Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
"Ya Allah, aku bermohon
kepada-Mu dikurniakan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang melimpah-ruah dan
kesembuhan dari segala macam penyakit. Amin"
PRAWACANA
Bergelar
‘mahasiswa’ tidak hanya bermaksud menjadi pelajar di institut pengajian tinggi
atau universiti. Mahasiswa adalah sebenarnya ‘the custodian of knowledge’.
Justeru, menjadi mahasiswa bermakna menjadi golongan terpelajar yang sedar
tentang peranan dan tanggungjawab keilmuwan yang terbeban ke atas pundak
mereka. Ia menuntut kesungguhan, ketekunan dan keteguhan menempuh alam kampus
yang cukup mencabar.
Mahasiswa
bukan seperti pelajar sekolah. Di kampus, sistem pembelajarannya berbeza
daripada apa yang pernah dirasai di sekolah; sistem semester, pemarkahan ‘carry-assessment
marks’, tugasan, buku rujukan, kuiz, ujian dan pelbagai lagi perkara yang
mungkin tidak pernah dilaksanakan di sekolah bakal dialami di universiti.
Tidak
sekadar sistem pembelajaran sahaja yang berbeza, malah kehidupan alam kampus
juga berbeza. Suasana alam kampus lebih bebas dan menuntut mahasiswa untuk
berdikari. Disiplin diri adalah sangat utama agar tidak berlaku keciciran dalam
pelajaran kelak.
Selain
itu, mahasiswa tidak selayaknya hanya belajar di bilik kelas, menyelesaikan
tugasan matakuliah, tutorial dan mencapai kecemerlangan akademik, tetapi
mahasiswa juga punya tanggungjawab kemasyarakatan. Justeru, pembinaan syakhsiah
(peribadi) adalah asas kepada usaha persiapan mahasiswa untuk cemerlang dalam
pengajian, terlatih dalam medan, membina daya kepimpinan seterusnya menyumbang
kepada umat dan masyarakat.
MAHASISWA
DAN JATIDIRI KEMAHASISWAAN
Mahasiswa
secara umumnya dikenali sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi atau
universiti. Mahasiswa menghadiri kuliah di universiti, menghadapi ujian akhir
dan bergraduasi. Dengan sijil yang diperoleh daripada universiti, maka
berpeluanglah mereka mencari pekerjaan yang bergaji lumayan, dan taraf
kehidupan keluarga dapat ditingkatkan. Itulah gambaran umum tentang siapa
mahasiswa. Sekiranya kita berani berlaku jujur dan mengakui keadaan dan kualiti
diri kita sebagai mahasiswa di universiti, mungkin akan dapat membuka jalan berfikir
secara objektif dan koreksi diri dapat dilakukan.
1)
Mahasiswa dalam Cengkaman Orang Industri
Hakikatnya,
mahasiswa itu sangat berkait rapat dengan konsep universiti. Mungkin apa yang
kita fahami tentang mahasiswa dan universiti sekarang ini bertitik tolak
daripada penyelewengan tujuan penubuhan universiti. Jika
dahulu ilmu pengetahuan mempengaruhi persekitaran, tetapi hari ini persekitaran
mempengaruhi ilmu pengetahuan dan cara penyampaiannya. Jika universiti zaman
dahulu bercakap tentang ilmu, universiti kini bercakap tentang produk dan
servis. Pelajar merupakan pelanggan mereka (universiti), dan pasaran kerja
merupakan panel penilai keberkesanan mereka. Pendidikan hari ini telah menjadi
sejenis bisnes yang mula didominasi oleh ‘Orang Industri’.
Malah
sektor pendidikan itu sendiri telah diberi label ‘industri’; yang tentunya
memberi membawa implikasi penekanan kepada motif perekonomian (mencari
keuntungan) sesuai dengan konotasi kata industri itu sendiri sebagai
perusahaan. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Presiden Kolej Dar al-Hikmah,
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil pemakaian istilah industri pendidikan sebagai
‘pengkomoditian ilmu dan ilmuwan yang nilainya ditentukan oleh hukum pasaran;
penawaran dan permintaan’.
2)
Mahasiswa dan Elemen-elemen Lain yang Integral dan Saling Melengkapi
Kita
perlu ubah! Ubah cara fikir dan kembalilah kepada hakikat mahasiswa yang
sebenar. Dalam tradisi kesarjanaan tamadun-tamadun besar, pelajar sangat
berkait rapat dengan guru, adab-etika dan kutub khanah (pustaka). Guru
merupakan seorang insan yang bertanggungjawab menyalurkan ilmu (transmission
of knowledge) kepada muridnya. Bukan sekadar ilmu, tapi yang lebih utama
ialah metodologi (manhaj) untuk mempelajari atau mendalami disiplin ilmu
yang diajarkan. Metodologi ini penting supaya ilmu yang diajarkan dapat
dikembangkan dan tidak bersifat statik dan jumud. Khutub khanah atau
kepustakaan juga merupakan unsur penting yang berkait rapat dengan pelajar. Di
sinilah berkumpulnya rujukan-rujukan untuk pengembangan ilmu pelajar. Institusi
pendidikan yang berkualiti dan punya visi kependidikan yang unggul akan melabur
banyak untuk meningkatkan kualiti kepustakaannya. Adab pula adalah etika dan
disiplin seorang penuntut ilmu. Oleh sebab amanah keilmuan itu bukan calang
beratnya dan perbuatan menuntut ilmu itu bukanlah mudah, maka disiplin menuntut
ilmu perlu dijaga.
3)
Hakikat Mahasiswa: Pengemban Amanah Keilmuan
Hakikat
mahasiswa ialah mereka merupakan manusia yang sedang disiapkan untuk mengemban
amanah keilmuan; mengamalkan dan menyebarkan ilmu yang benar untuk manfaat
diri, keluarga dan masyarakat keseluruhannya. Inilah jatidiri mahasiswa: sedar
akan kedudukannya sebagai penuntut ilmu yang mempunyai hubungan dengan guru,
melalui proses pembelajaran dengan adab dan disiplin tertentu dan sanggup
mengemban amanah keilmuan serta menyebarkan ilmu yang hak untuk manfaat diri,
keluarga dan masyarakat.
Konsep
dan aspirasi universiti pula wajar dikembalikan. Universiti sewajarnya menjadi
tempat di mana ilmu dihubungkaitkan secara universal. Iklim ilmiah dan tradisi
akliah wajar menjadi keutamaan. Budaya ilmu diamalkan oleh semua peringkat
warga universiti. Tuntasnya, universiti tidak sepatutnya menjadi tempat
merebaknya wabak kepura-puraan – baca buku untuk ujian dan peperiksaan; menipu
dalam menyiapkan tugasan; menipu dalam peperiksaan; plagiarisme dan sebagainya
– akan tetapi, universiti harus bertindak sebagai institusi melahirkan para
ilmuwan yang berwibawa dan berjasa kepada manusia sejagat.
BITARA:
GAGASAN KEUNGGULAN MAHASISWA
Mahasiswa
wajar punya cita-cita. Dato Dr Siddiq Fadzil pernah dalam ucapannya di hadapan
anak-anak muda secara berseloroh – tapi mesejnya jelas – menyatakan: “Jangan
ditanyakan kepada orang tua, apa cita-citamu, kerana orang tua tidak punya
cita-cita melainkan pengalaman. Maka, tanyalah engkau akan pengalamannya. Akan
tetapi untuk anak muda, tanyakan apa cita-citanya. Orang muda wajar punya
cita-cita.”
Mahasiswa
rata-ratanya terdiri daripada golongan muda. Anak muda perlu ada idealisme.
Kekuatan tenaga kepemudaan yang disepadukan dengan idealisme yang kukuh dan
jelas serta kekuatan ilmu pengetahuan mampu memberi impak besar dalam diri dan
komuniti. Potensi kepemudaan ini tidak sewajarnya dibazirkan. Ini bermakna, ‘Mahasiswa
Bitara’ adalah kelompok mahasiswa yang berusaha untuk membangunkan potensi diri
untuk cemerlang dalam akademik, cemerlang dalam menggilap kompetensi diri,
cemerlang dalam kepemimpinan dan cemerlang dalam kegiatan kemasyarakatan serta
seterusnya menjadi jurubicara ummat yang unggul.
1) Mahasiswa Bitara yang Unggul dan
Hebat
Gagasan
‘Mahasiswa Bitara’ bukanlah suatu yang baharu. Istilah ‘bitara’ itu sendiri
menggambarkan keunggulan (khairiyah). Dari segi bahasa, kata ‘bitara’
merupakan cantuman dua perkataan iaitu ‘bi’dan ‘tara’. ‘Bi’ merupakan imbuhan
pinjaman daripada Bahasa Parsi yang bermaksud ‘tidak’ atau ‘tiada’. Manakala
‘tara’ bermaksud ‘takat’, ‘tahap’ atau ‘had’. Oleh yang demikian, ‘bitara’
membawa maksud ‘tiada had’, ‘tiada takat’, ‘unlimited’. Dalam kata lain,
‘Mahasiswa Bitara’ adalah mahasiswa unggul yang hebat!
2)
Tanda Aras (Indikator) Keunggulan Mahasiswa
Terdapat
empat input pembinaan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dikenali sebagai ‘Lingkung
Kebitaraan’: (1) Idealisme; (2) Intelektualisme; (3) Aktivisme; dan (4)Spiritualisme.
Idealisme ialah kekuatan azam dan cita-cita; visi dan harapan. Idealisme harus
dipandu oleh kekuatan ilmu dan tradisi akliah iaitu aspek intelektualisme agar
idealisme tersebut tidak sekadar bersandarkan semangat semata-mata. Aktivisme
adalah manifestasi idealisme yang dipandu intelektualisme, manakala
spiritualisme adalah aspek kawalan bagi unsur lingkung kebitaraan yang lain.
MEMBINA
KOMPETENSI DAN KEPEMIMPINAN
Mahasiswa
Bitara melahirkan pemimpin unggul. Gagasan Mahasiswa Bitara mensasarkan
pembinaan mahasiswa yang kompetens dan punya daya kepemimpinan yang berkualiti.
Kepemimpinan bukan sekadar melihat kepada aspek karismatik seseorang, malah ia
menjangkau lebih daripada itu. Kepemimpinan yang benar-benar berkualiti adalah
kepemimpinan yang didasari oleh nilai-nilai murni yang kudus. Justeru, PKPIM
meyakini bahawa kepemimpinan adalah suatu gerak daya atau proses ‘sanctified
trust’ atau ‘pengkudusan kepercayaan’ yang disulami dengan niai-nilai seperti
integriti, kebebasan dan keadilan.
Kebanyakan
pemimpin naik ke teraju kepimpinan tanpa mengetahui dan menyedari peranan
sebenar seorang pemimpin serta nilai-nilai yang patut dianutinya. Mereka
bertindak cuma berdasarkan apa yang mereka percaya mereka boleh lakukan ketika
memegang autoriti; mungkin mereka berbakat dalam pengucapan awam, mampu
berpidato dengan hebat tapi terkadang cuma laungan kosong dan angan-angan yang
akhirnya langsung tak menampakkan hasil kejayaan kepimpinannya.
Akan
tetapi, hakikatnya pemimpin yang berkesan bermula dengan menanyakan dirinya
tentang watak kepimpinan yang bagaimana sewajarnya dibentuk. Kepimpinan yang
berkesan memberi fokus kepada pembinaan watak kepimpinan; kesedaran tentang
nilai dan prinsip yang dipegang dan dianuti.
1)
Pembinaan Watak Pemimpin
Oleh
sebab itu, Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) merupakan mekanisme penyaluran
nilai-nilai dalam empat elemen Lingkung Kebitaraan – spiritualisme, idealisme,
intelektualisme dan aktivisme - yang bakal memacu pemimpin dan kepimpinannya ke
arah konsistensi sikapnya yang menentukan tahap keberkesanan kepimpinan
seseorang.
Pemimpin
yang berkesan akan mampu menjadi suri tauladan kepada pengikutnya, yang
menunjukkan sikap yang membangkitkan motivasi pengikutnya, yang menyokong orang
bawahannya sehingga mereka mampu berdikari dan yang sentiasa membuat keputusan
bersandarkan matlamat yang jelas dan kaedah yang efektif. Natijahnya,
kepimpinan yang berkesan akan memotivasikan kelompok atau organisasinya untuk
mengembleng sepenuh tenaga bagi mencapai wawasan yang dicita-citakan.
Justeru,
tiga komponen teras dalam Pembinaan Watak Pemimpin (PWP) diklasifikasikan: 1) Watak
Syakhsiy (Personal Character); 2) Watak Ijtima’i (Social Character);
3) Watak Tanzhimi (Organizational Character). Watak Syakhsiy adalah
peran yang sentiasa tekal dan cekal dalam berhadapan setiap kendala yang
mendatang, manakala Watak Ijtima’i menonjolkan sikap saling menghormati, ambil
berat, menyanjungi persamaan dan menghargai perbezaan. Watak Tanzhimi pula
merupakan manifestasi sikap semangat berpasukan dan amal jama’i yang
berkesanggupan mengutamakan organisasi dan orang ramai berbanding kepentingan
peribadi. Inilah antara output gagasan ‘Mahasiswa Bitara’ yang dicita-citakan.
2)
Kecenderungan, Sikap, Rutin dan Pembinaan Budaya
Kata kunci yang penting untuk difahami dalam membangun gagasan
‘Mahasiswa Bitara’ ialah budaya. Mahasiswa Bitara perlu membangun budayanya
sendiri. hanya dengan budaya yang baik, tiga komponen teras dalam Pembinaan
Watak Pemimpin (PWP) mampu untuk dilaksanakan. Budaya adalah istilahyang
terdiri daripada dua perkataan iaitu ‘budi’dan ‘daya’. Budi adalah lambang
aspek dalaman diri manusia yang merangkumi idealisme, intelektualisme dan
spiritualisme, manakala daya adalah manifestasi aspek dalaman tadi dalam
perbuatan dan kegiatan (aktivisme).
Persoalannya, bagaimana membina budaya? Budaya hanya akan terbina
dalam komuniti. Ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang saling
memerlukan satu sama lain. Sejarah ketamadunan bangsa-bangsa besar dunia
membuktikan tamadun berkembang daripada budaya, dan budaya dibangunkan dalam
masyarakat. Justeru PWP adalah watak-watak yang bersifat syumul kerana
watak-watak inilah yang akan membantu menjayakan pembinaan budaya dan tamadun.
Bagaimana kita dapat membina budaya secara praktikal? Di sini
terletaknya kepentingan kesatuan pemikiran dan idealisme dalam masyarakat. Awal
mulanya budaya akan mungkin terbina dengan munculnya ‘kecenderungan’ (tendency)
dalam diri individu. Daripada kecenderungan ini, maka ‘sikap’ (attitude)
mula dibina dalam diri individu tersebut. Sikap ini akan membentuk ‘rutin’ (routine)
yang menjadi pengamalan harian oleh individu tersebut. Justeru, apabila setiap
individu mempunyai kecenderungan, sikap dan rutin yang sama, maka budaya pun
terbentuk. Dalam kata lain, budaya adalah manifestasi kesatuan pemikiran
individu-individu dalam sesuatu masyarakat yang menzahirkan
pengamalan-pengamalan tertentu dalam bentuk kegiatan dan perbuatan.
KHATIMAH
‘Mahasiswa
Bitara’ adalah sebuah gagasan untuk mengembalikan makna diri dan keunggulan
mahasiswa. Mahasiswa harus disedarkan bahawa tugas mereka bukan semata-mata
menjadi pelajar yang belajar di kuliah untuk menjawab peperiksaan dan memenuhi
keperluan pasaran dan Orang Industri.
Mereka
merupakan pengemban amanah keilmuan yang punya tanggungjawab memenuhi hak diri,
keluarga dan umat. Empat Lingkung Kebitaraan perlu diaplikasikan seterusnya
membina Watak Pemimpin: watak Syakhsiy, watak ijtima’i dan watak tanzhimi dalam
penyuburan budaya yang positif dalam komuniti mahasiswa dan warga university.
Wallahu
a’lam bi al-sowab
Mohammad
Fazril Bin Mohd Saleh
19
September 2013, 02.19 petang
Sungai
Chincin, Gombak Selangor
013-2775313
/ fazrilsaleh@gmail.com / fb: Peminggir Kota
*Kertas ini dibentangkan kali dalam program Teknik Belajar Mahasiswa Bitara
anjuran IIUM Facilitator Team (FaciTeam) pada 18 September 2013, bertempat di
Dewan Kuliah Fakulti Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Kampus Kuantan, Pahang & dibentangkan kali ke-2 dalam program Wacana Teknik
Belajar Mahasiswa Bitara anjuran PKPIM dan Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI
sempena Pesta Buku UPSI 2013 pada 07 Oktober 2013.
*Penulis merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam
Malaysia (PKPIM) dan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam
bidang Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Ketamadunan)
Catat Ulasan