Nukilan Tuan Sarip Dol Sepohon Jadi.
Moga Allah merahmati Tuan.
Moga Allah merahmati Tuan.
Sepuluh tahun yang lalu…
Kisah ini berlaku di Gua Cha, Kelantan semasa saya dan Team Arkeologi Muzium Negara melakukan ekskavasi disana selama lebih sebulan. Semoga Edy Jambul, Am lentik, Azim paja, Ana konda, Zaha botak, kak Nurul, Jijot, Toyat, Safri, Shafril, Faizul, Abang Zul, Pak Dek dan kawan-kawan yang lain berada dalam keadaan sihat.
Seperti biasa pada sebelah petang selepas habis melakukan aktiviti galicari kami akan bebas melaku aktiviti masing-masing. Saya lebih suka menghabiskan masa berborak-borak dengan Azim dan Safri tentang hal ehwal agama berbanding kawan-kawan lain yang sibuk bersuai kenal dengan student perempuan yang cun-melecun yang turut sama menyertai ekskavasi. Keadaan petang didalam hutan selalunya cepat gelap lebih-lebih lagi jika berdekatan dengan kawasan gua maka sebab itu masing-masing dari kami akan mandi di sungai yang terletak hanya lima meter dari kawasan khemah secara beramai-ramai lebih kurang jam 6 petang.
Sebetulnya, saya agak segan untuk mandi dihadapan kawan-kawan yang lain maka oleh sebab itu saya lebih suka mandi bersendirian dihulu sungai yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari kedudukan kawasan perkhemahan. Ianya kawasan anak sungai yang kedalamannya hanya separas peha dan agak terpencil. Airnya sungguh jenih dan sejuk membuatkan badan terasa amat-amat nyaman sewaktu berendam. Untuk sampai ke kawasan anak sungai ini saya perlu naik dan melintasi kawasan gua Cha yang agak sunyi, kemudian menelusuri denai-denai kecil yang dikiri kanannya adalah hutan tebal.
Selalunya saya akan membawa bersama sebuah radio yang saya galas diatas bahu dan saya mainkan kasetnya sepanjang perjalanan ke hulu sungai. Beginilah keadaan saya selama berada disana.
Kadang-kadang sewaktu mandi di hulu sungai itu, Pak Tua akan lalu dengan hasil tangkapan ikan sungainya sambil melemparkan senyumannya pada saya dan selalunya saya lah yang dahulu memberi salam. Kebiasaannya saya tidak perasan beliau datang dari arah mana yang membuatkan saya seringkali terkejut besar. Maklumlah dihulu sungai ini kawasannya betul-betul terpencil dan sunyi. Pak Tua ini orangnya kecil sahaja dan berusia didalam lingkungan 70an. Sering berkaki ayam, melilitkan semutar lusuh dikepala, memakai baju kemeja lengan pendek yang lusuh serta berkain batik lusuh berwarna merah. Pak Tua ini saya kenal namun saya tidak begitu mesra dengannya kerana beliau tak banyak bercakap. Beliau tinggal bersama-sama kami dikawasan perkhemahan kerana isterinya iaitu Mak Tua diupah oleh pihak kami sebagai tukang masak.
Saya suka memperhatikan gelagat Pak Tua ini. Pernah suatu hari saya melihat beliau sedang meraut-raut sesuatu yang saya tidak tahu benda apakah ia. Apabila ditanya beliau mengatakan bahawa benda itu adalah tajur.
“Untuk apa tajur ini Pak Tua?”
Saya mula tertarik melihat tajur itu yang bentuknya seakan-akan joran berserta mata kail namun panjangnya kurang dari dua kaki.
“Alat menangkap ikan”. Ringkas sahaja jawapannya.
“Macam mana nak pakai tajur ni Pak Tua?”
“Cacakkan di tebing sungai petang ni, kemudian pagi esok baru ambil semula. InsyaAllahur Rahiim dapat ikan”.
“Kenapa Pak Tua buat lima batang tajur sahaja, kan lebih baik buat banyak-banyak maka akan banyak pula hasil tangkapannya nanti”.
Beliau senyum sahaja mendengar anjuran saya. Kemudian perlahan-lahan beliau mengeluarkan mancis dari saku bajunya dan kemudian menyalakan rokok daun yang sudah lama padam dimulutnya. Bersungguh-sungguh benar saya lihat beliau menghisap-hisap rokok daun itu untuk menghidupkan baranya. Sejurus kemudian berkepul-kepul asap keluar dari mulutnya. Kemudian beliau merenung wajah saya sambil menghisap rokok daunnya yang baranya hampir-hampir padam semula. Kemudian beliau bersuara..
“Pak Tua buat lima tajur sebab esok Pak Tua hanya akan dapat lima ekor ikan saja. Kalau buat lebih nanti membazir pula dan Pak Tua tak mahu jadi saudara syaitan”.
Ringkas sahaja jawapannya dan saya bagaikan mahu tergelak mendengar jawapannya itu. Mahunya tidak.. jawapan beliau tak munasabah dan tidak masuk akal langsung. Kemudian saya cuba menguji beliau dengan bertanyakan satu soalan..
“Oh.. jadi Pak Tua buat lima batang saja tajur ini sebab esok Pak Tua hanya akan dapat lima ekor ikan?”
“Ya”.
“Kalau macam tu, esok berapa tajur pula Pak Tua nak pakai?”
“Oh.. esok Pak Tua tak pakai tajur sebab lusa ikan takde jadi Pak Tua ingat nak pergi Gua Musang nak beli rokok dan tembakau. Tulat nanti baru ada ikan, lapan ekor semuanya makanya nanti hari lusa Pak Tua kena buat lagi tigalah tajurnya”.
Selamba saja beliau menjawab sambil membelek-belek tajurnya yang sudah siap membuatkan saya benar-benar geli hati. Terus saja saya ketawa berdekah-dekah. Saya tak sangka Pak Tua ini pandai juga berlawak rupanya.
“Kenapa mu ketawa Riza?”. Pantas sahaja Pak Tua bertanya.
“Pak Tua buat lawak mestilah saya ketawa.. tak kan saya nak menangis pulak”.
“Lawak apa yang Pak Tua dah buat?”. Tanya Pak Tua lagi.
Dalam hati saya berkata.. “Kalaulah yang didepan saya sekarang ini ialah Azim dan bukannya Pak Tua, dah tentu akan saya luku-luku kepalanya”. Saya tidak menjawab soalan Pak Tua sebaliknya saya minta agar Pak Tua membuat lima batang tajur lagi dengan alasan supaya saya dapat belajar cara membuat tajur. Pak Tua setuju dan dia siapkan lima batang tajur untuk saya.
Selepas asar saya mengikut Pak Tua untuk mempelajari cara-cara ‘menanam’ tajur menghilir tebing-tebing sungai Nenggiri dengan menaiki sampannya. Pak Tua saya lihat menanam tajur-tajurnya ditempat arus yang tidak deras dikiri kanan tebing sungai. Saya pula menanam tajur saya berdekatan dengan tajur Pak tua dimana sahaja Pak Tua menanam tajurnya. Saya lihat Pak Tua gelak-gelak sahaja, mungkin beliau geli hati melihat gelagat saya yang meniru-niru perbuatannya menanam tajur.
“Apa mu buat tu Riza?” Tanya Pak Tua sewaktu saya membenamkan tajur saya lima kaki dari tempat tajur Pak Tua ditanam.
“Tajur ini saya tanam untuk Pak Tua supaya esok Pak Tua akan dapat hasil tangkapan ikan yang banyak. Kalau Pak Tua pasang lima tajur kebarangkaliannya mungkin Pak Tua hanya akan dapat dua hingga tiga ekor ikan saja tapi kalau sepuluh tajur yang ditanam, untuk mendapatkan lima ekor ikan kebarangkaliannya agak besar. Ini sifir saya pak Tua”.
Pak Tua menggeleng-geleng kecil sambil ketawa. Kemudian sambil ketawa juga beliau menuturkan suatu ayat yang amat asing bagi saya. Amat asing daripada ilmu Usuludin yang saya pelajari.
“Disisi Pak Tua tiada kebarangkalian Riza.. disisi Pak Tua hanya ada kepastian. Ini sifir Pak Tua”. Kemudian beliau menambah..
“Yang pasti rezeki Pak Tua esok ialah lima ekor ikan saja walaupun mu tanam 50 tajur sekalipun”.
Saya biarkan saja kata-kata Pak Tua itu dan tidak menyambutnya kerana fikiran saya sedang kusut memikirkan sifir Pak Tua yang menolak hukum kebarangkalian. Tak munasabah langsung kalau tidak menerima hukum kebarangkalian. Kata-kata Pak Tua itu tadi juga seolah-olah menafikan peraturan ilmu Usuludin yang menetapkan hukum mumkinul wujud sebagai wajib bagi makhluk. Seketika kemudian hati saya berderau kerana teringat kata-kata segelintir penduduk kampung yang pernah saya temui yang mendakwa Pak Tua itu sudah tidak betul otaknya bahkan ada yang mengatakan beliau sudah nyanyuk dan ada juga yang mengatakan beliau gila isim akibat belajar ilmu Tasawuf.
Setelah saya berfikir dua kali maka saya berpendapat ada betulnya juga cakap orang-orang kampung itu apabila melihat gelagat Pak Tua yang suka mengasingkan dirinya dari bergaul dengan orang-orang kampung. Beliau juga saya lihat sentiasa berkaki ayam dan sering ketawa dan senyum bersendirian. Ada waktu-waktu yang lain saya melihat beliau menangis teresak-esak seorang diri. Entahlah… mungkin betul Pak Tua ni otaknya dah tak betul atau nyanyuk. Saya mulai merasa cuak bila bersama dengan beliau.
Malam itu selepas menunaikan solat maghrib dan membahagi-bahagikan tugas kepada student untuk mendokumentasikan artifak-artifak yang ditemui disebelah siang, saya terus masuk ke dalam khemah untuk menela’ah kitab Risalah Tawhid yang sememangnya saya bawa ke mana-mana sebab kepala sudah berserabut dengan kata-kata Pak Tua petang tadi.
Saya tidak sabar-sabar untuk membaca semula kitab itu walau sudah lebih 20 kali saya khatam. Selepas membacanya barulah perasaan menjadi tenang kerana isi kitab itu ditulis oleh ulama muktabar dari aliran Asya’irah dan sudah pasti ilmunya betul. Setelah membandingkan sifir Pak Tua itu dengan ilmu Usuludin yang telah sebati menjadi iktiqad dan kepercayaan saya maka saya putuskan bahawa sifir Pak Tua itu sudah menyeleweng dari aqidah. Kemudian saya berazam untuk memulihkan kembali aqidah Pak Tua yang mungkin benar sudah gila isim akibat belajar ilmu Tasawuf. Jauh dari sudut hati saya benar-benar menyampah dengan ilmu-ilmu Tasawuf kerana boleh menyebabkan seseorang itu gila isim. Saya lebih senang dengan ilmu Usuludin yang terlus daripada ilmu Tasawuf yang lebih banyak berahsia. Meluat dan betul-betul meluat.
Apakan tidak.. pernah dulu ada seorang pakcik yang mendakwa dirinya sebagai pengamal Tasawuf mengatakan kepada saya bahawa tidak menjadi masalah kalau sujud pada seekor babi jika sudah tahu hakikat babi itu. Nyaris-nyaris penumbuk saya hinggap ke mukanya namun saya tidak dapat menahan diri saya daripada menghamburkan sebakul sumpah-seranah padanya didalam hati.
Esoknya selepas subuh saya tidak sabar-sabar mahu mengikut Pak Tua mengangkat tajur-tajurnya dan saya ingin melihat sendiri apakah benar beliau hanya akan mendapat lima ekor ikan sebagaimana dakwaan beliau semalam. Pak Tua telah menunggu saya ditebing dan sebentar kemudian kami menghilir sungai. Aneh sekali, memang benar rezeki Pak Tua pada hari itu hanya lima ekor ikan saja dan kelima-lima ekor ikan itu hanya lekat ditajur beliau sedang tajur saya langsung tidak disentuh ikan.
“Ah… mungkin ini suatu kebetulan sahaja”… Bisik hati saya mahu mententeramkan diri. Saya lihat Pak Tua senyum saja.
Tiba-tiba beliau bersuara..
“Mana ada kebetulan dalam dunia ni Riza, semuanya terjadi dengan pasti. Tiada kebarangkalian dan tiada kebetulan”.
Berderau darah hingga berdiri bulu roma apakala mendengar kata-kata Pak Tua seolah-olah beliau dapat membaca isi hati saya. Saya tetap berpendirian bahawa kejadian yang baru saya tempuh ini semuanya adalah kebetulan belaka lalu saya berkata dengan suara yang terketar-ketar menahan malu.
“Macam ni sajalah Pak Tua.. ini semuanya kebetulan saja maka dengan itu saya minta nak tanam semua tajur-tajur ini ditempatnya semula sebab menurut Pak Tua esok akan takde ikan. Saya nak pastikan kebenaran sifir Pak Tua”.
“Ikut suka mu lah Riza”. Balas Pak Tua masih tersenyum.
Selepas zohor Pak Tua ke Gua Musang dengan menumpang kereta pacuan empat roda milik Jabatan Muzium yang dipandu oleh abang Ludin. Sempat juga beliau mengizinkan sampannya dipinjam oleh saya maka selepas asar saya menanam sepuluh batang tajur ditempat yang sama seperti semalam. Esoknya selepas subuh saya ke tempat tajur-tajur ditanam dan mendapati tiada seekor ikan pun yang lekat persis sebagaimana ramalan Pak Tua. Aneh, pada hari itu juga Azim yang hobinya memancing mengeluh kerana sehari suntuk tiada seekor ikan pun yang dapat dipancingnya. Pada hari yang sama selepas asar sekali lagi saya menanam sepuluh batang tajur yang menurut ramalan Pak Tua beliau akan mendapat lapan ekor ikan pada hari esoknya. Malam itu juga Pak Tua pulang dari Gua Musang dengan membawa rokok daun dan tembakau yang dibelinya di Gua Musang.
Maka inilah pagi penentu samada benar atau tidak kata-kata Pak Tua. Beliau sudah sedia menunggu di sampan. Hati saya berdebar-debar kencang seperti mahu gugur menunggu jawapan. Kami berhenti ditebing pertama dan mendapati sebatang daripada dua batang tajur ada ikan yang lekat begitu juga dengan lapan lagi tajur yang semuanya ada lekat ikan padanya. Maka jumlahnya semua sekali ialah sembilan ekor. Setelah semua ikan dikumpulkan baik-baik diperut sampan maka terus saya berkata pada Pak Tua yang sedang mengemudikan enjin bot memudik hulu sungai.
“Pak Tua.. nampaknya rezeki Pak Tua hari ini sembilan ekor ikan dan bukannya lapan”.
Senyum simpul saya menuturkan kata-kata itu almaklum saya sudah dapat membuktikan sifir kebarangkalian saya adalah betul dan secara tak langsung menafikan sifir kepastian Pak Tua. Terasa perasaan megah menyelinap dihati dan rasanya begitu enak sekali. Saya puas. Walaupun telah terbukti ramalan Pak Tua telah gagal namun beliau saya lihat hanya senyum sahaja dan sesekali menggeleng-geleng kecil tanpa berkata apa-apa.
Setengah jam kemudian kami sampai dikawasan khemah dan Pak Tua dengan tenang merapatkan sampannya ke tebing. Seperti biasa saya akan naik ke tebing dahulu untuk mengikat tali sampan ditunggul pokok renek agar sampan tidak hanyut dibawa arus. Hati seperti tidak sabar-sabar hendak mentarbiah Pak Tua maklumlah dalam perjalanan tadi bunyi enjin bot agak kuat jadi usaha untuk mentarbiah Pak Tua tidak kesampaian.
“Jadi sekaranglah waktunya yang tepat”… bisik hati saya. Tanpa berlengah saya terus turun semula ke dalam sampan dan meminta agar Pak Tua duduk sebentar. Saya lihat Pak Tua agak terkejut dengan tindakkan saya namun beliau menurut tanpa banyak tanya. Sebentar kemudian saya mulakan bicara.
“Pak Tua.. dalam dunia ini tidak ada apa yang pasti, semuanya adalah didalam takluk mungkin sahaja. Jadinya, perkataan kita janganlah sampai mendahului takdir. Bukankah Pak Tua telah saksikan sendiri bahawa sifir Pak Tua tidak menjadi?”.
Pak Tua senyum saja. Kemudian saya menambah lagi.
“Peristiwa hari ini telah membuktikan bahawa peristiwa yang berlaku pada hari-hari sebelum ini adalah kebetulan sahaja dan sifir kepastian Pak Tua ternyata salah. Oleh itu wajiblah Pak Tua meninggalkan sifir Pak Tua dan berpegang kepada sifir aqidah yang benar.”
Mendengar itu lantas Pak Tua bersuara.
“Riza.. macam mana Pak Tua nak ikut aqidah Riza sedangkan aqidah Pak Tua lebih betul dari aqidah Riza?”
Terkejut saya mendengar kata-kata Pak Tua. Saya berpendapat Pak Tua ini betul-betul keras kepala dan ego. Sudah ternyata salah tetapi masih hendak menegakkan benang yang basah pula. Hati betul-betul terasa panas meluap-luap mendengar kata-kata Pak Tua. Mananya tak panas… ikan yang ada dalam sampan berjumlah sembilan ekor semuanya dan bukannya lapan ekor sebagaimana yang dikatakan beliau tempoh hari. Terpengaruh dengan rasa marah dan geram dengan sikap Pak Tua itu, lantas saya bingkas bangun dengan agak gopoh dan mengherdik Pak Tua untuk mempertahankan pegangan saya.
“Pak Tua tak nampak ke!.. bukankah ikan ini sembilan ekor dan bukannya lapan ekor?”
Tiba-tiba saya tidak dapat mengimbangkan badan didalam sampan. Mungkin kerana saya bangun tadi dalam keadaan gopoh-gapah. Sampan mula teroleng-oleng. Ikan-ikan didalam sampan mulai mengelenting-lentingkan badannya. Saat itu saya lihat Pak Tua berusaha keras mengekang pergerakkan ikan-ikan dengan tangan-tangan beliau agar tidak tercampak keluar dari sampan. Dalam keadaan saya hampir jatuh akibat tidak dapat mengimbangkan badan didalam sampan maka pada ketika itu sempat saya melihat bagaimana keadaan Pak Tua yang serba-salah samada mahu menyelamatkan ikan atau menyelamatkan saya dari terjatuh didalam sungai.
Sebentar kemudian terasa badan saya dirangkul dari depan dan ternyata Pak Tua sedang memaut badan saya. Syukur saya tak jatuh ke dalam sungai sebab kalau terjatuh pasti rosak handphone yang ada didalam kocek seluar. Sampan masih teroleng-oleng dan ikan masih mengelenting-lenting, sedetik kemudian dihadapan mata saya sendiri salah seekor daripada ikan-ikan itu dapat mengelentingkan badannya dengan agak kuat lantas jatuh ke dalam sungai. Tiba-tiba Pak Tua bersuara..
“Mu tak apa-apa Riza?”
“Ermmm… ok Pak Tua”.
“Baguslah… mu pegi cepat-cepat ambil ikan-ikan tu, karang habis semua terjun keluar”.
Pak Tua terus naik ke tebing sambil mengepit tajur-tajurnya dan terus menuju ke khemahnya. Saya masih didalam sampan dan tidak segera mengambil ikan-ikan diperut sampan sebaliknya membiarkan ikan-ikan itu mengelenting-lentingkan badannya untuk lepas ke sungai. Sehingga kesemua ikan-ikan itu diam barulah saya memungutnya. Saya kira betul-betul ada lapan ekor semuanya… saya terbungkam. Sedar-sedar air mata telah mengalir dipipi.
-------
3.33 petang
18 Mei 2010
Kampung Pinang, Kamunting
Perak Darul Ridzuan
Catat Ulasan