Halloween Costume ideas 2015
MPS

Tiga: Ikan 'Pandai'


Konon, di sebuah kolam tinggal tiga ekor ikan: Si Perasan Pandai, Si Macam Pandai, dan Si Terlajak Pandai.  Kehidupan  mereka  berlangsung biasa  saja  seperti  ikan-ikan lain, hinggalah pada suatu hari, datang seorang manusia (nelayan) ke kolam itu.



Manusia itu membawa jala. Si Perasan Pandai terlihatnya dari dalam air. Teringat akan pengalamannya, juga dari cerita-cerita yang pernah didengarnya, Si Perasan Pandai  memutuskan  untuk melakukan sesuatu.



“Hampir  tak  ada  tempat berlindung di kolam ini,”  lalu dia memutuskan, “jadi aku akan pura-pura mati saja.”




Ia mengumpulkan seluruh tenaganya dan meloncat ke luar kolam, jatuh tepat di kaki nelayan itu. Tentu saja si Nelayan  terkejut. Oleh sebab ikan  tersebut  menahan   nafas, nelayan  itu  menyangkanya  mati, lalu dia pun melemparkan ikan itu kembali ke kolam. Ikan  itu  kemudian  meluncur  tenang  dan bersembunyi di sebuah ceruk kecil dekat pinggir kolam.


Ikan yang kedua, Si Macam Pandai, sebenarnya tidak begitu memahami apa yang telah terjadi. Ia pun berenang mendekati Si Perasan Pandai dan bertanya akan hal  itu.



“Emmm… tengoklah siapa ni.. Abangmu ni.. Senang saja,” kata Si Perasan Pandai. “Aku berpura-pura mati, dan nelayan itu melemparkanku  kembali  ke kolam.” 





Mendengar kata-kata Si Perasan Pandai itu, Si Agak-Pandai berkata, “Mantap mu…” lalu dia pun segera melompat ke darat, lalu jatuh dekat dengan kaki nelayan.

“Aneh,” fikir  nelayan  itu.  “ikan-ikan  ini loncat ke luar kolam?.” 



Namun, Si Macam Pandai ini ternyata lupa menahan nafas,dan iapun dimasukkan ke bekas simpanan ikan.


Nelayan itu kembali  mengamat-amati  kolam,  dan  kerana agak hairan memikirkan  mengapa ikan-ikan yang berloncatan ke darat, dia pun lupa menutup bekas simpanan ikannya. Menyedari hal ini, Si Macam Pandai berusaha melepaskan   diri  ke  luar  dari  bekas simpanan ikan itu, meloncat keluar, membalik-balikkan badannya, dan masuk kembali ke kolam.

Si Macam Pandai lantas mencari-cari  ikan pertama, ikut bersembunyi dekatnya. Nafasnya tak tertahan lagi – termengah-mengah. Si Macam Pandai berkata, “amacam Abang mu ni..?”. Si Perasan Pandai lalu menjawab “Mantap mu..”  


Dan ikan ke tiga, Si Terlajak Pandai, walaupun telah menerima penerangan terperinci daripada Si Perasan Pandai dan Si Macam Pandai yang menekankan kepentingan menahan nafas, dengan selamba mengucapkan “Terimakasih: aku sudah tau, Abang mu ni!” kata Si Terlajak Pandai sambil mendabik dada.  




Selesai mengucapkan  itu, dia pun melemparkan dirinya ke darat, jatuh tepat dekat kaki nelayan. Si Nelayan  langsung  memasukkan ikan ketiga (Si Terlajak Pandai) itu ke dalam bekas yang dibawanya tanpa memerhatikan apakah ikan itu bernafas atau tidak.

Berulang-ulang kali dilemparkannya jala ke kolam, namun kedua-dua ikan yang mula melompat tadi (Si Perasan Pandai dan Si Macam Pandai) dengan senyap bersembunyi dalam sebuah ceruk. Dan sekarang bekas ikan nelayan itu telah tertutup rapat.


Akhirnya  nelayan  itu  menghentikan  usahanya.  Ia  membuka bekas ikannya, menyedari bahawa ternyata  ikan  yang  di  dalamnya tidak bernafas (sudah mati). Ikan itupun (Si Terlajak Pandai) dibawanya pulang untuk makanan kucing.


........................


06.40 petang, 12hb November 2010
Batu 8, Gombak

Catat Ulasan

xpaham maksud cerita ni..boleh tolng explain?

kenapa nelayan itu terlalu kejam sehingga membunuh ikan di dalamn bekasnya?atau itu memang tujuannya untuk mematikan ikan tersebut dan diberikan kepada kucingnya?atau nelayan itu fikir buang masa saja sediakan air untuk ikan yang ku tangkap ini,kerana aku suka cepat,itu semua remeh,ikan itu pandai-pandaila nak hidup?

Kenapa nelayan itu terlalu rakus menangkap dengan jala?Kenapa tergopoh-gapah?tiada sabarkah si nelayan itu?kenapa tidak digunakan joran untuk memancing hati2 ikan tersebut?sudah semestinya hanya orang yang mempunyai kesabaran dan memahami tentang erti alam simbiosis ikan dan manusia sahaja akan menggunakan teknik memancing?namun kenapa si nelayan itu begitu?cepat sungguh berputus asa..berkali-kali yang digunakannya itu sebanyak mana?atau berkali-kali itu mengikut pandangannya shaja?Akhirnya nelayan itu mengangkat kaki,pulang ke rumah,dengan seekor ikan mati, dan sekali lagi,ikan yang diusahakannya begitu 'gigih' tadi hanya diberikan kepada si kucing dirumahnya, kenapa?? ;-)

p/s: soalan tambahan, kenapa seorang nelayan dan 3 lain ikan?

Salam,
Kepada ^_^ :

Baca komen dibawah terutama pada bahagian keempat.
Terima kasih!

Salam,
Kepada Si Penanya Tanpa Nama:

Maklumat yang tepat adalah perlu bagi memberi penjelasan. Sebagaimana pesan guru-guru penulis:

“You have to be precise” – Prof. Israr Ahmad

“You are responsible on what you have said/written” – Prof Hassan Ahmed Ibrahim

Justeru, penulis punya prinsip dan tidak bertindak semberono dalam menyatakan sesuatu.

Ramai orang yang bercakap tentang perkara yang mereka tak fahami, terbelenggu dalam kebodohan diri sendiri, membuat kesimpulan yang tak berkaitan dengan kebenaran, cakap tak serupa bikin dan pelbagai lagi gejala yang seumpamanya dan ini jelas pada tingkah laku dan kata-kata mereka (termasuk apa yg mereka tulis).


Pertama,

cerita ini diadaptasi daripada kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat dari Indonesia dengan beberapa modifikasi supaya lebih bercitra tempatan. Katanya, cerita ini berkemungkinan berasal daripada Sultanul Auliya` Sheikh Abdul Qadir Jilani. Walaubagaimanapun, tidak ada bukti yang jelas menyatakan sedemikian. Apa yang pasti, ada pengajaran yang tersirat disebalik kisah yang keluar dari lidah para ahli hikmah (hukama/ orang yang bijaksana).

Kisah-kisah seperti ini merupakan cerita-cerita yang disajikan dalam bentuk ‘bidal tamsil’ atau ‘perumpaan’. Dalam Bahasa Arab, kisah-kisah bidal tamsil seperti ini disebut sebagai “darb al-mithal” (B. Inggeris. striking the similitude). Permisalan/ bidal tamsil (“darb al-mithal”) juga disebut dalam al-Quran.

Kalimah “darb al-mithal” atau “darb al-amthal” disebut 27 kali dalam al-Quran dalam pelbagai bentuk permisalan bagi menggambarkan analogi dan sebagai perbandingan dan pengajaran untuk manusia.

Sebagai contoh:
“innalLaha yadhriba mathalan ma ba’udhatan fama fauqaha..”
”Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu..” (al-Baqarah; ayat 26)

Imam al-Ghazali, dalam metodologi pentafsirannya khususnya terhadap ayat-ayat cahaya dalam al-Quran (surah al-Nur, ayat 35) sepertimana yang disebut dalam Mishkat al-Anwar menyatakan kaedah pentafsirannya dikenali sebagai “minhaj darb al-mithal”.

Jalaluddin Rumi, seorang tokoh sufi terkemuka, banyak sekali menulis kisah-kisah ‘bidal tamsil’ seperti yang erkandung dalam karyanya ‘al-Mathnawi’.

Maka, kisah ini adalah untuk diambil pengajaran, Cuma pengajaran hanya akan diambil oleh orang yang punya akal dan berfikir seperti yang disebut dalam Surah az-Zumar, ayat 9,

“Katakanlah. Bukankah tidak sama orang yang mengetahui dengan orang tidak mengetahui? Tidak mengingat melainkan orang mempunyai fikiran.”


Pertanyaan seperti “kenapa seorang nelayan dan 3 lain ikan?” jelas tidak releven kerana ini merupakan soalan yang tidak langsung punya kaitan dengan maksud penyampaian cerita dan awas! (hubaya!) kerana soalan seperti ini sering sahaja dipertanyakan oleh golongan sufasta’iyah (sofist) yang punya niat bukan untuk mencari kebenaran.

Walau bagaimanapun, pertanyaan ini perlu juga dijawab walaupun penulis berasa pertanyaan semacam ini merupakan gejala ‘ignoratio elenchi’ (irrelevant conclusion) sepertimana yang telah penulis huraikan dalam post sebelum ini.

....bersambung di bawah

Kedua,

Perlu diketahui bahawasanya nelayan (fisherman) adalah berbeza dengan pemancing / pengail (angler). Walaupun kedua-duanya menangkap ikan, namun tujuan dan metodologi mereka adalah berbeza.

Nelayan (fisherman) menangkap ikan sebagai suatu profesyen – pekerjaan bagi menyara kehidupan manakala pemancing / pengail (angler) menangkap ikan sebagai suatu hobi.

Perbezaan yang ketara ini pastinya membawa kepada perbezaan dalam kaedah menangkap ikan. Nelayan pastinya menggunankan jala atau pukat kerana mahukan hasil yang banyak untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Tidak seperti pemancing / pengail (angler) yang menggunakan joran untuk menangkap ikan kerana bagi pemancing / pengail (angler), kepuasan memancing adalah lebih utama daripada hasilnya.

Jelas, pertanyaan seperti - “Kenapa nelayan itu terlalu rakus menangkap dengan jala?Kenapa tergopoh-gapah?tiada sabarkah si nelayan itu?kenapa tidak digunakan joran untuk memancing hati2 ikan tersebut?sudah semestinya hanya orang yang mempunyai kesabaran dan memahami tentang erti alam simbiosis ikan dan manusia sahaja akan menggunakan teknik memancing?” - adalah suatu pertanyaan bersandarkan kesimpulan yang tidak releven kerana si penanya tidak mengetahui hakikat seorang nelayan, malah apabila diulang-ulang baca terasa soalan itu seakan kelakar.
Perkataan-perkataan seperti “nelayan rakus menggunakan jala”, “tergopoh-gapah”, “Memancing hati2 ikan” dan yang lainnya jelas tidak punya kaitan dengan maksud dan tujuan cerita ini.
Manakala, kesimpulan yang dibuat seperti “sudah semestinya hanya orang yang mempunyai kesabaran dan memahami tentang erti alam simbiosis ikan dan manusia sahaja akan menggunakan teknik memancing?” adalah satu kesimpuan dangkal jika ia ditimbang si atas neraca perkaedahan dalam ilmu kalam atau logik.

Si Penanya terkeliru malah gagal memahami kaedah “apa yang lazim berlaku” tidak semestinya “mesti berlaku” (rujuk Tahafut al-Falasifah oleh imam al-Ghazali – bab hubungan sebab-akibat).

Mungkin bagi penanya, orang yang menggunakan teknik memancing itu ialah orang yang sabar dan memahami erti simbiosis ikan dengan manusia, tetapi tidak semestinya orang yang tidak menggunakan teknik tersebut (dalam situasi yang sama) tidak sabar dan tidak memahami erti simbiosis seperti yang didakwa oleh si Penanya. Kesimpulannya, si Penanya gagal memahami tujuan si Nelayan dalam cerita ini.

Malah, pertanyaan-pertanyaan seterusnya seperti - “namun kenapa si nelayan itu begitu?cepat sungguh berputus asa..berkali-kali yang digunakannya itu sebanyak mana?atau berkali-kali itu mengikut pandangannya shaja?Akhirnya nelayan itu mengangkat kaki,pulang ke rumah,dengan seekor ikan mati, dan sekali lagi,ikan yang diusahakannya begitu 'gigih' tadi hanya diberikan kepada si kucing dirumahnya, kenapa?? – dengan jelas menunjukkan kegagalan pentafsiran cerita ini oleh si penanya

......bersambung di bawah

Ketiga,

Soalan seperti “kenapa nelayan itu terlalu kejam sehingga membunuh ikan di dalamn bekasnya?atau itu memang tujuannya untuk mematikan ikan tersebut dan diberikan kepada kucingnya?atau nelayan itu fikir buang masa saja sediakan air untuk ikan yang ku tangkap ini,kerana aku suka cepat,itu semua remeh,ikan itu pandai-pandaila nak hidup?” juga memanifestasikan kegagalan si Penanya dalam membuat kesimpulan daripada cerita ini.

Nampak seakan-akan ada niat tersembunyi oleh si Penanya yang berselindung di sebalik soalan-soalan yang pada hematnya bersifat kritikal tapi sebenarnya hampa nilai dan kekosongan panduan.

Berdasarkan kaedah fiqh “al-tarku la yadullu ‘ala al-tahrim” (sesuatu yg ditinggalkan/tidak disebut tidak menjadi dalil kepada invalidity), penulis menjawab soalan tidak releven yang diajukan si penanya.

Dalam cerita ini menyebutkan bahawa nelayan itu melemparkan kembali ikan yang dianggap mati walaupun tidak diceritakan sebabnya. Kesimpulan yang logik yang dapat dibuat berhubung perbuatan nelayan ini ialah mungkin nelayan mahu menjual hasil tangkapan yang segar di pasar dan bukan untuk dipelihara bersandarkan kepada tujuan kerja seorang nelayan.

Sebab itu, si penangkap ikan dalam cerita ini dinamakan si nelayan buakn si pemancing atau si kaki joran.

Tapi, adakah si nelayan ini dianggap kejam jika membiarkan ikan itu mati? Sedangkan ikan itu untuk jadi makanan, malahs di sisi syarak ikan adalah binatang yang tidak perlu disembelih dahulu sebelum dimakan. Jadi, tiada salahnya jika ikan dibiarkan mati dalam bekas itu.

Dan mengapa diberikan ikan itu kepada kucing? Mungkin kerana ikan itu mengalami kecacatan atau sebagainya yang memungkinkan ia tidak sesuai dijadikan jualan atau menjadi makanan manusia, maka dijadikan makanan kepada kucing.

Penulis memang berasa pelik denga soalan-soalan si penanya dan andaian-andaian yang beliau kemukakan.


.....bersambung di bawah

Keempat,

Cerita ini sebenarnya memfokus pada tiga ekor ikan yang hidup dalam sebuah kolam. Dalam kolam itu juga terdapat ikan-ikan lain, bukan hanya mereka bertiga. (Rujuk perenggan pertama cerita ini : Kehidupan mereka berlangsung biasa saja seperti ikan-ikan lain, hinggalah pada suatu hari, datang seorang manusia (nelayan) ke kolam itu.)
Pada satu hari, seorang nelayan datang untuk menangkap ikan di kolam itu. Perlu difahami, istilah ‘kolam’ di sini bukan bermaksud ‘swimming pool’ atau seperti kolam ikan hiasan di laman rumah atau yang seumpanya, akan tetapi yang sebenarnya kolam ini lebih besar dan luas dari itu. (sebagai contoh: Kolam Bukit Merah di Kerian, Perak. Bertapa luasnya kolam ini dan menjadi sumber pendapatan bagi nelayan dan penduduk tempatan).

Itu sebabnya nelayan datang membawa jala. Hendak dijadikan cerita, si Nelayan menjala di tempat tiga ekor ikan (watak-watak utama dalam cerita ini) bermain.

Seekor ikan yang bernama Si Perasan Pandai bertindak di luar duga dengan melompat ke kaki nelayan dan berpura-pura mati. Perbuatannya yang kononnya bertujuan untuk menyelamatkan diri daripada menjadi hasil tangkapan si nelayan turut diikuti dua ekor rakannya yang bernama Si Macam Pandai dan Si Terlajak Pandai.

Namun, ternyata, kaedah yang berisiko tinggi ini sebenarnya bukanlah satu kaedah yang baik dan tak semestinya mampu dilakukan oleh semua ikan dan pada semua keadaan.

Namun, walaupun dalam situasi genting, ikan-ikan ini begitu berlagak, sombong dan takbur. Ini dapat dilihat pada ungkapan seperti “ tengoklah siapa ini, abangmu ni..”. Ungkapan bongkak dengan memakaikan gelaran ‘abang mu’ kepada diri sendiri menunjukkan si ikan sedang cuba membesarkan dirinya di hadapan rakannya yang lain. (‘abang’ membawa konotasi ‘besar’).

Ikan-ikan ini merupakan misalan kepada manusia yang sering bongkak dan sombong. Ada yang langsung tak menghiraukan Tuhan walaupun dalam keadaan genting. Kesusahan dan kepayahan yang merupakan ujian dari Tuhan. Antara hikmah kesusahan dan kepayahan adalah untuk manusia kembali kepada Tuhannya (al-inabah). Kebodohan dan kebongkakan manusia membuatkannya menafikan Tuhan dan bertindak mengambil risiko dan penyelesaian yang songsang dengan kehendak Tuhan.

Sebagai contoh mudah:
Ada orang yang tertekan, mungkin kerana pelajarannya, atau kerana tekanan peperiksaan mengambil jalan mudah melepaskan stressnya dengan menghisap rokok atau melakukan vandalisme atau pelbagai kaedah melepaskan stress yang merosakkan dan berisiko, sedangkan dia sepatutnya berdoa dan berharap kepada Tuhannya.

Akibatnya, ada yang terkandas (seperti ikan yang dijadikan makanan kucing si nelayan itu). Justeru, bagi yang belum terkandas, eloklah bertaubat dan jadikan pengajaran daripada peristiwa yang berlaku.

Cerita ini merupakan suatu pengajaran terutama kepada diri penulis sendiri kerana kadangkala penulis merasakan penulis juga seperti ikan-ikan tersebut.

Allahu Ta’ala A’lam.

kalau begitu tidak mengapa,teruskan dengan penulisan anda,sekadar bertanya sahaja, kerana ingin cuba memahami cerita itu dengan huraian penulis,jangan juga si penulis membuat ‘ignoratio elenchi’ (irrelevant conclusion) terhadap persoalan2 yang ditimbulkan oleh si penanya sebagaimana apa yang penulis sendiri tegaskan,jadi si penulis tidak perlu pelik dengan pertanyaan2 itu,teruskan kecemerlangan anda, semoga pertanyaan terus disambut dengan mengelak irrelevant conclusion perjuangan penulis ;-)

dan juga sila ambil pengajaran daripada pertanyaan2 penanya supaya penulis sendiri tidak terperangkap dalam gejala ‘ignoratio elenchi’ (irrelevant conclusion) ;-) selamat mengamalkannya

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget