Halloween Costume ideas 2015
MPS
02/01/2015 - 03/01/2015

Latar Belakang Keluarga Bukan Takdir Warisan

Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, berpelajaran rendah dan latarbelakang keluarga yang tidak begitu mendalam pengetahuan agama tidaklah menjadi penyebab untuk seseorang itu "stagnant" dalam keadaan yang sama.

Setiap manusia punya potensi. Masing-masing ada bakat dan kelebihan sendiri. Mereka perlu cari dan teroka potensi mereka. Semua insan berhak mendapat kebahagian masing-masing. Mereka tidak mewarisi kepayahan hidup ibu ayah mereka. Mereka tidak mewarisi takdir kesusahan keluarga mereka.

Aku sejak zaman kecilku bukanlah seorang yang pendiam. Nakal, 'buas' (dalam istilah orang utara, 'buas' bermaksud anak yang nakal dan hiper-aktif), serta kuat merengek dan menangis.

Tapi disebalik kenakalan zaman kecilku, ternyata aku mempunyai jiwa dan 'trait' tersendiri. Aku seorang 'introvert' - orang yang cenderung pasif, bersendiri, berfikir dalam dunia sendiri, kurang ramah, cenderung anti-sosial, serta mudah 'demotivated'.

Apabila dikenang semula detik-detik hidup, baharulah dapat dikenalpasti waktunya sesuatu persitiwa mencorak siapa kita hari ini.

Tadika: Pelajar Paling Corot

Aku dihantar ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS Kampung Pinang, kelolaan Cikgu Salmah pada usia enam tahun. Setahun di situ, tak banyak yang aku betul-betul pelajari kecuali banyak 'main-main'.

Aku masih ingat, saat ujian akhir tahun diadakan. Dalam bahagian matematik, kawan sebelahku bertanya soalan kira-kira yang sangat mudah: "1 tolak 1 berapa?". Aku sendiri tak faham apa maksudnya "tolak" itu. Aku 'tibai' sahaja, aku beritahu dia jawapannya dua. 1 - 1 = 2. Jika difikir-fikirkan kembali hari ini, betapa bodohnya aku saat itu.

Akibat tak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan, dia bertanya kepada kawan yang seorang lagi. Soalan yang sama, satu tolak satu, berapa? Kawan yang seorang lagi menjawab "kosong" sambil menunjukkan demonstrasi pengiraan menggunakan jari.

Memang aku tak pandai saat itu. Malah setahun persekolahan di TABIKA KEMAS itu semacam tak punya apa-apa makna. Aku masih ingat saat aku mendapat keputusan ujian itu, aku rasa akulah murid paling corot dalam kelas. 

Melihat senyuman dan kegembiraan teman-teman lain buat aku cemburu. Usai sekolah hari itu, teman-teman lain berlalri mendapatkan ibu bapa yang datang menjemput mereka - "ayah, saya dapat markah tinggi, cikgu bagi hadiah"... "Ayah, ni kertas ujian cikgu bagi..." Suara teman-teman ini terasa bingit sekali ketika tamat waktu persekolahan. 

Aku berlalu pergi dengan langkahan longlai. Pulang ke rumah dengan berjalan kaki, ternyata riak wajahku tak mampu memendamkan kesedihan jiwa. 

Sampai di rumah, Angah (adik aku, anak kedua dalam keluarga) menunjukkan suatu permainan baharu yang Abah belikan. Jarang-jarang Abah belikan mainan untuk kami. Saat meningkat dewasa baharu aku faham - bukan Abah tak mahu belikan tetapi Abah tak mampu.

Abah belikan kami masing-masing sekotak "DingDang". Dalamnya terdapat keropok coklat dan mainan. Angah waktu itu berusia empat tahun. Dialah kawan aku, main bersama, berlari-lari bersama, bergaduh sama-sama. Terlihat wajah gembira Angah bermain permainan baharu yang dia peroleh.

Aku ambil permainan itu, tetapi ia tetap tak dapat menggembirakan hatiku. Aku cuba bermain dengannya, tetapi gelora emosiku tetap tak dapat kutenangkan. Aku takut, nanti mak abah tahu keputusan ujian yang teruk itu. Aku takut mak dan abah marah. Aku jadi tak keruan. Aku sorokkan kertas ujian itu dalam beg sekolah.

Menjadi kebiasaan emak akan memeriksa beg sekolah. Maka berjumpalah ia dengan kertas ujian itu. "Soalan senang pun tak boleh jawab?" , "banyaknya telinga!" Telinga yang dimaksudkan adalah "tanda soal" - "?". Akibat terlalu banyak salah, cikgu tanda kertas tersebut dengan tanda "?" Dan dilukiskan tanda tersebut sebesar-besarnya, mungkin sebagai melampiaskan perasaan geramnya terhadap kebebalan si penjawab kertas ujian itu.

Aku rasa malu, rasa tertekan, rasa tak punya harapan, rasa segan, pelbagai macam perasaan bercampur baur.

Kata-kata Palsu Menjadi Harapan yang Memotivasikan

Aku masuk sekolah darjah satu pada usia tujuh tahun. Surat dari sekolah sampai. Aku masuk kelas 1'S'. Zaman itu belum ada lagi ujian saringan kelas. Pembahagian kelas dibuat secara rawak.

Kata jiran-jiran, kelas 'S' adalah kelas pertama. Maksudnya aku masuk kelas pandai. Sedangkan kemasukan ke kelas darjah satu sebenarnya dibuat secara rawak, tiada kaitan langsung dengan prestasi atau kepandaian seseorang murid. Tetapi dengan kata-kata palsu semacam itu - "masuk kelas murid pandai" - sudah cukup buat aku rasa termotivasi, walaupun hakikatnya bukan begitu. 

Aku sendiri saat itu tertanya-tanya, mengapa kelas 'S' jadi kelas pertama? Sepatutnya kelas 'A' lah kelas pertama. Rupa-rupanya nama kelas disusun mengikut nama sekolah - S: Sekolah, R: Rendah, L: Long, J: Jaafar, K: Kamunting, T: Taiping, P: Perak. Ada tujuh kelas semuanya.

Abah belikan baju sekolah baharu. Aku masih ingat kedai yang abah selalu pergi untuk membeli pakaian sekolah untuk kami. Kedai kecil di Pekan Taiping. Kendalian sebuah keluarga keturunan Tionghua. Sejak darjah satu sampailah habis belajar, Abah akan bawa ke sana untuk mendapatkan pakaian sekolah.

Aku masih dapat merasakan semangat hari pertama masuk sekolah darjah satu. Begitu bermotivasi. Bangun awal, pakai baju sekolah dengan kemas, sikat rambut lalu galas beg. Waktu itu sekolah sesi petang. Sekolah di kampung kecil, justeru perlu dibuat dua sesi. Murid-murid darjah satu hingga tiga bersekolah sesi petang manakala murid darjah empat hingga enam bersekolah sesi pagi.

Darjah satu hingga darjah tiga adalah tahun-tahun 'main sakan'. Pernah suatu masa, ketika kami main 'kejar-kejar aci duduk' sewaktu rehat, aku pernah terlanggar tiang. Benjol dahi, dan benjolan itu mengembang besar. Balik rumah dibebel emak, "hang lari lagi sana sini, kan dah jadi ultraman". (Ultraman ada lampu berbonjol di dahinya).

Ketika aku di darjah empat, masa itu sekolah memperkenalkan suatu hari khusus untuk ibu bapa datang bertemu cikgu sekolah untuk mendapatkan informasi rekod pelajar atau acara yang kami gelar sebagai "Hari Sain (sign) Report Card". Waktu itu Abah datang. Aku rasa malu, lalu aku tundukkan kepala ke bawah meja, seolah-olah mencari barang yang jatuh. Cikgu kata, "dia ni budak pandai tapi 'buas'."

Habis waktu sekolah hari itu, cikgu berikan senaskah kamus, "Ni Abah kamu belikan." Tebal kamus ni, tak sangka Abah akan belikan. Mesti mahal harganya. Rasa terharu kerana ini kali pertama Abah belikan kamus. (Kamus ini masih lagi ada di rumah dan masih dimanfaatkan).

Kata-kata cikgu, "dia ni budak pandai tapi buas" buat aku rasa seperti aku ini bukan budak yang baik. 

Masuk darjah enam, aku dilantik jadi ketua pengawas. Namun jawatan tersebut bukanlah diberikan atas bakat kepemimpinan melainkan dinilai atas prestasi peperiksaan. Aku bukan pandai bercakap apatah lagi mengarah atau meminpin. Ternyata Penolong Ketua Pengawas, seorang budak perempuan lebih baik kepimpinannya daripada aku.

Aku lulus Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan cemerlang. Keputusan 5A adalah suatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah keluarga kami, baik di peringkat kaum kerabat sebelah emak mahupun sebelah Abah. Akulah orang yang pertama berjaya memperoleh keputusan seperti itu.

Ingin Jadi Budak Baik Seperti Bukhari Che Mat Hanapi

Ditakdirkan aku mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan lokasinya tak jauh dari rumah. Tarikh pandaftarannya juga masih kuingat - 06 Januari 2002. Tiga hari sebelumnya aku juga terima tawaran ke Maktab Rendag Sains Mara tapi lokasinya agak jauh. Oleh yang demikian, takdir zaman sekolah menengahku adalah di SERATAS (Sekolah Raja Tun Azlan Shah) yang terletak di dalam kawasan Taman Tasik Taiping, di kaki Bukit Larut dengan pinttu pagar utamanya berhadapan dengan Zoo Taiping.

Masuk sekolah berasrama penuh menandakan suatu episod hidup baharu. Aku mula belajar bedikari, berjauhan dari keluarga. Semuanya dibuat sendiri. Bagi aku, hidup berdikari tidaklah sukar kerana aku memang sudah punya keazaman untuk tidak bermanja dan bergantung kepada mak dan abah. Semasa hari pendaftaran, bukan sekadar Abah, Emak, Angah, Kakak dan Kak Teh tetapi tok (nenek) dan tok wan (datuk) dari kedua-dua belah keluarga emak dan abah pun hadir sama. Beberapa orang bapa dan ibu saudara pun hadir sama meraikan kemasukan anggota keluarga ke sekolah berasrama penuh yang pastinya membanggakan bagi kami orang-orang kampung yang berlatar-belakang pendidikan yang rendah.

Aku masuk ke kelas Tingkatan 1M (Musytari). Kelas ini terletak agak berasingan daripada kelas-kelas lain. Ia berlokasi di sebelah kantin, kawasan yang jauh daripada bangunan akademik.

Oleh sebab itu, kelas ini sangat bising, riuh rendah dan gegak gempita. Namun, sejak awal lagi aku masuk ke sekolah menengah ini dengan azam baharu - aku mahu berubah, berubah jadi 'budak baik'. 

Apa definisi 'baik' yang aku fahami saat itu? Definisi 'baik' aku adalah berdasarkan model "Bukhari Che Mat Hanafi", seorang rakan sekelas di Sekolah Rendah dahulu. Beliau adalah murid paling baik dalam kelas, kerana beliau adalah seorang yang sangat pendiam. Oleh itu, untuk berubah menjadi budak 'baik' adalah berubah menjadi budak 'pendiam'.

Dan memang aku jadi pelajar paling senyap dalam kelas, malah pernah terima anugerah olok-olok yang dibuat oleh pelajar-pelajar kelas 1M - Anugerah Pelajar Paling Senyap dalam Kelas.

Tetap Introvert

Melangkah ke alam universiti, aku tetap merupakan seorang yang introvert, walaupun aku berani bersuara, menyatakan pendapat, berani mencuba. Ternyata yang namanya 'introvert' itu bukan fenomena tingkahlaku luaran, tetapi fenomena jiwa yang bersifat dalaman.

Aku aktif dalam persatuan, tetapi aku tak ramai kawan. Aku tak begitu ramah, tidak menonjolkan diri dan gemar bersendiri. Sedikit demi sedikit aku membangunkan potensi diri. Aku memahirkan diri dalam pengucapan awam dan retorika sehingga aku boleh berdebat dan petah berbicara, aku asah kemampuan berfikir dengan membaca buku-buku falsafah tinggi, di samping buku-buku pengetahuan am. Aku disiplinkan diri mengunjungi majlis ilmu, forum ilmiah, seminar dan wacana.

Sampai kini, sehingga ke hari ini, aku tetap introvert, dan itu bukan satu penghalang untuk berjaya.


Peminggir Kota
Jumaat/ 20 Februari 2015, 4:49 ptg
Dalam bas, perjalanan KL-Jitra.


Anak yang Bernasib Baik dalam Keluarga Sederhana

Sejak kecil, aku seorang anak yang dianggap pintar. Mungkin sebab sewaktu zaman persekolahan, nasibku baik kerana setiap tahun, aku akan menerima hadiah dalam acara Hari Anugerah Cemerlang.

Tapi hakikatnya aku tak rasa begitu. Aku rasa mungkin pencapaianku saat itu sekadar nasib. Aku tak belajar bersungguh pun. Entah bagaimana boleh cemerlang keputusan peperiksaan di sekolah.

Aku lahir dalam keluarga yang sederhana. Abahku seorang pekerja industri. Beliau tidak berpelajaran tinggi. Sekolahnya sampai tingkatan tiga. Beliau gagal Sijil Rendah Persekolahan (SRP), lantas tak menyambung pelajarannya lagi.

Zaman muda beliau tidak begitu gembira. Beliau keluar dari kampung dan tinggal bersama kakak tirinya, Kak Noriah yang kami panggil Mak Long Noriah.

Dengan taraf pelajaran yang rendah, beliau berkerja sebagai pekerja di stesen minyak. Zaman itu, stesen minyak di Malaysia masih beroperasi tanpa sistem "layan diri" seperti hari ini. Beliau berkerja di stesen minyak sehinggalah berlaku peristiwa rompakan di stesen minyak trmpat beliau berkerja. 

Perompak bermotosikal mengacukan pisau kepadanya. Trauma. Beliau berhenti kerja kemudiannya dan memulakan pekerjaan menyara kehidupan di kilang tayar Silverstone.

Emakku seorang suri rumah. Beliau anak sulung daripada tujuh beradik. Sempat menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun mungkin tidak secemerlang mana. Zaman mudanya susah. Habis sekolah, bergegas ke sawah padi. Mujur, emak sempat ambil kursus belajar menjahit. Justeru beliau ada kemahiran itu buat membantu penghidupannya.

Anak Sulung dengan Cita-citanya

Aku anak sulung. Ada enam beradik. Anak sulung yang juga anak lelaki. Waktu kecilku, saat tak punya 'akal', seperti anak-anak lain juga - nakal, hanya tahu main - aku masih belum faham hakikat dan kenyataan hidup. 

Aku pernah ada cita-cita. Dalam kad pelajar yang diberi oleh cikgu sekolah, aku isikan cita-citaku mahu jadi askar, polis dan bomba.

Meningkat usia, aku mula membaca. Pengetahuan bertambah. Aku tanamkan cita-cita baharu, mahu jadi saintis. Ditakdirkan Tuhan, aku diterima masuk ke sekolah sains selepas tamat sekolah rendah.

Sampai tingkatan tiga, aku rasa tak gembira di sekolah sains ini. Aku nak keluar sekolah. Pernah aku nyatakan kepada emak akan hasratku ini. Tapi emak tak mempedulikannya. Mana mungkin emak dan abah akan keluarkan aku dari sekolah sains lalu masuk ke sekolah biasa.

Tamat persekolahan, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak baik. Aku terima tawaran melanjutkan pengajian ke Korea dalam bidang kejuruteraan. Aku tolak tawaran ini. Aku masuk UIAM.

Dua tahun berlalu di peringkat asasi kejututeraan, aku tukar jurusan. Aku hendak tukar jurusan dari Kejuruteraan ke Usuluddin, tetapi dianggap tidak layak. Lantas, aku berkeputusan bertukar ke jurusan Sains Kemanusiaan.

Aku mengkhusus dalam bidang sejarah. Kini cita-citaku sekali lagi berubah. Aku nahu jadi sejarawan, pemikir dan ahli falsafah.

Anak yang Sudah Dewasa

Kedewasaan adalah suatu yang bersifat alami. Ia pasti berlaku. Aku semakin meningkat dewasa. Banyak sekali peristiwa dilalui, rencah hidup. Tamat pengajian di universiti dengan pencapaian yang boleh dibanggakan. Tersenarai dalam Rector's List Award adalah suatu kelebihan.

Aku seterusnya berkhidmat di sebuah kolej swasta, yang dipunyai oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kolej kecil yang terletak di Sungai Ramal Dalam, Kajang ini sungguh istimewa. Di sinilah aku belajar erti hidup, dan di sinilah juga aku diberi peluang melihat dunia - Sarawak, Sabah, Filipina, Turki, Mesir. Walaupun gaji yang aku terima secara relatifnya kecil, tetapi pengalaman yang diterima luar biasa besarnya.

Aku bercita-cita untuk melanjutkan pengajian. Mesti. Dalam masa yang sama, sudah sampai seru untuk aku membina keluarga - bernikah. Di samping memikul amanah memimpin persatuan pelajar Islam peringkat nasional.

Aku berkerja lebih masa. Di samping mengajar di Kolej Dar al-Hikmah, melakukan tugasan pejabat dan kesetiausahaan di Akademi Kajian Ketamadunan, aku juga berkerja sambilan sebagai penjaga tol, dan pelayan di restoran.

Bila difikir-fikirkan, hidup ini bukanlah mudah. Saat terasa susah seperti ini, aku sering melihat nasib manusia lain dengan "berperasaan" - orang kutip sampah, peminta sedekah, orang sakit, pengemis, gelandangan. Rupanya nasibku adalah terlebih baik dari mereka. Aku hanya mampu berdoa agar Tuhan menyayangi mereka kerana aku juga tak mampu membantu apa-apa selain merasa kasihan dan berdoa. Itu sahaja.

Aku teringatkan Abah. Sudah lebih dua puluh tahun berkhidmat sebagai pekerja industri di Kilang Tayar Silverstone. Gajinya kecil sahaja, tetapi cukup buat menyara kami sekeluarga. Selama belasan tahun gaji Abah tak cecah Seribu Ringgit pun, tapi kami semua adik beradik cukup makan, cukup pelajaran.

Allahu... berkat itu anugerah Tuhan. Abah orang berpelajaran rendah, pengetahuan agama pun kurang tapi ada berkat dalam pekerjaannya.

Emak, yang juga orang biasa. Tapi mungkin beliau ikhlas berdoa. 

Baru aku sedar, cita-cita paling besar yang perlu aku sasarkan adalah untuk membahagiakan manusia, lebih-lebih lagi yang berjasa kepada diriku sejak kecil sampai sekarang.

Justeru, susun hidup dan rencana untuk gapai cita-cita ini.


Peminggir Kota
Jumaat/ 20 Februari 2015
Dalam perjalanan KL-Jitra

Aku punya teman-teman,
Mereka orang-orang baik,
Mereka ikhlas,
Mereka bersungguh,
Mereka peduli.

Sedang aku,
Mungkin tidak sebaik mereka,
Tidak seikhlas mereka,
Tidak sepeduli mereka.


Aku punya teman-teman,
Yang saat mendengar berita keresahanku,
Mereka menitiskan air mata.

Sedang aku,
Mungkin tak begitu tahu, 
Malah mungkin tak pedulikan keresahan mereka.

Aku punya teman-teman,
Mereka beriman,
Mereka berjuang,
Mereka tabah.

Sedang aku,
Mungkin iman berbolak balik,
Mungkin berjuang tunggang terbalik,
Mungkin tabahku sering rebah.

Aku punya teman-teman,
Mereka punya hati.

Sedang aku,
Mungkin tak punya apa-apa.

Walaupun begitu,
Aku yang tak punya apa-apa ini,
Paling tidak punya doa,
Berharap Tuhan menyayangi kalian.

Teman-teman,
Aku mencintai kalian.


Peminggir Kota,
Jumaat/ 20 Februari 2015, 12:55 tghri
Dalam perjalanan KL-Jitra

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget