1- Daripada Amirul Mukminin Abi Hafsh Umar Al-Khattab, berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda”: “Bahawasanya sesuatu amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu mendapat balasan yang ia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia meraihnya atau kerana seorang wanita yang ingn dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah atass apa yang ia berhijrah kerananya. [Riwayat Bukhari dan Muslim]
2- Niat merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan manusia. Niat ialah lintasan hati, niat ialah motivasi, niat ialah gerakan hati, niat ialah tujuan, niat ialah ingatan dalam hati.
3- Menurut hadith, niat adalah permulaan setiap perbuatan. Niat itu kadangkala jelas, dan kadangkala samar.
4- Dalam kehidupan seharian, ada perkara atau perbuatan yang kita sedar dan berniat secara jelas, tetapi ada perbuatan kita yang kita tidak berniat secara jelas (samar) sebelum melakukannya.
5- Hakikatnya, niat bukanlah semata-mata apa yang kita niatkan secara khusus seperti niat solat atau niat puasa, tetapi ia juga berlaku dalam keadaan yang tidak kita sedari kerana ia adalah lintasan hati yang menggerakkan perbuatan kita. Oleh yang demikian, sekiranya kita sedar apa yang kita niatkan, ia akan membawa implikasi yang lebih baik terhadap perbuatan kita.
6- Hadith ini adalah berkaitan dengan peristiwa hijrah Nabi s.a.w dan para sahabat dari Mekah ke Madinah. Dalam rombongan hijrah tersebut, ada seorang lelaki yang keluar pergi berhijrah bukan kerana Allah dan Rasul, tetapi kerana ingin mengahwini seorang wanita yang bernama Ummu Qais.
7- Oleh yang demikian, Nabi Muhammad s.a.w menyebutkan hadith ini sebagai ingatan kepada para sahabat sekaliannya.
8- Hadith ini adalah hadith yang sangat mahsyur. Ia adalah hadith yang mutawatir dan mesej dalamnya sangat penting untuk panduan kaum Muslimin.
[Konsep Niat: Apa itu Niat?]
9- Secara umumnya, niat ialah lintasan hati, ingatan hati, motif, impian, kehendak, tujuan, harapan, halatuju dan motivasi.
10- Menurut Kamus Dewan, niat bermakna: a) Tujuan atau maksud sesuatu perbuatan; b) Ingatan hati; dan c) Janji dalam hati untuk melakukan sesuatu jika terkabul sesuatu yang dihajati.
11- Dalam mukadimah kitab Mustika Hadis, disebutkan bahawa niat ialah a) Tujuan yang membangkitkan dan menggerakkan hati seseorang hendak melakukan sesuatu perkara; b) Perasaan tergerak untuk melakukan sesuatu perkara.
12- Justeru, niat merupakan asas penilaian baik buruk sesuatu.
13- Perlakuan dan perbuatan kita adalah pengiktirafan terhadap apa yang kita niatkan.
14- Niat boleh jadi baik atau buruk. Apa-apa yang diniatkan baik akan dapat nilai kebaikannya, dan apa-apa yang diniatkan buruk akan dapat nilai keburukannya.
15- Menurut Mustafa Abdul Rahman dalam syarah Arba’in Nawawiyah, dalam istilah syarak, niat ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada Allah.
16- Oleh itu, niat yang diiktiraf di sisi syarak ialah niat yang baik dan terpuji, bukan niat yang buruk.
17- Kesimpulannya, niat ialah suatu input yang menghasilkan output perbuatan. Oleh sebab setiap perbuatan bermula dengan niat, maka perbuatan itu adalah berdasarkan kemahuan dan pilihan seseorang. Maka, dialah yang bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri atas sebab niatnya itu.
18- Beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan tema hadith ini: Surah Hud, ayat 15; Surah Al-Syura, ayat 20; dan Surah Al-Nisa, ayat 114.
[Implikasi Niat Terhadap Kehidupan]
19- Niat yang baik boleh membawa implikasi yang baik, manakala niat yang tidak baik membawa kepada implikasi yang tidak baik.
20- Dalam ilmu psikologi, niat dikaitkan dengan "motivasi".
21- Perkataan "motivasi" datang daripada perkataan "motif" yang bermaksud tujuan.
22- Niat = Motivasi = Motif + Aksi
23- Oleh itu, niat atau motivasi adalah tujuan yang membuahkan amal/perbuatan.
24- Dalam psikologi Barat, motivasi ialah dorongan atau desakan untuk seseorang bertingkahlaku bagi mendapatkan sesuatu ganjaran.
25- Teori ini dibangunkan dan dikembangkan oleh tokoh psikologis Behaviourism seperti Abraham Maslow. Malah beliau merangka teori “Hierarchy of Needs” bagi mengembangkan teori motivasi beliau.
26- Menurutnya, motivasi manusia hadir untuk memenuhi lima matlamat keperluan utama manusia (Hierarchy of Needs): a) Fisiologi; b) Keselamatan (safety); c) Kepunyaan Kendiri (self-belonging); d) Harga Kendiri (Self-esteem); dan e) Aktualisasi Diri (Self actualization).
27- Menurut teori ini, setiap tingkatan keperluan perlu dipenuhi secara bertingkat. Dalam kata lain, Abraham Maslow mengatakan setiap manusia perlu memenuhi peringkat yang paling bawah dengan sempurna sebelum boleh mencapai peringkat kedua dan kefahaman ini dikritik hebat oleh para psikologis sendiri.
28- Dalam konteks Islam, terdapat satu Hadith Qudsi, di mana Allah menyatakan “Aku adalah menurut sangkaan hamba-Ku”. Untuk mengaitkannya dengan diskusi kita berkaitan niat, kita perlu mengawal niat kita menjadi positif.
29- Kawalan hati dan niat menjadi positif inilah yang kita kenali sebagai 'husnu zhon’ (sangkaan baik).
30- Niat yang baik bermula dengan sangkaan yang baik dan positif.
31- Niat yang baik, murni dan terpuji akan membawa kepada ikhlas.
32- Lebih menarik, kita perlu mendidik diri agar mengahalakan niat menjadi "kehendak"‟ berbanding "kemahuan"
33- Kehendak membawa konotasi keinginan dengan kerelaan hati, manakala kemahuan memberi konotasi keinginan dengan dorongan atau desakan luar.
34- Oleh itu, niat dengan faktor "kehendak" boleh membawa kepada keikhlasan.
35- Niat adalah aspek dalaman manusia. Ia adalah ibadah jiwa.
36- Manakala, tindakan atau perbuatan adalah aspek luaran manusia. Ia adalah ibadah anggota. [Niat vs. Angan-angan]
37- Niat yang tidak disusuli dengan perbuatan dikhuatiri akan jatuh menjadi angan-angan.
38- Niat seperti ini tidak dilandasi dengan ilmu. Justeru, niat seperti ini adalah niat yang buruk dan wajar dijauhi.
39- Sebagai contoh, seseorang itu berniat untuk menjadi pandai, tetapi dia tidak berusaha dengan sedaya upaya belajar untuk menjadi pandai. Maka, dia sebenarnya sedang berangan-angan.
40- Justeru, untuk memahami niat dan implikasi positifnya, kita perlu hubungkan dengan beberapa elemen lain yang penting dan berkaitan.
41- Niat – Ilmu – Amal – Spiritual. Niat mesti dilandasi dengan ilmu, yang akan menggerakkan amal. Aspek spiritual adalah elemen kawalan yang mengawal niat, ilmu dan amal agar selari antara satu dengan yang lain.
[Niat dan Rahmat Allah]
42- Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang antara lainnya bermaksud “Allah s.w.t menetapkan sesuatu kebaikan dan kejahatan. Barangsiapa yang tergerak hatinya untuk suatu kebaikan walaupun dia belum melakukannya, maka dicatatkan baginya satu kebaikan penuh baginya. Sekiranya dia melakukannya, maka digandakan baginya pahala untuk amalan tersebut. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan suatu kejahatan, tetapi ia tidak melakukannya, maka dituliskan satu kebaikan penuh baginya, dan sekiranya dia melakukannya, maka dicatatkan satu kejahatan baginya."
43- Menariknya, hadith ini menunjukkan betapa besarnya Rahmat Allah kepada kita. dengan hanya berniat tanpa melakukan sesuatu yang diniatkan itu, Allah memberikan satu kebaikan penuh kepada kita.
44- Bagi niat kebaikan, apabila dilakukan perbuatan yang diniatkan itu, maka beroleh kita pahala dan kebaikan berganda. Manakala bagi niat yang buruk, jika dilakukan hanya dicatatkan satu keburukan sahaja bagi orang yang melakukannya.
[Niat Hadir dari Hati]
45- Hakikatnya, niat adalah suatu perbuatan yang lahir dari hati.
46- Hati adalah anggota rohani manusia. Hati berkaitan dengan akal, jiwa dan roh.
47- Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa hati (qalb), akal (aql), jiwa (al-nafs), juga roh (ruh) adalah dimensi-dimensi diri rohani manusia yang disebut beliau sebagai Al-Latifah Al-Ruhaniah/ Rabbaniyah
48- Niat muncul daripada diri rohani manusia yang akhirnya terpamer pada perbuatannya.
49- Menurut KH Abdullah Gymnastiar (Aa Gym), teko mengeluarkan isinya. Jika isinya kopi, maka kopi yang akan keluar daripada teko apabila isinya dituang keluar. Jika isinya teh, maka teh lah yang akan keluar.
50- Maksudnya, perbuatan kita adalah apa yang keluar daripada niat hati kita. Jika kita melakukan perbuatan baik, maka niat kita adalah niat yang baik. Begitu juga sebaliknya.
[Wacana Tambahan: Niat dalam Ibadah Khusus]
1- Di dalam mazhab Imam Syafi‟i r.h., niat merupakan salah satu rukun kepada semua amalan ibadah khusus. Niat berlaku pada ketika kita ingin memulakan sesuatu amalan.
2- Walaubagaimanapun, dalam ibadah khusus, niat sesuatu ibadah itu ada tempat dan waktunya yang tertentu.
3- Sebagai contoh, niat mandi junub pada ketika jirusan pertama air sampai ke anggota badan; niat solat ialah pada ketika kita bertakbiratul ihram “Allahu Akbar”; niat puasa pada malam hari sebelum fajar keesokan harinya.
4- Begitulah yang digariskan dalam mazhab kita, mazhab Syafi'i yang menjadi kerangka kefahaman dan amalan feqah bagi masyarakat di Alam Melayu ini.
[Tentang Lafaz Niat]
5- Dalam mazhab Imam Syafi'i juga, kita diajarkan tentang lafaz niat. Lafaz niat ialah melafazkan niat amalan tersebut sebelum berniat di dalam hati secara khusus ketika melakukan amalan ibadah tersebut.
6- Pada sesetengah Imam mazhab yang lain tidak meletakkan lafaz niat sebagai suatu yang sunat, tetapi pada pandangan sebahagian ulama-ulama Syafi'iyah, lafaz niat adalah suatu perkara yang penting untuk membantu memantapkan fokus dan kusyuk serta menambah-kuat kesedaran dan kejelasan kita ketika berniat di dalam hati.
[Tentang Niat dalam Solat]
7- Niat dalam solat ialah pada ketika kita bertakbiratulIhram. Lazimnya, kita akan membaca lafaz solat sebelum mengangkat takbiratulIhram dan ketika takbir itulah masanya kita berniat di dalam hati.
8- Masalah timbul apabila lafaz niat itu terlalu panjang, dan kita terpaksa menyusun niat dalam hati seperti lafaz niat tadi.
9- Sebagai contoh, lafaz solat fardhu Maghrib: “usholli farhal maghribi thalatha raka’atin adaan lillahi ta’ala” – “sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah ta‟ala”.
10- Ini mengakibatkan masa yang kita ambil untuk bertakbir menjadi panjang dan lama.
11- Masalah ini dapat diatasi sekiranya kita menambah ilmu kita tentang memahami niat solat ini.
12- Para ulama sebenarnya telah mengajarkan kita bahawa dalam niat solat itu terdapat tiga unsur asa yang wajib ada dalam niat: 1) Qasad; 2) Ta’rud; dan 3) Ta’yin.
13- Qasad ialah mensahajakan/ menetapkan amal perbuatan kita (“sahaja aku sembahyang”); Ta’rud ialah menyatakan status solat sebagai fardhu (“solat fardhu”); dan Ta’yin ialah menyatakan solat yang kita kerjakan itu (“Maghrib”).
14- Sebenarnya cukuplah kita berniat atau terlintas di dalam hati kita dengan “sahaja aku solat fardhu Maghrib”.
15- Walau bagaimanapun, sekiranya kita memahami niat sebagai lintasan hati, panjang mana pun bait-bait niat kita itu pasti tidak menjadi masalah kepada kita.
WalLahu a'lam.
Hidup Biar Berjasa!
MOHAMMAD FAZRIL B. MOHD SALEH
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
26 Oktober 2014/ 02 Muharram 1436H
Kampung Pinang, Kamunting
fazrilsaleh@gmail.com.