Halloween Costume ideas 2015
MPS

Kisah nabi Ibrahim a.s dengan anaknya, Nabi Ismail a.s





Ia

 
Kisah nabi Ibrahim a.s bapa kepada nabi ismail a.s. Kisah ini adalah kisah bagaimana ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s kepada perintah dan suruhan Allah ta'ala. Bagaimana pada suatu hari nabi Ibrahim a.s telah diperintahkan oleh Allah ta'ala untuk membawa isteri keduanya, Hajar beserta anaknya yang baru dilahirkan, Ismail a.s untuk ditinggalkan di suatu tanah gersang kering kontang yang dinamakan Makkah.


Sebaik saja menerima perintah Allah tersebut, nabi Ibrahim a.s tanpa banyak soal terus membawa isteri dan anaknya itu dalam suatu perjalanan yang amat jauh (bayangkan perjalanan darat dengan tunggangan unta dari Palestin ke Makkah, berapa jauh tu) dan tanpa memberitahu ke mana destinasi yang dituju mereka dan apakah tujuan kemusafiran itu kepada anak isterinya.


Setibanya sahaja di Makkah yang ketika itu adalah satu tempat yang gersang, kering kontang, tiada hidupan, tiada air, tiada tumbuhan, tiada orang lalu-lalang sekalipun, bak kata orang, tempat jin bertendanglah, maka diarahkanlah isterinya Hajar dan anaknya Ismail a.s turun dari tunggangan unta tersebut. Tanpa bercakap sepatah apa pun, hatta untuk mengucap selamat tinggal sekali pun, nabi Ibrahim a.s berlalu meninggalkan anak isterinya di situ. Maka tercengang-cenganglah isterinya dan teruslah Hajar merayu kepada nabi Ibrahim a.s agar tidak meninggalkannya di situ. Hajar juga terus bertanya kepada suaminya mengapa dan mengapa ditinggalkan mereka di situ. Akan tetapi nabi Ibrahim a.s tidak sedikitpun berpaling dari perjalanan baliknya dan tidak sedikitpun menjawab rayuan Hajar itu.


Sehingga akhirnya apabila Hajar bertanya adakah itu semua adalah suruhan dan perintah Allah? Maka barulah nabi Ibrahim a.s berhenti sebentar (tanpa berpusing melihat isteri dan anaknya) dan menjawab: "Ya, ini adalah perintah Allah", lantas disambung perjalanannya kembali dan mendengar jawapan itu, maka redhalah Hajar dengan apa yang dihadapinya itu (hebat sungguh seorang isteri kepada seorang nabi yang juga tinggi ketaqwaannya). Selepas beberapa jauh perjalanan, barulah nabi Ibrahim melihat ke belakang, akan tetapi kelibat isteri dan anaknya sudah tidak kelihatan. Lantas baginda berdoa dan bertawakkal memohon Allah memelihara isteri dan anak yang ditinggalkannya itu. Itulah nabi Ibrahim a.s yang tidak mahu melayan rayuan isterinya yang tercinta kerana baginda sedar sebagai manusia, baginda juga boleh cair dengan pujuk rayu isterinya walaupun ketika melaksanakan perintah Allah ta'ala.


Itulah kisah bagaimana hebatnya nabi Ibrahim a.s menerima dan melaksanakan perintah Allah ta'ala Tuhan Pencipta Semesta Alam sehingga mendapat gelaran "Khalilullah" yang bermakna "yang dekat dengan Allah". Macam mana lah kita ni pulak dalam menerima dan melaksanakan sesuatu tuntutan dan perintah Allah? Pasti ada ketika-ketikanya kita cuba mengkompromi atau menjustifikasikan tindakan kita untuk tidak segera atau bahkan tidak mahu langsung menjunjung perintah Allah. Bagaimana tuntutan solat fardhu lima waktu, tuntutan mengeluarkan zakat, berpuasa, menutup aurat bagi lelaki apatah lagi menutup aurat bagi perempuan yang lebih besar had-hadnya, tuntutan muamalah dan pergaulan lelaki dan wanita? Bahkan yang lebih besar lagi tuntutan melaksanakan isi kandungan AL-Quran sepenuhnya? Semoga kisah ketaatan dan ketaqwaan nabi Ibrahim a.s ini boleh membuka sedikit ruang keinsafan dalam diri kita sempena Idul Adha ini.


Dan ibadah korban yang kita laksanakan saban tahun juga harus dilihat dari perspektif taqwa dan ketaatan kepada Allah. Benar firman Allah ta'ala dalam surah Al-Hajj ayat 37: "Dan bukanlah daging mahupun darah (haiwan qurban) itu yang sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai adalah ketaqwaan kamu kepada Allah"



Labels:

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget