Beberapa hari yang lalu, aku telah kehilangan Pasport Antarabangsa. Aku ingat kali terakhir aku melihatnya adalah pada hari Selasa minggu lalu. telah aku usahakan untuk menjejak pasport tersebut di semua tempat yang aku singgahi pada hari itu.
Setelah seminggu ternyata aku telah kehilangannya. Aku perlu buat segera, kerana penerbangan ke Brunei sudah tidak lama lagi. 15 Mac aku akan berangkat ke Brunei. Tiket penerbangan pun sudah ditempah.
Justeru, terpaksalah aku membuat laporan polis sebagai prasyarat untuk memohon pasport baharu. Hari Selasa, setelah genap seminggu terpaksalah aku ke balai polis berdekatan untuk melaporkan kehilangan pasport.
Setibanya di Balai Polis Bandar Baru Bangi, ditanyakan oleh pegawai polis tersebut akan akan perihal kehilangan pasport tersebut. Setelah kuhulurkan kad pengenalan, pegawai tersebut terkesima lalu tersenyum. Beliau beritahu kepada ketua balai, "Encik, ini alamat kampung lama saya."
Kulihat nametag beliau. Namanya Amirul. Raut wajahnya aku cam. Hitam-hitam manis orangnya. Lalu kutanyakan beliau akan tahun lahirnya. 1991, ini bermakna beliau kini berusia 24 tahun.
Zaman Kanak-kanak di Kampung Pinang: Taman Permainan Baharu
Aku seakan-akan mendapat bayangan (vision) masa silam. Terkenang kembali zaman kanak-kanak kami. Ketika itu aku di bangku tadika (TABIKA KEMAS Kampung Pinang). AKu sekelas dengan abang kepada Yo atau Amirul ini (pegawai polis yang aku temui). Saat itu, padang permainan menghadap rumah kami sedang dibina peralatan permainan seperti gelongsor (plastik) bagi menggantikan gelongsor batu yang lama, papan jongkang-jongkit, buaian dan lain-lain.
Sudah pasti kami begitu teruja. Ramai sekali kanak-kanak yang datang bermain setiap petang. Aku dan Angah juga tidak terkecuali. Kami tidak melepaskan peluang bermain di padang setiap petang.
Peristiwa Papan Gelongsor: Bahana Terlebih "Excited"
Hafizi dan adiknya, Yo, merupakan dua orang anak-anak yang 'buas'. (buas dalam bahasa orang utara digunakan dalam konotasi hiper-aktif). Aku yang 'buas' ini pun kalah dengan 'kebuasan' mereka. Suatu petang, ketika kami beratur menuruni gelongsor, dengan tidak semena-mena aku tertolak Hafizi, sehingga beliau terjatur daripada pangkal gelongsor dan tersembam ke tanah. Agak tinggi juga. Beliau menangis. Pipi dan dahinya lebam.
Aku cuak. Hafizi berlari pulang ke rumah. Adiknya, Yo, nampak seperti tak risau langsung. Biasalah budak kecil yang masing belum mengerti apa-apa. Pulang ke rumah, Hafizi mengadukan hal tersebut kepada ibunya. Ibunya datang ke rumah mengadukan hal tersebut kepada emak. Aku semakin cuak.
Mujur Abah tiada di rumah. Kalau tak, lunyai aku dan Angah dipukul. Sejak daripada peristiwa tersebut, aku dan Angah tidak lagi dibenarkan bermain di padang. Dan memang aku tak menjejak padang tersebut sehingga tamat zaman kanak-kanakku. Penyesalan yang tiada kesudahan sehingga penghujung zaman kanak-kanak.
Beberapa bulan kemudian, keluarga Hafizi dan Yo berpindah. Sejak dari itu, kami tak pernah bertemu lagi. Mana tersangka, bertemu semula dengan salah seorang daripada adik-beradik tersebut. Si Yo (Amirul) tak begitu ingat persitiwa zaman kanak-kanak.
Semoga Diberkati
Pulang ke rumah, aku bertanyakan Angah akan hal itu. Angah masih ingat. Kini, Amirul (Yo) merupakan seorang anggota polis manakala abangnya Hafizi adalah merupakan seorang anggota tentera darat. Kampung mereka kini di Changkat Jering.
Alhamdulillah, aku mendoakan yang terbaik dalam kehidupan kedua-dua teman lama, yang dahulu menjadi rakan sepermainan di kampung halaman. Semoga Allah memberkati.
Catat Ulasan