"Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia."
-Siddiq Fadzil-
Datuk Dr. Sidiq Fadzil (Ustaz Siddiq) merupakan seorang insan istimewa yang tidak pernah kenal erti penat. Beliau yang merupakan anak jati Perak, berketurunan Melayu Jawa dari Bagan Datoh cukup mesra dengan panggilan Ustaz Siddiq. Dikenali sebagai ‘Otai ABIM’, beliau merupakan antara penggerak awal gerakan pemuda/ belia Islam yang ‘sedar’ dan ‘bertindak’ memperjuang kebenaran, menegakkan keadilan bagi rakyat marhaen yang terpinggir (marginalized marhaen).
Dengan keyakinan dan iltizam yang tinggi terhadap perjuangan berteraskan Islam – Islam is The Way of Life – slogan yang dilaung-laungkan dalam menggerakkan angkatan pemuda-pemudi besemangat waja meranduk-redah arus sekularisasi yang menebar dalam masyarakat dewasa itu. Era 60-an, beliau bersama para aktivis PKPIM menyebut diri mereka sebagai “elemen yang sedar dari masyarakatnya” di samping sebagai the conscience of the majority. Kesedaran tersebutlah yang melatari pelbagai aksi kemahasiswaan termasuk demonstrasi tentang pelabagai isu semasa. Tetapi yang lebih penting adalah kegiatan-kegiatan yang beresensi pemikiran dan keilmuan seperti Kongres Kamajuan Islam di Malaysia, Seminar Peradaban Islam, Seminar Pendidikan di Malaysia, dan Kongres Universiti Islam.
Kesempatan bersama beliau secara serius mengupas dan membincangkan soal ‘perjuangan’, begitu menyebabkan penulis (Peminggir Kota) terkesan, termotivasi malah turut merasa aura, semangat dan roh perjuangan yang beliau punyai. Pasti tidak mudah untuk tetap tekal dan istiqamah dalam perjuangan dakwah yang penuh liku. Ustaz Siddiq sejak zaman mudanya, bersama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sehingga kini memimpin gerakan Wadah Pencerdasan Ummat Malaysia (WADAH) dan Meng’asas-pimpin’ Institusi Pendidikan Rakyat (IPR) seperti Kolej Dar al-Hikmah (KDH).
Memahami Garis-garis Besar Haluan Perjuangan
Pastinya tidak habis kalau mahu dibicarakan peribadi sosok istimewa ini. Sungguh penulis tanpa ragu mengangkat Ustaz Siddiq sebagai salah seorang figur yang patut dijadikan qudwah yang baik. Suka dalam kesempatan ini bagi penulis berkongsi serba ringkas input yang diterima dalam ucaptama beliau dalam Tamrin Qiyadiy PKPIM 2010, pada 15 Mei 2010, bertempat di Kampung Baru, Ayer Tawar, Perak dengan tema besar “Memahami Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan”.
Sebelum hari kejadian, pada petang Jumaat 14 Mei 2010, Ustaz Siddiq bertolak dari Kajang ke Ayer Tawar, Perak seusai program di Kolej Dar al-Hikmah, Sg. Ramal Dalam. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ayer Tawar di Daerah Manjung Perak memakan masa kurang lebih tiga jam setengah. Jadual padat beliau terkadang menyebabkan penulis selaku pengarah tamrin resah memikirkan kemungkinan kehadiran beliau. Kerap kali setiausaha Ustaz Siddiq di KDH, Kak Ti ditelefon. Runsing Kak Ti dibuatnya. Petang itu, Ustaz Siddiq telefon, nadanya bersahaja, tapi dari cungap nafasnya saja sudah penulis ketahui keadaan beliau. Seperti kata al-Marhum Said Nursi Badi’uzzaman R.A, “Kerehatan seorang pejuang itu adalah dalam perjuangannya”.
Pada awal bicaranya, beliau melahirkan rasa gembira bertemu para pemuda penerus kesinambungan perjuangan. Atas sebab itu, katanya dengan serius tapi konotasinya itu semacam berseloroh,
“…kalau di Kampung Lama pun , sanggup saya sampai ke sana mendapatkan kalian, inikan pula Kampung Baru…”
Latar Belakang Ucapan Dasar ‘Garis-garis Besar Haluan Perjuangan’ 1982
Katanya, suasana di sini (Kampung Baru) nostalgik, tajuknya (Memahami Gari-garis Besar Haluan Perjuangan) juga nostalgik. Tempat yang seperti inilah yang mengembalikan kenangan beliau pada zaman mudanya, ber’tamrin’ di cerok-cerok kampong, kawasan petempatan masyarakat termarjin. Tajuknya begitu nostalgik kerana mirip sekali dengan tajuk ucapan dasar ketika beliau menjadi pemangku Presiden ABIM tahun 1982 (tajuk: “Garis-garis Besar Haluan Perjuangan”) yang pada ketika itu bukan mudah untuk beliau menangani krisis yang berlaku dalam wadah ABIM akibat keputusan mengejut Presiden ABIM, Anwar Ibrahim untuk terjun ke dalam kancah politik kepartaian.
Suasana yang melatari ucapan dasar “Garis-garis Besar Haluan Perjuangan” ialah keadaan genting yang berlaku akibat tindakan Presiden ABIM (Anwar Ibrahim) yang secara drastik dan tiba-tiba menyertai parti politik pemerintah, United Malays National Organization (UMNO). Tambahan lagi, Anwar selaku presiden dewasa itu tidak langsung menyiapkan mental ahli-ahli ABIM dengan natijah keputusan yang beliau ambil. Ini mempengaruhi keyakinan ahli terhadap pimpinan ketika itu. [Ramai yang menyangka Anwar bakal menyertai Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan menerajui parti Islam itu memandangkan keputusan Muktamar ABIM sebelumnya yang telah menghantar beberapa orang sosok utama ABIM ke dalam PAS termasuk Ustaz Fadzil Nor, Nakhaie Ahmad, Ustaz Ahmad Awang melorongkan jalan kepada Anwar menjadi Presiden PAS seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan umat menerusi parti politik itu - penulis].
Peristiwa terjunnya Anwar ke dalam UMNO ini mengundang tidak sedikit kontroversi liar yang ideologikal dan emosional. Ustaz Siddiq Fadzil yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden yang baru ditaklif pastinya terasa sukar. Kata beliau, ketika itu tak sempat nak tahu bagaimana rasanya jadi Timbalan Presiden, maksudnya keputusan Anwar yang mengejut dan kontroversi itu begitu hampir dengan muktamar yang baru berlalu dan agaknya tak sempat bagi Ustaz Siddiq melaksanakan apa-apa perkara atau perannya sebagai Timbalan Presiden tiba-tiba saja sudah berlaku peristiwa yang begitu menggugat seperti itu. Pimpinan yang lain ketika itu, yang gelisah dengan senario perpecahan yang tercetus. Cuma yang difikirkan, bagaimana mahu mngembalikan tsiqah (kepercayaan) ahli terhadap perjuangan wadah ini.
Ucapan dasar ini boleh didapati dalam buku himpunan ucapan dasar Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, ‘Mengangkat Martabat Ummah’ terbitan ABIM dan satu-satunya tulisan ustaz Siddiq yang telah dialih bahasa ke dalam bahasa Thai oleh Mansor Saleh. Menurut Ustaz Siddiq, keadaan di Selatan Thai yang bergolak dengan penindasan politik oleh pemerintah ke atas Melayu Pattani telah memaksakan kebangkitan dalam kalangan mereka yang tertindas. Semangat perjuangan Islam sedang membara. Namun, hala tuju kebangkitan mereka masih belum jelas kelihatan. Oleh sebab itu, Mansor Saleh telah bertindak menterjemah ucapan dasar ini ke dalam Bahasa Thai bagi menyemarak semnagat perjuangan dalam kalangan pejuang di sana dan senaskah salinan terjemahan telah dihadiahkan kepada Ustaz Siddiq tapi beliau pun sebenarnya tidak memahami bahasa Thai!
Ustaz Siddiq menegaskan, sebenarnya ucapan dasar ini bukanlah ditekuni beliau seorang tetapi bersama pimpinan ketika itu. Cuma, beliau bertindak menyampaikan sahaja ucapannya. Inilah sikap seorang pejuang, ikhlas dan tawadhuk. Tidak sedikit terlihat riak takabbur pada kata-kata, perbuatan malah lirikannya sekalipun. Oleh sebab itu, beliau ada menyatakan pada akhir pertemuan ini tentang ke’tidak-suka’annya kepada golongan yang mengagung-agungkan para pemimpin atas pencapaian tertentu, seakan-akan pencapaian tersebut diusahakan pemimpin itu secara berseorangan. Sebagai contoh, pabila sampai ulangtahun kemerdekaan, gambar-gambar Perdana Menteri lah yang menghiasi poster-poster, iklan-iklan, sebaran dan selembaran dengan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan’ seolah-olah Pak-pak Menteri ini saja yang berjasa memerdekakan nusa. Bagi ustaz siddiq, ini cobaan menafikan jasa dan usaha rakyat. Hakikatnya, rakyat dan akar umbi bekerja keras dengan darah dan air mata bagi mencapai kemerdekaan.
Jauhar al-‘Amal al-Islamiy : Dakwah Islamiyah
Perkara penting, yang UTAMA ; yang menjadi penekanan dalam ucapan dasar ini ialah “JAUHAR AL-‘AMAL” yakni teras kegiatan. Jauhar al-‘Amal al-Islamiy kita ialah dakwah dan tarbiyah. Adapun, spekulasi liar muncul sebagai respon tindakan Anwar yang secara tergesa-gesa meloncat ke dalam UMNO, antaranya dengan kemasukan Anwar dalam UMNO, ada pihak yang kata, ini cobaan untuk me-‘ABIMisasi’ UMNO, di pihak yang lain pula kata, ini cobaan me-UMNOisasi ABIM. Spekulasi liar ini bukan mudah untuk disenyapkan. Oleh itu, asas kegiatan (jauhar al-‘amal) iaitu ‘dakwah’ harus mengatasi segala kepentingan yang lain. “Ta’bid an-Nasi Li Rabbihim” :- mengabdikan manusia kepada Tuhan mereka.
Bagaimana dengan politik? Kalau yang dimaksudkan dengan politik itu Cuma difaham orang dengan faham politik keparataian, itu tergolong dalam al-umur al-janibiyah (perkara-perkara pelengkap/ sampinagan). Oleh yang demikian, perjuangan Islam itu harus difahami dengan benaar. Ia bukan semudah dikata. Ia panjang dan berliku. Maka, perlu ada strategi sebagaimana yang dilakukan para pendahulu kita dari kalangan anbiya`, mursalin, auliya`:- secara at-Tadarruj (gradually/ berperingkat-peringkat).
Kata Ustaz Siddiq,
“We will get what we deserve based on our quality”
bersambung : bahagian 2
Catat Ulasan
syukran2...sedikit sbanyak lebih jelas berbanding d TQK dulu
afwan.. inshaAllah, bhgn 2 Memahami Garis2 Besar Haluan Perjuangan bakal menyusul
Perkongsian yang bermanafaat.. terima kasih..