Seorang wanita muda yang baru berkahwin sentiasa menggalakkan dan mengejutkan suaminya untuk solat subuh berjemaah. Pada suatu hari, si isteri terlewat mengejutkan suaminya sehingga si suami terlepas untuk solat subuh berjemaah bersama jemaah yang pertama dan terpaksa berjemaah dengan jemaah yang kedua.

Setelah selesai solat, imam masjid datang kepadanya serta bertanya: Anda suami kepada si fulan? Si suami terkejut dan bertanya: Bagaimana tuan imam boleh mengetahui nama isteri saya? Tuan imam menjawab: Demi Allah! Sesungguhnya pada hari ini, di dalam mimpi saya dapat melihat semua ahli jemaah pertama (solat subuh) berada di dalam syurga dan turut bersama kami seorang perempuan! Lalu saya bertanya tentangnya. Ahli jemaah memberitahu saya bahawa dia adalah isteri si fulan.

Setelah itu si suami pulang ke rumah untuk memberitahu berita gembira ini kepada isterinya. Apabila si suami memasuki rumahnya, dia mendapati isterinya telah kembali kepada penciptanya dalam keadaan sujud kepada Allah SWT.

Mungkin orang yang tidur daripada bangun solat subuh beranggapan dia telah rehat yang cukup. Tetapi si malang ini tidak mengetahui betapa rehatnya hati-hati yang berjaya bangun berdiri untuk beberapa minit bagi mengadap Allah Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib.

Sekiranya anda tidur semahunya dan bangun semahunya tanpa mengambil peduli waktu solat, demi Allah anda akan sentiasa dalam keadaan resah selagi mana solat tidak menjadi keutamaan anda. Demi Allah! Sesungguhnya solat adalah merupakan sebenar-benar rehat dan kebaikan di dunia dan akhirat.

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" 
(Surah Ibrahim: 40)

"Anda tidak akan dapati orang yang lebih mengasihi ke atas anda melainkan Allah.. Demi Allah, jika orang yang bersujud mengetahui betapa banyaknya rahmat meliputi ke atasnya dengan sebab sujudnya itu nescaya dia tidak akan sekali-kali mengangkat kepalanya" 
(Ibn al-Qayyim)


Orang yang memelihara solat subuh adalah kumpulan yang bertuah, wajah mereka berseri-seri, dahi mereka bersinar, waktu mereka diberkati. Sekiranya anda termasuk dari kalangan mereka maka bertahmidlah kepada Allah atas kurniaan-Nya ini. Sekiranya tidak, maka mohonlah agar Allah menjadikan anda daripada golongan mereka ini.

Betapa indahnya solat Subuh:
Solat fardhunya - menjadikan anda di dalam jagaan Allah (Riwayat Muslim no 657)
Solat sunatnya - lebih baik daripada dunia dan segala isinya (Riwayat Muslim no 725)
Bacaan Quran di dalamnya - disaksikan oleh Allah

"...dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)" (Surah Al-Isra: 78)