Halloween Costume ideas 2015
MPS

Konsep Ta`dib Sebagai Pendidikan Yang Komprehensif (Bah. 1)

Pendidikan Remaja Dalam Era Globalisasi;
Tinjauan Terhadap Konsep Ta`dib Sebagai Pendidikan Yang Komprehensif

oleh:
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Abstrak
Globalisasi membadai dunia. Fenomena ini tidak mampu dibendung kemaraannya. Suka atau tidak, lambat laun globalisasi tetap memberi dampak dalam kehidupan seseorang. Tanpa mengenal usia, globalisasi bawaan Barat yang sarat dengan pengalaman dan falsafahnya, dengan begitu rakus membaham kemanusiaan dan jati diri, malah membangkitkan kekeliruan. Paling teruk menjadi mangsa, golongan remaja yang dirundung ‘krisis identiti’ dan ‘jurang generasi’. Sebagai satu fenomena sejagat yang begitu berpengaruh dan tidak terelakkan, aspek pendidikan turut merasakan kesannya. Jauh dari motif menyemarak perasaan anti-Barat, tinjauan ini bermaksud melakukan sesuatu yang wajar, bersikap objektif dan adil dengan melakukan analisis kritikal terhadap bahana globalisasi yang secara senyap menjalar dalam sistem dan pengamalan pendidikan di negara-negara umat Islam umumnya dan Malaysia khususnya. Kebejatan akhlak yang membelenggu remaja menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan sistem pendidikan yang diajar di institusi pengajian formal sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun tinggi. Justeru, penulis cuba mengetengahkan beberapa ide besar yang dicetus para pemikir terutamanya gagasan ‘Ta`dib’ sebagai solusi kepada pemasalahan yang berlaku.

Pengenalan
Tanpa menafikan dimensi positifnya, rempuhan globalisasi yang bermula sudahpun memakan korban. Ini terbukti berdasarkan statistik kebejatan sosial remaja yang begitu memalukan. Justeru, segala tindakan perlu berasaskan pertimbangan yang rasional dan berpaksikan nilai-nilai yang teguh tanpa disilaukan oleh anasir budaya luar yang tidak cocok dengan jati diri Muslim.
Sorotan yang banyak terfokus kepada globalisasi ekonomi menyebabkan sebahagian kita terlepas pandang dimensi budayanya. Apa yang penulis maksudkan dapat dilihat dengan contoh ‘karenah pasar raya’. Bukan sahaja barang-barang import terlambak di pasar raya, tetapi yang turut tersebar adalah budaya konsumerisme yang menciptakan gaya hidup bermewah-mewah, rakus dan boros. Umat kita sedang ditransformasikan dari insan pengabdi Tuhan menjadi penyembah materi duniawi dan makhluk konsumeris yang lahap. Memakai istilah Siddiq Fadzil, pasar raya yang tumbuh mencendawan di mana-mana telah mewujudkan fenomena persaingan ‘mosques versus malls’ (masjid lawan pasar raya). Akibatnya banyak masjid yang sepi setelah jamaahnya ‘disedut’ ke pasaraya. Kedamaian rohaniah yang ditawarkan oleh masjid seolah-olah sudah tidak relevan kerana yang diperlukan bukan lagi rahmat, pengampunan dan perlindungan Tuhan, tetapi kemewahan kebendaan dan jaminan ekonomi dari institusi-institusi seperti bank dan syarikat-syarikat kewangan, maka ke sanalah mereka bertumpu mencari jaminan hidup.[1]

Dalam kertas kerja ini, penulis berhasrat mengenalpasti permasalahan utama sistem dan pengamalan pendidikan khususnya terhadap remaja Melayu di Malaysia dalam era globalisasi. Kertas ini, di bawah bahagian ‘Keputusan dan Dapatan’, cuba menyingkap kajian-kajian yang telah dilakukan oleh ahli-ahli akademik dan pengkaji di Malaysia terhadap kebejatan sosial yang berlaku terutama dalam kalangan remaja sebagai dampak langsung. Kemudian, perbincangan diteruskan dengan menyorot konsep dan sejarah kemunculan ‘globalisasi’, pengertiannya dan dampak bawaannya. Kedua, hakikat realiti dan kebenaran disoroti melalui penyingkapan ‘pandangan alam’ Islam (worldview of Islam) yang terjelma daripada wahyu. Ketiga, oleh sebab topik ini berkait langsung dengan remaja, maka, di bawah sub-topik ‘Perihal Remaja dan Psikologi Jiwa Manusia’, konsep psikologi manusia, masalah jurang generasi dan krisis identiti dikupas dengan teliti menurut khazanah kecendikiawanan Islam. Keempat, sebelum kesimpulan, penulis mengupas konsep ‘Ta`dib’ sebagai konsep pendidikan yang holistik dan integral di bawah sub-topik ‘Konsep Ta`dib Sebagai Pendidikan Remaja yang Bercitra Islami dan Komprehensif’.

