Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Pendahuluan
Pada saat kekalutan pemikiran dan kecelaruan sukma, manifestasi kebiadaban tampak jelas dalam singkapan demi singkapan terhadap tragedi kelesuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara dewasa ini. Keboborokan faham dan sikap biadap terhadap makna dan hakikat pendidikan akhirnya menggugat dan meranapkan martabat ilmu. Para ilmuwan seolah-olah diludahi; wibawanya tercabar.
Situasi ketercabaran para ilmuwan ini bertepatan dengan kata bidalan, “apabila ular cacing menjadi naga, apabila pepijat menjadi kura-kura, apabila belalang menjadi helang”; sesorang ditempatkan pada posisi yang tidak sesuai dengan kemampuan dan kelayakannya. Saat ini, ilmuwan berwiba diketepikan lalu ‘golongan berbudaya bebal’ (mediocrity cultured man) diangkat untuk dipikulkan amanah keilmuan ke atasnya sebagaimana kenyataan berikut:
“Kita ditakdirkan hidup dalam era yang dikatakan bahawa serba-serbinya berasaskan ilmu – knowledge based society, knowledge workers, knowledge is power dst – walaupun dalam kenyataannya seringkali berlaku kepura-puraan. Hingga ke saat ini masih berleluasa amalan mengenepikan kriteria ilmu ketika meletakkan seseorang pada sesuatu posisi. Di tengah gembar-gembur, “knowledge is power” sebenarnya kita sedang ditimpa krisis nilai yang ditandai dengan meletakkan nilai ilmu di puncak urutan sistem budaya kita..”[1]
Keruntuhan Adab dan Pengkhianatan Terhadap Amanah Keilmuan
Gejala ‘pengkhianatan terhadap amanah keilmuan’ ini berleluasa dalam pengamalan pendidikan tinggi negara. Maka, analisis Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam mengungkapkan konsep umum tentang ‘keruntuhan adab’ (loss of adab) yang berlaku dalam masyarakat amat bertepatan dengan realiti pendidikan tinggi yang kita bicarakan ini. Makna ‘adab’ di sini dihuraikan sebagai ‘pengenalan dan pengakuan adanya tempat yang wajar bagi sesuatu’.[2] Apabila adab telah runtuh, maka berlakulah kecelaruan dan permasalahan berterusan dalam diri dan masyarakat islam dengan wujudnya pemimpin palsu dalam setiap bidang kehidupan yang akhirnya mempengaruhi orang-orang yang dipimpinnya.
Rajah 1
Al-Attas meringkaskan masalah ini melalui rumusan berikut: (1) kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu (masalah epistemologi), dan keadaan ini membawa akibat (2) keruntuhan adab dalam kalangan masyarakat. Sementara keadaan (1) dan (2) telah menjelmakan natijah (3) kemunculan pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah, dan yang tiada memadai taraf kepimpinan seperti yang sepatutnya. Pemimpin yang sedemikian mengekalkan terjadinya perkara (1) dan (2) dan menjamin berlakunya terus pengeluaran dan penempatan pemimpin sepertinya[3] (Rajah 1).
Fareed Zakaria dalam makalahnya bertajuk The Education of a President, menyinggung akan permasalahan ini: “One of the minor tragedies of modern America has been the transformation of the college president from public intellectual to fund-raising bureaucrat. Most president steer clear of any involvement in the substance of academic life – the ideas and scholarship – for fear that someone, somewhere, will be offended.”[4]
Mengulas kenyataan Fareed Zakaria ini, Siddiq Fadzil tanpa berlapik lagi melampiaskan fenomena “one of the minor tragedies” yang berlaku dalam sistem pendidikan tinggi Amerika ini ke atas Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia lewat pertanyaan, “tidakkah kita juga menyaksikan gejala semakin memudarnya wibawa kesarjanaan pimpinan IPT? Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar, sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat. Apakah ini bukan sejenis minor tragedy juga?”[5]
Krisis Pendidikan Tinggi Negara: Persoalan Asasi
Montimer J. Adler, dalam pengalamannya sebagai seorang ahli akademik terkemuka turut melahirkan keluhan beliau terhadap ‘pendidikan’ dan ‘persekolahan’ lewat tulisan beliau berjudul Schooling Is Not Education:
“For more than 40 years, a controlling insight in my educational philosophy has been the recognition that no one has ever been - no one can ever be - educated in school or college.”[6]
Ivan Illich dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang bukan sahaja hilang fungsi ‘mendidik’ tetapi fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut beliau: “Many students, especially those who are poor, intuitively know what the schools do for them. They school them to confuse process and substance. Once these become blurred, a new logic is assumed: the more treatment there is, the better are the results; or, escalation leads to success.” Tambahnya lagi,“the pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, great advancement with education, a diploma with competence, a fluency and the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”.[7]
Lontaran idea dan kritik di atas ini adalah pada hakikatnya sah dan menggambarkan suasana yang melatari pendidikan semasa yang meratai dunia keseluruhannya. Justeru, adalah menjadi keutamaan bagi kita mempertanyakan persoalan-persoalan asasi yang bersangkutan dengan pendidikan dalam usaha menyingkap permasalahan berkaitan pendidikan tinggi dalam negara.
Zaini Ujang dalam mengungkapkan perkembangan disiplin ilmu di universiti mengakui akan tuntutan dan pengaruh kuat pasaran semasa. Ini mengakibatkan disiplin ilmu asas seperti falsafah, teologi, sejarah, matematik, kimia, ilmu wahyu, sains kemanusiaan dan kajian bahasa tidak begitu mendapat sambutan dalam kalangan calon mahasiswa berbanding jurusan-jurusan seperti sains gunaan, multimedia dan teknologi. Sebab utama – tuntutan pasaran kerja.[8]
Beliau menambah: “sesuai dengan kefahaman serta kefahaman itulah maka falsafah, nilai, gagasan serta peranan university juga berubah mengikut keperluan pasaran kerja, khususnya daripada perspektif ilmu moden…. Kenyataannya, ketika ini ilmu falsafah yang satu ketika dahulu menjadi ‘ilmu wajib’ sudah hilang peranan dan kepentingannya dari perspektif calon mahasiswa. Disiplin ilmu yang lebih diberi keutamaan ketika iniialah ilmu sains dan sastera gunaan serta teknologi.”.
Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan IPT di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan IPT ini sebenarnya langsung tidak layak menjadi indikator keberdayaan universiti melahirkan graduan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group, sebaliknya kelumpuhan berlaku meranapkan idea university sebagai simbol wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pendidikan’? Secara umum, pendidikan bermaksud ‘suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia’ (a process of instilling something into human being).[9] Berdasarkan definisi ini, ‘suatu proses menerapkan/menyuntik’ (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, ‘sesuatu’ (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima.[10] (Rujuk Rajah 2)
Persoalannya, bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini jelas tersasar dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan telah di’komoditi’kan, di’komersialisasi’kan dan di’politisasi’kan. Siddiq Fadzil dalam kritikannya terhadap pendidikan tinggi masa kini menyatakan:
“Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, “Pendidikan Yang Memiskinkan” dan “Orang Miskin Dilarang Sekolah.”[11]
Al-Mustakbirun dan Pendidikan: Komersialisasi dan Politisasi
Ideologi sekolah pemikiran Chicago pimpinan Milton Freidman atau neo-liberal globalization mulai menular ke seluruh pelosok dunia termasuk negara-negara dunia ketiga. Para pemimpin negara-negara dunia mula menjalankan program penstrukturan semula pentadbiran termasuklah pentadbiran pendidikan berpedomankan ideologi Milton Freidman ini. Bagi Freidman, kerajaan wajar memotong perbelanjaan pembiayaan kepada sekolah awam:
“Since education should be each individuals responsibility, parents as well as students should make the necessary sacrifices to ensure the best education and hence a better future.”[12]
Andainya demokratisasi dan privatisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.
Dalam konteks hubungan antara pendidikan dengan pemerintah, seringkali pendidikan digunakan sebagai alat bagi mencapai cita-cita dan kehendak pemerintah, juga bagi mengekalkan kuasa sang pemerintah mustakbirun. Tokoh-tokoh pendidikan dunia umpamanya Paolo Freire yang terkenal dengan karya Pedagogy of The Oppressed menyarankan idea pendidikan yang membebaskan dengan metod dialogikal bagi menghentam sistem pendidikan yang membelenggu yang dilakukan kelompok penguasa bagi mengekalkan rakyat dalam keadaan fantasi yang dianggap realiti.
Manakala, tokoh seperti Allan Bloom dalam karyanya The Closing of American Mind muncul dengan kritikan pedas terhadap sistem pendidikan Amerika yang menyebabkan minda orang Amerika terbelenggu dengan awangan kehebatan Amerika semata. Keadaan yang sama juga berlaku .
Kebobrokan dan kebodohan bawah sedar (unconscious stupidity) berlaku dalam sosio-intelek masyarakat kampus. Mahasiswa dalam perbenturan (clash) dengan penguasa (authority) institusi pendidikan tetapi mereka (authority) mempunyai niat buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang menindas mahasiswa demi mencapai cita-cita diablois mereka. Golongan penguasa ini juga kita kenali sebagai golongan al-Mustakbirun.
Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa, disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan. Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan“robotized and machinized society” sudah lama lupa dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan. Dalam kata lain, masyarakat mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya.
Maka, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah“masyarakat bengong”.
Secara psikologinya, ‘masyarakat bengong’ mengalami penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual) yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu al-Sayyib min al-kalimi al-Tayyib”
“…kalau sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka, ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”
Allah Ta’ala berfirman,
“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran…”(surah al-Kahfi : ayat 28)
Beralih pula kepada al-Mustakbirun; kelompok elit lagi sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini. Mereka cuba menjadikan pendidikan sebagai suatu wahana keuntungan fizikal (education as a tool for physical beneficial) melalui institusi pendidikan.
Proses‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan. Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif pendidikan Teori Konflik;
“Pendidikan dipersepsikan sebagai sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi menjadi punca konflik dalam masyarakat”
Jadi, menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.
Sewajarnya, mahasiswa sedar dan tidak sepatutnya terlalu nyaman dengan apa yang dihidangkan di hadapan mata mereka kini. Adapun bagi kelompok yang punya idealisme dan ingin memperjuangkan hak mahasiswa, percaturan dan perencanaan strategi dan tindakan yang bijak adalah amat perlu; tidak terlalu membuta tuli, malah jangan mudah lentur kepada mana-mana pihak atau kelompok kontra-establishment seperti parti pembangkang ataupun senior-senior aktivis agar selayaknya dengan tahap mereka sebagai seorang penuntut ilmu di menara gading.
Rujukan:
[1] Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009)
[2] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 6
[3] Ibid. Hal. 137-138
[4] Fareed Zakaria, The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards--but he needs to do it for everyone. (Lawrence Summers) (Brief Article), http://www.encyclopedia.com/doc/1G1-81469874.html
[5] Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009), hal. 4
[6] Montimer J. Adler, “Schooloing Is Not Education”, http://www.cooperativeindividualism.org/adler-mortimer_schooling-is-not-education.html
[7] Mark K. Smith, “Ivan Illich: Deschooling, Conviviality and the Possibilities for Informal Education and Lifelong Learning”, http://www.infed.org/thinkers/et-illic.htm
[8] Zaini Ujang, Universiti, Kreativiti, Inovasi, (Johor: Penerbit UTM, 2009), hal. 36
[9] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), hal. 19.
[10] Ibid.
[11] Siddiq Fadzil, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka”, http://www.khairaummah.com, 26-10-06
[12] Pernel Fisher, “The Impact of Disaster Capitalism on England's Education System”, http://www.lilith-ezine.com/articles/politics/Disaster-Capitalism-England.html
Catat Ulasan