Resensi Buku: "Asas Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam" kerya Awang Sariyan
ASAS
FALSAFAH DAN PEMIKIRAN MELAYU BERTERASKAN ISLAM
oleh Awang Sariyan. Kuala Lumpur: Penerbitan Ilham Baru, 2010. Halaman 130.
ISBN: 978-976-5642-09-8.
“Dalam
usaha pencarian setengah-setengah kalangan yang masih meraba-raba untuk
menentukan takrif Melayu, pada hemat penulis, hakikat yang sudah terang di
hadapan mata kita tentang Islam sebagai teras jati diri Melayu itu tidak perlu
diragui lagi.” – Awang Sariyan
Falsafah
dan Manusia
Sesuatu
bangsa yang bertamadun akan memikirkan secara sedar akan falsafah hidup mereka.
Pemikiran falsafah ini termanifestasi dalam tindakan dan amalan seharian. Ia
menjadi pegangan dalam meneruskan perjalanan kehidupan ini. Mungkin persepsi
sesetengah orang mengatakan falsafah itu nampak berat dan memeningkan, tetapi hakikatnya
tidak seperti itu. Falsafah itu termanifestasi pada setiap tindakan manusia,
sama ada tindakan itu kecil atau besar, sama pelaku perbuatan itu sedar atau
tidak. Contoh mudah, ungkapan “makan untuk hidup, atau hidup untuk makan”
merupakan antara contoh idea falsafah yang mudah, tetapi mempunyai implikasi
pada tindakan manusia.
Dr.
Awang Sariyan merupakan seorang tokoh pemikir yang istimewa. Karya beliau ini
cuba diringkaskan sebaiknya untuk tatapan khalayak. Perbincangan tentang
falsafah bukanlah sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun, Dr. Awang telah cuba
memudahkan persembahan idea falsafah ini dengan cara yang lebih mudah untuk
difahami.
Beliau
menyorot aspek-aspek tertentu dalam falsafah dan pemikiran bangsa Melayu. “Bangsa
Melayu mengalami revolusi pemikiran dan transformasi tamadun yang ketara dan
menyeluruh setelah menerima Islam”. Ungkapan ini merupakan premis awal
beliau yang melatari keseluruhan karyanya ini. Kajian tentang asas falsafah dan
pemikiran Melayu ini dianggap beliau sebagai penting kerana “sudah sampai
saatnya kita dengan sedar dan serius menumpukan upaya dan perhatian untuk
merangka pelan tindakan dan melaksanakan program yang berkaitan dengan segala
aspek kehidupan...”. (Hlm. xvii)
Sembilan
bab yang dipersembahkan dalam karya ini boleh dikategorikan kepada dua
bahagian; i) kupasan falsafah dan logik secara teoretis, dan ii) aplikasi
falsafah dan logik dalam praktik kehidupan manusia. Secara spesifik, Bab Satu,
Dua, Tiga dan Tujuh merupakan penghuraian idea dan teori falsafah, manakala Bab
Empat, Lima, Enam dan Lapan mengaitkan pemikiran falsafah dalam praktik
kehidupan manusia.
Menariknya,
karya ini ditulis dalam bentuk perbandingan antara teori falsafah Barat dan
aplikasinya dalam kehidupan manusia, dengan teori falsafah Melayu-Islam dan
pengamalannnya. Perbandingan ini mungkin dibuat secara sengaja kerana falsafah
dan pemikiran Barat merupakan suatu entiti dominan masa kini yang sedikit
sebanyak mempengaruhi pemikiran dan
pengamalan masyarakat Melayu Islam era moden ini.
Konsep
Dasar dan Sejarah Falsafah
Beliau
memulakan huraian awal tentang sejarah dan konsep falsafah dalam Bab Satu (Falsafah:
Sejarah dan Konsep Dasar). Sepertimana kesepakatan ramai penulis dan pengkaji
falsafah, beliau juga tidak terlepas daripada melakukan sorotan sejarah
falsafah sejak zaman Yunani Kuno yang memperkenalkan tradisi intelektualisme
dan kefalsafahan yang akhirnya diwariskan kepada masyarakat dunia
keseluruhannya. Falsafah, dalam pemahaman beliau merupakan suatu cabang ilmu
yang bersepadu, sesuai dengan etimologinya, philos-sophia (cinta
akan hikmah).
Falsafah
pada asasnya berlegar dalam tiga persoalan asas: Pertama, apakah hakikat
alam di sekeliling manusia; Kedua, bagaimana fikiran manusia bekerja; Ketiga,
apakah jalan mencapai kebahagiaan. Akal menjadi alat utama dalam memahami
ketiga-tiga persoalan ini. Falsafah berkaitan dengan sistem berfikir yang
mendalam untuk meneroka dan memahami hakikat segala sesuatu. Di samping itu,
kaedah pengkajian falsafah Yunani Kuno berfokus kepada dua tema besar, iaitu
kajian tentang keadaan manusia, dan kajian tentang kosmos (alam semesta).
Pemikiran falsafah Yunani Kuno berkembang sehingga memunculkan
kesimpulan-kesimpulan yang bersifat “bebas-khayalan” – segala akiviti alam ini
berlaku secara tabii, bukan dengan campur tangan kuasa supernatural yang lain,
seperti lazimnya dipercayai dalam mitos bangsa mereka.
Sorotan
Falsafah dalam Mazhab Pemikiran Barat
Pemikiran
falsafah Yunani ini akhirnya menjadi asas falsafah dan pemikiran Barat moden –
yang walaupun bersifat rencam – tetapi mempunyai ‘trend’ yang
tersendiri: pemikiran menolak autoriti agama, kebenaran bersifat relatif dan
berpaksi kepada manusia serta konflik-pertembungan antara peranan akal dengan
wahyu, merupakan antara ciri-ciri pemikiran falsafah Barat. Aspek ini
dibahaskan oleh penulis dalam Bab Dua (Inti Sari Falsafah Barat) dan Bab Empat
(Implikasi Falsafah terhadap Ilmu dan Pendidikan). Walau bagaimanapun, kegiatan
dan perkembangan pesat pemikiran
falsafah Barat, khususnya pada abad ke-17 dan 18 telah membawa kepada
percambahan cabang disiplin baharu dalam falsafah iaitu epistemologi; kajian
tentang kemampuan akal manusia untuk mengetahui.
Dalam
erti kata lain, sejarah perkembangan falsafah Barat sejak zaman Yunani Kuno,
yang kemudiaanya berkembang pada zaman pertengahan, seterusnya zaman moden “ditandai
oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di
sekitarnya”.
Dalam
mengungkap falsafah Barat dalam perjalanan sejarahnya, Awang Sariyan memetik
Albert William Levi, seorang tokoh pengkaji falsafah yang membahagikan zaman
falsafah Barat kepada empat zaman: i) Falsafah zaman kuno; ii) falsafah zaman
pertengahan; iii) falsafah zaman moden; iv) falsafah kontemporari. Pembahagian
ini adalah berdasarkan pengalaman sejarah yang dilalui oleh masyarakat Barat
yang mempengaruhi ragam aliran pemikiran mereka. Empat cabang falsafah Barat
dikembangkan dalam rangka sejarah pemikiran falsafah Barat iaitu metafizik,
epistemologi, etika, logika dan falsafah politik. Daripada pengembangan
aktiviti falsafah orang Barat, maka terhasillah tiga produk falsafah utama yang
mendasari segala kegiatan intelektual sehingga ke hari ini: rasionalisme,
empirisisme, dan positivism.
Falsafah
Islam vs. Falsafah Barat
Bab
Tiga (Intisari Falsafah Islam) mengungkapkan asas kepada perkembangan falsafah
dalam tradisi cendekiawan Muslim. Tidak dinafikan, masyarakat Muslim diakui
sebagai golongan yang membugar semula tradisi falsafah Yunani kuno. Nama-nama
besar tokoh falsafah seperti Al-Farabi, yang juga dikenali sebagai mu‘allim
thÉni
(guru kedua) selepas Plato (guru pertama), sebagai jolokan terhadap penguasaan
falsafah Yunani khususnya daripada buah fikiran Plato.
Walau
bagaimanapun, sudah semestinya falsafah Islam itu tidak sekadar celupan atau
ciplakan daripada falsafah Yunani Kuno. Ini disebabkan pandangan alam (worldview)
tradisi masyarakat Muslim yang berbeza dengan tradisi masyarakat Yunani
menatijahkan produk falsafah yang semestinya tidak serupa.
Awang
Sariyan mengungkapkan tiga kriteria yang digarispandukan oleh Alparlan Acikgene
dalam memahami bagaimanakah falsafah Islam: 1) pandangan hidup Islam sebagai
perspektif yang seluas-luasnya dan sebagai asas falsafah; 2) skema konseptual
saintifik sebagai asas yang berifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli
falsafah melaksanakan kegiatan-kegiatannya; 3) kegiatan itu sendiri yang
dilaksanakan melalui istilah-istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik
yang khusus.
Oleh
yang demikian, tanpa berbicara tentang tajuk yang sama seperti yang dibicarakan
oleh para ahli falsafah Yunani Kuno dan falsafah Barat, cendekiawan Muslim
dengan tradisi ilmu Islam yang dikaji dan dikembangkan secara saintifik dan
rasional sejak dari awal layak bergelar ahli falsafah. Seperti tradisi ahli
falsafah Yunani, para ulama dan cendekiawan Islam juga menggunakan akal dan
fakulti rasional mereka dalam mengembangkan ilmu-ilmu keagamaan. Antara
produk-produk yang muncul daripada aktiviti ilmiah para ulama Islam ialah ilmu
tafsir, ulËm
al-ÍadÊth,
uÎËl
al-fiqh, tasawuf, ‘ilm al-kalÉm,
kosmologi, sains tabii, sains sosial dan sains politik atau kenegaraan.
Penggunaan
akal diraikan seluas-luasnya dengan tradisi ijtihÉd,
sebagaimana akal diraikan dalam tradisi
berfalsafah masyarakat Yunani. walau bagaimanapun, dalam tradisi Islam,
falsafahnya lebih utuh kerana diikatjalinkan dengan asas-asas wahyu, sedangkan
penggunaan akal tanpa panduan hanya akan menatijahkan kekeliruan dan
berkemungkinan terjatuh ke dalam gaung kesesatan.
Implikasi
Falsafah dalam Pendidikan
Falsafah
Barat yang menayangkan kerancuan dan kepelbagaian ragam pemikirannya telah
memberikan implikasi yang besar terhadap pendidikannya. Masing-masing aliran
falsafah membawa aliran pendidikan yang berbeza. Antara yang dibincangkan oleh
penulis ialah lima aliran utama falsafah pendidikan Barat:
- Perenialisme: Falsafah pendidikan yang berasaskan mazhab falsafah realisme dan Neo-Thomasme. Mazhab ini mengutamakan subjek (subject-centred) kerana menganggap kebenaran itu sedia ada (a-priori) dan guru merupakan insan yang berwibawa membuat deduksi kebenaran-kebenaran dengan tepat.
- Esensialisme: Muncul daripada aliran falsafah realisme dan idealisme. Aliran ini menekankan bahawa pendidikan adalah proses pemindahan warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan kepada generasi seterusnya.
- Progresifisme: Aliran falsafah pragmatism mendominasi aliran falsafah pendidikan ini. Aliran ini percaya bahawa kebenaran sentiasa berubah-ubah, maka pendidikan adalah suatu proses memupuk kemahiran yang perlu bagi memungkinkan individu berinteraksi dengan reality alam di sekelilingnya. Aliran ini juga mendukung pendemokrasian pendidikan.
- Rekonstruksionisme: Aliran ini merupakan anti-tesis kepada aliran progresifisme. Aliran ini mensasarkan pendidikan sebagai proses pembinaan kesedaran individu dalam menciptakan masyarakat baharu yang saling bergantung untuk hidup secara harmoni.
- Eksistensialisme: Aliran ini pula merupakan anti-tesis kepada aliran rekonstruksionisme. Ia meletakkan manusia sebagai makhluk unik yang sewajarnya mempunyai hak untuk menentukan nasibnya sendiri. Justeru, aliran ini mengkonsepsikan pendidikan sebagai proses pengembangan potensi individu sepenuhnya bagi kepentingan dirinya sendiri.
Sudah
semestinya, daripada setiap konsep yang dikembangkan dalam setiap aliran
falsafah pendidikan ini akan mempengaruhi pedagogi dan keutamaan
matapelajarannya. Penulis seterusnya melakukan perbandingan kritis antara
aliran pendidikan yang lahir dari rahim falsafah Barat dengan asas falsafah
Pendidikan Islam.
Dalam
Islam, aliran falsafah pendidikan yang mendasarinya adalah berasaskan pandangan
alam (worldview) Islam dalam menanggapi hakikat kewujudan. Justeru,
pandangan alam ini akan menatijahkan “usaha mencari yang hak dan hakikat
sesuatu”. Penulis merumuskan falsafah pendidikan Islam sebagai:
“Usaha penentuan
prinsip, kepercayaan, andaian, dan prinsip yang dipercayai oleh masyarakat
berlandaskan akidah dan syariah Islam dalam hal berbagai-bagai persoalan dan
masalah pendidikan, sebagai dasar untuk menentukan tujuan, politik,
perancangan, kurikulum, perkaedahan dan media pengajaran.” (hlm. 40)
Falsafah
pendidikan Islam juga mengiktiraf kemungkinan manusia memperoleh ilmu dan
kebenaran. Ini dibuktikan dengan pengiktirafan Islam terhadap saluran-saluran
memperoleh ilmu yang tiga seperti lazimnya dibahaskan dalam falsafah dan
metafizik Islam: akal yang sihat, pancaindera yang sejahtera dan khabar yang
benar.
Pendidikan
Islam bersifat sepadu; tidak memisahkan antara pendidikan yang dianggap ‘agama’
dan pendidikan ‘bukan-agama’. Kesepaduan ilmu ini walau bagaimanapun
bertitik-tolak kepada peringkat dan kedudukan sesuatu ilmu. Oleh yang demikian,
para ulama telah melakukan usaha pengkategorian ilmu yang juga dikenali sebagai
marÉtib
al-‘ilm. MarÉtib
al-‘ilm merupakan tata-tingkat ilmu yang dikelaskan
berdasarkan keutamaan.
Para
ilmuwan Islam klasik telah melakukan pengklasifikasian ilmu dengan pelbagai
cara. Boleh disimpulkan, terdapat dua kategori utama dalam klasifikasi Ilmu: Pertama,
Ilmu yang diwahyukan (revealed knowledge) dan kedua Ilmu yang
diperoleh (acquired knowledge). Cabang-cabang ilmu bagi kategori pertama
adalah Ilmu al-Qur’an,
al-Sunnah, Shari‘ah,
TawÍÊd,
Metafizik, dan Sains Linguistik. Manakala, cabang-cabang disiplin ilmu daripada
kategori kedua klasifikasi ilmu ialah seperti Sains Kemanusiaan, Sains Tabii,
Sains Terapan dan Sains Teknologi.
Pengislaman
Ilmu: Falsafah Bahasa dan Pendidikan Bahasa
Pada
hemat kami, penulis merupakan salah seorang pendukung mazhab “Islamisasi Ilmu”
dengan kerangka yang diperkenalkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Ismail
Raj’i Faruqi. Dalam Bab Enam (Falsafah Bahasa dan Pendidikan, Bahasa dalam
Rangka Pengislaman Ilmu), beliau menyorot sejarah gerakan pengIslaman Ilmu,
khususnya yang telah dirintis oleh kedua-dua tokoh besar yang disebutkan di
atas. Beberapa institusi pendidikan dan penyelidikan seperti International
Institute of Islamic Thought (IIIT), International Islamic University Malaysia
(IIUM) dan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC)
ditubuhkan bagi merangka proses PengIslaman Ilmu secara teratur dan sistematik.
Sejajar dengan perkembangan tersebut, Malaysia juga pernah mengambil langkah
yang baik dalam mereformasi sistem pendidikannya secara menyeluruh. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan. Penanaman nilai-nilai merentas kurikulum,
pendidikan bersepadu dan budaya ilmu diformulasikan dalam sistem pendidikan
kebangsaan.
Dengan
sorotan konsep dan sejarah pengIslaman Ilmu tersebut, penulis cuba memformulasi
falsafah Bahasa dan Falsafah Pendidikan Bahasa dengan cara “menumpukan usaha
menyepadukan hakikat bahasa dan matlamat pendidikan bahasa dengan ilmu yang
abadi untuk memperlihatkan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Tuhan melalui
sistem bahasa manusia yang berkait rapat dengan akal, di samping memahami
matlamat unggul mempelajari dan mengajarkan bahasa sebagai suatu realisasi
proses ta’dib atau pembinaan adab pada diri manusia di peringkat individu dan
masyarakat”. (hlm. 54)
Oleh
yang demikian, Awang Sariyan mengembangkan falsafah Pendidikan Bahasa sebagi
berikut:
- Pendidikan bahasa sebagai upaya mengembangkan potensi berbahasa yang telah dikurnakan Tuhan kepada seluruh anak Adam di alam ruh, sesuai dengan ungkapan haiwan nÉÏiq yang dikiaskan kepada manusia;
- Pendidikan bahasa sebagai upaya meneliti sistem alam ciptaan Tuhan, dalam rangka memperteguh keimanan akan kebesaran dan kekuasaan Tuhan;
- Pendidikan bahasa sebagai suatu cabang pendidikan umum dan juga sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu umum;
- Pendidikan bahasa sebagai wasilah nilai-nilai kehidupan bermasyarakat. (hlm. 74)
Bagi
beliau, falsafah bahasa ini mesti diterapkan dalam perangkaan silibus bagi
setiap matapelajaran agar sejajar denga Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan juga
menepati citra pelajaran bahasa merentas kurikulum.
Logika:
Kehebatan Karya Persuratan Melayu
Dalam
Bab Tujuh (Logika), penulis memperkenalkan beberapa asas dalam pengaplikasian
logik sebagai salah satu ilmu alat dalam falsafah. Walaupun kaedah logik yang
diperkenalkan dalam tulisan beliau ini merupakan kaedah silogisme Aristotelian,
namun cukup sebagai perkenalan kepada ilmu logik secara umum. Konsep-konsep
penting seperti proposisi, hujahan, silogisme, premis, proposisi berkategori
dan falasi diperkenalkan untuk tatapan pembaca.
Lanjutan
daripada pengenalan kepada kaedah logik ini, penulis membawakan salah suatu
dimensi keistimewaan persuratan Melayu: falsafah dan logika dalam karya
persuratan Melayu. (Bab Lapan, hlm. 89). Menurut penulis, segala jenis
penulisan dalam karya persuratan Melayu memancarkan falsafah dan logika bangsa
Melayu yang bersendikan Islam.
Bukan
sekadar karya-karya yang bersifat keagamaan, malah persuratan yang berkaitan
dengan karya kreatif, kenegaraan, pensejarahan, undang-undang dan hikayat
mempamerkan tahap pemikiran tinggi Bangsa Melayu-Islam. Dalam bahagian ini,
penulis secara spesifik mengemukakan tiga karya agung persuratan Melayu sebagai
percontohan unsur-unsur falsafah tinggi dan logika Melayu-Islam.
Karya
pertama yang dikemukan penulis ialah Al-‘AqÉid
al-NasÉfi,
sebuah manuskrip terjemahan berbahasa Melayu tertua yang ditemui. Karya ini
membahaskan aspek-aspek pemikiran tinggi yang berkaitan dengan akidah Islam.
Perbahasan isu-isu dalam karya ini mengguna-pakai kaedah ilmu kalam.
Karya
kedua yang dipaparkan penulis ialah sebuah puisi nukilan seorang tokoh sufi
yang hidup pada abad ke-16 Masihi, Hamzah Fansuri. Syair Perahu yang
dikarang oleh beliau sarat dengan kehalusan seni bahasa, dan nilai-nilai agung
yang tersirat dalam maknanya menayangkan suatu kehebatan dalam karya puisi
Malayu lama. Penulis nampaknya dengan sengaja memasukkan keseluruhan rangkap
syair ini agar seluruh keindahan seni bahasa dan intipati maknanya dapat
dihayati oleh pembaca.
Karya
ketiga yang diketengahkan oleh penulis ialah Gurindam Dua Belas, karya
Raja Ali Haji. Gurindam ini bertujuan menyampaikan pesan-pesan dan nasihat
kepada orang ramai mengenai adab-adab yang perlu dijaga dan dipelihara dalam
kehidupan seharian. Bukan sekadar falsafah tinggi dan kebijaksanaan logika
Melayu termanifestasi dalam karya-karya persuratan Melayu ini, malah yang lebih
mengkagumkan, kesungguhan menyampaikan mesej-mesej kebaikan berjaya
diartikulasikan dalam bentuk yang sangat kreatif.
Islam
Penganjak Paksi Tamadun Melayu
Penulis
melabuhkan tirai perbincangan tema utama dalam karya beliau ini dengan
menyimpulkan bahawa Islam adalah faktor utama yang telah menganjak paksi
tamadun Melayu ke suatu tahap yang cukup membanggakan. Beliau tidak menafikan
adanya kemajuan dalam tamadun Melayu pra-Islam, tetapi kemajuan peradaban
dewasa itu tidak berlaku secara total; hanya dirasai oleh segelintir golongan
bangsawan dan masyarakat dalam strata sosial yang tinggi sahaja.
Kehadiran
Islam bukan sekadar sebagai tempelan kepada masyarakat Melayu. Islam telah
datang dan melakukan transformasi yang cukup signifikan, mengubah ‘jiwa’ dan
‘raga’ orang Melayu. Pandangan sarwa yang Tawhidik diterapkan. Malah, budaya
ilmu dikembangkan dalam masyarakat Melayu sebagai suatu perintah keagamaan. Ini
jelas berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana hanya golongan tertentu sahaja
yang mempunyai akses kepada ilmu pengetahuan.
Bahasa
Melayu diangkat martabatnya. Tulisan Jawi yang merupakan inovasi aksara Arab
digunakan secara meluas dalam pelbagai aspek kehidupan; dari persuratan
sehingga pentadbiran dan perdagangan. Penyatuan pelbagai etnik dalam rantau
alam Melayu ini juga merupakan jasa besar Islam kepada peradaban Melayu. Faham
kebangsaan Melayu telah merangkum segala etnik yang mendiami Kepulauan Melayu
– sama ada Jawa, Sunda, Aceh, Mandailing,
Bawaen, Banjar, Bugis dan yang lain-lain – kesemuanya menjadi Melayu-Islam,
tanpa melunturkan aspek budaya dan adat resam etnik masing-masing selagi mana
tidak bercanggah dengan syarak.
Jelas
di sini bahawa Islam telah memberi nafas dan rupa baharu kepada keseluruhan
tamadun Melayu. Tanpa menafikan sumbangan peradaban Melayu Pra-Islam, kehadiran
Islam kepada masyarakat di Kepulauan Melayu ini merupakan suatu rahmat besar
daripada Tuhan.
Mohammad
Fazril Mohd Saleh
Akademi
Kajian Ketamadunan (AKK)