pembangunan spiritual dan moral manusia merupakan tamadun yang tidak memberi keuntungan kepada manusia, sebaliknya mendatangkan derita dan tragedi.

Tamadun Islam Sebagai Karya Cipta Manusia Muslim

Islam adalah al-DÊn. Ini merupakan istilah yang digunakan oleh al-Qur’an, yang tidak hanya merujuk kepada hubungan manusia dengan Tuhan sahaja, atau terbatas dalam aspek ritual dan spiritual sahaja, ataupun melibatkan individu atau bersifat peribadi semata. Al-DÊn mempunyai peranan dan pengaruh yang besar terhadap setiap aspek kehidupan manusia: aspek spiritual, moral, ekonomi, sosial, politik, perundangan dan lain-lain.

Tamadun atau peradaban Islam ialah hasil karya cipta manusia Muslim yang komited kepada agamanya. Oleh sebab adanya komitmen keagamaan itu, maka terbinanya tamadun Islam, iaitu tamadun yang dibangunkan di atas landasan akidah, tumbuh berkembang dalam acuan syariat dan terkawal dalam nilai-nilai akhlak Islamiah. Dalam erti kata lain, tamadun Islam adalah “penjelmaan semangat ajaran Islam: pandangan sarwanya (worldview), epistemologinya (falsafah ilmu) dan aksiologinya (sistem nilai).[4]

Suatu hakikat sejarah yang tidak dapat dinafikan: kemunculan Islam sebagai suatu kuasa politik dan kekuatan spiritual adalah suatu peristiwa agung dalam sejarah dunia. Dalam pengalaman sejarahnya yang panjang, Islam telah membentuk jati diri bangsa Arab, Parsi, Barbar, Turki, Sudan, Swahili, Hausa, Bengoli, Sindhi, Melayu, dan banyak lagi kumpulan etnik dan linguistik – memberikan mereka suatu kematangan spiritual dan kemantapan identiti sosio-budaya.

Kemunculan Islam dan perkembangannya memberikan insentif kepada kaum Muslimin untuk membina empayarnya yang tersendiri; membangunkan kerangka politiknya, dan menghasilkan teori dan amalan perundangannya, dengan berbasiskan wahyu. Masyarakat Muslim menghasilkan makalah-makalah saintifik dan wacana falsafah serta literatur-literatur penting merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Mereka juga membina monumen dan binaan ketamadunan yang hebat dan menjuarai kegemilangan kesenian halus tersendiri.

Al-Qur’Én dan Pengaruh Ketamadunannya

Asas utama kepada tamadun Islam ialah sumber agungnya: Al-Qur’Én. Tidak sekadar sebuah kitab suci yang menggarispandukan aspek spiritual, ritual dan moral, al-Qur’Én memberikan satu suntikan motivasi ketamadunan kepada manusia. Banyak bangsa dunia yang menerima Islam, dengan suluhan cahaya al-Qur’an, ia membentuk keutuhan jati dirinya yang tersendiri, seperti yang diungkapkan oleh Zeki Velidi Tongan: “The Qur’Én had given to the Turks the courage for mastering over the vast steppe and mountain regions of Asia, a unique thought system and a unique literary language.”[5]

Al-Qur’Én dan Al-Sunnah sebagai sumber waÍyu merupakan asas epistemologi yang membawa kepada kejayaan pertumbuhan dan perkembangan tamadun Islam. Wahyu (al-Qur’Én dan Al-Sunnah) telah membentuk mental framework manusia Muslim, bersama-sama pengalaman kehidupannya yang berteraskan prinsip ajaran Islam akhirnya menyempurnakan binaan bangunan konsep dalam pemikiran manusia Muslim sehingga terbentuk suatu weltanschauung (worldview) – pandangan alam yang lengkap, integral dan komprehensif.


Pandangan Alam: Mempersepsi Manusia dan Hakikat Dirinya

The marvellous effect produced by the Holy Qur’Én on the minds of those who first came into contact with it, the unparallel revolution brought about in the world, the uplift of not one but revolution brought about in the world, the uplift of not one but many nations from the depth of degradation to the height of civilization is,...                                 
M. Ali


Pandangan alam (weltanschauung/ worldview) merupakan suatu bangunan konsep yang terbentuk dalam pemikiran manusia, seterusnya membentuk suatu kerangka mental (mental framework) yang membantu manusia memahami hakikat-hakikat yang wujud dalam alam ini. Pandangan alam membolehkan seseorang menanggapi dan mempersepsikan segala sesuatu, yang akhirnya akan membawa kepada natijah tindakan atau perbuatannya, yang berasaskan tanggapan dan persepsinya terhadap sesuatu. Perbahasan mengenai pandangan alam terkait dengan perbahasan falsafah tentang ontologi, epistemologi dan aksiologi.

Pandangan alam Islam seseorang manusia terbentuk secara gradual – melalui pembelajaran, pengalaman dan interaksinya dengan persekitaran. Dalam Islam, pandangan alam seseorang Muslim dibentuk oleh pengetahuannya tentang hakikat alam – tidak sekadar yang dilalui dan dirasai berdasarkan interaksi dan pengalamannya semata-mata, tetapi juga melalui maklumat-maklumat yang diperoleh daripada sumber wahyu.

Manusia, Kebebasan dan IkhtiyÉr

Insan yang hidup berlandaskan agama yang benar adalah pengabdian diri yang sebenar-benarnya. Ia satu bentuk kemuliaan yang tertinggi. Bersandarkan kepada ilmu yang hak, insan berikhtiar memilih yang lebih baik dengan membuat pertimbangan yang adil menggunakan akal yang sihat dalam menyerah dirinya secara sukarela dalam pengabdian kepada Allah swt. Inilah erti kebebasan (freedom) yang sebenar yang terpancar daripada pandangan alam Islam – ikhtiyÉr yang sebenar dalam memilih yang terlebih baik untuk kesejahteraan diri – pertimbangan dan tinjauan akal yang mengarah diri kepada mengamalkan perilaku terpuji dan menzahirkan akhlak mulia.[6]  Dalam mengukuhkan ide kebebasan ini, S.M.N. al-Attas menegaskan:

Freedom is to act as one’s real and true nature demands and so only the exercise of that which is of what is good can properly be called ‘free-choice’. A choice for the better is therefore an act of freedom… Whereas a choice for the worse is not a choice as it is grounded in ignorance… it is then also not an exercise in freedom because freedom means precisely being free from domination by the powers of the soul that incites to evil.”[7]

Bukanlah kebebasan sebenar jika diri dibiarkan liar tanpa pengawasan peraturan yang dapat membendung segala naluri dan tabiat haiwaniyah dalam diri: “barangsiapa yang terjerumus ke jurang kehinaan yang sedemikian maka ia bukanlah insan yang sebenar tetapi hanyalah insan dalam rupa bentuk dan adalah terlebih rendah dari segala haiwan yang rendah.”[8] Dalam erti kata lain, kebebasan itu bukan sebenarnya bebas, kerana diri yang liar itu sebenarnya berada di bawah pengaruh dan bawaan hawa nafsu, dan keadaan diri yang seperti itu sebenarnya meletakkan martabat insan itu pada kedudukan yang paling hina dan  rendah[9] walaupun asalnya manusia itu mulia dan berada pada darjat yang tinggi.

Tuntasnya, insan akan bebas dalam erti kata yang sebenar apabila berpegang pada simpulan yang kukuh iaitu pandangan alam dan akidah yang benar bertunjangkan al-TawÍÊd: “Bagaikan pohon yang tegap berdiri, segar, teguh, dan kukuh kerana akarnya mencengkam bumi dengan cabang-cabangnya menjulang ke langit biru, begitulah cabang-cabang kehidupan insan yang berpandukan akidah dan pandangan alam yang ÎaÍÊÍ.”

Dengan pandangan alam yang benar, manusia akan tetap teguh berbekalkan nilai-nilai wahyu yang dipegangnya. Jelas, dalam tradisi Islam, tidak berlaku sebarang gejala negatif seperti keruntuhan akhlak, krisis identiti dan jurang antara generasi melainkan setelah insan mengambil tindakan menjauhi realiti dan hakikat dirinya sendiri.

Jiwa Manusia Menurut Islam

Manusia dikurniai kebolehan untuk mencapai ilmu. Tempat letak ilmu dalam diri manusia adalah unsur rohaniahnya yang disebut dalam al-Qur`an dalam pelbagai kalimah iaitu sebagai ‘hati’ (al-qalb) ‘jiwa/diri’ (al-nafs), ‘roh’ (al-rËÍ), dan ‘akal’ (al-aql), tetapi kesemuanya itu merujuk kepada hakikat yang sama iaitu unsur rohaniah manusia.[10] Pada asalnya, manusia mengetahui Hakikat Tuhan dan kesatuan Mutlak-Nya (al-tawÍÊd) sebagaimana yang disebut dalam al-QurÉn, surah al-ArÉf (7), ayat 172 yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).

Ayat di atas merujuk kepada perjanjian (al-mithÉq/ al-‘ahd) manusia dengan Tuhan semasa di alam roh. Manusia telah mengenali dan mengakui keadaan dan keesaan Tuhan lalu mengikat perjanjian yang menentukan tujuan, tindakan dan sikap mereka terhadap diri dan Tuhan. Ikatan perjanjian ini merupakan ikatan dan penentuan dalam agama (al-dÊn) yang merupakan pengabdian sebenar (al-IslÉm). Tujuan kewujudan manusia adalah untuk mengenal Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya[11] dan tugasnya adalah untuk taat (ÏÉ‘ah) kepada Tuhan sesuai dengan fitrah insaniahnya.[12]

Hakikat Jiwa Manusia

Walau bagaimanapun, manusia juga mempunyai masalah ‘lupa’ (nisyan). Menurut Abdullah Ibn Abbas, merujuk kepada surah ÙÉhÉ (20), ayat 115: “Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat”, perkataan insan terbit daripada kalimah nasiya kerana kata Ibn Abbas, manusia telah melakukan perjanjian dengan Tuhan tetapi mereka lupa (nasiya).

Kelupaan merupakan penyebab keengkaran, dan kesan penderhakaan ini menjatuhkan manusia ke dalam kezaliman (Ðulm) dan kejahilan (jahl). Namun begitu, Tuhan telah melengkapkan manusia dengan akal dan wahyu yang mampu melorongkan mereka ke jalan yang benar. Untuk memilih kepada kebaikan (ikhtiyÉr), terserah kepada manusia itu sendiri.[13]

Hakikat diri manusia yang sebenar berasal dari alam tinggi (al-malakut) dan alam perintah (al-amr). [14] Terdapat beberapa peringkat/ martabat (level/ stages) bagi jiwa manusia. Apabila manusia cenderung kepada jalan yang benar, ketenangan sebenar yang transenden (al-sakÊnah) akan hadir dan mereka akan berada dalam kebebasan dan ketenangan dalam ingatan kepada Tuhan. Keadaan jiwa seperti ini dinamakan keadaan jiwa yang tenang (al-nafs al-mutma’innah) dan merupakan peringkat tertinggi jiwa manusia. Kadangkala, jiwa manusia bergelora dan berlawanan antara daya akliahnya dan daya kebinatangannya. Apabila jiwa berada dalam keadaan yang jahat, kemudian ia sedar lalu berusaha melawan kejahatan tersebut dan mengutuk kelakuannya. Keadaan jiwa seperti ini dinamakan al-nafs al-lawwÉmah iaitu jiwa yang mengutuk diri sendiri. Manakala, keadaan jiwa yang terperangkap dalam kejahilan dan kejahatan dinamakan al-nafs al-amarah bi al-sË`.

Unsur-unsur dalam Diri Manusia

Jiwa manusia juga mengandungi beberapa ‘keadaan upaya’ (quwwah) yang termanifestasi dalam hubungannya dengan aspek jasmani manusia. ‘Keadaan upaya’ tersebut ialah jenis-jenis jiwa iaitu (1) jiwa tumbuhan (al-nafs al-nabÉtiyah), (2) jiwa haiwan (al-nafs al-hayawÉniyah), dan (3) jiwa rasional (al-nafs al-nÉtiqah).[15] Tumbuh-tumbuhan mempunyai kekuatan untuk membesar, kekuatan kesuburan dan produktif.  Kekuatan-kekuatan ini juga terdapat pada haiwan dan manusia. Boleh dikatakan, manusia mempunyai jiwa-jiwa yang sama dengan haiwan, Cuma yang membezakannya adalah jiwa rasional (al-nafs al-nÉtiqah) yang hanya terdapat pada diri manusia, tidak haiwan mahupun tumbuhan. Keadaan inilah yang menjadikan manusia itu sebagai ‘manusia’ dan sekiranya manusia kehilangan keadaan upaya ini, maka manusia tersebut tiada berbeza dengan haiwan.

Jiwa rasional (al-nafs al-nÉtiqah) merupakan petanda ciri-ciri unggul bagi manusia. Kalimah Natiq (al-nÉtiqah) bermakna daya akliyah yang merujuk kepada fakulti rasional manusia, selari maksudnya dengan perkataan logos (Greek) dan ratio (Latin). NÉtiq merupakan fakulti dalaman yang menanggap dan memahami realiti-realiti seterusnya memformulasi makna berkaitan membuat keputusan, pengelasan dan penjelasan.[16] Al-nafs al-nÉtiqah juga merujuk kepada akal.

Namun, akal (al-‘aql) dalam Islam bukan seperti yang difahami dalam kebudayaan Barat. Dalam kebudayaan Barat, akal hanya merujuk kepada ratio yang merupakan alat untuk memahami dan menguasai alam zahir (aspek saintifik) semata-mata. Ratio dipisahkan daripada intellectus yang bermaksud fakulti untuk merenungi hakikat rohaniah. Akal dalam Islam merangkumi sekaligus aspek ratio dan intellektus. Akal, menurut Islam, jika dijaga dengan baik, akhirnya akan membawa implikasi akhlak yang penting.

Kelalaian Punca Keruntuhan Tamadun

Daripada perbincangan ini, dapatlah kita mengerti keadaan jiwa manusia yang sebenar sebagaimana fitrah kejadian Tuhan. Kelupaan manusia dan keengkarannya untuk kembali ke jalan kebenaran (al-inabah/ al-taubah) walapun dikurniakan Tuhan dengan keupayaan untuk berbuat demikian, telah menenggelamkan manusia dalam lembah kehinaan yang meletakkan martabatnya pada kedudukan yang rendah, malah lebih rendah daripada haiwan. Ini juga yang menjadi punca kepada keruntuhan sesebuah tamadun.

Jelasnya, daripada perbahasan tentang manusia, dan fitrah diri manusia, dapat dibuat suatu kesimpulan awal bahawa tamadun bukanlah bersifat organik, tetapi ia adalah suatu yang bersyarat. Tamadun akan bertumbuh, berkembang dan maju dengan syarat-syarat yang sewajarnya dan secocoknya yang menjadi sebab kepada pertumbuhan, perkembangan dan kemajuannya. Sebaliknya, tamadun akan menguncup, merosot dan mati sekiranya ia memenuhi syarat penguncupan, kemerosotan dan kematiannya.


Legasi Ummah: Intelektualisme dan Budaya Ilmu

“Demikianlah hakikatnya, sejarah kegemilangan Islam menjadi saksi bahawa ia bermula dengan revolusi keilmuan yang tercetus dari ayat mukjizat Iqra’ bi ‘smi rabbika ‘lladhi khalaq..., transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan yang merubah pengembala unta menjadi ilmuwan cendekia, manusia badawi-jahili menjadi Muslim haÌari-madani.”
Siddiq Fadzil


Budaya Sebagai Manifestasi Pandangan Alam

Budaya adalah suatu fenomena sosial yang wujud dalam perkumpulan manusia atau masyarakat. Budaya terdiri daripada dua patah kata: budi dan daya. Perkataan ‘budi’ menggambarkan suatu konsep yang abstrak tetapi memberi makna yang cukup besar dan kuat untuk menjadi faktor pencetus kepada suatu aspek yang lebih konkrit. Budi bermaksud pemikiran, kepercayaan, anutan, fahaman, kecerdikan, kecerdasan, dan keluhuran. Manakala, perkataan ‘daya’ pula merujuk kepada suatu aspek luaran yang bersifat konkrit – gerak, perbuatan, manifestasi, tajalli, penampakan, aksi dan sebagainya. Dalam erti kata lain, “budi” adalah lambang aspek dalaman diri manusia yang merangkumi idealisme, intelektualisme dan spiritualisme, manakala “daya” adalah manifestasi aspek dalaman tadi dalam perbuatan dan kegiatan (aktivisme).Oleh yang demikian, budaya adalah suatu adunan dua unsur ini – pemikiran atau worldview yang termanifestasi dalam perbuatan atau kegiatan tertentu.

Justeru, budaya sebagai penjelmaan nilai-nilai yang dipegang adalah sangat menentukan tahap pencapaian sesuatu masyarakat. Budaya yang kami maksudkan di sini bukanlah seperti yang difahami umum sebagai seni hiburan heboh-hebohan semata. Budaya yang dimaksudkan adalah suatu fenomena sosial penjelmaan nilai-nilai yang tercerna dalam pandangan alam sesuatu masyarakat yang membantu masyarakat tersebut menentukan corak hidup dan kegiatannya. Budaya seperti inilah yang terkembang menjadi maju dan seterusnya membina tamadun. Seperti yang diungkapkan oleh Malik Bennabi bahawa tiada perubahan sosial (al-taghyÊr al-ijtimÉÊ) akan berlaku tanpa berlakunya perubahan budaya (al-taghyÊr al-thaqÉfÊ).  

Kecenderungan, Sikap, Rutin dan Pembinaan Budaya

Kata kunci yang penting untuk difahami dalam membangun ketamadunan Islam ialah budaya. Persoalannya, bolehkah budaya dibina? atau ia berlaku secara alami tanpa perlu kepada sebarang perancangan? Bagi kami, budaya boleh direncana.

Budaya hanya akan terbina dalam komuniti. Ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang saling memerlukan satu sama lain. Sejarah ketamadunan bangsa-bangsa besar dunia membuktikan tamadun berkembang daripada budaya, dan budaya dibangunkan dalam masyarakat. Pembinaan watak masyarakat yang berbudaya inilah yang akan membantu menjayakan pembinaan budaya dan tamadun.

Bagaimana kita dapat membina budaya secara praktikal? Di sini terletaknya kepentingan kesatuan pemikiran dan idealisme dalam masyarakat. Awal mulanya budaya akan mungkin terbina dengan munculnya ‘kecenderungan’ (tendency) dalam diri individu. Daripada kecenderungan ini, maka ‘sikap’ (attitude) mula dibina dalam diri individu tersebut. Sikap ini akan membentuk ‘rutin’ (routine) yang menjadi pengamalan harian oleh individu tersebut. Justeru, apabila setiap individu mempunyai kecenderungan, sikap dan rutin yang sama, maka budaya pun terbentuk. Dalam kata lain, budaya adalah manifestasi kesatuan pemikiran individu-individu dalam sesuatu masyarakat yang menzahirkan pengamalan-pengamalan tertentu dalam bentuk kegiatan dan perbuatan.

Intelektualisme dalam Tamadun Islam

Dalam memahami dinamika ilmu sebagai legasi keintelektualan ummah, S.M.N al-Attas menegaskan:

...rationality in Islam does not merely pertain to mind’s systematic and logical interpretation of the facts of experience or it’s rendering intelligible and manageable to reason the data of experience; or it’s abstraction of facts and data and their relationship; or the grasping of nature by the mind, and the law-giving operation the mind renders upon nature. Since reason is a protection of the intellect, which is the spiritual organ of cognition known as heart (al-qalb). Hence the understanding of spiritual realities is also within the province of reason and is not necessaricly divorced from rational understanding of them.”[17]

Sejarah menyaksikan bahawa intelektualisme dalam tamadun Islam merupakan suatu tradisi pengkajian ilmiah yang luas, merangkumi pelbagai disiplin ilmu. Penubuhan sebuah institut dan kutub khanah untuk tujuan penterjemahan dan penyelidikan, Bayt al-×ikmah pada tahun 830 M oleh al-MamËn misalnya menggambarkan kesungguhan mereka yang cukup luar biasa.

Keluasan kajian intelektual para ilmuwan Islam dapat dilihat dari jumlah dan sifat karya-karya yang dihasilkan oleh mereka. Sebagai contoh, al-Kindi dilaporkan menulis sejumlah 242 buah karya, Ibn Sina mengarang 220 buah karya, dan Zakaria al-Razi menulis sejumlah 236 buah tulisan. Tulisan dan karya-karya mereka yang ensiklopedik ini bukan hanya sekadar dalam satu bidang, tetapi merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang ada pada zaman mereka.

Beberapa ciri penting intelektualisme Islam yang dinamik digariskan seperti berikut: 1) pendekatan TawÍÊd; 2) waÍyu sebagai asas pengkajian ilmiah; dan 3) sikap hormat-kritis terhadap ilmu asing.[18]

1) Pendekatan TawÍÊd

TawÍÊd merupakan konsep asas dalam akidah Islam yang telah memberi kesan kepada kesemua aspek kehidupan seseorang Muslim termasuk kegiatan intelektualnya. Pendekatan TawÍÊd ini menjadi asas kepada pengembangan disiplin ilmu dan melandasi perbahasan-perbahasan dalam ilmu-ilmu seperti falsafah, sejarah, sains, perubatan, senibina dan lain-lain. Kecenderungan ini tidak memisahkan antara aspek-aspek yang bersifat duniawi dengan ukhrawi, malah secara sedar mengaitkan segala upaya dan usaha mereka sebagai suatu bentuk ibadah dan ketaatan kepada Tuhan. Ini diperakui oleh al-Attas:

The representative of Islamic thought – theologians, philosophers, metaphysicians – have all and individually applied various methods in their investigations without preponderating on any one particular method. They combined in their investigations and at the same time their persons, the empirical and their rational, the deductive and inductive methods and affirmed no dichotomy between the subjective and the objective, so that they all affected what I would call the tawhid method of knowledge.[19]


2) WaÍyu Sebagai Asas Pengkajian Ilmiah

Seperti yang telah disentuh sebelum ini, al-Qur’Én menjadi asas kepada perkembangan tamadun Islam. Apabila kita kaitkan asal mula tamadun Islam itu dengan dinamika ilmu dan budaya intelektual, maka kita akan dapati, perkembangan intelektual Islam bermula dengan al-Qur’Én. Sebagai sumber rujukan utama, panduan, dan kitab suci, al-Qur’Én menyuntik motivasi dan keghairahan mencari dan menggali ilmu. Keyakinan seperti “al-Qur’Én does not provide a detailed science but the principles of all knowledge” merupakan suatu keyakinan yang bermotivasi tinggi. Sheikh Ahmad Kiftaro menyatakan:

Whosoever studies the chapter and the verses of the Qur’Én will be struck by the maner how the Qur’Én combined religion and intellect and how Muslim doctrines are compounded to motivate advancement in civilization.[20]

Intelektualisme sememangnya terkait dengan kegiatan akliyah, aktiviti pemikiran yang berasaskan kepada keupayaan akal, walau bagaimanapun wibawa wahyu masih tetap kuat dipertahankan. Malah, pengiktirafan wahyu terhadap keupayaan dan kemampuan akal disahkan dalam karya-karya para ilmuwan Islam. Sebagai contoh, Ibn Rushd mengarang sebuah karya yang menarik berjudul FaÎl al-maqÉl fÊ mÉ bayn al-×ikmah wa al-SyarÊ‘ah min al-IttiÎÉl, yang mempertahankan keharmonian wahyu dengan akal, malah menjustifikasikan akal sebagai salah satu jalan yang sahih untuk mencapai hakikat segala sesuatu.[21] 

Malah, yang lebih penting dan utama, al-Qur’Én memberikan panduan dan halatuju yang memandu dinamika intelektualisme Islam. Melalui istilah-istilah penting – ‘ilm, ÊmÉn, adÉb, Íikmah, adl dan banyak lagi kata-kata kunci penting – membangun keutuhan pandangan alam seorang ilmuwan Muslim dalam kegiatan ilmiahnya.

3) Sikap Hormat-Kritis Terhadap Ilmu Asing

Kebebasan akademik dan keterbukaan ilmiah adalah elemen penting dalam memastikan dinamika ilmu terus berlangsung. Ilmuwan Islam mengambil langkah berani memperkaya khazanah keilmuwan Islam dengan sumber-sumber luar atas keyakinan bahawa “hikmah adalah barang yang hilang daripada orang beriman.” Sikap ini membawa kepada penekunan terhadap karya-karya Yunani kuno, India, dan Parsi. Proses penterjemahan giat dijalankan. Ini jelas ditunjukkan oleh para ilmuwan dalam tamadun Islam dan keterbukaan ini telah memberi manfaat kepada tamadun manusia keseluruhannya. S.H. Nasr menyatakan:

Altogether from the point of view of quality and quantity alike the transmission of the learning of the ancient world to Muslims through the medium of Arabic is one of the startling phenomena of cultural history; for not only was it instrumental in bringing into being Muslim sciences and philosophy but also it indirecty played a vital role in the creation of medieval and renaissance science and philosophy in the West and even influenced China and India.”


Khulasah

Tamadun merupakan buah hasil atau produk daripada pemikiran manusia. Semestinya pemikiran manusia itu pelbagai dan nisbi (relative) sifatnya, walaupun begitu, dalam sejarah peradaban manusia, terdapat masyarakat manusia yang disatukan oleh suatu bentuk pandangan alam dan budaya yang unik dan tersendiri. Telahan kami, tamadun Islam telah menampilkan pola dan trendnya yang tersendiri kerana dibentuk oleh pandangan alam dan budaya yang berpaksi kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai asas yang dianut bersama dalam masyarakatnya.

Tidak berniat untuk bernostalgia, kami paparkan objek perbahasan dalam makalah ini dengan nada yang positif. Justeru, perbahasan tentang realiti dan cabaran ketamadunan semasa serta prospek masa depan tamadun adalah suatu tuntutan mendesak. Makalah yang sederhana ini sekadar melontarkan beberapa ide ketamadunan yang bersifat rencam dan umum. Tulisan ini umpama sebuah compendium, tetapi perlu kepada penghuraian lanjut dan argumentasi yang lebih kukuh. Banyak lagi yang perlu kami lakukan, bukan semata-mata melengkapkan makalah ini, tetapi juga berusaha menyelesaikan semangat dan cita-citanya yang tersendiri.


Orang dagang mahu tundukkan dunia,
dengan kehendak dan kemahuan dhamirnya;
Apa yang kita tinggal kini,
hanya dunia khayalan dan mimpi-mimpi.


Wallahu a’lam bi al-sowab

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
14 Ogos 2014, 06:30 petang
Sungai Ramal Dalam, Kajang.

013-2775313 / fazrilsaleh@gmail.com / fb: Peminggir Kota




[1] Dibentangkan dalam Simposium Anak Muda 2014 anjuran Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) yang diadakan pada 17hb Ogos 2014, bertempat di Rumah Pena, Bukit Petaling, Kuala Lumpur.
[2] Penulis merupakan Timbalan Presiden PKPIM sesi 2013/2014. Boleh dihubungi di fazrilsaleh@gmail.com.
[3] Untuk bacaan lanjut, rujuk M.A.J. Beg, The Image of Islamic Civilization, (KL: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1980), hal. 18.
[4] Siddiq Fadzil, “Sains dan Teknologi: Isu Penislaman dan Pemeribumiannya” dalam Ahmad Mohamad Said et al. (ed.), Dinamika Ilmu: Memugar Warisan Intelektual Ummah, (Kajang: Kolej Dar al-Hikmah, 2005), hal. 29.
[5] M.A.J. Beg, The Image of Islamic Civilization, (KL: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1980), hal. 45.

[6] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, (Penang: USM, 2007), hal. 66
[7] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995), hal. 33.
[8] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Ma’na Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam (Kuala Lumpur: ISTAC, 2002), hal. 28
[9] Al-Quran al-Karim, Surah al-Tin (95) ayat 5, “Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),” dan al-Furqan (25) ayat 44, “atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)”
[10] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 2
[11] Al-Quran al-Karim, Surah al-Dzariyat (51) ayat 56, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
[12] Al-Quran al-Karim, Surah al-Rum (30) ayat 30, “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
[13] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 6
[14] Al-Quran al-Karim, Surah Ya Sin (36) ayat 83; surah al-Mukminun (23): 88
[15] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 8
[16] Ibid. hal. 39
[17] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 8.
[18] Mohd Farid Mohd Shahran, Isu-isu dalam Pemikiran Islam, (KL: Angkatan Belia Islam Malaysia, 2008), hal. 37.
[19] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1995), hal. 3.
[20] M.A.J. Beg, The Image of Islamic Civilization, (KL: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1980), hal. 45.
[21] Mohd Farid Mohd Shahran, Isu-isu dalam Pemikiran Islam, (KL: Angkatan Belia Islam Malaysia, 2008), hal. 41.

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget