Halloween Costume ideas 2015
MPS

Selamat Hari Lahir Emak: Bidadari dan Si Jantung Hati Kami


Ibu adalah anugerah besar bagi setiap insan. Jasa dan pengorbanannya tiada ternilai. Kehilangan seorang ibu pastintiada galang gantinya.

Hari ini, 30 Mac adalah hari kelahiran emak. Tahun ini usia emak mencecak 49 tahun. Emak dan Abah telah berkorban sekian lama membina kehidupan dan membesarkan kami adik beradik. Usiaku saja sudah 26 tahun. Puluhan tahun bersama membina keluarga pastinya tidak mudah.

Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dengan bermacam kelemahan hamba-Nya, Allah tetap memberikan nikmat dan memayungi hamba-hamba-Nya dengan lembayung rahmat dan kasih sayang.

Kuat Menangis, Kuat Merengek

Mengikut cerita makcik-makcik kami, aku semasa kecil dahulu kuat menangis. Sejak lahir sehinggakan orang tua-tua dahulu berusaha mengubatiku yang dikatakan "sawan tangis" dengan pelbagai kaedah tradisi yang kadang-kala mengarut dan mengandungi unsur khurafat. Itu cerita orang dulu yang masih kuat kepercayaan dan adat orang lama. Bukan salah mereka, kerana kefahaman Islam belum lagi menyeluruh.

Apapun, sudah pasti tidak mudah menjaga seorang anak kecil yang kuat menangis seperti aku. Bagaimana tidur emak setiap malam, yang terganggu dek tangisan nyaringku yang memecahkan kesepian malam tatkala orang sedang nyenyak beradu?

Bagaimana sukarnya menjaga aku semasa kecil digambarkan oleh makcik-makcik kami: 'henjut' buaian sampai nak patah alang baru lah senyap daripada menangis".

Tersepit Kaki di Jejari Basikal

Betapa aku ketika kecil dulu seorang anak yang 'buas', tak reti duduk diam. Sehinggakan naik basikal di'carry' (dibonceng) oleh emak pun aku selalu tersepit kaki ke dalam jejari basikal.

Aku masih ingat, emak akan ikat kakiku di badan basikal dengan menggunakan kain bagi mengelakkan kaki tersepit. Sekali kali tersepit di jejari basikal, sudah pastinya air mata berjurai, mulut tak henti berteriak kesakitan. Kaki yang mulus mula membiru, hati si ibu menjadi haru. Disapunya minyak gamat, dibacanya doa lalu dihembuskan pada kaki. Dipujuknya,  dikesat air mata si anak.

Bebelan dan Marah Tanda Sayang

Memang selalu aku dimarah emak. Biasalah budak 'buas'. Waktu sekolah darjah empat, darjah lima dulu... Setiap hari selepas balik sekolah, aku selalu singgah ke warung makan, pekena laksa dan air sirap. Kemudian pergi main "lala", sejenis permainan tradisi masyarakat utara Semenanjung Malaysia. Permainan ini menggunakan kayu pemukul bagi setiap pemain, dan bola 'chop' (bola tenis). Ada seorang pemain yang akan "jadi", yang lain perlu jaga 'rumah' daripada diceroboh "orang yang jadi" tadi, dan jaga diri daripada terkena bola yang dituju oleh "orang yang jadi".

Pastinya permainan ini akan menyebabkan berpeluh, dan kadang-kadang baju jadi kotor akibat terjatuh atau terkena bola. Pulang ke rumah lambat. Pastinya disoal siasat emak. Sebab takut dimarah, kadang-kadang aku tipu, aku beritahu ada kelas tambahan, tapi sebenarnya main.

Peka dan Peduli Pendidikan

Emak sekolah sampai tingkatan lima, sempat ambil SPM. Semasa sekolah rendah dulu emak sentiasa buka beg sekolah kami. Emak akan periksa buku-buku sekolah. Malamnya selepas solat Isyak, mulalah emak bising suruh kami siapkan kerja rumah dan ikut jadual waktu persekolahan. Pabila tiba musim peperiksaan, kadangkala emak menunggu kami mengulangkaji. Namun sejak masuk asrama, kami masing-masing kena berdikari.

Kami Sayang Emak

Alhamdulillah, hidup kami tidaklah 'perfect' seperti keluarga lain yang lengkap serba-serbi. Tetapi hakikatnya hidup kami memang sempurna. Emak yang merupakan seorang wanita biasa sebenarnya adalah serikandi, bidadari dan cinta hati kami semua. Beliau adalah seorang hamba Allah yang ikhlas, sukar sekali menemukan orang sepertinya. Seorang insan yang sentiasa ingin belajar, tak pernah putus asa dan punya kebergantungan tinggi kepada Tuhan. Kami semua sayang Emak. Semoga Allah meberkati usaha dan jasa emak membesarkan kami dan mengasuh kami semua. Emak adalah seorang wali bagi kami!

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget