“ Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada kalangan lelaki mahupun perempuan, menjadikan kamu berbangsa-bangsa & bersuku-suku, adalah untuk kamu saling mengenal”
(al-Quran : Al-Hujurat; ayat 13)
Pada suatu pagi, di dalam sebuah tren LRT STAR (aliran Kelana Jaya), ada dua orang budak sekolah rendah; lelaki & perempuan duduk bersebelahan. Tiba-tiba, si budak perempuan bertanya kepada budak lelaki ni (maka bermulalah konversasi mereka)
Budak perempuan : saya Pei Ing. Nama sapa?
Budak lelaki pun mengeluarkan telefon bimbitnya, lalu menaip jawapan kepada persoalan tersebut & ditunjukkan kepada budak perempuan itu.
Budak perempuan : oh, Ahmad. Nak pergi mana?
Sekali lagi budak lelaki itu menjawab soalan yang diajukan dengan kaedah yang sama.
Budak perempuan : oh, Cheras. Awak tak leh (tak boleh) cakap ka?
Tiba-tiba telefon bimbit budak lelaki itu bordering*....
Budak lelaki : hello, hai atuk…..bla,bla,bla…
Datuk si budak lelaki ni telefon…
*(kejadian ini mungkin berlaku pada akhir tahun 90-an memandangkan pada zaman pasca-millenium ini, jarang benar kedengaran telefon bimbit berdering seperti bunyi ring..ring..ring melainkan dengan nada dering lagu-lagu hit arus perdana seperti “..wo o, kamu ketahuan, pacaran lagi dengan si dia…” & sebagainya)
Berkenalan (ta`aruf) merupakan antara aspek terpenting dalam kehidupan manusia. Manusia bukan hanya berta`aruf dengan sesama manusia sahaja, tapi juga dengan makhluk lain, malah dengan Khaliq (Yang Maha Pencipta). Juga, ta`aruf bukan semestinya dengan cara konvesional, malah boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Jadilah lebih kreatif!
Penulis cuba membayangkan bagaimana keadaannya sekiranya manusia tidak mengambil inisiatif untuk ‘mengenal’:- mengenal manusia, benda, pelajaran, alam, dan sebagainya. Rasanya, tidak ber’makna’ hidup ini.
Entahlah, cuba kalian fikirkan, sekiranya tiada perasaan ingin tahu, dalam erti kata lain ingin mengenali, apa sebenarnya yang akan kita tahu dan akan kita kenal?
Apa tujuan tahu atau kenal ‘sesuatu’?
Tujuannya untuk kita mengakui ‘sesuatu’ itu sesuai dengan pengenalan kita terhadapnya. (pengenalan-pengakuan : menurut Prof. Syed M. Naquib Al-Attas – seorang tokoh pemikir Islam, konsep ini merujuk kepada Faham Adab dalam Islam)
Sebagai contoh :
sekeping roti dihidangkan di hadapan orang lapar. Roti ini adalah untuk dimakan (sesuai dengan nama, zat dan sifatnya sebagai roti). Bagi seorang lapar yang mengenal roti, sudah pasti dia tidak teragak-agak untuk makan roti tersebut.
Penerangan :
1. Aspek ‘pengenalan’ – tahu Roti mempunyai zat, sifat, & fungsi yang tersendiri
samada secara sedar mahupun tidak.
2. aspek ‘pengakuan’ - perbuatan makan roti itu.
3. Sudah pasti orang lapar perlu kenal roti itu sebagai roti sebelum dia makan roti.
4. Maka, daripada ‘pengenalan’ orang lapar kepada roti, dia bertindak ‘mengakui’
roti itu sebagai roti (yang fungsinya untuk dimakan) dengan cara makan roti itu.
5. Sekiranya orang lapar tahu & kenal roti (ada aspek pengenalan) tapi tidak makan roti itu (tiada aspek pengakuan) sudah pasti dia akan kelaparan.
6. Menurut Faham Adab, orang lapar tidak beradab kepada roti (kerana tidak dimakan), juga kepada perutnya yang lapar (kerana tidak makan).
7. Faham Adab ini boleh diaplikasikan kepada semua perkara :- diri, ibu bapa, guru, kawan-kawan, alam, benda, Nabi, Tuhan dan sebagainya.
8. PENGENALAN itu ILMU, PENGAKUAN itu AMAL
Kesimpulannya, pengenalan perlu melalui proses berkenalan (samada secara sedar atau tidak). Seterusnya, diikuti dengan pengakuan (pengamalan). Adab perlu difahami dalam konteksnya yang sebenar dengan tidak menyempitkannya kepada pengamalan budaya lemah-lembut & berbudi bahasa semata (seperti yang difahami umum kini).
Mereka yang mengenal sesuatu tetapi tidak mengakuinya dianggap tidak beradab atau biadab, begitu juga dengan mereka yang mengakui sesuatu tetapi tidak mengenal apa yang mereka akui juga dikira sebagai biadab.
Hakikatnya, tugas kekhalifahan manusia di dunia ini adalah untuk memanifestasikan pengenalan & pengakuan makhluk (ciptaan) kepada khaliq (penciptanya) nya. Bukankah kita telah mengenali dan mengakui Allah sebagai Tuhan ketika di alam roh (sebelum dihidupkan di dunia);
Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), “bukankah Aku ini Tuhan kalian semua?” mereka menjawab, “benar, kami bersaksi” (bahawa Engkau betul-betul Tuhan kami)
(Al-Quran : Surah Al-A`raf; ayat 172)
Buat akhirnya, hayati 2 premis di bawah ini :
1) Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah,
2) Amal tanpa Ilmu ibarat buah tidak berpohon (buah plastik agaknya)
22 Mac 2009
11.25 malam
Kampung Pinang, Kamunting, Perak Darul Ridzuan
Catat Ulasan