Perkaedahan
Penelitian ini bersifat deskriptif-kualitatif dengan ‘penyelidikan kepustakaan’ (library research) sebagai kaedah utama dalam penyediaan kertas kerja ini. Penelitian dilakukan terhadap bahan-bahan ilmiah bercetak seperti buku, majalah, jurnal, prosiding, kertas kerja dan laporan. Malah, bahan-bahan ilmiah tidak bercetak seperti data-data internet dan  rakaman video turut menjadi sumber penyelidikan. Penulis juga, dengan penelitian terhadap kajian para cendiakawan, mengaplikasikan kaedah semantik bagi melakukan pendefinisian makna-makna perkataan tertentu kerana penulis percaya ‘makna’ sesuatu perkataan (berkaitan aspek intelektual) mempunyai pertalian rapat dengan nilai dan tindakan seseorang (berkaitan aspek aktual).[2] Selain itu, dengan menggunakan kaedah deliberasi, penulis cuba mengolah beberapa ide besar para pemikir terkemuka berdasarkan analisis isi dan intipati karya-karya mereka. Antara gagasan besar yang ditelaah dan ditekuni secara intensif adalah konsep ta`dib yang disusun oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dalam kertas kerja ini juga, penulis lebih gemar menghurai dan membincangkan secara terperinci konsep-konsep penting berkaitan tajuk berbanding memfokuskan data dan statistik yang sebenarnya sudah sedia maklum. Ini tidak bermakna penelitian ini tidak bersifat empirik dan objektif, sebaliknya penulis lebih mengutamakan perbincangan perkara pokok (substance). Walau bagaimanapun, penulis tetap menyediakan pautan rujukan kepada statistik dan data-data tersebut.

Keputusan dan Dapatan: Kajian Kebejatan Sosial
Umumnya, kajian-kajian tentang gejala sosial yang telah dijalankan oleh penyelidik di kebanyakan universiti menunjukkan kepelbagaian tema yang penting. Antaranya, termasuk jenis-jenis: (1) gejala sosial dan kesannya; (2) salah laku dan masalah disiplin pelajar sekolah; pelaksanaan undang-undang berkaitan jenayah rogol; (3) sumbang mahram dan seks sebelum perkahwinan; (4) kecelaruan gender; (5) gejala hidu gam; (6) perlumbaan haram yang dilakukan mat motor; (7) jenayah juvana; (8) pelacuran; (9) pornografi internet; (10) gejala buli di kalangan pelajar sekolah; (11) penagihan dadah; dan (12) penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak. Secara keseluruhannya, dalam tempoh 2001-2005 terdapat 123 kajian mengenai pelbagai aspek gejala sosial yang berlaku di Malaysia telah dijalankan oleh pengkaji dari pelbagai universiti.[3]
Menurut Azlina Abdullah, seiring dengan kepesatan ekonomi dan perbandaran pesat, Malaysia berdepan dengan pelbagai jenis jenayah dan gejala delikuensi yang boleh mengganggu gugat kemananan dan kesejahteraan masyarakat. Beliau menegaskan: “Justeru, banyak kajian telah dijalankan oleh ramai pengkaji tentang jenis-jenis jenayah yang dilibati oleh remaja dan dewasa, faktor-faktor yang mempengaruhi seseorang terlibat dalam jenayah dan kesan-kesan daripadanya menjadi tumpuan perbincangan pengkaji.”[4]
Azlina Abdullah turut menyenaraikan tajuk-tajuk kajian yang telah dijalankan dan beliau mengelaskannya kepada beberapa tema seperti yang telah disebutkan di atas. Di bawah ini dipaparkan beberapa tajuk dan maklumat berkaitan hasil kajian tersebut berdasarkan tema[5]:


1.      Jenis dan Kesan Jenayah
a.       Kajian Zeenath Kausar (2005), UIAM berjudul “Social Ш and Sexploitation of Women in Malaysia: Views of Women Political Leaders on Causes and Remedies” mengkaji tentang jenis-jenis masalah sosial yang dilakukan atau melibatkan golongan wanita seperti rogol, gangguan seksual, seks sebelum perkahwinan, penceraian, penagihan dadah dan sebagainya dengan mengumpul data statistik dan maklumat mengenainya, dan menyiasat sebab-musabab berlakunya masalah sosial tersebut.
b.      Kajian Hasan Baharom et.al (2003), UiTM berjudul “Kajian Jenayah Juvana di Pantai Timur” mengkaji tentang faktor-faktor yang menjadi punca kepada keterlibatan remaja dalam pelbagai jenayah dan delinkuensi, dan mengenalpasti bilangan si pelaku yang melakukan kesalahan menurut jantina.

2.      Salah Laku dan Masalah Disiplin Pelajar Sekolah Remaja
a.       Kajian Abdullah Seif Abdullah et.al (2001), UIAM berjudul “The Major Disciplinary Problems Among Secondary School Students” meneliti tentang beberapa masalah disiplin pelajar sekolah menengah yang boleh mengganggu perjalanan dan juga prestasi pendidikan di sekolah. Pemerhatian dilakukan ke atas tingkah laku pelajar di dalam kelas, di persekitaran sekolah dan juga selepas waktu persekolahan.
b.      Kajian Che Bakar Che Mat et.al (2004), UiTM berjudul “Fenomena Hidu Gam di Kalangan Remaja Sekolah: Kajian Kes di Kawasan Persisiran Pantai Sarawak” mengkaji beberapa aspek tentang gejala menghidu gam seperti mengenalpasti faktor-faktor yang mendorong berlakunya masalah hidu gam, perkaitannya dengan penagihan dadah dan langkah-langkah bagi menangani masalah tersebut.
c.       Kajian Md Shuaib Che Din (tanpa tarikh), UMS berjudul “Hubungan antara Pengalaman Dibuli, Hubungan Sosial dengan Depresi Di kalangan Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa Awal: Satu Kajian Awal di Kota-Kinabalu, Sabah” (asas/gunaan) mengkaji hubungan antarapengalaman dibuli dan hubungan sosial dengan kemurungan, hubungan antara pengalaman dibuli dengan hubungan sosial. Selainitu, ia juga mengkaji sejauhmana hubungan sosial dan bentuk fizikal seperti obesiti menyumbang kepada pengalaman dibuli dan kemurungan di kalangan responden yang dikaji.
d.       Kajian tentang gejala buli di kalangan remaja turut dijalankan oleh Noran Fauziah Yaakub et.al (2004), UPSI berjudul “Bullying Among National and National Type (Tamil and Chinese) Primary School Children with Reference to Perak”.

3.      Sumbang mahram dan seks di luar pernikahan
a.       Kajian Zulfakar Ramlee (2004), UIAM berjudul “Incest: Its Legal Implication from Islamic Perspective” mengkaji tentang seks di luar pernikahan atau zina, kategori hukuman yang dikenakan
kepada si pelaku dalam konteks hukum Islam, dan isu-isu yang berkaitan dengan pengadilan ke atas jenayah tersebut termasuk kedudukan perundangan terhadap anak ‘luar nikah’.
b.      Kajian Maheran Zakaria (2004), UiTM berjudul “Kajian Mengenai Ciri-ciri Pelaku dan Mangsa Jenayah Sumbang Mahram di Malaysia” mengkaji tren jenayah sumbang mahram di Malaysia dan kekerapan jenayah berdasarkan lokasi atau negeri. Hasil kajian menunjukkan kebanyakan pelaku dan mangsa berada dalam golongan bawahan dan berbangsa Melayu. Si pelaku pula ialah bapa kandung, bapa saudara atau bapa tiri dan remaja yang berumur 18 tahun ke atas. Manakala mangsa adalah mereka yang berusia 16 tahun ke bawah.
c.        Kajian Jas Laile Suzana Jaafar (2004), professor di UM berjudul “The Relationship Religiosity and Youth Culture to Premarital Sex Among Malaysian and Indonesian Adolescents” mengkaji aktiviti seksual golongan dewasa dan kesan budaya remaja serta sebab-musabab penglibatan mereka dalam aktiviti seks sebelum perkahwinan. Hasil kajian yang diperolehi daripada 389 responden mendapati tahap pengetahuan agama yang rendah merupakan sebab utama penglibatan remaja dalam seks sebelum perkahwinan. Selain itu, budaya remaja mempengaruhi keputusan remaja untuk terlibat dalam aktiviti seks. Walaupun wujudnya dominasi nilai keagamaan dan tradisional di Malaysia dan Indonesia, tetapi masih ramai remaja yang terlibat dalam seks sebelum perkahwinan.
d.      Kajian Jas Laile Suzana Jaafar (2005) tentang seks sebelum perkahwinan berjudul “The Relationship of Among Reasoning to Premarital Sex Among Malaysian Adolescents” (rundingan/kontrak). Kajian tersebut mengkaji 83 orang responden dengan melihat hubungan antara dampak moral (moral reasoning) ke atas aktiviti seks sebelum berkahwin.

4.      Kecelaruan gender
a.       Kajian tentang kecelaruan gender di kalangan pelajar universiti yang dijalankan oleh Sidek Abdullah et.al (2005), UiTM berjudul “Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Kecelaruan Gender di Kalangan Pelajar Lelaki Lembut di UiTM Johor” mengkaji tentang beberapa faktor yang menyebabkan sesetengah pelajar lelaki berperilaku dan bersifat seperti perempuan. Kajian tersebut cuba meneliti faktor diri sendiri, keluarga, rakan sebaya, sosialisasi dan persekitaran secara terperinci.

5.      Pelacuran
a.       Kajian Ahmad Hassan (2004), UM berjudul “Wanita Kelantan dan Pelacuran: Satu Kes Kajian di Kota Bharu, 1950an-1970an” mengkaji tentang dinamika kegiatan pelacuran akibat perubahan gaya hidup yang pesat di Kota Bharu, Kelantan di antara tahun 1950-an hingga 1970an. Kajian tersebut turut mengkaji pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan kegiatan pelacuran pada tempoh tersebut. Hasil kajian mendapati peningkatan penceraian, kemiskinan dan masalah mendapatkan pekerjaan merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kegiatan pelacuran bagi tempoh tersebut. Kawasan pelacuran selalunya dipengaruhi oleh faktor sejarah dan sifat entertainment value. Kawasan pelacuran di Kota Bharu dikenalpasti melalui tumpuan lokasinya, jenis kelas pelacur dan peranan serta sumbangan orang tengah sebagai ejen dan penghubung antara pelacur dan pelanggan.

6.      Pornografi Internet
a.       Kajian Manique Apsara Ephranella (2006), UM berjudul “Child Pornography on the Internet” mengkaji tentang capaian pornografi internet oleh kanak-kanak. Kajian tersebut bertujuan merangka satu kertas cadangan yang komprehensif bagi pembentukkan undang-undang tentang pornografi kanak-kanak.

7.      Penagihan Dadah
a.       Kajian tentang masalah penagihan dadah telah dijalankan oleh Usman Ahmad Karofi (2005), UUM berjudul “Perhubungan di Antara Penyalahgunaan Dadah dan Tingkahlaku Jenayah: Satu Kajian Kes di Dua Pusat Pemulihan Dadah Kerajaan di Pulau Pinang, Malaysia” mengkaji hubungkait antara penggunaan dadah dengan salah laku jenayah. Daripada 300 responden yang terdiri daripada pengguna dadah di pusat pemulihan Pulau Pinang, kajian mendapati: (1) Heroin dan cannabis (ganja) adalah jenis dadah utama yang disalahguna oleh responden, (2) Penyalahgunaan dadah berkait rapat dengan jenayah harta benda, (3) Kebanyakan responden dalam kajian bersetuju bahawa mereka melibatkan diri dalam jenayah untuk menampung tabiat penggunaan dadah mereka, (4) Mereka juga mengakui penglibatan mereka dalam jenayah harta benda, (5) Wujudnya hubungan yang signifikan di antara salahlaku jenayah dan perbandaran, tekanan rakan sebaya, persekitaran dan pendidikan awal remaja, (6) Desakan duit dan kemiskinan menjadi punca penglibatan dalam aktiviti jenayah.

Banyak lagi kajian lain berkaitan masalah sosial yang tidak sempat penulis sertakan. Kebanyakan kajian meletakkan faktor kemajuan ekonomi dan perbandaran pesat yang merupakan kesan langsung globalisasi sebagai antara faktor utama berlakunya gejala-gejala tersebut. Malah ada antara pengkaji yang mempersoalkan mengapa gejala berleluasa dalam era globalisasi serba moden ini berbanding era sebelumnya. Justeru, adalah signifikan bagi kita mengenali globalisasi, sifat dan bawaannya.

Globalisasi: Fenomena Sejagat yang Membimbangkan
Dewasa ini, perkataan ‘globalisasi’ telah menjadi antara perkataan paling kerap meniti di bibir para cendiakawan dalam perbahasan akademik dan perdebatan politik semasa. Menurut Stanford Encyclopedia of Philosophy (2002), dalam wacana arus perdana, globalisasi selalunya dikaitkan dengan fonemena-fenomena seperti: (1) liberalisasi ekonomi iaitu kegelojohan polisi ekonomi pasaran bebas oleh kelompok ‘Liberal Klasik’ dalam usaha menguasasi ekonomi dunia (2) Westernisasi atau perkembangan dominasi Barat terhadap sektor politik, ekonomi, dan budaya dunia, (3) Revolusi jaringan internet iaitu perkembangan teknologi maklumat yang canggih dan terkini, (4) Integrasi Global iaitu kesedaran masyarakat dunia membentuk kesatuan sejagat tanpa sebarang konflik sosial.[6]

            Menurut Kamus Dewan (2000), globalisasi bermaksud "fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat". Ishak Shaari (2000) mengklasifikasikan  globalisasi berdasarkan beberapa kategori seperti: (1) Globalisasi kewangan dan pemilikan modal, (2) Globalisasi pasaran dan stategi, (3) globalisasi teknologi, (4) globalisasi cara kehidupan dan pola kepenggunaan atau globalisasi budaya, (5) globalisasi keupayaan mengawal dan governans, (6) globalisasi sebagai penyatuan dunia dan (7) globalisasi persepsi dan kesedaran. (rujuk lampiran – jadual 1)

Yusuf al-Qaradhawi ketika mengulas mengenai definisi globalisasi telah memetik pandangan Dr. Muhammad Abid al-Jabiri yang menyatakan globalisasi bermaksud menjadikan sesuatu berada di peringkat antarabangsa iaitu memindahkan sesuatu dari kawasan yang terhad dan dapat diawasi ke kawasan tanpa had yang jauh daripada sebarang pengawasan.[7] Justeru, globalisasi mencakupi maksud membatalkan sempadan negara, beridentitikan kebangsaan dalam lapangan ekonomi dan membiarkan segala urusan dapat bergerak bebas menyeberangi alam dan ruang angkasa yang berada dalam lingkungan planet Bumi. Bertolak dari sini maka negara-negara beridentiti kebangsaan, kerajaan dan sesuatu umat berada dalam zaman yang ditunjangi oleh globalisasi. Definisi ‘globalisasi’ ini saling tidak berbeza sebagaimana yang didefinisikan oleh Stanford Encyclopedia of Philosophy (2002). Yusuf al-Qaradhawi menambah:globalisasi adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, dunia Islam.”

Ada segelintir dalam kalangan umat Islam yang secara simplistik mengatakan globalisasi selari dengan Islam. Ini merupakan kekeliruan besar yang berlaku akibat kegagalan memahami makna globalisasi (‘awlamah) dengan universalisme Islam (‘alamiyah). Dalam kaitan ini, perlu difahami bahawa universalisme Islam  membawa semangat kebersamaan, perkongsiaan dan kesalingan dalam memberi dan menerima.  Malah, dalam sejarah politik umat, terdapat kesatuan dunia Islam yang dikenal sebagai dar al-Islam yang meliputi wilayah Islam di Asia, Eropah dan Afrika yang dicirikan oleh persamaan pandangan alam, keseragaman budaya, perkongsian set nilai dan sebagainya. Namun, fenomena tersebut, seperti kata Siddiq Fadzil: “…tidak boleh disamakan dengan globalisasi yang kita kenal hari ini. Keseragaman daalm konteks dar al-Islam tidak terjelma daripada motif hegemoni atau dominasi, tetapi hakikatnya ia adalah manifestasi universalisme Islam itu sendiri.”[8] Siddiq Fadzil meneruskan kritiknya terhadap bencana globalisasi dengan menyatakan:

Globalisasi tidak dapat ditanggapi secara simplistik sebagai natijah atau fenomena konsekuensial dari revolusi teknologi komunikasi. la adalah suatu agenda yang harus difahami bersama dengan pelbagai gagasan dan ramalan tentang dunia pada abad 21, termasuk apa yang dinamakan Tatanan Baru Dunia. (New World Order). Perbenturan Tamadun (Clash of Civilisations) dan Tamatnya Sejarah dan Manusia Terakhir (The End of History and the Last Man). Seperti yang disebut oleh Francis Fukuyama,  tamadun Barat telah mencapai puncak kesempurnaannya pada sistem liberal-demokratik-kapitalistik. Menurut penilaiannya tamadun tersebut dapat memberikan segala keperluan manusia sejagat dan dengan demikian berakhirlah proses pencarian ideologi dan sistem hidup yang muktamad. Atas asas itu ia adalah tamadun yang universal dan manusia Barat adalah manusia universal, jelmaan terakhir manusia yang telah mencapai puncak kesempurnaan. Rasa unggul diri dan optimisme Fukuyama yang sebenarnya sangat simplistik dan kontroversial itulah yang dijadikan salah satu asas pewajaran globalisasi tamadun Barat, hegemoni dan dominasi Amerika.”[9]

Ketegasan terhadap Barat ini bukanlah petanda penulis menderita penyakit xenophobia[10], sebaliknya merupakan cerminan keinsafan yang mendalam terhadap hakikat sebenar kebudayaan Barat. Hakikatnya, penulis melihat globalisasi sebagai fenomena yang bukan neutral, malah mengendong nilai-nilai diabolis Barat yang berbahaya dan merosakkan sebagaimana pengamatan Syed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas): “manusia Barat senantiasa berkecenderungan menganggap budaya dan tamadunnya sebagai pelopor kebudayaan insan; serta pengalaman dan kesedarannya sebagai yang paling mithali dan termaju. Kerana itulah, semua kita yang lain ini, kononnya secara amali sentiasalah ketinggalan di belakang mereka. Dan konon kelaknya nanti, apabila tiba masanya, kita juga bakal menyedari dan mencapai pengalaman dan kesedaran yang sama. Dengan sikap inilah manusia Barat –yang mempercayai anggapan aneh mereka sendiri tentang evolusi manusia – sentiasa menanggapi sejarah, pembangunan, dan agama serta pengalaman dan kesedaran keagamaan.”[11]

Justeru, dalam konteks remaja, kebejatan akhlak yang berleluasa, krisis identiti dan jurang generasi yang menyelubungi anak-anak muda sebenarnya bukanlah manifestasi jati diri dan kebudayaan umat Islam, tetapi merupakan gejala bawaan kebudayaan Barat menerusi globalisasi yang mereka canang-canang dan banggakan. Pengaruh pandangan hidup Barat dan peradabannya yang hegemonik dan bersikap mendominasi cuba mendekonstruksi atau merombak nilai-nilai kebudayaan masyarakat bukan Barat dan digantikan dengan budaya sekular Barat yang nihil (tiada nilai) melalui globalisasi budaya. Oleh sebab itu, kita seharusnya mengenali dan mengetahui hakikat sebenar jati diri keagamaan dan kebudayaan Islam supaya dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.


[1] Siddiq Fadzil, http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=139, 26 -01-06
[2] Dalam perbahasan falsafah, makna perkataan dijana dan difahami oleh daya akliah (cognitive power) yang membentuk dan menyampaikan isyarat-isyarat bermakna (meaningful signs). Disebabkan isyarat-isyarat bermakna ini dijana oleh akal yang bersifat batin (dalaman), maka ia disampaikan atau diekspresikan ke alam luar melalui daya berbahasa atau daya pertuturan dan pemahaman ini mendorong kepada tindakan jasmani. Rujuk Adi Setia Mohd. Dom, “Teori dan Penemuan Barat tentang ‘Aqal: Tinjauan dan Penilaian Ringkas Menurut Kerangka Faham Ilmu Islam”, Seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam, KL: IKIM, 13-14 Mei 2008.
[3] Azlina Abdullah, “Penyelidikan tentang Gejala Sosial di Malaysia dalam Dekat 2000-an”, The 7th International Malaysian Studies Conference (MSC7), Critical Transitions: Repositioning the State, Market and Society, 16-18March2010(Tue–Thurs)
[4] Ibid.
[5] Ibid. Lihat juga “Kajian Mengenai Gejala Sosial”, Kajian Inventori Penyelidikan Pembangunan Sosial di Malaysia 2001-2005, (KL: Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 2006)
[7] Yusuf al-Qaradawi , Mafhum al-`Aulamah wa Maza Ta`ani?, http://www.islamonline.net/Arabic/contemporary/2003/02/article01.shtml,  29-06-05
[8] Ibid.
[9] Siddiq Fadzil, op.cit
[10] Xenophobia bermaksud perasaan takut, benci, gerun, menyampah dan geram kepada bangsa asing sehingga membuatkan seseorang membenci mereka.
[11] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 3



bersambung - bahagian 2

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget