Halloween Costume ideas 2015
MPS

Meninjau Pandangan Alam Islam; Memangku Wajah Hakikat (Siri 2 : Pandangan Alam Islam Terhadap Nabi Muhammad SAW)

BismilLahi -rRahmani –rRahim

Meninjau Pandangan Alam Islam; Memangku Wajah Hakikat
(Siri 2 : Pandangan Alam Islam Terhadap Nabi Muhammad SAW)
Oleh
Fazril Saleh



Meskipun zahir bentuk bashari
Batinnya bangsa terlalu safi
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni :
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung,
Antara air dan tanah lempung,

Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih Kiram,

Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papantulis belum tercatat,
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.

Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cerminan hakikat-
Dalam diriku semua terlibat.

(dipetik daripada buku “Risalah untuk Kaum Muslimin, nukilan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas)

     
      Pandangan Alam Islam (worldview of Islam/ ru`yatul Islam lil Wujud) ialah sebuah rencana dasar yang mengatur kefahaman dan tindakan seseorang. Ia adalah bertunjang daripada Tanzilan dari Tuhan yakni al-Qur`an al-Karim sepertimana yang telah penulis huraikan dalam tulisan sebelum ini “Meninjau Pandangan Alam Islam; Memangku Wajah Hakikat (Siri 1 : Pandangan Alam Islam & Survival Para Du’at)”. Cuma, dalam tulisan ini, suka penulis untuk menyinggung secara ringkas bagaimana pandangan Islam terhadap Junjungan Mulia Nabi Besar Muhammad Ibn Abdullah SAW, yang merupakan Penghulu Segala Nabi, manusia paling Agung, Sebaik-baik makhluk yang pernah Allah ciptakan. Jadi, fokus dalam tulisan ini ialah bagaiamana sepatutnya orang yang mengaku sebagai Muslim mengenal Nabi SAW, dan mengakui kedudukan sebenar Nabi SAW berasaskan kepada rencana dasar yang digaris-pandukan Allah iaitu pandangan Alam Islam (ru`yatul Islam lil Wujud) terhadap Nabi SAW.

Pendahuluan
      Zaman moden dan pasca moden yang sedang kita berada kini sebenarnya merupakan cabaran yang sangat besar; dugaan dahsyat yang melanda umat Islam seluruhnya. Mata-mata umat Islam hari ini sudah dikaburi dengan ‘kabus fitnah’ sehingga berlaku kekeliruan besar yang meletakkan mereka di tebing kehancuran. Rasa rendah diri yang keterlaluan (inferiority complex) menghunjam benak sanubari kaum muslimin oleh sebab diri mereka yang jauh dari Tuhan mereka. Mereka cuba mencari penyelesaian terhadap kekusutan minda dan rasa sempit dada yang mereka alami dengan cara yang semakin menjauhkan diri mereka dari Yang Maha Memberi Ketenangan, sedangkan pengutusan Nabi Besar Muhammad SAW telahpun menceritakan dan menggaris-pandukan bagaimana sepatutnya manusia menjalani kehidupan.

      Dunia akhir zaman sememangnya dihujani pelbagai fitnah; fitnah-fitnah ini sebenarnya tidak jelas; kabur dan bersifat mengaburkan. Fitnah-fitnah ini umpama kabus yang menghalang pandangan. Dan sebenarnya fitnah-fitnah ini muncul menutup sinar kebenaran agama Islam yang hakiki sehinggakan orang-orang yang telah terjatuh ke dalam lingkungan kabus fitnah ini menyangka bahawa fitnah ini adalah agama Islam yang sebenarnya padahal hakikatnya tidak demikian.

      Antara fitnah besar daripada fitnah-fitnah yang melanda kaum Muslimin ialah pandangan dan pemahaman mereka terhadap Nabi Muhammad SAW dan kedudukannya. Kekeliruan ilmu mereka terhadap Nabi Muhammad telah mendorong kepada perbuatan yang merendahkan kedudukan Nabi SAW, malah ada yang sampai ke tahap menghina Nabi SAW. Fal ‘iya’uzu bilLahi min dzalik.

Kecintaan VS Kekeliruan

Allah Taala berfirman, dalam al-Quran surah al-Ahzab, ayat 21:

“sesungguhnya kamu (umat manusia) mempunyai contoh ikutan yang baik pada diri RasulLah SAW – (tetapi hanya) bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat...”

Firman Allah Taala lagi dalam Surah al-Fath ayat 8-9:
     
“sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (yang diterima keterangannya) dan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), serta pemberi amaran (kepada yang engkar). Supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan supaya kalian menguatkannya dan memuliakannya.”

      Maha Suci Allah kerana telah mengutuskan kepada kita seorang manusia Mulia lagi istimewa yang sangat dikasihi oleh orang-orang yang beriman dan makhluk-makhluk lain samada di bumi mahupun di langit. Manusia yang dizahirkan di bumi Allah sebagai “rahmat sekelian Alam”. Manusia yang Agung dan Paling banyak berjasa kepada kita, dan hanya orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya sahaja yang akan berharap agar dapat bersama-sama Nabi di Taman Syurga satu hari nanti. Kecintaan kepada Rasul SAW adalah pra-syarat kepada Kecintaan kepada Allah. Maka, siapa yang tidak ada rasa cinta kepada Rasul SAW, maka hakikatnya dia tidak mencintai Allah.

      Apabila kita mencintai seseorang, yakni kekasih hati kita, pastinya akan terasa resah gelisah sekiranya lama tidak bersua, kerinduan yang mendalam dan tidak tertahan, membuatkan kita sentiasa menyebut-nyebut namanya, terkenang-kenang bicaranya, rindu yang teramat akibat kecintaan yang mendalam terhadap kekasih. Ini fitrah insan. Oleh sebab itu, antara tanda dan cara menyintai RasululLah SAW ialah dengan berselawat ke atasNya, mengulang-sebut nama dan kebaikannya, menceritakan sirahnya, memuji dan membesarkannya, menyayangi orang yang menyayangi Nabi SAW, meraikan orang yang berusaha menyuburkan kecintaan terhadap Nabi, mengahdiri majlis memperingati Nabi SAW dan sebagainya. Dan sebenarnya, inilah cara dan tanda yang diakui oleh Islam dalam mengenal dan mengakui kedudukan Nabi SAW sebagaimana hadith Nabi SAW, daripada Anas RA berkata, RasululLah SAW bersabda :

“Tidak beriman seseorang hamba sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, bapanya dan seluruh manusia..” (hadith riwayat al Bukhari dan Muslim)

      Setengah ulama menyatakan bahawa maksud ‘tidak beriman’ dalam hadith di atas ialah tidak sempurna keimanan seseorang yang mengasihi anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya melebihi kasihnya terhadap Nabi SAW. Hal ini bertujuan untuk meninggikan kedudukan dan kebesaran Nabi SAW. Allah telah menetapkan dan meletakkan kasih terhadap RasululLah SAW di barisan paling hadapan daripada kasih terhadap makhluk yang lain.



      Maksud ‘kasih terhadap Nabi SAW’ di sini bukan bermaksud kasih semulajadi yang didorong kehendak nafsu, kerana dari sudut tabi’I atau fitrah semulajadi, kasih seseorang terhadap dirinya melebihi kasihnya terhadap orang lain dan kasih seorang ibu terhadap anaknya melebihi kasih kepada orang lain. Kasih atau kecintaan seperti ini tidak termasuk di bawah usaha atau ikhtiyar seseorang manusia tetapi ia bersifat semulajadi dan terkeluar daripada sempadan kemampuannya.

      Akan tetapi, kecintaan terhadap Nabi SAW adalah kecintaan berlandaskan kewarasan akal fikiran yang dilakukan secara ikhtiyari. Seseorang mendahulukan keputusan akalnya, sekalipun bersalahan dengan tabiat semula jadi. Sebagai contoh, secara semula jadinya, orang yang sakit tidak suka makan ubat yang pahit, namun dia cenderung untuk makan juga ubat itu dengan kehendaknya sendiri kerana akalnya memahami bahawa ubat itu bakal mendatangkan kebaikan kepadanya dengan menyembuhkannya daripada penyakit. Begitu juga sepatutnya dengan kita, apabila kita mengetahui bahawa Nabi SAW tidak menyuruh atau melarang sesuatu perkara melainkan untuk kebaikan agama, dunia, dan akhirat kita, serta meyakini bahawa RasululLah SAW merupakan manusia paling pengasih dan berlemah-lembut terhadap kita, maka ketika itu akal kita sepatutnya membuat keputusan untuk mengasihi RasululLah SAW sekalipun tidak dpersetujui oleh nafsu dan tabiat semula jadi kita. Inilah sebenarnya darjat permulaan keimanan dan kecintaan terhadap RasululLah SAW.

      Dan sewajarnya kita berusaha mempertingkat kecintaan kepada RasululLah SAW sehingga menggapai tahap kesempurnaan iaitu tabiat semulajadinya megikut akalnya mengasihi RasululLah SAW, membantu menegakkan sunnah Nabi SAW, memelihara syariatnya dan mengikut cara kehidupan Baginda RasululLah SAW.

      Malangnya, hari ini gelombang fitnah menghempas kaum muslimin sehingga menyebabkan mereka yang tidak didasari dengan ilmu dan kefahaman yang benar menjadi keliru dengan hakikat kenabian Muhammad SAW. Menurut Prof Dr Syed Muhammad Ibn Alawi al-Maliki:

“Sebahagian ahli fitnah itu buta basirah dan tertutup pintu hati mereka sehingga tak mampu memahami kedudukan sebenar Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang dikabarkan oleh Allah melalui KalamNya. Mereka hanya melihat Nabi adalah manusia semata-mata (yang sama seperti mereka) yang berjalan di atas muka bumi, makan, berjala-jalan di pasar, memikul dosa dan kesalahan, pernah hidup dalam kesesatan lalu Allah memberi hidayah kepadanya, pernah hidup dalm kemiskinan lalu Allah memberinya kekayaan dan dilahirkan dalam keadaan yatim lalu Allah memberikan perlindungan kepadanya,  sehinggalah ke akhir bicara mereka yang hanya membangkitkan kekeliruan orang awam…...”
           
            Jadi, berdoalah kita kepada Allah agar tidak terpesong dan terkeliru sehingga menyebabkan kita mencaci dan menghina RasululLah samada secara sedar mahupun tidak sengaja kerana perbuatan seperti ini bakal menjatuhkan kita kepada kekafiran.

Hakikat Martabat Kedudukan Nabi SAW
           
Syeikh Qadhi ‘Iyadh berkata dalam as-Syifa:
           
“apa yang pasti, para nabi adalah maksum (terpelihara) sebelum Nubuwwah (Kenabiannya) daripada kejahilan tentang Allah dan sifat-sifatNya, dan terpelihara daripada merasa ragu walau sedikit pun daripada perkara ini. Terdapat banyak khabar dan athar yang mendukung antara satu sama lain yang mensucikan para Nabi daripada kekurangan ini; semenjak mereka dilahirkan dan mereka membesar di atas Tauhid dan Iman. Bahkan di atas pancaran cahaya Makrifah dan hembusan kelembutan kebahagiaan. Tidak seorang pun ahli Hadith yang menaqalkan bahawa terdapat seorang daripada para nabi yang dipilih daripada kalangan orang yang dikenali kekufuran dan kesyirikannya sebelum itu…”

            Kasih sayang Nabi Muhammad merupakan kasih sayang yang sangat agung. Baginda SAW sentiasa mengingati dan menyebut-nyebut akan umatnya yakni kita semua. Dan keprihatinan dan kasih sayang Nabi SAW bakal menyampaikan kita kepada kebahagiaan tetinggi dalam kehidupan manusia iaitu kebahagiaan ketika bertemu dengan Allah (rukyatulLah) di akhirat kelak. Berdoalah kita semua untuk detik bahagian ini. Amin.

            Dalam sebuah syair yang dikarang ulama ada mengatakan:
“Bukankah Allah Yang Maha Penyayang menjadikan engkau (Nabi Muhammad SAW) redha dalam surah al-Dhuha, dan mustahillah engkau akan redha (berpuas hati) sedangkan ada di antara kami (umat Nabi SAW) yang diseksa dan diazab” – “adakah engkau akan redha dengan kedudukanmu yang menghalang kecelakaan kami, sedangkan kami bersandar di bendul-bendul pintumu,” – “Limpahkanlah ke atas kami hembusan Nabawiyahmu yang akan menyatukan keretakan kaum Muslimin dan mengumpulkan hati-hati kami.”

            Menurut ulama ini, Nabi SAW dikurniakan ayat 5 surah ad-Dhuha yang menggembirakan Nabi SAW. (“Dan sesunguhnya Tuhanmu akan memberikan kepadamu sehingga engkau redha-berpuas hati”)

Sesetengah mufassir seperti Ibnu Abi Syaibah daripada al-Hassan RA mengatakan : “sehingga engkau (Nabi Muhammad SAW) redha di sini bermaksud dikurniakan syafaat bagi umatnya.”

Ibnu abbas dan al-Suddi RA juga sependapat dengan pendapat ini.

Dalam surah al-Maidah Allah berfirman:

“sesungguhnya Kami akan meredhai engkau pada umat engkau dan kami tidak akan menyakiti engkau dalam urusan umat engkau” (ayat 118)

Setelah diturunkan ayat di atas, Nabi SAW bersabda:
“Jika begitu demi Allah! Aku tidak akan redha sedangkan masih ada seorang dari umatku berada di dalam neraka”
(diriwayatkan oleh Imam Abu Muhammad Abdullah al-Qurtubi- al-Jami’ lil Ahkam al Quran)

Betapa agungnya cinta dan kasih Nabi SAW terhadap kita yakni umatnya. Baginda tidak akan berpuas hati jika umatnya diseksa dalam neraka. Maka, bersyukurlah kita menjadi Umat Nabi Muhammad SAW yang bakal dikurniakan Syafaat Agung di padang mahsyar nanti yang bakal menjadi penyebab kita samapai kepada syurga Allah. InsyaAllah.

Jadi apakah perbuatan kita, tingkah laku kita, pertuturan kita, pemikiran kita dan segala yang berkait dengan kita itu disukai dan diredhai RasululLah? Atau adakah segla kehidupan kita selama ini membuatkan Nabi SAW berasa sedih? Maka, fikir-fikirkanlah, apakah yang mampu kita lakukan bagi menggembirakan hati RasululLAh SAW? 
Dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 128, Allah berfirman :

“Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul dari golongan kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kalian, yang amat belas kasihan lagi sangat penyanyang terhadap orang-orang beriman..”

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi SAW pada ketika itu mengalami kesedihan yang sangat akibat kehilangan/ kewafatan dua orang penting dalam hidupnya iaitu Saidatina Khadijah al-Kubro dan bapa saudaranya Abu Talib. Lalu, Allah menjemput baginda ke hadrat-Nya, menggembirakan hati Nabi dengan Allah Yang Maha Agung sendiri yang sangat dicintai dan dikasihi RasululLah bersemuka dengan baginda SAW. Peristiwa yang diceritakan melalui al_quran dan hadith ini digubah ke dalam bentuk puisi syair oleh Syeikh al-Waliyu l-Muhaddith Abdur Rahman Ad-Daiba’I :

“Allah mengangkatnya (Nabi SAW) ke suatu tempat tinggi yang paling mulia
 – dalam satu rombongan yang amat hebat, yang tidak akan pernah dan tidak layak berlaku kepada seorang pun yang sebelumnya dan selepasnya
– dalam sebuah perarakan malaikat yang lengkap dengan segala perhiasan yang menakjubkan, yang kehebatannya mengatasi segala perarakan yang lain
– Apabila ia (RasululLah SAW) naik menjelajah dua alam (bumi dan tujuh petala langit) sehingga melepasi dan terpisah dari dua alam tersebut, lalu sampai ke satu tempat yang sangat dekat dengan Allah
– Hanya sejarak dua busur panah, maka ketika itu, Allah sahajalah yang menemaninya (RasululLah) dan berbicara kepadanya.”

Kita mengetahui, bahawa cinta Nabi SAW terhadap Allah sangat tinggi dan bertemu Allah adalah kebahagiaan tertinggi yag tak mungkin akan kita lepaskan kebahagiaan itu. Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat bertemu Allah dalam peristiwa israk mikraj, suasana di Mekah ketika itu sangat kucar-kacir. Tekanan yang diterima Nabi SAW dalam dakwah baginda cukup teruk ditambah lagi dengan kehilangan dua orang yang disayangi Baginda SAW yang banyak membantu dan mendokong Baginda SAW dalam perjalanan dakwahnya. Pastinya ia suatu keadaan yang sangat memeritkan jika kita berada di tempat Nabi SAW. Lalu Allah menggermbirakan Nabi SAW dengan mengngkatnya ke hadrat Allah.

 Kalau kita, apabila sudah bertemu Allah, melihat sendiri dan merasai nikmat syurga dan isinya, mahukah kita kembali ke dunia yang huru-hara ini semula? Pastinya tidak. Tapi, berbeza dengan Nabi kita SAW, yang menyedari tanggungjawabnya demi kasih dan cinta Baginda kepada umatnya, sanggup turun semula ke bumi yang kucar-kacir setelah bertemu punca segala ketenangan dan kebahagiaan iaitu Zat Yang Maha Agung, Allah Subhanahu wa Taala. SubhanalLah, apakah jenis manusia yang amapu berbuat sedemikian rupa? Melainkan manusia ini merupakan manusia terpilih yang sangat istimewa, yang penuh dengan hikmah dan rahsia. Oleh itu wahai kaum Muslimin, mari kita besungguh-sungguh berusaha untuk mencintai Nabi kita SAW.

Seperti kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Risalah untuk Kaum Muslimin:

“…dialah contoh sempurna kita bagi seumur hidup kita, malah bagi seumur hidup seluruh keturunan Islam dari saat pertama mula menjelma Umat Islam sehingga ke akhir zaman. Dialah benar-benar uswatun hasanah yang menyatu-padukan kandungan masyarakata Islam dalam sejarahnya di dunia hingga ke akhir zaman; dialah satu-satunya insan yang terpuji dan dipuji, dan dikasih-sayangi umatnya lebih daripada kasih sayang manusia kepada manusia lain, dan oleh itu tepat dan benarlah sungguh dia itu disebut sebagai rahmat Ilahi bagi semesta alam. orang dan peranan yang dimainkannya sebagai pemberi contoh dan tauladan yang sempurna bagi manusia semua seperti yang zahir serta tertumpu sifat-sifatnya pada diri Saiyidina Muhammad RasululLah salLahu ‘alaihi wa sallam, itu tiada terdapat pada agama dan dalam masyarakat lain.


WalLahu Ta’ala a’lam.

fazrilsaleh@yahoo.com

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget