Yang Jelik Tak Kelihatan
Alhamdulillah, segala puja dan puji bagi Allah atas segala-galanya. Nikmat yang tak terhingga; tak dapat dihitung dan dijangkau pancaindera manusiawi. Kadangkala, nikmat yang pelbagai ini bagaikan tak terasa; walaupun perbendaharaan nikmat Allah itu sangat luas kerana pandangan manusiawi kabur dalam menanggap nikmat alam tinggi melainkan dengan “latifah ruhaniyah” ;- kehalusan rohani dalam diri manusia.
Selawat dan salam atas Junjungan Mulia lagi Terhormat, Sebaik-baik insan dan makhluk, Kekasih Allah Yang berakhlaq al-Azim, Nabi Muhammad SAW. Manusia yang bernama Muhammad Bin Abdullah SAW ini sebenarnya belum lagi kami kenali dengan sedalamnya. Walau bagaimana pun, syukur kepada Allah yang telah mempertemukan kami dengan wasilah yang berjaya menyentak benak ini. Alhamdulillah, aku baharu sahaja berkenalan dengan manusia paling Agung ini dan akan cuba mengenali baginda dengan lebih mendalam.
Tatkala ada orang lain memuji kita, sebagai Muslim yang cuba menghindarkan penularan sifat takabbur;- wajar kita sebut alhamdulilLah (segala-gala puja dan puji kepada Allah). Betul! Memang itu pun yang diajar kepada kita. Sememangnya segala puji bagi Allah dan sebesar manapun pujian kita tetap tidak akan sama dengan pujian Allah terhadap diri-Nya sendiri. Justeru, senantiasalah memuji Allah.
Namun, manusia yang lemah ini sebenarnya tak mampu menanggung derita barah nan semakin menular. Barah takabbur (membesar dir), riyak (memperlihat-lihatkan kelebihan diri), sum-‘ah (memperdengarkan kelebihan diri) dan ‘ujub (berasa takjub dengan diri) tak dapat dibendung; bagaikan puja-puji yang dikembalikan kepada Allah itu tidak sepenuhnya dikembalikan. Masih ada lagi sisa-sisa pujian itu pada diri kita.
Ya lah.. pabila mendapat pujian insan lain, seolah-olah satu pengiktirafan yang perlu dibanggakan. Namun, kebanggaan inilah yang sebenarnya bakal membunuh sifat manusiawi akibat lupa akan keadaan diri yang sebenarnya tidak berdaya melainkan dengan Izin-Nya. Kerna itu, perlu dibalikkan sepenuhnya pujian itu kepada Allah Ta’ala.
Persoalannya, bagaimana? Masih tak jelas.. Bagaimana mahu kembalikan semua pujian yang diterima kepada Allah sedang diri terus menerus menderita penyakit hati? Cukup dengan AlhamduliLah?
Allahu Akbar… Allahu Akbar.. Antara hikmah Allah Taala mengutuskan Nabi Muhammad SAW yang mulia itu ialah memberikan khabar gembira kepada yang beriman dan khabar ancaman kepada yang engkar.
Dalam menanggap konflik yang berlaku selepas dipuji ini memerlukan sisi pandang yang berbeza.
Hakikatnya, manusia ini apabila dipertontonkan antara yang baik dan yang buruk, pastinya yang buruk itu melekat lebih cepat di mata manusia. Bak kata pepatah melayu; “kuman di seberang nampak, Gajah di atas batang hidung tak kelihatan”.
Atas sebab itu, hakikat pujian yang kita terima sebenarnya bukan kerana kelebihan yang kita miliki, kecerdikan yang kita tonjolkan, kebaikan yang kita lakukan, tetapi sebenarnya kerana orang yang memuji tak nampak kejelikan, keaiban, kesalahan, kesilapan, sifat buruk,dan sisi gelap yang ada pada diri kita.
Itulah sebab mengapa orang memuji kita. Bayangkan kalau aib kita diketahui orang lain, mahukah lagi dia memuji kita? Sememangnya manusia sebegitu- “kuman di seberang nampak, Gajah di atas batang hidung tak kelihatan”.
Maka, AlhamdulilLah; segala puja-puji bagi Allah yang telah menutupi aib diri kita daripada pandangan mata insan lain. Lafaz syukur AlhamdulilLah itu wajib disusuli dengan amal;- (manifestasi konsep tahalli & takhalli) muhasabah dan insafi diri, buang segala sifat mazmumah, taubat, perbaiki kelemahan diri, hiasi diri dengan sifat-sifat mahmudah.. Maka, akan terpancarlah penampakan akan Besar-Nya kuasa dan cakupan Allah (Tajalli) yang bakal mengemudi kita dalam menempuh gelora duniawi menuju negeri yang abadi.
Allahu Ta’ala A’lam.
28 Julai 2009
1.30 patang
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Catat Ulasan