Halloween Costume ideas 2015
MPS

Suatu Ketika : Catatan 002 – Nak Jadi Apa?




Aku duduk di ruang tamu rumah Tok Wanku. Di sebelahku ada Angah dan nenekku yang aku panggil “tok”, panggilan orang utara terhadap nenek yang perempuan. Tok aku ini jenis yang tak berhenti kerja, ada sahaja benda yang nak dibuatnya. Sudah-sudahlah tu Tok! Tok pun dah tua, dah bongkok pun. Rehat-rehatlah! Bagi kami anak cucu ni pulak yang buat kerja.

Malam itu, semua ahli keluarga lain keluar ke rumah terbuka salah seorang pak menakan (bapa saudara) yang berpangkat Pak Tam di Klinik Kesihatan Daerah Kerian di Parit Buntar. Pak Tam ni tukang bawa ambulans.

Tak lama selepas itu, semuanya tiba di rumah. Mak Su berjalan ke ruang tamu lalu duduk di sebelahku.

“mana dia buku falsafah hang, Mak Su baca tak paham langsung!” Mak Su memulakan bicaranya.

Dia merujuk kepada sebuah buku berkenaan falsafah dan pemikiran Plato yang aku sedang cuba habiskan pembacaannya. Entahlah, aku ni ada tabiat buruk yang perlu aku ubah. Aku suka letak barang aku di merata-rata tempat, termasuklah buku-buku aku. Sebab tu sampai sekarang aku tak pakai jam tangan, takut hilang. Hilang sebab aku letak merata-rata lalu tidak mampu mengingat semula di mana tempat letak barangku. Mungkin Mak Su ada ternampak buku falsafah Plato aku tu di mana-mana sebelum ini.

Lantas, Mak Su mengambil beg yang berisi buku kepunyaanku. Habis diselongkarnya. Antara buku yang aku bawa ke kampung rumah Tok Wan termasuklah al-Muqaddimah karya Ibnu Khaldun, Islam and The Problem of Israel oleh Prof. Ismail al-Faruqi dan juga risalah Manzil susunan Maulana Zakariya Kandahlawi.

“hang esok besaq nak jadi apa? Pensyarah ka?” tanya Mak Su. Kenapa pulak mesti jadi pensyarah? Sebab buku-buku yang aku baca ke? Kalau nak diikutkan, secara zahirnya tak ada kaitan pun dengan jurusan yang aku ambil di Universiti. Tapi, tak semestinya tak boleh baca buku-buku semacam itu. Dah kecenderungan aku ke arah itu.
“nak jadi orang” jawabku bersahaja. Jawapan yang mudah dan berbaur ‘escapism’.

“memanglah jadi orang. Engineer ka? Pensyarah ka?” balas Mak Su

Mak Su menambah, “hang nanti lepas ni nak sambung master ka?”

“InsyaAllah” ringkas jawapanku.

Tiba-tiba, aku teringatkan Cikgu Mael, cikgu pendidikan jasmani di sekolah menengah dulu. Teringat konversasi yang berlaku antara aku dan cikgu Mael pada kira-kira dua tahun yang lepas, bertempat di Masjid Maimun; Masjid bagi qaryah Kampung Pinang, tempat tinggalku.

Cikgu Mael bertanya, “sambung belajar ke mana selepas ini?”

Aku menjawab, “ke UIA, engineering.”

“tak dapat tawaran ke oversea?” cikgu Mael bertanya lagi.
“ada, ke Korea Selatan, buat Engineering tajaan JPA, sama macam di UIA juga,” aku menerangkan.

Raut wajah Cikgu Mael berubah. “ngko ni biar betul. Yang ngko pergi tolak tawaran tu pasal apa? Ngko tahu tak berapa ramai graduan IPT dalam negara yang menganggur? Kalau ngko pergi Korea, balik esok confirm dapat kerja. Orang cari kau, tak payah ngko susah-susah pergi cari kerja. Aku rasa ngko rugi la.... cuba ko tengok abang-abang sekolah kau dulu, yang oversea semua dapat kerja, yang dalam negara.......bla..bla...bla...”

Cikgu Mael memang jenis selamba dan bersahaja. Beliau adalah antara guru yang paling rapat dan disenangi oleh para pelajar. Juga, beliau seorang yang agak kritis. Aku suka dia. Dia yang me’mula-cetus’kan panggilan atau gelaran atau laqab “Pinang” kepadaku, sehinggakan seluruh warga sekolah; dari pelajar, guru-guru, staf sokongan, mak cik dewan makan, pak gad (guard), pak cik tukang kebun dan lain-lain memanggilku Pinang sehinggalah sekarang.

Bebelannya itu membuatkan aku rasa kurang senang. Hati kecilku berkata, “bukannya nak bagi semangat, hampeh betul.. “

Aku sudahpun buat keputusan muktamadku ketika itu. Aku nak ke UIA. Keluargaku tak menghalang walaupun ada rasa kecewa kerana aku menolak tawaran yang mungkin jarang-jarang sekali dapat. Namun, siapakah manusia yang mampu menggugat keputusan aku ini? Tak ada yang mampu. Kerana aku orang yang punya prinsip. Pernah suatu ketika semasa di sekolah menengah, semasa aku berucap di hadapan para pelajar di dalam surau dalam ucapan penggulungan Presiden Badan Dakwah, aku ungkapkan sesuatu..
“saya orang yang ada prinsip dan prinsip saya yang saya yakini tak akan tergugat oleh sesiapa sekalipun walaupun orang itu seorang “pengetua”, PK HEM, warden, guru, pelajar, malah Presiden Amerika Syarikat sekalipun tak mampu mengganggu-gugat prinsip yang saya pegang.”

Ungkapan ini sebenarnya ada kisah di sebaliknya. Apa-apa pun, aku tetap berpegang dengan apa yang pernah aku ungkapkan.

Dan aku belajar bukan untuk mencapai pekerjaan. Itu prinsip aku. Aku belajar nak jadi “Orang”, bukan nak jadi “kuli”(pekerja). “Orang lain” hanya nampak belajar itu untuk cari kerja. Apakah kemuliaan bagi seorang penuntut ilmu sekiranya belajar dengan tujuan tertingginya mencapai pekerjaan?

Bicara lanjut tentang pendidikan dan komersialism, tujuan dan peranan ilmu, dan lain-lain yang menyangkut prinsip yang aku pegang mungkin dilaksanakan pada ketika dan kesempatan yang lain.

p/s : kepada Cikgu Mael, saya tak rugi masuk UIA. Kerana saya tahu, kerja bukan satu masalah bagi saya. Saya tak nak jadi kuli. Saya nak jadi “Orang”.

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget