Halloween Costume ideas 2015
MPS

Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri: Pendita Za'ba








PERANGAI BERGANTUNG KEPADA DIRI SENDIRI:
TINJAUAN RINGKAS TERHADAP DUA BAB AWAL

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PRAWACANA
Kemunduran dan keterbelakangan umat Islam dan bangsa Melayu bukanlah suatu yang baharu diperkatakan. Sejak era sebelum merdeka lagi, para reformis kerapkali melakukan kritik keras terhadap bangsanya sendiri dengan harapan untuk membangun bangsanya kembali gagah dan bergerak maju ke hadapan.

Allahyarham Zainal Abidin Bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za’ba merupakan seorang tokoh cendekia Melayu yang cukup istimewa. Kepedulian beliau terhadap umat dan bangsa ini terpamer dalam kegiatan dan perjuangan selama beliau menjalani kehidupan di alam fana ini. Dalam kertas kerja yang sederhana ini akan dipaparkan beberapa buah fikiran Za’ba tentang nasib umat ini dan bagaimana mahu membangun semula bangsa Melayu-Islam ini menjadi bangsa yang mulia dan terhormat.

NUKILAN YANG KONTROVERSI
Za’ba merupakan seorang tokoh penulis yang prolifik. Tulisan-tulisan beliau dimuatkan dalam banyak majalah dan periodikal yang wujud pada zaman sekitar awal 1920-an sehingga lewat 1950-an. Buku yang bertajuk “Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri” merupakan himpunan tulisan beliau yang tidak pernah diterbitkan pada ketika beliau masih hidup. Ia hanya diterbitkan dalam tahun 1982 setelah himpunan tulisan beliau ini dijumpai oleh warisnya, Puan Zaharah Za’ba dan diserahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dicetak. 


Tulisan ini sebenarnya adalah merupakan sambungan daripada sebuah himpunan tulisan beliau yang dikenali sebagai Risalah Pertama yang diterbitkan dengan judul Umbi Kemajuan dan Falsafah Taqdir. Justeru, boleh dikatakan bahawa Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri merupakan Risalah Kedua dan Risalah Ketiga yang ditulis oleh Za’ba sebagai buah fikiran beliau terhadap permasalahan umat.

Malang sekali, Risalah Kedua ini tidak diterbitkan kerana kontroversi Risalah Pertama yang beliau terbitkan sebelum itu. Risalah Pertama telahpun diharamkan oleh DYMM Sultan Perak pada ketika itu atas sebab tentangan hebat oleh para ulama di Negeri Perak terhadap isi kandungan bukunya itu. Justeru, bagi mengelak polemik dan pertentangan dengan para ulama tradisional, beliau mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan Risalah Kedua ini sehinggalah akhir hayat beliau.

Mengapa tulisan beliau ini cukup kontroversi? Ini disebabkan oleh pemikiran beliau yang melawan norma pemikiran Islam tradisonal yang dominan ketika itu. Tanpa menafikan peranan para ulama tradisional dan ketinggian ilmu mereka, penulis merasakan Za’ba sebenarnya cuba menganjak cara berfikir umat ketika itu yang salah dalam memahami konsep taqdir sehingga membuatkan mereka jatuh ke dalam sikap sambil lewa dalam bekerja dan bermalas-malasan dan urusan harian.

Seperkara lagi yang mungkin menjadi isu besar yang dipertelingkahkan ialah berkenaan isu ijtihad. Za’ba, seperti juga para pemikir reformis ‘kaum Muda’ yang lain, mengajak umat Islam dan bangsa ini jangan hanya bertaqlid buta sahaja. Mereka menyeru kepada penggunaan akal fikiran dan keluar daripada kepompong sikap suka meminta-minta.

TEMA-TEMA BESAR DARIPADA BAB 1 DAN BAB 2
Buku “Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri” ini terdiri daripada dua bahagian: 1) Risalah Kedua; dan 2) Risalah Ketiga. Risalah Kedua mengandungi empat bab, manakala Risalah Ketiga mengandungi empat bab lagi. Beberapa tema-tema besar, khusus dalam Bab 1 (Wajibnya Bagi Mendapat Kejayaan) dan Bab 2 (Kekurangan Kita dalam Sifat Ini) tulisan beliau ini dipaparkan seperti di bawah:

1. Konsep “Al-I’timadu A’la Al-Nafs” Sebagai Sifat Terpuji
Menurut Za’ba, bergantung kepada diri sendiri adalah sifat terpuji sebagaimana yang dicontohan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘makarim al-akhlaq’. Bergantung kepada diri sendiri bermaksud percaya dan yakin dengan usaha dan kebolehan diri sendiri dan tidak menjadi lemah dan suka meminta-minta atau selalu mengaharap kepada bantuan orang lain.

2. Kewajiban Mencapai Kejayaan
Pada hakikatnya, manusia mampu untuk berusaha mencapai kejayaan kerana Tuhan memberikan manusia aqal kepada manusia dan keupayaan untuk berikhtiyar. Maka tiada alasan untuk manusia tidak beusaha mencapai kejayaan.

3. Kewajiban Berusaha Dengan Keupayaan Sendiri
Setiap amalan manusia akan dihitung oleh Allah dan diberikan ganjaran kebaikan atau balasan keburukan atas apa yang ia lakukan. Justeru, setiap individu adalah wajib untuk berusaha sendiri dan yakin dengan kebolehannya.

4. Kejayaan Bangsa Bergantung Kepada Individu-Individunya
Umat yang kuat dan maju lahir daripada individu-individu yang kuat dan maju. Sesuatu umat atau bangsa itu dibentuk oleh individu-individunya. Maka, kekuatan dan kemajuan sesuatu bangsa adalah berdasarkan kemajuan individu yang membentuknya. Justeru untuk membangun umat dan bangsa yang maju, individu-individunya harus maju terlebih dahulu.

5. Kejayaan Di Dunia Bergantung Kepada Usaha Diri Sendiri
Kejayaan di dunia adalah berdasarkan sejauh mana usaha yang dilakukan. Kejayaan tidak akan hadir daripada sifat suka meminta-minta dan mengharap pertolongan orang lain melainkan dengan keyakinan terhadap usaha diri sendiri.

6. Keselamatan Di Akhirat Bergantung Kepada Usaha Diri Sendiri
Untuk memperoleh balasan baik di Akhirat bukanlah semata-mata dengan mengharap syafaat Nabi Muhammad s.a.w, atau dengan pertolongan dan doa orang lain, tetapi mestilah dengan usaha dan kesungguhan individu untuk beramal soleh dan melakukan kebajikan.


KHATIMAH
Kepedulian Za’ba terhadap nasib umat dan bangsa Melayu adalah ciri seorang intelektual yang merakyat dan tahu akan peranannya dalam membangunkan masyarakatnya. Nukilan beliau walaupun kontroversi tetapi masih dalam laras bahasa yang sopan dan terhormat. Bab 1 dan Bab 2 dalam buku ini masih perlu kepada kupasan lanjut. Mesej daripada dua bab awal ini adalah jelas. Manusia adalah makhluk yang dipertanggungjawabkan untuk menjalani kehidupannya dengan daya upaya dan usahanya sendiri kerana ia diberikan akal dan iktiyar. Bangsa yang ingin maju hanya dapat bangun dengan memajukan individu-individu yang membentuk bangsa tersebut. Justeru, setiap individu perlu yakin dan percaya kepada kebolehan dan potensi diri. Manusia bukan hanya perlu bergantung kepada diri sendiri dalam urusan duniawi, tetapi juga dalam urusan ukhrawi kerana ganjaran dan balasan baik ataupun buruk adalah atas apa yang dilakukannya sendiri.


Wallahu a’lam bi al-sowab


Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
25 September 2013, 06.21 petang
Sungai Chincin, Gombak Selangor

013-2775313 / fazrilsaleh@gmail.com / fb: Peminggir Kota

Catat Ulasan

Kulit buku ini untuk cetakan ke berapa & tahun berapa?

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget