Kisah Cerpelai, Keldai dan Raja Rimba (Episod 3)
"Ke hadapan sahabatku, keldai.
Dua tiga hari ini sesak rasanya dada ini. mungkin bebanan kerja menyempitkan
ruang untuk aku berbicara dengan engkau. ha! aku ada perkhabaran menarik,
pantas saja untuk kau tahu. Kulihat ramai yang bicara dengan lisan, sedang
lisannya digantung di buntut." eh, keldai... bukan sekadar itu, ada pula
yang berniat mahu melampias liur dari mulut cemarnya itu."
"Duhai sahabatku keldai..
Sungguh, aku tak benci dirimu, walau bukan sekali dua sakit hatiku; hati
berdarah, parah. sungguh, kau sahabat, kau tak hina akan diri aku.. ahh..
sungguh, aku tak benci diri kau. aku lebih rela kau caci maki aku, tak sekali
hatiku berduka terasa. kau boleh saja hentam kepala ini semahumu, hingga
memacul darah, tak sekali akan kumarah. tatapi akan, tak mungkin sekali-kali,
kiranya celakamu tak kenal diri; cinta hatiku kaulempar tahi, cerpelai kerdil
mula berdiri, pertahan dia angkatan 'alawi; usahlah kerna jahil belenggu, ranap
dirimu tiada berlagu; senandung duka daerah ini, moga cahaya Tuhan beri."
"Al-Ghazali pernah, dalam untaian pesan-nasihat, dinukil dia
akan pepatah parsi: "Seandainya kau timbang arak dua ribu kati, tak mabuk
akan engkau sekali-kali, selain ia kauteguk sendiri".
"Keldai, aku tahu
engkau punya hamasah, shaja'ah.. -- Tuhan akan puji dirimu, dengan sifat berani
begitu; tapi bukan bodoh melulu, lidah terikat di kaki kuku -- awas, waspada
lidahmu, umpama pepatah orang dulu-dulu, musibah tak tiba usah dipinta, kelak
merasa sendiri merana.. sabar dulu ya keldai, pasti Tuhan akan membantu; jika
lidah tidak bersendi, jangan pinta lidah kedidi"
"Tidak sedikit yang bicara
dengan tanpa tiada silu mempamerkan kebodohan mereka. keldai, aku rasa kau
patut fahami cerita yang aku beritakan dulu..Cubalah kau erti akan ceritera yang kuulang ini:
Hari itu, Sohibul Fadhilah Imam Abu Hanifah sedang mengajarkan
ilmu dalam halaqah. Pengajarannya lama lagi panjang, sedang penat semalamnya
belumpun hilang; demi amanat pengendong ilmu, tiada berkeluh tiada jemu. Selesai
mensyarah soalan dibalas, kakinya pula terasa kebas. tampak gaya halaqah dah
habis, mahu saja dilunjur betis.
Baru saja hendak melunjur, si Imam disentak
seraya terbujur. diberitakan ia orang mendatang, bersama orang hajat ditatang.
Lalu masuk si orang itu, berserban besar berjubah bulu. detik si Imam di dalam
hati, orang berilmu wajib hormati.
Gaya pakai ala ulamak, pasti ilmu banyak di
benak. si Imam menunggu apa gerangan, katanya hajat di dalam tangan. Buka saja
si mulut dia, si Imam pula senyum beriya. Ketawa ia berdekah jua, tak tertahan
geletek geli hatinya.
Si Imam melihat betis dan paha kebas, terpacul dari
mulutnya lantas; Apa gerangan risaunya tadi, bolehlah Abu Hanifah melunjur
kaki.
-- tamat episod 3 --
|| Karya bebas, Peminggirkota
Catat Ulasan