PKPIM anjur "Malam Padang Prihatin" |
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan “Malam Padang Prihatin” pada 11 November 2009 iaitu pada hari Rabu pukul 8.30 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur. Tujuan “Malam Padang Prihatin” ini diadakan adalah untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa tragedi gempa di Padang, Indonesia. Selain itu, penganjuran malam ini juga adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat demi mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin. Di samping itu, “Malam Padang Prihatin” ini juga telah mendapat sokongan beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang turut bersama-sama membantu untuk memastikan kejayaan penganjuran malam amal tersebut. Pertubuhan lain yang terlibat termasuklah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Persatuan Penggiat Seni Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), LLG Cultural Development Centre Bhd (LLG), dan Tamil Foundation. Dalam pada itu, “Malam Padang Prihatin” yang akan dianjurkan tersebut juga akan diisi dengan beberapa pementasan menarik yang akan mengenengahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti deklamasi sajak & puisi, tarian dan nyanyian kaum, sketsa, persembahan teater & koir dan sebagainya. Sementara itu, Sasterawan Negara, Dato A. Samad Said dijadualkan akan turut membuat persembahan pada malam tersebut. Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk hadir menyaksikan persembahan malam tersebut beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni yang dijalankan ini. Sebagai makluman, keuntungan dari penjualan tiket yang dijual akan disalurkan terus kepada keluarga mangsa Padang, Indonesia. Bagi yang berminat, pembelian tiket boleh dibuat menerusi Penolong Setiausaha Agung PKPIM Sdr Shahril Effendi Yunos di talian 019-5058580 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, harga tiket yang ditetapkan untuk malam tersebut adalah RM10.00sekeping. Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengharapkan semoga kehadiran anda dapat menjayakan objektif malam amal yang akan dijalankan tersebut untuk mengumpulkan sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia di samping melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin. |
Catat Ulasan