Halloween Costume ideas 2015
MPS

Memahami Garis-garis Besar Haluan Perjuangan (Bahagian 2)










Memahami Garis-garis Besar Haluan Perjuangan Bahagian 1 (klik sini)



Maratib al-‘Amal (Tahapan-tahapan Tindakan)

Dalam perjuangan ini, kita berhasrat membina perkara-perkara berikut :

1.      Sakhsiyah Islamiyah
2.      Keluarga Islam
3.      Masyarakat Islam
4.      Daulah Islamiyah
5.      Khilafah Islamiyah


1. Pembentukan Sakhsiyah Islamiyah

Beberapa kali ustaz Siddiq mengulangi ungkapan ini dengan penuh kesungguhan ;-

Walladzi ayyadaka bi nasrihi wa bil mukminin

Dua perkara yang menjadi pra-syarat kepada kemenangan dalam sesuatu perjuangan. Yang pertama, “bi nashrihi” yakni dengan pertolongan Allah Ta’ala dan yang kedua “bi l-mukminin” yakni dengan kualiti orang mukmin (para kader dakwah).

            Kata Ustaz Siddiq, yang pertama iaitu pertolongan Allah itu hadir pada kehendak-Nya Allah. Nasr dari Allah akan datang pabila sampai ketikanya. Yang penting, apa usaha yang mampu kita lakukan? Itulah perkara yang kedua iaitu ‘bil mukminin’ :- dengan kualiti ummat mukmin. Namun, persoalan seterusnya, kualiti yang bagaimana?

“alladzi nattaba’u hu fi sa’ati l-‘usrah” : yang sanggup bersama-samanya (setia) pada ketika saat-saat kepayahan.

Inilah kualiti yang terjelma pada golongan Muhajirin dan Ansar. Yang senantiasa setia bersama-sama Saiyidina RasulilLah SAW dan perjuangan Baginda walau dalam apa keadaan sekalipun. Menurut Ustaz Siddiq, beliau tak mahu bermimpi yang indah-indah. Ini kerana perjuangan dan dakwah ini tak menjanjikan keindahan duniawi, bukan boleh dapat kaya, bukan boleh senang-lenang. Sibuk ke sana ke mari. Keluar wang ringgit dan tenaga. Mengalir keringat dan air mata. Cukup sekadar kita mampu untuk melahirkan kader-kader yang mukhlisin dan multazim. Insha Allah, cita-cita besar ummat pasti akan tercapai pada masa yang telah Allah tetapkan.

alladzi nastajabu lilLahi warRasuli min ba’di ma ashobahumul qarhu

:- mereka yag tetap taat patuh dengan (arahan) Allah dan Rasul sesudah mereka mendapat luka teruk                                                            (ali Imran; ayat 172)

Dalam peristiwa perang Uhud, mereka diajak bangkit mengejar Kaum Quraisy. Mereka tetap bangkit mengejar atas sebab perintah Allah dan Rasul walau keadaan mereka darah masih merah dan mengalir.

Inilah kualiti individu yang bakal mengundang pertolongan dan kemenangan dari Allah. Kualiti qiyadah yang semacam RasululLah dan kualiti jundiyah yang seperti para sahabat al-akramin, Muhajirin dan Ansar.


2. Pembinaan Keluarga Islam & Masyarakat Islam

Keluarga Islam merupakan asas kepada pembinaan Islam seluruhnya. Dari sini, berkembangnya kader-kader dakwah yang bakal menyambung talian perjuangan Nabawiy. Oleh sebab kepentingannya, al-Quran dan hadis Nabi banyak sekali menggaris-pandu dan memperinci aspek kekeluargaan, bermula seawal mencari calon pasangan, meminang, bernikah, mahar, wali, adab berkeluarga, cara menjaga anak-anak, bab nafkah zahir dan batin, bab cerai dan talak serta yang berkait dengannya dan pelbagai lagi. Adapun selaku kader dakwah hidup berpasangan menuntut kepada saling memahami, percaya dan ikhlas. Kata-kata nasihat Ustaz Siddiq yang Nampak seakan melawak tapi substancenya begitu serius;

“Mengahwini kader ABIM (kader dakwah Islamiyah / pejuang) bererti  bukan sekadar mengahwini orangnya, malah harus mengahwini segala risiko perjuangannya”

            Unit-unit keluarga Muslim ini membentuk masyarakat Muslim (Muslim Society). Masyarakat muslim hidup berpandukan prinsip-prinsip Islam yang tergaris oleh wahyu. Saling menghormati, memuliakan jiran, mendoakan kesejahteraan bersama; inilah yang membentuk kekuatan komuniti muslim. Bermula dengan pembangunan rohaniah yang jitu, kerjasama dan pengembelengan tenaga secara kolektif sehingga memungkinkan pembangunan sosio-ekonomi terbina berdasarkan prinsip-prinsip Islamiy.


3. Pembinaan Daulah Islamiyah & Khilafah Islamiyah

            Daulah Islamiyah atau Negara Islam telah sekian lama menjadi polemik hangat. Sehingga kini, orang masih membicarakan perkara ini dengan pelbagai pandangan tentang konsep, bentuk dan acuan Negara Islam (Islamic State) yang diidami. Bagi Ustaz Siddiq, konsep Negara Islam itu sendiri sebenarnya longgar. Katanya, istilah Negara Islam itu sendiri masih baharu dan muncul sejak akhir-akhir ini pada ketika selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyah Turki.

            Hakikatnya, matlamat akhirnya ialah mengembalikan ‘Khilafah Islamiyah’ yang bakal mengembalikan hegemoni Islam di alam ini.

“Al-Islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih” – Islam itu tinggi (menguasai) dan tiada yang mengatasinya.

            Namun, mengembalikan khilafah dalam dunia hari ini dilihat sebagai suatu anganan yang masih jauh. “It is a remote possibility”, kata Ustaz Siddiq. Lihat sahaja dunia Arab yang telah dipecahkan kepada 22 buah Negara sehingga kini masih tak dapat bersatu walaupun dalam isu yang menjadi interest bersama, seperti isu Palestin. Logiknya, sukar sekali mahu mengembalikan khilafah Islamiyah dalam situasi para pemimpin di Negara-negara umat Islam sendiri merupakan pemimpin boneka Barat dan proksi mereka. Oleh sebab itu, khilafah diungkap dalam bentuk yang lebih kecil dan pelbagai. strateginya ialah mewujudkan daulah islamiyah lalu digabungkan Negara-negara Islam ini bagi membentuk kesatuan Islam tanpa sepadan yakni khilafah.

            Konsep Daulah Islamiyah atau Negara Islam bukan sekadar soal penamaan. Menggelarkan Negara sebagai Negara Islam? Tapi hakikatnya Negara penuh dengan gejala rasuah, pecah amanah, kebejatan akhlak, penghinaan terhadap agama dan institusinya, jenayah, gejala sosial, ketidak-cekapan sistem, krisis integriti dan segala macam karenah yang janggal sama sekali dengan Islam. Perkara pokok dalam konsep Negara Islam ialah ‘substance’nya. Jadi, menurut Ustaz Siddiq, tidak menjadi masalah jika PAS kini merobah gagasan ‘Negara Islam’nya kepada ‘Negara Berkebajikan’ kerana yang utama ialah teras dan prinsipnya, bukan nama.

            Dalam konteks Malaysia, harus berciri ke’Malaysia’an dengan mengambil kira realiti Malaysia terutama ‘pluralitinya’. Pluraliti bukan ‘kesialan sosial’. Ia harus difahami sebagai ayat min a~yatilLah. Kepelbagaian kaum, budaya dan agama di Malaysia sebenarnya merupakan satu petanda kekuasaan Allah. Dengan merujuk kepada zaman kegemilangan ABIM, ustaz Siddiq menyatakan team ABIM hebat bukan kerana ‘uniformity’nya tetapi diversitynya; menggarap pluraliti secara positif dengan kebijaksanaan dan kesabaran luar biasa.

Dalam politik Malaysia, sudah tidak releven mengguna pakai nomenclature  kafir dzimmi-kafir harbiy. Perkara ini juga telah dibicarakan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam yang lain seperti Rashid Gannouchi dan Sheikh Yusuf Qardhawiy. Istilah Muwathinun dilihat lebih cocok; bukan dzimmiyun.


Khatimah

            Sebelum Ustaz Siddiq melabuh tirai kalamnya, sempat beliau mengeaskan beberapa perkara, meluah rasa hati, juga menyampaikan pesan. 

Antaranya :-

“dalam perjuangan, kita tidak bermimpi yang indah-indah”

“…sanggup mendatangi kalian…”

“kita ini orang-orang perjuangan, punya sikap dan gaya hidup sesuai dengan perjuangan”

“…mesti sanggup bersusah”

“cabaran dan dugaan…. Mudah lupa diri apabila hadir pencapaian-pencapaian; taste of power! Taste of success buat orang perjuangan lupa…”

“kita sentiasa jadi sasaran serangan dan paling sering jadi sasaran ialah kekuatan jemaah”

“bersiap menghadapi segala kemungkinan.. kemungkinan dikhianat… dan sebagainya”



Beberapa Persoalan Berbangkit (terpilih)

            Suka bagi penulis di sini mengutarakan beberapa persoalan berbangkit yang terpilih (selected) dalam sesi soal jawab selepas ucaptama Ustaz Siddiq. Bagi penulis, segalanya semakin jelas.


1.       Strategi dakwah ‘inqilabiyah’?

Istilah ‘inqilabiyah’ juga digunakan sebagai salah satu istilah gerakan kebangkitan rakyat. Ia merujuk kepada maksud ‘revolutionary’ . Namun, konotasinya tampak agak negatif; kecoh dan ganas (anarchy).

Istilah yang lebih Ustaz Siddiq gemar-pakai dan difikirkan tepat ialah Taghyir. Taghyir yang beliau fahami membawa maksud ‘perobahan yang radikal’ (menyeluruh sehingga ke akar).  Sebagaimana yang terakam dalam al-Quran :- yukhrijuhum min adz-dzulumati ila n-Nur. Perkatan dzulumat yang merupakan jamak kepada kalimah dzulm merupakan antagonism kepada perkataan nur. Islam dengan sifat kebenarannya merobah secara menyeluruh (radikal) pada natijahnya sesuatu (daripada kepalsuan-kejahatan kepada kebenaran).

Taghyir yang dimaksudkan Ustaz Siddiq punya kaitan dengan tahrir dan tanwir.
"Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia." - Siddiq Fadzil

‘Taghyir-tahrir-tanwir’

Selaku seorang kader dan pejuang Islam, harus punya fizikal dan aqal yang sihat dan beracuan haraki. Dengan itu, segala konsep, idea, prinsip, gagasan, ajaran Islam yang merangkum dalam Tawhid dapat dimanifestasi, dihidupkan dan menjadi dinamik, tidak sekadar menjadi seperti kelompok tertentu yang keliru dengan perlakuan sendiri yang hanya membahas Tawhid tapi statik; sekadar perbahasan kertas dan pena. Tawhid itu sudah difahami di atas kertas namun di mana penghidupannya (penghayatan)?


2.      Apa maksudnya penyertaan dalam gerakan/ jemaah?

Penyertaan dalam gerakan merupakan suatu yang serius. Harus dapat memberi dan merasa nikmat dalam perjuangan (walau perjuangan ini payah dan perit tapi itulah kenikmatan). Ustaz Siddiq ada menyampaikan satu kisah bagaimana Saidina Umar al-Khattab RA berkongsi idealism perjuangan dengan isterinya, Ummu Kulthum Binti Ali Bin Abi Thalib walaupun beza umur antara mereka begitu jauh. Bayangkan, bapa mertua saiyidina Umar, saiyidina Ali sendiri begitu muda berbanding dirinya, apatah lagi anak kepada Saiyidina Ali.

Suatu malam, seperti biasa saiyidina Umar melaksana tugasnya sebagai khalifah turun padang meninjau kehidupan rakyat. Berlalu beliau di satu kawasan petempatan, beliau nampak seorang lelaki mundar-mandir, sepertinya ada masalah. Tiba-tiba terdengar olehnya suara seorang perempuan dari dalam rumah itu sedang meraung. Saiyidina Umar menghampiri lelaki tersebut dan bertanya apa yang berlaku. Rupa-rupanya, isteri lelaki ini mahu bersalin, tapi si suami ini yang terlebih gabra sehingga tak tahu mahu buat apa..  saiyidina Umar bergegas pulang ke rumah lalu mengejutkan isterinya yang sedang tidurpada tengah malam itu, katanya dengan pertanyaan mula “mahukah merebut pahala dan syurga?” lantas terbangun isterinya (Ummu Kulthum) pabila terdengar dua kalimah ini. ‘pahala’ dan ‘syurga’. Bersiap mereka lantas segera pergi membidankan wanita tersebut.

Daripada kisah ini, lihat bagaimana Saiyidina Umar dan isterinya begitu bersungguh “merebut ‘pahala’ dan ‘syurga’”. Idelisme yang tertanam dalam benak yang memangkin kegiatan bagi mencapai redha Allah.




bersambung : bahagian 3

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget