Halloween Costume ideas 2015
MPS

MEMUGAR BUDAYA ILMU







“Allah Meninggikan dikalangan kamu pencari ilmu yang beriman dengann beberapa darjat”
(Al– Mujadalah: 28)


Pembinaan Budaya Ilmu yang sepadu dan jitu merupakan pra-syarat awal dan terpenting bagi kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang dan sesuatu bangsa. Hal ini diakui tokoh sejarawan terkemuka, Ibnu Khaldun. Malah, telah berlaku beberapa kali dalam sejarah, bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi tak ditunjangi dengan budaya ilmu yang baik, akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya. Hal ini boleh disimpulkan sebagai prinsip umum sejarah.

Kaum Biadab (Barbarian) yang terdiri daripada suku bangsa Jerman, yang suatu ketika dipimpin oleh Attilia (meninggal 453M), telah mengganas dan menakluk Imperaturia Roma sebelum abad ke-6 M, namun orang Jerman yang tidak berilmu dan bertamadun itu tidak berjaya memusnahkan Imperaturia Roma yang telah tegap berdiri dan merupakan salah satu tamadun tertinggi dalam sejarah manusia. Malah, Kaum Biadab itu yang ditakluki oleh kebudayaan Roma dengan mengikut cara dan kebiasaan hidup Romawi. Begitu juga halnya dengan bangsa Mongol di bawah pimpinan Genghiz Khan dan Kublai Khan dalam hubungan mereka dengan Tamadun China. Orang Mongol akhirnya telah di’China’kan. Waris mereka, Hulagu Khan dan Tamerlane yang mengganas dan menakluki Negara Islam di India Utara, Iran, dan beberapa bahagian di Timur Tengah juga telah menunjukkan kegagalan mereka dalam arena tamadun. Malah, bangsa Mongol dan Turki yang dahulunya amat biadab dan mengakibatkan banyak kerosakan ketamadunan Islam telah memeluk agama Islam, dan akhirnya melahirkan kekuatan tersendiri dalam sejarah Islam.



KONSEP ILMU DALAM ISLAM

Dalam perspektif Barat Moden, terutama kepada yang berpegang teguh dengan kaedah Sains, ilmu merujuk kepada persepsi jelas kepada fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara yang boleh ditanggap oleh panca indera zahir. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindara zahir dianggap bukan fakta dan tidak dikira termasuk dalam bidang ilmu. Dalam hal ini, merka menganggap ajaran agama secara mutlak terkeluar daripada ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan dan dugaan semata-mata. Itulah pandanagan mazhab Emperisisme yang didokong oleh tokoh seperti John Locke(meninggal 1776), Herbert Spencer (meninggal 1903) dan lain-lain. Namun, takrifan ilmu dalam Islam amat berbeza dengan yang difahami oleh Barat. Istilah “al-’Ilmu” dalam Islam membawa maksud al-Quran, syariah, sunnah, Islam, iman, ilmu kerohanian (ilmu al-ladunni), hikmah, makrifah,pemikiran, sains dan pendidikan.

Saifuddin al-Amidi (1233m) dalam kitabnya yang terkenal, Abkar al-Afkar telah mengumpul dan menganalisis semua takrif ilmu daripada para sarjana yang terdapat pada zamannya beliau mendapati bahawa takrif yang dikemukakan oleh Fakhruddin arRazi (meninggal 1209M) adalah yang terbaik.takrif ini diketengah dan ditambahbaik oleh prof. Syed Mohd Naquib al-Attas (al-Attas, kini berumur lewat 70-an dan menetap di Selangor), ialah seperti berikut
Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan ‘makna sesuatu’ ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.

Takrif ini amat lengkap dan membayangkan peranan Allah sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk aktif dalam usaha mendapat ilmu. Tentu saja ilmu itu sesuatu yang benar dan hakiki kerana ia datang dari Tuhan..Takrif ini dengan sendirinya bermakna ilmu tidak sama denagan fakta, kemahiran atau maklumat, walau tentunya ia meliputi semua itu. Sebagai analogi, komputer direka untuk menyimpan pelbagai maklumat yang walaupun benar, tapi tak boleh dianggap sebagai berilmu kerana maklumat itu tidak membawa sebarang makna kepada komputer itu.

Mengetahui sesuatu tentunya menimbulkan kefahaman yang kemudiannya melahirkan keyakinan dalam diri. Dalam erti kata lain, ilmu adalah kualiti kerohanian yang tidak dimiliki oleh mesin atau computer. Malah, manusia pun kalau sekadar ada maklumat yang tidak bermakna dianggap oleh Allah seperti dalam Surah al-Jumuah (62):5 “keldai yang membawa lembaran-lembaran kertas”. Walaupun ayat ini merujuk kepada ahlul Kitab yang tidak mengambil manfaat daripada ilmu mereka, namun implikasi ayat ini juga universal.



Maka, perlu bagi kita selaku mahasiswa universiti Islam mengorak semula langkah bagi memugar kembali budaya ilmu sesuai dengan faham ilmu dalam Islam. Bermulalah dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan jangan dilupa bahan bacaan paling utama yang menjadi cahaya petunjuk bagi yang menghayati dan mengamalkannya; Kitab al-Quran al-Karim, perlu dibaca dan ditadabbur setiap hari.
Moga-moga kita semua berada di bawah lembayung rahmat Ilahi –



# Artikel ini merupakan cedukan intisari penting daripada sebuah karya Prof Wan Mohd Nor Wan Daud bertajuk "Penjelasan Budaya Ilmu". Disunting oleh Peminggir Kota dan telah disiarkan dalam Buletin My Ummah; diterbitkan oleh Facilitators Representative Committee (FRC) UIAM







24 Mac 2009
11.44 petang
Kg Pinang, Kamunting, Perak
Labels:

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget