Halloween Costume ideas 2015
MPS

Mengesat mata di Lengan (4)


;-Sambungan daripada ‘Mengesat mata di Lengan (3)’


---------------------

“Dia bukan anak yang kulahirkan, kalau kalian berdua nak tahu. Walau bagaimanapun, dia tetap aku belai.. tetap mendapat sentuhan ibu mithali sejati daripadaku,” Anjing bersuara.

“ah.. berbelit-belit bicara kamu berdua! Cuba ceritakan dengan lebih jelas, mudahlah kami nak faham,” bentak Si Manja. Sebenarnya, Si Manja terkesima dengan apa yang ada di depan matanya. Dia terkebil-kebil. Sesekali ditenyeh-tenyeh matanya.

Anjing mula bercerita,

“ Lima bulan lalu, di timbunan sampah domestik ini, sewaktu aku sedang mencari-cari apa yang dinamakan rezeki, aku terdengar suara.. suara sayup anak kucing mengiau. Di celah-celah timbunan sampah domestik ini, dia kutemui dalam kondisi yang sungguh daif. Tubuhnya kurus melidi, hampir kelihatan urat-uratnya yang hijau itu. Bulu-bulu hampir lenyap daripada kulitnya...’

Anjing berhenti bercerita buat seketika. Ditelannya air liur, ditarik nafas sedalamnya. Si Manja khusyuk mendengar cerita Anjing... mulutnya terlopong.
Lalu, Anjing menyambung,

“... Aku Nampak dia menggigil; kesejukan. Keadannya dewasa itu, cukup meruntun ‘naluri keibuan’ku. Semenjak hari itu, akulah ibunya dan dia anakku. Seluruh jiran tetanggaku juga telah menerima dia, sebagai anakku.”

“Hebat sungguh kisah kamu berdua, Kucing dan Anjing. Kamu berdua sangat bertuah. Rupanya dalam masyarakatmu kasih sayang begitu terpelihara,” respon Si Manja.. segera!

“itu sudah tentu. Kasih sayanglah yang telah menemukan aku dengan ibuku ini. Dengan kasih sayanglah juga aku dapat meneruskan hidup dengan lebih bermakna. Apa bezanya dengan masyarakatmu? Dengan beberapa keistmewaan pada bangsamu sudah tentu kasih sayang dalam masyarakatmu istimewa,” Kucing pula berbicara.

“Anggapan kau salah. Dalam masyarakat kami, yang kau kata kasih sayang ang istimewa dah tak penting lagi. Semuanya sudah musnah ditelan televisyen, internet, video, nyanyian, HIBURAN.. HIBURAN... dunia, nafsu dan syahwat.. semuanya musibah kepada kami,” Si Manja menyanggah Kucing.

Bayi Mulus lantas mengiyakan kata Si Manja,
“Betul tu. Kamu berdua lihatlah saja nasib kami berdua. Jadi mangsa penderaan dan mangsa pembuangan bayi. Itulah tandanya mereka sudah tak kenal erti kasih sayang.”

“Bawalah kami bersama kamu, Anjing dan Kucing. Bawalah kami bersama dalam masyarakatmu,” pujuk Bayi Mulus terhadap Anjing dan Kucing.

“ha..ah.. bawalah kami bersama kamu berdua. Tentu kau tak akan lokek untuk memberikan kasih sayang kepada kami,” Si Manja menjelaskan hasrat Bayi Mulus; yang juga menjadi hasratnya.


Hasrat yang sebenarnya fitrah insan.

‘Kasih sayang’.


“oh, mana boleh! Mana boleh begitu. Engkau berdua tak boleh hidup dengan bangsa kami. Kalau hidup dalam masyarakat kami, sia-sialah bergelar ‘MANUSIA’!” tegas Kucing.

“Kami percaya dalam masyarakatmu perasaan kasih sayang masih ada. Lagipun dunia kita berbeza.. Selamat tinggal,” kata Anjing sambil beriringan berlalu pergi bersama anaknya, Kucing.

Anjing dan Kucing berlalu meninggalkan kedua-dua bangsa manusia yang malang ;- Budak perempuan dengan pakaian tak terurus yang bernama Si Manja itu, juga Bayi Mulus, bayi yang berselimut kain nipis, berbedak merah dan bertali di perut.
Si Manja duduk melutut. Dia melutut menghadap Bayi Mulus. Sesekali dia ‘mengesat mata di lengannya’.

“Wahai bayi yang kecil, malang sungguh nasib kita. Tak siapa pun sudi memberi kasih sayang yang kita harapkan. Kita bukan minta duit, bukan minta emas berlian, bukan minta unit saham mereka. Kita Cuma nak belaian dan kasih sayang. Itupun kedekut nak bagi,” Si Manja merintih. Esakannya semakin jelas. Bayi Mulus; bayi yang berselimut kain nipis, berbedak merah dan bertali di perut itu mula sebek.

“Assalamualaikum anak-anak,”

Siapa tu?


“waalaikumussalam, siapa mak cik ni?” tanya Si Manja. Bayi Mulus pun tertanya-tanya.

“orang panggil mak cik ‘Ibu’. Ibu hairan melihat kamu berdua di tempat begini. Sebentar tadi, Ibu dah dengar segala cerita kamu.” Mak cik yang dikenal orang dengan ‘Ibu’ memulakan bicara lanjutnya.

“jadi, mak cik... eh... Ibu nak buat apa pada kami?” tanya Bayi Mulus.


“Ibu telah kehilangan satu-satunya anak Ibu; sememangnya sangat Ibu sayang. Lima bulan dia menderita di katil hospital, dia derita menanggung penyakit barah. Sampai ajalnya, ketemu Tuhan dua minggu yang lalu.. Inna lilLahi wa inna ilaihi raaji’uun. Sesungguhnya, kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali.. “ Ibu tak dapat menahan sebaknya.

Ibu sebak, bergenang air mata, tak tertahan lagi seraya melimpahi takungan kelopak matanya. Ibu menambah,

“berilah peluang kepada Ibu menumpang kasih engkau berdua. Ibu janji akan menjaga dan menumpahkan kasih sayang sebagaimana yang diharapkan.”

-----------------------------

Si Manja menadah tangan ke langit. Matanya bersinar. Si Manja berdoa,

“Alhamdulillah, Maha Suci Allah. SubhanalLah, Maha Suci Allah yang menguasai hati manusia. Engkau telah menggerakkan hati Ibu ini Ya Allah! Sesungguhnya, dunia ini tidak ada penderaan dan penganiayaan selagi di hati manusia masih ada perasaan kasih sayang.”

Ibu pun memimpin tangan Si Manja; budak perempuan dengan pakaian tak terurus itu dan mendukung bayi yang berselimut kain nipis, berbedak merah dan bertali di perut yang dikenal sebagai Bayi Mulus itu. Mereka berlalu. Berlalu dari ‘kegelapan masa silam’ menuju ‘Sinar Harapan’. Si Manja ‘mengesat mata di lengannya’....


--------------------------------


Ku dedikasikan cerita pendek ini khusus kepada seorang insan, yang mana sahabatku adalah kenalannya. Telah kudengar dari sahabatku ini akan kegundahan insan ini.
“Jangan putus asa dari rahmat Allah”.

Lagi-lagi, rahmat Allah melimpah ruah dalam bulan Ramadhan ini. InsyaAllah, permintaanmu bakal dikabulkan, jika benar engkau ikhlas. Allah tak akan memungkiri janjiNya.

Sebenarnya, Allah amat menyayangimu. Wujudmu adalah tanda wujudNya.

Apakah makna kewujudanmu andai Dia membencimu? Renunglah ke dalam dirimu dengan renungan yang sedalam-dalamnya.

Sesungguhnya, pada dirimu sudah nyata akan kasih sayangNya, jika kamu memahami.
Apakah makna hidup ini jika Allah meninggalkanmu?

Dia amat manyayangimu tetapi perbuatanmu terlalu melampau. Dia jadikan hatimu satu, tetapi engkau mengisinya dengan pelbagai kecintaan.

Engkau lebih cinta pada seruan nafsu dan syaitan, bahkan engkau berpaling dari seruanNya melalui petunjuk RasulNya (sallalLahu ‘alaihi wasallam).

Jika begitu, bagaimana engkau mahu mencapai kebahagiaan?

Engkau tidak akan ketemu syurga dalam kehidupanmu di dunia, apatah lagi di akhirat nanti.

Perjalanmu menyimpang ke neraka dan engkau akan derita.

Dunia ini akan mndatangkan pelbagai masalah, bagaikan kapal yang bocor; yang mana air laut akan masuk melimpahinya sedikit demi sedikit.

Tutuplah lubang itu dengan kasih sayangNya dengan taubat Nasuha, berdiri teguh dengan akidah dan syariat serta senantiasa berzikir kepadaNya, berselawat ke atas Junjungan Besar NabiNya; insyaAllah, segala kebocoran akan tertutup.
Dia tidak akan meninggalkanmu. Dia akan senantiasa menyebutmu apabila engkau menyebutNya.

Dia tidak menciptamu untuk tujuan membencimu.

Percayalah, tiada keraguan padanya.


“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah; Dia-lah yang menerima taubat hamba-hambanya?”

(at-Taubah: 104)


26 Ogos 2009
10.13 pagi
Kampung Pinang, Kamunting

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget