Dua Wajah membuka rahsia kezaliman penggunaan ISA
Buku pertama yang menceritakan pengalaman pahit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang saya baca ialah Universiti Kedua oleh Kassim Ahmad. Buku ini dibaca semasa masih belajar di Universiti Sains Malaysia. Buku kedua ialah Suara Dari Kamunting 1 oleh Saari Sungib.
Kini saya sudah selesai menghabiskan pembacaan buku Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara oleh Syed Husin Ali. Kebanyakan dari kita dan saya sendiri sering mendengar ISA disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk menangkap, menahan dan mendera para tahanan politik. Selebihnya kita tidak tahu. mungkin.
Melalui pembacaan ketiga-tiga buku yang saya sebutkan, gambaran jelas diperoleh. Namun buku pengalaman Syed Husin Ali ini membuka mata hati saya sejelas-jelasnya apakah ISA yang sebenarnya.
Ya, memang benar ISA ditempa bagi membendung anasir Komunis selepas Malaysia merdeka. Walaupun demikian, dalam banyak kes, seperti yang terjadi ke atas Syed Husin, penahanan beliau adalah sangat kabur. Melalui buku ini penulis mendedahkan bahawa semua alasan penahanan beliau dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan tanpa bukti.
Buku ini sangat berjaya mendedahkan lorong-lorong gelap tanya cahaya dalam tubuh akta yang ‘membenarkan’ unsur kezaliman dinobatkan. Lorong gelap kehidupan yang dilalui Syed Husin sepanjang hampir enam tahun itu seumpama lorong-lorong fizikal yang kelam yang dilalui beliau semasa berulang-alik ke bilik soal-siasat.
ISA merupakan sebuah akta yang digambarkan baik di permukaan, untuk membendung fahaman Komunis. Ya, mungkin ada eloknya. Tetapi ISA sebenarnya telah sekian lama disalahguna oleh pihak-pihak tertentu. ISA menghalalkan semua kaedah supaya tahanan politik mengaku perkara-perkara yang terlalu kabur, malah tidak langsung dilakukan oleh tahanan. Ini digambarkan dengan terperinci oleh Syed Husin. Akta ini juga samar. Sebuah akta yang kabur apabila digunakan secara melulu, ianya menjadi sangat zalim.
Saya tabik kepada Syed Husin. Walaupun beliau didera secara mental dan fizikal, namun beliau tetap teguh pendirian. Pusat kekuatan penulis, seperti yang digambarkan dalam buku ini, ialah Allah, kebenaran dan isteri yang taat.
Isteri Syed Husin, Puan Sabariah Abdullah, berkata dalam satu surat terbuka, begini: “Oleh kerana tahanan-tahanan politik tidak dibawa ke mahkamah terbuka, maka penahanan seseorang itu betul-betul terletak di bawah kekuasaan kerajaan. Kerajaan BN mempunyai kuasa terlalu banyak sama ada hendak membebas atau menahan terus seseorang tahanan politik. Kecurigaan tentang penyalahgunaan kuasa dalam hal ini semakin meluas. Jikalau kes tahanan politik dibawa ke mahkamah terbuka, rakyat bolehlah mengetahui segala perbicaraan, dan inilah yang nampaknya tidak diingini oleh kerajaan BN, kerana kepentingan politiknya.”
Dalam buku ini nama-nama besar ahli politik negara yang turut ditahan dalam ISA seperti Anwar Ibrahim dan Ibrahim Ali juga disebut dan menjadi rakan Syed Husin semasa di Kamunting. Wartawan Abdullah Ahmad, penulis buku Pandangan Dari Tudor City, New York juga ada.
Buku ini sangat saya syorkan untuk dibaca oleh anak-anak Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang agama. Ianya umpama fiksyen thriller, tetapi benar terjadi. Fikir-fikirkan, insyaAllah.
Judul: Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara
Penulis: Syed Husin Ali
ISBN: 978-983-3782-58-1
Penerbit: Strategic Information & Research Development Centre, 2008
Ketebalan: 176 muka surat
Harga: RM20.00
Thinking Of Book
Catat Ulasan