Halloween Costume ideas 2015
MPS

Resensi Buku: "Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam" kerya Awang Sariyan



ASAS FALSAFAH DAN PEMIKIRAN MELAYU BERTERASKAN ISLAM oleh Awang Sariyan. Kuala Lumpur: Penerbitan Ilham Baru, 2010. Halaman 130. ISBN: 978-976-5642-09-8.


Dalam usaha pencarian setengah-setengah kalangan yang masih meraba-raba untuk menentukan takrif Melayu, pada hemat penulis, hakikat yang sudah terang di hadapan mata kita tentang Islam sebagai teras jati diri Melayu itu tidak perlu diragui lagi.”   – Awang Sariyan

Falsafah dan Manusia
Sesuatu bangsa yang bertamadun akan memikirkan secara sedar akan falsafah hidup mereka. Pemikiran falsafah ini termanifestasi dalam tindakan dan amalan seharian. Ia menjadi pegangan dalam meneruskan perjalanan kehidupan ini. Mungkin persepsi sesetengah orang mengatakan falsafah itu nampak berat dan memeningkan, tetapi hakikatnya tidak seperti itu. Falsafah itu termanifestasi pada setiap tindakan manusia, sama ada tindakan itu kecil atau besar, sama pelaku perbuatan itu sedar atau tidak. Contoh mudah, ungkapan “makan untuk hidup, atau hidup untuk makan” merupakan antara contoh idea falsafah yang mudah, tetapi mempunyai implikasi pada tindakan manusia.

Dr. Awang Sariyan merupakan seorang tokoh pemikir yang istimewa. Karya beliau ini cuba diringkaskan sebaiknya untuk tatapan khalayak. Perbincangan tentang falsafah bukanlah sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun, Dr. Awang telah cuba memudahkan persembahan idea falsafah ini dengan cara yang lebih mudah untuk difahami.

Beliau menyorot aspek-aspek tertentu dalam falsafah dan pemikiran bangsa Melayu. “Bangsa Melayu mengalami revolusi pemikiran dan transformasi tamadun yang ketara dan menyeluruh setelah menerima Islam”. Ungkapan ini merupakan premis awal beliau yang melatari keseluruhan karyanya ini. Kajian tentang asas falsafah dan pemikiran Melayu ini dianggap beliau sebagai penting kerana “sudah sampai saatnya kita dengan sedar dan serius menumpukan upaya dan perhatian untuk merangka pelan tindakan dan melaksanakan program yang berkaitan dengan segala aspek kehidupan...”. (Hlm. xvii)

Sembilan bab yang dipersembahkan dalam karya ini boleh dikategorikan kepada dua bahagian; i) kupasan falsafah dan logik secara teoretis, dan ii) aplikasi falsafah dan logik dalam praktik kehidupan manusia. Secara spesifik, Bab Satu, Dua, Tiga dan Tujuh merupakan penghuraian idea dan teori falsafah, manakala Bab Empat, Lima, Enam dan Lapan mengaitkan pemikiran falsafah dalam praktik kehidupan manusia.

Menariknya, karya ini ditulis dalam bentuk perbandingan antara teori falsafah Barat dan aplikasinya dalam kehidupan manusia, dengan teori falsafah Melayu-Islam dan pengamalannnya. Perbandingan ini mungkin dibuat secara sengaja kerana falsafah dan pemikiran Barat merupakan suatu entiti dominan masa kini yang sedikit sebanyak  mempengaruhi pemikiran dan pengamalan masyarakat Melayu Islam era moden ini.

Konsep Dasar dan Sejarah Falsafah
Beliau memulakan huraian awal tentang sejarah dan konsep falsafah dalam Bab Satu (Falsafah: Sejarah dan Konsep Dasar). Sepertimana kesepakatan ramai penulis dan pengkaji falsafah, beliau juga tidak terlepas daripada melakukan sorotan sejarah falsafah sejak zaman Yunani Kuno yang memperkenalkan tradisi intelektualisme dan kefalsafahan yang akhirnya diwariskan kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Falsafah, dalam pemahaman beliau merupakan suatu cabang ilmu yang bersepadu, sesuai dengan etimologinya, philos-sophia (cinta akan hikmah).

Falsafah pada asasnya berlegar dalam tiga persoalan asas: Pertama, apakah hakikat alam di sekeliling manusia; Kedua, bagaimana fikiran manusia bekerja; Ketiga, apakah jalan mencapai kebahagiaan. Akal menjadi alat utama dalam memahami ketiga-tiga persoalan ini. Falsafah berkaitan dengan sistem berfikir yang mendalam untuk meneroka dan memahami hakikat segala sesuatu. Di samping itu, kaedah pengkajian falsafah Yunani Kuno berfokus kepada dua tema besar, iaitu kajian tentang keadaan manusia, dan kajian tentang kosmos (alam semesta). Pemikiran falsafah Yunani Kuno berkembang sehingga memunculkan kesimpulan-kesimpulan yang bersifat “bebas-khayalan” – segala akiviti alam ini berlaku secara tabii, bukan dengan campur tangan kuasa supernatural yang lain, seperti lazimnya dipercayai dalam mitos bangsa mereka.

Sorotan Falsafah dalam Mazhab Pemikiran Barat
Pemikiran falsafah Yunani ini akhirnya menjadi asas falsafah dan pemikiran Barat moden – yang walaupun bersifat rencam – tetapi mempunyai ‘trend’ yang tersendiri: pemikiran menolak autoriti agama, kebenaran bersifat relatif dan berpaksi kepada manusia serta konflik-pertembungan antara peranan akal dengan wahyu, merupakan antara ciri-ciri pemikiran falsafah Barat. Aspek ini dibahaskan oleh penulis dalam Bab Dua (Inti Sari Falsafah Barat) dan Bab Empat (Implikasi Falsafah terhadap Ilmu dan Pendidikan). Walau bagaimanapun, kegiatan dan perkembangan pesat  pemikiran falsafah Barat, khususnya pada abad ke-17 dan 18 telah membawa kepada percambahan cabang disiplin baharu dalam falsafah iaitu epistemologi; kajian tentang kemampuan akal manusia untuk mengetahui.

Dalam erti kata lain, sejarah perkembangan falsafah Barat sejak zaman Yunani Kuno, yang kemudiaanya berkembang pada zaman pertengahan, seterusnya zaman moden “ditandai oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di sekitarnya”.

Dalam mengungkap falsafah Barat dalam perjalanan sejarahnya, Awang Sariyan memetik Albert William Levi, seorang tokoh pengkaji falsafah yang membahagikan zaman falsafah Barat kepada empat zaman: i) Falsafah zaman kuno; ii) falsafah zaman pertengahan; iii) falsafah zaman moden; iv) falsafah kontemporari. Pembahagian ini adalah berdasarkan pengalaman sejarah yang dilalui oleh masyarakat Barat yang mempengaruhi ragam aliran pemikiran mereka. Empat cabang falsafah Barat dikembangkan dalam rangka sejarah pemikiran falsafah Barat iaitu metafizik, epistemologi, etika, logika dan falsafah politik. Daripada pengembangan aktiviti falsafah orang Barat, maka terhasillah tiga produk falsafah utama yang mendasari segala kegiatan intelektual sehingga ke hari ini: rasionalisme, empirisisme, dan positivism.

Falsafah Islam vs. Falsafah Barat
Bab Tiga (Intisari Falsafah Islam) mengungkapkan asas kepada perkembangan falsafah dalam tradisi cendekiawan Muslim. Tidak dinafikan, masyarakat Muslim diakui sebagai golongan yang membugar semula tradisi falsafah Yunani kuno. Nama-nama besar tokoh falsafah seperti Al-Farabi, yang juga dikenali sebagai muallim thÉni (guru kedua) selepas Plato (guru pertama), sebagai jolokan terhadap penguasaan falsafah Yunani khususnya daripada buah fikiran Plato.

Walau bagaimanapun, sudah semestinya falsafah Islam itu tidak sekadar celupan atau ciplakan daripada falsafah Yunani Kuno. Ini disebabkan pandangan alam (worldview) tradisi masyarakat Muslim yang berbeza dengan tradisi masyarakat Yunani menatijahkan produk falsafah yang semestinya tidak serupa.

Awang Sariyan mengungkapkan tiga kriteria yang digarispandukan oleh Alparlan Acikgene dalam memahami bagaimanakah falsafah Islam: 1) pandangan hidup Islam sebagai perspektif yang seluas-luasnya dan sebagai asas falsafah; 2) skema konseptual saintifik sebagai asas yang berifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli falsafah melaksanakan kegiatan-kegiatannya; 3) kegiatan itu sendiri yang dilaksanakan melalui istilah-istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik yang khusus.

Oleh yang demikian, tanpa berbicara tentang tajuk yang sama seperti yang dibicarakan oleh para ahli falsafah Yunani Kuno dan falsafah Barat, cendekiawan Muslim dengan tradisi ilmu Islam yang dikaji dan dikembangkan secara saintifik dan rasional sejak dari awal layak bergelar ahli falsafah. Seperti tradisi ahli falsafah Yunani, para ulama dan cendekiawan Islam juga menggunakan akal dan fakulti rasional mereka dalam mengembangkan ilmu-ilmu keagamaan. Antara produk-produk yang muncul daripada aktiviti ilmiah para ulama Islam ialah ilmu tafsir, ulËm al-ÍadÊth, uÎËl al-fiqh, tasawuf, ‘ilm al-kalÉm, kosmologi, sains tabii, sains sosial dan sains politik atau kenegaraan.

Penggunaan akal diraikan seluas-luasnya dengan tradisi ijtihÉd, sebagaimana akal diraikan dalam tradisi berfalsafah masyarakat Yunani. walau bagaimanapun, dalam tradisi Islam, falsafahnya lebih utuh kerana diikatjalinkan dengan asas-asas wahyu, sedangkan penggunaan akal tanpa panduan hanya akan menatijahkan kekeliruan dan berkemungkinan terjatuh ke dalam gaung kesesatan.

Implikasi Falsafah dalam Pendidikan
Falsafah Barat yang menayangkan kerancuan dan kepelbagaian ragam pemikirannya telah memberikan implikasi yang besar terhadap pendidikannya. Masing-masing aliran falsafah membawa aliran pendidikan yang berbeza. Antara yang dibincangkan oleh penulis ialah lima aliran utama falsafah pendidikan Barat: 

  1.  Perenialisme: Falsafah pendidikan yang berasaskan mazhab falsafah realisme dan Neo-Thomasme. Mazhab ini mengutamakan subjek (subject-centred) kerana menganggap kebenaran itu sedia ada (a-priori) dan guru merupakan insan yang berwibawa membuat deduksi kebenaran-kebenaran dengan tepat. 
  2.  Esensialisme: Muncul daripada aliran falsafah realisme dan idealisme. Aliran ini menekankan bahawa pendidikan adalah proses pemindahan warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan kepada generasi seterusnya. 
  3. Progresifisme: Aliran falsafah pragmatism mendominasi aliran falsafah pendidikan ini. Aliran ini percaya bahawa kebenaran sentiasa berubah-ubah, maka pendidikan adalah suatu proses memupuk kemahiran yang perlu bagi memungkinkan individu berinteraksi dengan reality alam di sekelilingnya. Aliran ini juga mendukung pendemokrasian pendidikan. 
  4. Rekonstruksionisme: Aliran ini merupakan anti-tesis kepada aliran progresifisme. Aliran ini mensasarkan pendidikan sebagai proses pembinaan kesedaran individu dalam menciptakan masyarakat baharu yang saling bergantung untuk hidup secara harmoni. 
  5.  Eksistensialisme: Aliran ini pula merupakan anti-tesis kepada aliran rekonstruksionisme. Ia meletakkan manusia sebagai makhluk unik yang sewajarnya mempunyai hak untuk menentukan nasibnya sendiri. Justeru, aliran ini mengkonsepsikan pendidikan sebagai proses pengembangan potensi individu sepenuhnya bagi kepentingan dirinya sendiri.

Sudah semestinya, daripada setiap konsep yang dikembangkan dalam setiap aliran falsafah pendidikan ini akan mempengaruhi pedagogi dan keutamaan matapelajarannya. Penulis seterusnya melakukan perbandingan kritis antara aliran pendidikan yang lahir dari rahim falsafah Barat dengan asas falsafah Pendidikan Islam.

Dalam Islam, aliran falsafah pendidikan yang mendasarinya adalah berasaskan pandangan alam (worldview) Islam dalam menanggapi hakikat kewujudan. Justeru, pandangan alam ini akan menatijahkan “usaha mencari yang hak dan hakikat sesuatu”. Penulis merumuskan falsafah pendidikan Islam sebagai:

“Usaha penentuan prinsip, kepercayaan, andaian, dan prinsip yang dipercayai oleh masyarakat berlandaskan akidah dan syariah Islam dalam hal berbagai-bagai persoalan dan masalah pendidikan, sebagai dasar untuk menentukan tujuan, politik, perancangan, kurikulum, perkaedahan dan media pengajaran.” (hlm. 40)

Falsafah pendidikan Islam juga mengiktiraf kemungkinan manusia memperoleh ilmu dan kebenaran. Ini dibuktikan dengan pengiktirafan Islam terhadap saluran-saluran memperoleh ilmu yang tiga seperti lazimnya dibahaskan dalam falsafah dan metafizik Islam: akal yang sihat, pancaindera yang sejahtera dan khabar yang benar.

Pendidikan Islam bersifat sepadu; tidak memisahkan antara pendidikan yang dianggap ‘agama’ dan pendidikan ‘bukan-agama’. Kesepaduan ilmu ini walau bagaimanapun bertitik-tolak kepada peringkat dan kedudukan sesuatu ilmu. Oleh yang demikian, para ulama telah melakukan usaha pengkategorian ilmu yang juga dikenali sebagai marÉtib al-‘ilm. MarÉtib al-‘ilm merupakan tata-tingkat ilmu yang dikelaskan berdasarkan keutamaan.

Para ilmuwan Islam klasik telah melakukan pengklasifikasian ilmu dengan pelbagai cara. Boleh disimpulkan, terdapat dua kategori utama dalam klasifikasi Ilmu: Pertama, Ilmu yang diwahyukan (revealed knowledge) dan kedua Ilmu yang diperoleh (acquired knowledge). Cabang-cabang ilmu bagi kategori pertama adalah Ilmu al-Quran, al-Sunnah, Shariah, TawÍÊd, Metafizik, dan Sains Linguistik. Manakala, cabang-cabang disiplin ilmu daripada kategori kedua klasifikasi ilmu ialah seperti Sains Kemanusiaan, Sains Tabii, Sains Terapan dan Sains Teknologi.

Pengislaman Ilmu: Falsafah Bahasa dan Pendidikan Bahasa
Pada hemat kami, penulis merupakan salah seorang pendukung mazhab “Islamisasi Ilmu” dengan kerangka yang diperkenalkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail Raj’i Faruqi. Dalam Bab Enam (Falsafah Bahasa dan Pendidikan, Bahasa dalam Rangka Pengislaman Ilmu), beliau menyorot sejarah gerakan pengIslaman Ilmu, khususnya yang telah dirintis oleh kedua-dua tokoh besar yang disebutkan di atas. Beberapa institusi pendidikan dan penyelidikan seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT), International Islamic University Malaysia (IIUM) dan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) ditubuhkan bagi merangka proses PengIslaman Ilmu secara teratur dan sistematik. Sejajar dengan perkembangan tersebut, Malaysia juga pernah mengambil langkah yang baik dalam mereformasi sistem pendidikannya secara menyeluruh. Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan. Penanaman nilai-nilai merentas kurikulum, pendidikan bersepadu dan budaya ilmu diformulasikan dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Dengan sorotan konsep dan sejarah pengIslaman Ilmu tersebut, penulis cuba memformulasi falsafah Bahasa dan Falsafah Pendidikan Bahasa dengan cara “menumpukan usaha menyepadukan hakikat bahasa dan matlamat pendidikan bahasa dengan ilmu yang abadi untuk memperlihatkan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Tuhan melalui sistem bahasa manusia yang berkait rapat dengan akal, di samping memahami matlamat unggul mempelajari dan mengajarkan bahasa sebagai suatu realisasi proses ta’dib atau pembinaan adab pada diri manusia di peringkat individu dan masyarakat”. (hlm. 54)

Oleh yang demikian, Awang Sariyan mengembangkan falsafah Pendidikan Bahasa sebagi berikut:


  1. Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikurnakan Tuhan kepada seluruh anak Adam di alam ruh, sesuai dengan ungkapan haiwan nÉÏiq yang dikiaskan kepada manusia;
  2. Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan, dalam rangka memperteguh keimanan akan kebesaran dan kekuasaan Tuhan;
  3. Pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu umum;
  4. Pendidikan bahasa sebagai wasilah nilai-nilai kehidupan bermasyarakat. (hlm. 74)

Bagi beliau, falsafah bahasa ini mesti diterapkan dalam perangkaan silibus bagi setiap matapelajaran agar sejajar denga Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan juga menepati citra pelajaran bahasa merentas kurikulum.

Logika: Kehebatan Karya Persuratan Melayu
Dalam Bab Tujuh (Logika), penulis memperkenalkan beberapa asas dalam pengaplikasian logik sebagai salah satu ilmu alat dalam falsafah. Walaupun kaedah logik yang diperkenalkan dalam tulisan beliau ini merupakan kaedah silogisme Aristotelian, namun cukup sebagai perkenalan kepada ilmu logik secara umum. Konsep-konsep penting seperti proposisi, hujahan, silogisme, premis, proposisi berkategori dan falasi diperkenalkan untuk tatapan pembaca.

Lanjutan daripada pengenalan kepada kaedah logik ini, penulis membawakan salah suatu dimensi keistimewaan persuratan Melayu: falsafah dan logika dalam karya persuratan Melayu. (Bab Lapan, hlm. 89). Menurut penulis, segala jenis penulisan dalam karya persuratan Melayu memancarkan falsafah dan logika bangsa Melayu yang bersendikan Islam.

Bukan sekadar karya-karya yang bersifat keagamaan, malah persuratan yang berkaitan dengan karya kreatif, kenegaraan, pensejarahan, undang-undang dan hikayat mempamerkan tahap pemikiran tinggi Bangsa Melayu-Islam. Dalam bahagian ini, penulis secara spesifik mengemukakan tiga karya agung persuratan Melayu sebagai percontohan unsur-unsur falsafah tinggi dan logika Melayu-Islam.

Karya pertama yang dikemukan penulis ialah Al-‘AqÉid al-NasÉfi, sebuah manuskrip terjemahan berbahasa Melayu tertua yang ditemui. Karya ini membahaskan aspek-aspek pemikiran tinggi yang berkaitan dengan akidah Islam. Perbahasan isu-isu dalam karya ini mengguna-pakai kaedah ilmu kalam.

Karya kedua yang dipaparkan penulis ialah sebuah puisi nukilan seorang tokoh sufi yang hidup pada abad ke-16 Masihi, Hamzah Fansuri. Syair Perahu yang dikarang oleh beliau sarat dengan kehalusan seni bahasa, dan nilai-nilai agung yang tersirat dalam maknanya menayangkan suatu kehebatan dalam karya puisi Malayu lama. Penulis nampaknya dengan sengaja memasukkan keseluruhan rangkap syair ini agar seluruh keindahan seni bahasa dan intipati maknanya dapat dihayati oleh pembaca.

Karya ketiga yang diketengahkan oleh penulis ialah Gurindam Dua Belas, karya Raja Ali Haji. Gurindam ini bertujuan menyampaikan pesan-pesan dan nasihat kepada orang ramai mengenai adab-adab yang perlu dijaga dan dipelihara dalam kehidupan seharian. Bukan sekadar falsafah tinggi dan kebijaksanaan logika Melayu termanifestasi dalam karya-karya persuratan Melayu ini, malah yang lebih mengkagumkan, kesungguhan menyampaikan mesej-mesej kebaikan berjaya diartikulasikan dalam bentuk yang sangat kreatif.

Islam Penganjak Paksi Tamadun Melayu
Penulis melabuhkan tirai perbincangan tema utama dalam karya beliau ini dengan menyimpulkan bahawa Islam adalah faktor utama yang telah menganjak paksi tamadun Melayu ke suatu tahap yang cukup membanggakan. Beliau tidak menafikan adanya kemajuan dalam tamadun Melayu pra-Islam, tetapi kemajuan peradaban dewasa itu tidak berlaku secara total; hanya dirasai oleh segelintir golongan bangsawan dan masyarakat dalam strata sosial yang tinggi sahaja.

Kehadiran Islam bukan sekadar sebagai tempelan kepada masyarakat Melayu. Islam telah datang dan melakukan transformasi yang cukup signifikan, mengubah ‘jiwa’ dan ‘raga’ orang Melayu. Pandangan sarwa yang Tawhidik diterapkan. Malah, budaya ilmu dikembangkan dalam masyarakat Melayu sebagai suatu perintah keagamaan. Ini jelas berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana hanya golongan tertentu sahaja yang mempunyai akses kepada ilmu pengetahuan.

Bahasa Melayu diangkat martabatnya. Tulisan Jawi yang merupakan inovasi aksara Arab digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan; dari persuratan sehingga pentadbiran dan perdagangan. Penyatuan pelbagai etnik dalam rantau alam Melayu ini juga merupakan jasa besar Islam kepada peradaban Melayu. Faham kebangsaan Melayu telah merangkum segala etnik yang mendiami Kepulauan Melayu –  sama ada Jawa, Sunda, Aceh, Mandailing, Bawaen, Banjar, Bugis dan yang lain-lain – kesemuanya menjadi Melayu-Islam, tanpa melunturkan aspek budaya dan adat resam etnik masing-masing selagi mana tidak bercanggah dengan syarak.

Jelas di sini bahawa Islam telah memberi nafas dan rupa baharu kepada keseluruhan tamadun Melayu. Tanpa menafikan sumbangan peradaban Melayu Pra-Islam, kehadiran Islam kepada masyarakat di Kepulauan Melayu ini merupakan suatu rahmat besar daripada Tuhan.

Mohammad Fazril Mohd Saleh
Akademi Kajian Ketamadunan (AKK)

Catat Ulasan

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim mengenai sahabat yang disembunyikan daripada pengetahuan umum di Nusantara.


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget