BismilLahi -rRahmani –rRahim
Budaya Ilmu & Pembinaan Tamadun Khayra Ummah
(Siri 1 : Kemanusiaan, Budaya Ilmu dan Ijtimae’i)
Oleh : Fazril Saleh
“Usahlah kamu kenali kebenaran itu pada manusia, akan tetapi kenalilah kebenaran itu (terlebih dahulu), nescaya kamu akan mengenali mereka yang benar”
(saidina Ali KaramalLahu wajhah; dipetik dari Kitab al-Munqidzh min al-Dhalal karya Imam al-Ghazali)
“Kemanusiaan” merupakan suatu istilah yang merujuk kepada manusia, sifat dan perbuatannya. Memandangkan manusia merupakan makhluk terbaik ciptaan Ilahi dan diberi amanah memakmurkan muka bumi Tuhan ini, istilah kemanusiaan merupakan suatu ‘istilah suci’ yang dikenakan kepada sesuatu atau seseorang. Dalam kata mudahnya, kemanusiaan itu hadir bersama manusia dan manusia itu makhluk terbaik. Maka, kemanusiaan ialah sifat terbaik sesuatu makhluk. Kemanusiaan hadir bersama manusia dan kemanusian adalah untuk manusia.
Kemanusiaan sebagai suatu sifat terbaik hidupan pastinya memerlukan pendefinisian yang terbaik; paling tidak mampu difahami dengan kayu ukur (bench mark) tertentu. Kayu ukur ini pula perlulah suatu kayu ukur yang mampu menunjukkan ciri unggul pada kemanusiaan itu.
Kalau kemanusiaan diukur dengan kekuatan, nescaya ada yang lebih kuat dan perkasa. Gajah misalnya, mampu mengangkat bertan-tan muatan di belakangnya, mampu menumbangkan balak sebesar dua pemeluk dengan mudahnya. Kalau kemanusiaan itu diukur dengan kecantikan dan keindahan rupa, pastinya ada yang lebih cantik. Bunga Mawar merah sebagai contoh, bukan hanya cantik dipandang, malah harum baunya. Ia menjadi simbol kecantikan yang disepakati oleh sekalian hidupan.
Kalau kemanusiaan diukur dengan kekayaan, sudah pasti ada yang lebih kaya daripada manusia. Misalnya ayam. Ayam cukup rezekinya dengan hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Berbeza dengan manusia. Walau sudah banyak harta, tapi masih berlumba-lumba mencari dan menambah-lambakkan harta. Tak pernah cukup. Jadi, orang yang ‘tak cukup’ itu bukan orang kaya. Ayam lebih kaya daripada manusia. Pangkat? Pangkat tidak selamanya kekal kepada seseorang kerana pasti ada yang akan menggantikannya, malah, pangkat itu bukan suatu yang diiktiraf oleh sekalian manusia atau seluruh lapisan dalam strata masyarakat manusia seantero alam sebagaimana sang singa yang diiktiraf sebagai Raja di Rimba dan disepakati seluruh haiwan di belantara yang dapat kita ikuti melalui kisah-kisah dongeng rakyat. Nah, apa lagi yang mampu menjadi kayu ukur kepada “kemanusiaan” ini?
Sebelum kita menjawab persoalan apa kayu ukur bagi menilai kemanusiaan, wajarlah kita bertanya, apa sebenarnya perbezaan antara manusia, haiwan, dan tumbuhan? Perbezaannya, manusia mempunyai ketiga-tiga ‘ciri unggul’ bagi ketiga-tiga kategori hidupan tadi; An-Natiqat/ al-Aqliyat (ke-‘aqal-an/intelligence/merujuk aspek kognitif-spiritual) bagi manusia, al-hayawaniyat (kehaiwanan/animality/merujuk aspek fizikal-jasmani) bagi haiwan dan an-Nabatiyat (ke-tumbuhan-an/merujuk aspek pasif-penerima) bagi tumbuhan. An-Natiqat atau al-Aqliyat inilah yang merupakan ciri unggul manusia yang mengehadkan dan membezakannya daripada hidupan lain. An-Natiqat /al-Aqliyat inilah yang merupakan kemanusiaan yang kita sebutkan sedari awal tadi.
Kemanusiaan yang kita fahami ini sudah pasti meletakkan aqal sebagai suatu entiti penting bagi menilai dan mengukur tahap atau darjat seseorang. Peranan aqal itu sendiri pastiya punya kaitan dengan ilmu. Kepentingan ilmu pengetahuan merupakan suatu perkara yang semua sedia maklum. Ia sesuaru yang badihi: tidak menuntut kepada bukti kerana aqal dan fitrah manusia yang sihat akan mengakui kepentingan ilmu pengetahuan. Maka, tanpa kita berbicara panjang tentang kepentingan ilmu dan pengetahuan, penulis berminat untuk membicarakan tentang hubungkait antara kemanusiaan, budaya ilmu dan ijtimae’I (masyarakat/komuniti) yang mencangkup ruang lingkup pelajar.
Dalam konteks pelajar, acapkali seruan ‘memugar budaya ilmu’ dicanang-canangkan oleh para aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM); bukan sehari-dua mereka mula melaungkan seruan ini, malahan sedari awal kewujudannya, hampir setengah dekad yang lalu. Malah, jika merujuk kepada Budaya Tujuh PKPIM, awal-awal lagi memberi penekanan terhadap peri –penting ilmu. [Budaya Pertama : Memugar Budaya Ilmu & Berakhlak Mulia] Keprihatinan dan kesedaran para pemuka awal PKPIM terhadap ilmu merupakan suatu anugerah Tuhan kepada generasi penerus perjuangan. Mana mungkin sesuatu perjuangan itu bermula tanpa ‘ilmu’; tanpa ‘tahu’.
Sebagaimana yang telah digariskan dalam satu kaedah fiqhiyah “La Yatimmu l-wajib illa bihi fahuwa wajib” (jika tidak sempurna yang wajib itu dengan ‘sesuatu’, maka ‘sesuatu’ itu juga dikira wajib); Jika tidak sempurna perjuangan itu dengan ilmu, maka ilmu itu juga dikira wajib. Sepertimana yang telah kita singgung sebelum ini, kemanusiaan itu dinilai dari sudut ilmu dan keilmuwan. Maka, PKPIM selaku sebuah gerakan pelajar di peringkat nasional, perlu membangun dan mengembangkan aspek kemanusiaan ini dalam diri setiap ahli dan kader dakwahnya demi mencapai maqsud membina tamadun khayra ummah. Moga Allah merahmati perjuangan Islam yang diusahakan oleh kelompok ini. Amiin.
Secara ringkas, dalam mewujudkan ‘budaya ilmu’, kewujudan suatu kelompok, atau komuniti adalah perlu, kerana ‘budaya’ tidak akan wujud dengan hanya merujuk kepada individu. Kewujudan PKPIM sebagai sebuah kelompok pelajar yang cenderung kepada aktiviti keilmuwan dilihat sebagai suatu proses ke arah pewujudan budaya ilmu. Ijtimae’I (Kelompok/kumpulan/komuniti) telah ada, tetapi budaya ilmu akan dan hanya akan terlaksana sekiranya kelompok ini memenuhi syarat berikut : keadaan di mana “setiap” lapisan dan individu melibatkan diri samada secara langsung atau tidak langsung, dalam kegiatan keilmuwan bagi setiap kesempatan. Syarat tadi merupakan definisi “budaya Ilmu” oleh intelektual yang dekat dengan kita, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya yang bertajuk Penjelasan Budaya Ilmu.
Namun, bagaimana mahu bermula?
Menurut Plato, ‘budaya’ (culture) terbentuk hasil pengemblengan dan pengembangan “sikap” (attitude) individu-individu dalam sebuah komuniti. “Sikap” pula wujud hasil kecenderungan (tendency) seseorang individu terhadap ‘sesuatu’. Dalam kata lainnya, kecenderungan membentuk sikap, dan sikap membentuk budaya. Kecenderungan seseorang terhadap ilmu akan membentuk sikapnya terhadap ilmu. Sikap seseorang terhadap ilmu apabila dikongsi, digembleng bersama dan dikembangkan dalam suatu kelompok akan membentuk budaya ilmu.
Maka, harus bermula dengan ‘kecenderungan’; cenderung kepada ilmu dan pengetahuan. Kesedaran untuk cenderung terhadap ilmu pengetahuan ini sangat penting dan mendesak, memandangkan iklim universiti hari ini yang sudah tidak lagi memancarkan sinar gemerlap ilmu pengetahuan, sudah tidak lagi menurunkan gerimis hikmah, sudah tidak lagi meniupkan bayu kebijaksanaan; akibat proses komersialisasi dan karenah politisasi yang berlaku.
Dengan lahirnya masyarakat yang berbudaya ilmu, maka akan muncul “keadaan yang segala tindakan manusia, baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan samada melalui pengkajian ataupun syura”. Masyarakat berbudaya ilmu juga tidak akan sesekali berkompromi dengan kelompok yang ‘bengong’. Mereka tidak akan mengiktiraf “sifat jahil, bebal dan anti-ilmu dalam diri peribadi atau masyarakat seperti membenci pandangan, pernyataan serta amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran tanpa mengira kedudukan dan warna kulit kerana segala tindak-tanduk harus berdasarkan kepada ilmu”.
Jelasnya di sini, budaya ilmu bukan sekadar aktiviti penekunan teliti, kajian saintifik mahupun latihan ilmiah para akademisi, tetapi budaya ilmu merupakan kesedaran dan penghayatan semua ahli dalam ijtimae’I (masyarakat/komuniti/kelompok) terhadap ilmu pengetahuan; demi cinta terhadap kebenaran. Ilmu yang benar akan membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan. Pada ketika manusia ‘ter-bebas’ inilah, berlaku suatu letusan dalam jiwa manusia yang kita kenali sebagai “pencerahan”. Mungkin pada kesempatan akan datang, kita bakal bicarakan persoalan apa itu ilmu? (secara khusus dan terperinci) dan peranannya dalam membebaskan manusia dan membawa manusia kepada “pencerahan”. WalLahu Ta’ala a’lam.
fazrilsaleh@yahoo.com
Catat Ulasan