DEMOKRASI, PLURALITI DAN PRU-13
DEMOKRASI,
PLURALITI DAN PRU-13
Al-Fadhil Dato' Dr. Siddiq
Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)
Pilihan raya dalam sistem
demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut dengan semangat
hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi “suara anjing menyalak bukit”,
tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip al-sha`b
masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya
akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak
demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.
Dalam kaitan inilah relevannya
gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat pertimbangan yang
adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan pilihan yang tepat.
Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme demokrasi yang
menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.
Demokrasi dan
Media
Dalam era kekuasaan media, rakyat
seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam reality seadanya. Banyak negara
yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan kebebasan media (freedom
of the press), yang diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom
from the press) dalam pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan
sorotan media.
Media yang telah kehilangan
kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi mampu memaparkan
kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat propaganda politik,
termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.
Demikianlah orientasi sebahagian
media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih tekun berdo`a: Rabbana
arina ‘l-haqqa haqqan wa ‘rzuqna ‘ttiba`ah, wa arina ‘l-batila batilan
wa ‘rzuqna ‘jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan kami kebenaran itu nyata benarnya
dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya, dan perlihatkan kami kebatilan itu
nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan menghindarinya).
Kebebasan media adalah bahagian
integral daripada demokrasi. Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media
hanya akan menghasilkan pemerintahan yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic
legitimacy).
Sebagai image maker media
selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki
sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu
berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak
rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan
parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat
jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.
Mengundi Sebagai
Kesaksian
Dilihat dari perspektif agama,
mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh diterima dan boleh
pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Shaykah
Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah)
yang tidak boleh ditolak apabila dipanggil, “…Dan janganlah saksi-saksi
itu menolak apabila dipanggil. …” -- al-Baqarah:282. Tidak
keluar mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah),
suatu kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur’an, “…Dan janganlah kamu
menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya, sungguh,
hatinya kotor (berdosa)…” --- al- Baqarah: 283.
Kesaksian dalam konteks pilihan
raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap
kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria
asas: qawiyyun amin (kuat dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti
moral dan berkompetensi intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan
hanya calon dan parti, tetapi juga pengundi-pengundinya yang
harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus pada kata al-`adl (keadilan),
“…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di
antara kamu…” -- al-Talaq:2.
Kesaksian adalah amanah. Mengundi
parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan terhadap amanah yang
menepati istilah qawla ‘zur (kesaksian palsu) dalam al-Qur’an.
Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang digandingkan dengan syirik sebagaimana
yang firmankan oleh Allah s.w.t., “…,maka jauhilah (penyembahan)
berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan dusta.”
-- al-Hajj:30.
Ternyata mengundi dalam pilihan
raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi tentang demokrasi, tetapi
juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru, kesaksian harus dilaksanakan
dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan kerana kepentingan diri, kaum
kerabat dan suku-sakat, “…dan hendaklah kamu tegakkan
kesaksian itu kerana Allah.” --. al-Talaq:2.
Untuk memungkinkan rakyat
melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya, mereka tidak boleh
naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami sepak teranjang
serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah asli dan mana wajah
hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan dan jerangkap samarnya,
ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna ia, dan banyak sumpah
yang mengandung fitnah.
Demokrasi hanya akan sihat dan
subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened. Demokrasi
akan mati dalam oreintasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan
dengan strategi pembodohan rakyat, “(Dengan yang demikian) maka Fir`aun
memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah
kaum yang fasiq – derhaka..” -- al-Zukhruf:54.
Rakyat yang telah lama
diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada kezaliman, mereka
tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar
kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang
adalah orang baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si
pemberi sebenarnya adalah penyamun yang telah merompak habis
harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s.
yang setia menyokong kezaliman, “…dan (mereka) menuruti perintah
semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.’ -- Hud:59; atau
menjadi rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., “…dan
mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah
kerugian baginya.” -- Nuh:21.
Perubahan
Politik dan Politik Perubahan
Bagi warga gerakan Islam, yang
penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran parti pemerintah
semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah politik perubahan
dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi cita-cita
Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik
gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai--nilai
moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban,
dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius dan
berintegriti.
Politik perubahan yang kita
perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang setepat
dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif memelihara
jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian bukan sekadar
melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang selayaknya sebagai manusia
bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama (hifz al-din) harus
dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan ajaran-ajarannya di
segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz al-`aql) harus
dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat yang
cerdas dan enlightened.
Objektif memelihara harta (hifz
al-mal) harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan
pengawalan kekayaan negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk
penyelewengan. Objektif memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus
dilaksanakan dalam pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik
dengan sempurna.
Sistem Dua Parti
Yang harus menjadi perhitungan
utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih baik untuk rakyat.
Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi oleh parti alternatif
yang kuat, a formidable force yang sewaktu-waktu boleh menggantikannya
sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan politik yang seimbang adalah penting
untuk memacu persaingan memberikan khidmat yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa
saingan dan tandingan yang bererti, parti yang berkuasa akan berasa terlalu
selesa dan seterusnya akan mengalami penurunan komitmen dalam memberikan khidmat
yang lebih baik. Keadaan seperti itu akan menumbuhkan sikap taken for granted,
“sudahnya rakyat akan memilih kita juga, kerana tidak ada alternatif.”.
Dengan kata lain, dalam konteks
masa kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya
persaingan yang real dan bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang
lebih baik dalam politik yang memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan
dari semasa ke semasa.
Politik Baru dan
Tahaluf Siyasiy
Setelah lebih setengah abad
merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan menerokai
politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit
tidak lagi dapat dipertahankan
dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme
keadilan dan kebersamaan.
Tahaluf siyasiy (pakatan politik)
Muslim-bukan Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang
wajar diberi ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan
nilai-nilai luhur yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat
bermulanya politik pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat
pilihan tidak lagi berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan
kebebasan, maruah dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang
lebih baik.
Dalam masyarakat majmuk seperti
Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui sebagai realiti yang
diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik.
Umat Islam yang semakin terdedah
kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin bersikap terbuka dan
bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan Muslim. Ternyata
antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman yang lebih
mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya.
Sikap mejauhi golongan bukan
Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah berubah setelah memahami
hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan) yang luas, meliputi persaudaraan
seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan setanahair dan persaudaraan
kemanusiaan sejagat.
Al-Qur’an tidak hanya menyebut
persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara)
– al-Hujurat:10, tetapi menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat
pengkisahan tentang hubungan antara para anbiya’ dan mursalin (Nuh, Lut, Hud
dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing yang menolak dakwah, (tetap dalam
kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara, (…akhuhum Nuh…)
– al-Shu`ara’: 105, 106, (…akhuhum Lut…) -- al-Shu`ara’:
160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara’:124, dan ( …akhuhum
Salih ) --al-Shu`ara’:142. Kata akhuhum dalam ayat-ayat
tersebut bererti saudara.
Memang tidak semua orang bukan
Muslim itu musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat
setiakawan sehingga kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya.
Ketika Rasulullah s.`a.w. menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh
Quraysh di Shi`b Abi Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang
bukan Muslim, Hisham ibn `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman
yang ditimpakan ke atas saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar
larangan Quraysh demi simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan.
Setiap malam, setelah semua orang
tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa
oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah
sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam
ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70).
Tahaluf siyasiy dalam konteks
masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan membawa
kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil rakyat.
Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu
pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau
wilayah.
Wakil rakyat bukan amir, bukan
wazir dan bukan juga wali. Ia hanya mewakili sejumlah warga di kawasan
tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan rakyat yang diwakilinya, kalau
pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak melibatkan hukum-hakam agama yang
dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 1999: 194-195).
Seandainya pengangkatan mereka
sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan mereka sebagai menteri
sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun Islam dahulu pun,
para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah)
sebagai menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai
orang bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak
ada bantahan ulama terhadap mereka.
Memberikan kepercayaan dengan
tanggungjawab tertentu kepada orang bukan Islam yang memang boleh
dipercaya tidak perlu dipermasalahkan. Jika lelaki Muslim boleh
mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah, bukankah itu juga bererti
mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab keibuan kepada
orang bukan Islam?
Sebagai sesama warganegara, hak
dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim -- pada asasnya adalah sama.
Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma lana, wa `alayhim ma
`alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita dapat, dan mereka memikul
tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang tidak menghalang memberikan
pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan Muslim, andainya mereka tidak
memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan terhadap kaum Muslimin. Demikianlah
yang difirmankan oleh Allah:
Allah
tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang orang yang
tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung
halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.
Merujuk ayat tersebut al-Shaykh
Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap warga
bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang untuk mereka
menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999: 195).
Dengan semangat ayat tersebut
juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat baik dan berlaku adil terhadap
warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk saling mendukung dalam
kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru, menepati janji adalah
bahagian daripada tuntutan syara`.
Mengadakan tahaluf siyasiy dengan
golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar.
Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpatisipasi dalam Hilf
al-fudul, sebuah pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk
menghadang pencerobohan dan melindungi kaum mustad`afin.
Sesudah diangkat menjadi Rasul,
Junjungan s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan
terhadap pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda,“Andainya
sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti
itu lagi, nescaya aku akan menyahutnya”.
Dalam amalan demokrasi di negara
ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi pilihan
raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di parlimen. Kerana
itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga terkait dengan
pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung nasib rakyat dan
negara.
Rakyat tentunya menginginkan
negara ini dipimpin oleh tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan
sekadar tokoh selebriti politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi
dalam pilihan raya umum harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil
yang dapat menjadi saluran terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang
lebih menghampiri kualiti qawiyyun amin dan hafizun `alim.
Mekanisme
Pilihan Raya dan Budaya Politik
Untuk menjayakan demokrasi
elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih, cekap dan
berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan
pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin
bahawa yang naik adalah yang terbaik.
Dengan demikian kemenangan yang diraih
oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat.
Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang
bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang
menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.
Dalam kaitan ini kita harus
menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu mahal,
sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah soal
dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia akan
mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila
berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru,
moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.
Ketika ini wang seolah-olah sudah
menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!). Wanglah yang
menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti dan
akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya.
Dalam budaya politik korup
seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik,
jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut
peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam
bentuk projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang
akhirnya akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup.
Untuk melindungi kuasa yang korup
institisi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah yang
akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman, jabatan
peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi yang akan
terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat melindungi
korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam kelangsungan
kuasa yang korup.
Apabila politik sudah menjadi
sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan pemimpin
yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai pemimpin
yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai “pemimpin” tajaan
mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi, tetapi
realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli
politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The Silent
Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau
mengatakan,
Politicians
are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their
government as unable to deliver what they promie, obsessed with unimportant
issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded
notions of authority, and increasingly in the pockets of businesspeople. The
distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country
after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt
practices. (Hertz,
Noreena, 2003: 121)
Dalam budaya politik yang
dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan kaum berduit
harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin yang baik.
Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan.
Demokrasi seharusnya menjadi
pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan. Politik samseng adalah pengkhianatan
terhadap prinsip dan nilai demokrasi elektoral. Politik adu kekuatan fizikal
adalah amalan masyarakat yang tidak bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung
prisip dan nilai demokratik seharusnya mampu membina massa democrat yang
menghormati aturan main yang bersih dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan
demokrasi itu sendiri. Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai
demokrasi atau melukai warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin
memenangkan diri dan kelompok sendiri.
Rakyat yang setia kepada nilai
dan norma demokrasi harus tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik
mengancam, mengugut, manakut-nakutkan dan lain-lainnya.
Perjuangan menegakkan demokrasi
tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan pemberdayaan rakyat.
Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat memiliki kekuatan daya
fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi harus siap melawan
pembodohan dan pemiskinan.
Politik yang didukung golongan
yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka
warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya
yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang.
Memang survival penguasa yang zalim
selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat yang miskin
dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan peribadi dan habuan
jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas pertimbangan jangka panjang yang
bersifat public virtues, kebaikan bersama atau maslahah `amah.
Gerakan Islam
dan Misi Demokratisasi
Gerakan Islam yang setia pada
misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah, kezaliman,
penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus menggunakan hak
demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci melaksanakan amanat Nabi
s.`a.w., “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…”
Gerakan Islam tidak seharusnya
menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri diperalat untuk motif
sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah dan sekaligus
pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis.
Gerakan Islam juga turut memikul
tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus disedarkan bahawa
demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di pelajari, difahami
dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar pilihan raya,
yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan raya
asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien.
Rakyat perlu lebih kritis
terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih berwibawa, berintegriti dan
bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali dan adil. Rakyat perlu dididik
dengan budaya politik yang sihat menerusi semangat persaingan fa ‘stabiqu
‘l-khayrat, penegakan moral politik dan seterusnya penolakan terhadap
politik fitnah, politik wang dan politik curang.
*Teks ucapan di Konvensyen
Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan kebudayaan, Shah Alam, pada
9hb.Mac 2013