Sambungan daripada http://peminggirkota.blogspot.com/2013/01/pendidikan-negara-perspektif-mahasiswa.html
PENDIDIKAN DAN NEGARA
“Maka
segala punca sekalian jalan-jalan ini (mencari kemajuan), tidak syak lagi ialah
ilmu pengetahuan dan pelajaran. Di atas asas-asas inilah dibina bangunan-bangunan
yang lain dan daripada inilah diterbitkan persenjataan dan kelengkapan bagi
membantu jalan-jalan yang lain.”
(Za’ba,
Lembaga Melayu, 6 Jun 1917)
Setiap tamadun besar dunia pastinya menyedari tentang kedudukan
ilmu pengetahuan sebagai pra-syarat penting bagi pembangunan bangsa yang kuat
dan dihormati. Bangsa yang membina tamadun besar dan mampu bertahan lama ialah
bangsa yang menitikberatkan aspek keilmuwan dan memperkukuh institusi
kependidikannya.
Sejarah telah membuktikan, bangsa yang sekuat dan segagah manapun
akhirnya akan tunduk kepada kebudayaan dan tamadun yang lebih tinggi aspek
keilmuwannya. Sebagai contoh, Hulagu Khan dan gerombolan bangsa Mongol yang
pernah mengganas dan menakluk kerajaan-kerajaan Islam akhirnya tewas kepada
ketinggian ketamadunan Islam; mereka akhirnya memeluk Islam. Lihat betapa
besarnya pengaruh keilmuwan Yunani Kuno ke atas tamadun bangsa lain, walaupun
bangsa Yunani bukanlah sebuah bangsa yang besar dari segi bilangannya. Will
Durant, seorang sarjana dan sejarawan terkemuka menyatakan: “every issues
that agitates the world today was bruited about in ancient Athens...”
Professor Paul Kennedy (Universiti Yale, AS) melakukan analisa
kritis dalam bukunya yang bertajuk The Rise and Fall of the Great Powers:
Economic Change and Military Conflict from 1500 – 2000 meletakkan beberapa faktor penting kebangkitan
dan kejatuhan kuasa-kuasa besar seperti kerajaan Islam Mughal di India, Turki
Uthmaniyah, Dinasti Ming China, Jepun, Rusia dan negara-negara Eropah.
Dua faktor utama yang bersalingan dikemukan sebagai faktor akibat
kebangkitan kuasa-kuasa besar ini: 1) kewibawaan sistem dan perekonomian; 2)
kekuatan persenjataan. Walau bagaimanapun, kedua-dua faktor ini terbit daripada
sikap dan kecenderungan mereka terhadap ilmu pengetahuan.
Sekolah, institusi pendidikan, perpustakaan, pusat kajian dan makmal mula
dibangunkan dan rakyat diminta untuk mengikuti proses pembelajaran saamada
secara formal atau tidak formal. Pendidikan menjadi suatu yang sentral dalam
kehidupan masyarakat bertamadun dan budaya ilmu mula disuburkan. Perkembangan
ilmu pengetahuan, pengkajian dan kemahiran dilakukan melalui proses pendidikan.
Sehingga ke hari ini, setiap negara dunia akan dengan sebaik
mungkin memformulasi sistem pendidikan demi kepentingan negara masing-masing.
Pendidikan diinstitusikan, dasar-dasar dibentuk, sistem pendidikan yang khusus
dibina dan peruntukkan negara dikeluarkan bagi membiayai pembangunan
pendidikan. Dalam konteks Malaysia, Akta Pendidikan 1996
telah menggariskan tujuh perakuan utama yang mencerminkan aspirasi negara
tentang pendidikan.
I.
Pendidikan di Malaysia
Pada pandangan kami, segala
dasar dan praktik pendidikan harus ditunjangi oleh beberapa teras dalam
perakuan Akta Pendidikan 1996. Ketujuh-tujuh
perakuan tersebut dapat diungkaikan seperti berikut:
Perakuan
1: Ilmu ialah kuasa untuk membawa negara ke arah suatu tamadun dan kuasa untuk
keselamatan negara-bangsa dan kedaulatan kerajaan. Tanpa ilmu manusia hidup
tanpa tamadun, tanpa adat, tanpa kemanusiaan, dan tanpa kemajuan,
Perakuan
2: Matlamat sistem pendidikan ialah pembinaan masyarakat yang berilmu,
berakhlak mulia, berkemahiran, dan berdaya saing dalam arus kemajuan dan
globalisasi yang berterakan perkembangan sains, teknologi dan maklumat.
Perakuan
3: Peranan sistem pendidikan ialah mencapai hasrat Wawasan 2020, iaitu membina
negara bangsa yang demokratik, adil, liberal, bersatu padu, dan dinamik, serta
maju pula dari segi ekonomi, sosial, politik, seni budaya, moral dan etika.
Perakuan
4: Misi negara iaitu membentuk suatu sistem pendidikan yang berkualiti tinggi
dan bertaraf dunia. Di samping itu, sistem pendidikan berjaya mengembangkan
potensi dan kebolehan individu rakyat agar mampu mencapai aspirasi negara dalam
berbagai-bagai bidang kehidupan.
Perakuan
5: Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan asas landasan falsafah pendidikan
bagi negara. Falsafah pendidikan ialah melahirkan insan yang seimbang dalam
semua aspek lembaga diri khususnya pada aspek intelek, rohani, emosi dan
jasmani. Insan yang seimbang ini pula berdedikasi menyumbang tenaga, pemikiran
dan kemahiran dalam pembinaan masyarakat sejahtera. Falsafah ini memfokus
kepada pembangunan manusia untuk kemanusiaan.
Perakuan
6: Dasar pendidikan kebangsaan
memaktubkan bahawa sistem pendidikan Negara menggunakan Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama, kurikulum nasional yang piawai
dan seragam, kurikulum komprehensif dengan aneka matapelajaran, dan peperiksaan
awam untuk sekolah yang piawai dan seragam. Sistem pendidikan menjadi media
untuk membentuk integasi nasional, untuk pembangunan negara, dan untuk
pembentukan warganegara yang mendokong hasrat Rukun Negara.
Perakuan
7: Sistem pendidikan, bukan sahaja proses pengajaran-pembelajaran, wajar member
perhatian kepada aspek kos-faedah agar operasi dan pembangunan sistem
pendidikan tidak membebankan kewangan negara. Juga, pendidikan wajar bersifat
demokratik, iaitu pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan kerajaan wajar
lentur terhadap kehendak ibu bapa pelajar yang berbagai-bagai kaum, adat resam,
agama, dan wawasan.
Tujuh perakuan ini sebenarnya menggambarkan citra kependidikan negara
yang termanifestasi dalam beberapa dasar-dasar penting berkaitan pendidikan
yang telah dilaksanakan sehingga kini. Perlu kami nyatakan apresiasi kami
terhadap usaha kerajaan dalam membangunkan pendidikan dalam negara. Usaha-usaha
reformasi pendidikan seperti strategi nilai murni merentas kurikulum,
kesepaduan antara ilmu kemahiran dan ilmu nilai, kesepaduan antara kurikulum
dengan ko-kurikulum, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan beberapa
lagi strategi yang baik dan memberi impak walaupun mempunyai
kelemahan-kelemahan tertentu.
Malangnya, segala
perakuan ini mungkin hanya tinggal dokumen lama yang dilupakan. Mungkin hari
ini, kuantiti pelajar yang lulus dari IPT meningkat berbanding tahun-tahun
dahulu, tetapi apakah itu dapat menjadi kriteria utama mengukur keberkesanan
sistem pendidikan negara? Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang termaktub
dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan
di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.
Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi
pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi
dalam undang-undang negara. FPK yang mendefinisikan pendidikan sebagai usaha
berterusan memperkembang potensi individu harus difungsikan sepenuhnya dalam
dasar dan pengalaman pendidikan di Malaysia. Tetapi mengapa, ada “bahan
buangan” dalam sistem pendidikan berteraskan falsafah yang murni ini?
Bagi kami, pendidikan seharusnya memainkan peranannya sebagai
proses keadilan: menyantuni ‘orang yang pandai’ dan ‘orang yang tidak pandai’. Pelajar
yang pandai dinilai dengan grednya. Pelajar yang mendapat gred rendah akan
dianggap tidak pandai dan selalunya disisihkan. Hanya pelajar ‘pandai’ bergred
tinggi sahaja yang layak melanjutkan pelajaran manakala pelajar ‘tidak pandai’
yang bergred rendah tidak layak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi. Sedangkan, kebolehan dan potensi manusia bukan semata-mata boleh
“menjawab peperiksaan dengan baik dan mendapatkan gred yang tinggi”. Jelas, ini suatu penyimpangan sistem
pendidikan negara daripada falsafah pendidikan yang telah ditetapkan.
II. Nilai Ilmu Dalam Citra Kemalaysiaan dan Perpaduan Nasional
Usaha mencipta kecemerlangan wajar bermula dengan mengenal potensi
diri, menemukan nilai-nilai dasar yang menerasi watak dan budayanya. Dalam
konteks Malaysia, antara nilai-nilai tradisinya yang terpenting ialah nilai
ilmu. Nilai ilmu ini pada hakikatnya terkait erat dengan citra kebudayaan
rantau ini yang terpamer pada bahasa, persuratan dan kebudayaan Melayu Islam
serta kesepakatan kontrak sosial yang tolerans antara kaum dalam menciptakan
sistem pendidikan yang bercitra keMalaysiaan yang mampu membina perpaduan
nasional dan akhirnya mampu menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran
individu, kelurga, masyarakat dan umat manusia sejagat.
Amat menyedihkan, pada saat keghairahan mengejar status negara maju
dengan segala macam agenda transformasi cuba dilaksanakan, pendidikan
seolah-olah dianaktirikan. Saharusnya, dasar pendidikan menjadi asas kepada
dasar pembangunan negara. Namun, dewasa ini, hakikat yang tidak ternafi ialah
pendidikan dipandu oleh keghairahan ekonomi, pembangunan dan kemajuan lahiriah.
Justeru, merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, disarankan agar Kerajaan Malaysia
kembali sedar dan insaf bahawa ‘ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan
negara dan penyelamat bangsa’.
Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di
sebalik persoalan halatuju pendidikan negara, kami ingin mengemukakan
cadangan-cadangan umum seperti berikut:
1. Untuk mempastikan
pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan
manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu
difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses
pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih
bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan
dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan,
keseimbangan dan keharmonian.
2. Untuk mengembalikan
pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah ‘pendidikan’ harus
digunakan semula menggantikan istilah ‘pelajaran’ yang dipakai sekarang.
Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih
tepat dari segi erti, isi dan substancenya.
3. Pendidikan sebagai
proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh
diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak
cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan
dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya.
Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar
kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu
ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan
penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan
interaksi guru-murid.
4. Untuk meningkatkan
keberkesanan pendidikan dan penghayatan bahasa dan kebudayaan, pengajaran
Bahasa Melayu harus dirancakkan dengan penerapan nilai ilmu dan kebudayaan.
Kreativiti dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah amat diperlukan dengan
mengoptimumkan penggunaan teknologi dan pengoperasian makmal bahasa di sekolah
masing-masing.
5. Antara yang sangat
memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem
persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan
pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan hikmah kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan
agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan
jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran
subjek pendidikan Islam.
6. Kerajaan harus
tegas dengan pendirian, dasar-dasar utama dan persepakatan tentang Bahasa
Melayu dan teras sistem persekolah Kebangsaan. Segala tuntutan dan cadangan
yang menyalahi persepakatan ini adalah wajar untuk tidak dilayan.
7. Untuk
penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana dan sistem persekolahan
kebangsaan, mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai
eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO,
termasuk sistem persekolahan swasta yang berasaskan agama, menggunakan
pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan
sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada
persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.
III. Pelan Pembangunan Pendidikan Negara: Mana Halatuju Pendidikan?
Melepasi alaf baharu, atas kesedaran cabaran globalisasi dan arus
liberalisasi yang mempengaruhi dunia global, Pelan Pembangunan Pendidikan
(2001-2010) dirangka berdasarkan empat anjakan: (1) meningkatkan akses kepada
pendidikan; (2) meningkatkan ekuiti dalam pendidikan; (3) meningkatkan kualiti
pendidikan; dan (4) meningkatkan tahap kompetensi dan kecekapan pengurusan
pendidikan.
Pada tahun 2006 pula, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) pula diperkenalkan
bagi memperinci agenda pendidikan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Pelan ini
pula menggariskan enam teras iaitu (1) membina negara bangsa; (2) membangunkan
modal insan; (3) memperkasa sekolah kebangsaan; (4) merapatkan jurang pendidikan;
(5) memartabatkan profesion perguruan; dan (6) melonjakkan kecemerlangan
institusi pendidikan.
Pada tahun 2010 pula, kerajaan melancarkan Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Empat
inisiatif diberikan tumpuan bagi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti:
(1) Meningkat enrolmen prasekolah; (2) memastikan literasi Bahasa Malaysia dan
numerasi; (3) membangun sekolah berprestasi tinggi; dan (4) memperkenalkan
Bai’ah untuk pemimpin sekolah. Hasil laporan terkini setelah dua tahun NKRA
diperkenalkan menunjukkan tanda positif dengan “keputusan memberangsangkan
dalam peningkatan akses”. Akan tetapi, keputusan yang sebaliknya diperoleh
dalam kajian-kajian univeriti tempatan terhadap aspek sistem dan amalan
pendidikan negara.
Pada tahun 2008, Malaysia berada pada kedudukan ke-16 dunia dalam
senarai negara dengan perbelanjaan tertinggi dalam pendidikan. Profil
pendidikan Malaysia seperti pada Jun 2011 menunjukkan perbelanjaan untuk
pendidikan mencecah RM 37 billion iaitu 16% daripada jumlah bajet persekutuan
2011. Ini tidak termasuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan,
juga tidak termasuk tambahan RM 12 billion yang diperuntukkan kepada
Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi lain yang menyediakan perkhidmatan
berasaskan pendidikan.
Perbelanjaan yang tinggi ini walau bagaimanapun tidak mampu melonjak tahap
pendidikan ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan sama ada dari sudut
prestasi akademik pelajar, mahupun dari aspek pembentukan sahsiah serta
pembinaan negara bangsa.
Pada September 2012 pula, dibentangkan Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Pelan kali ini dikatakan lebih
komprehensif dengan pengilibatan yang lebih menyeluruh daripada para ‘pemegang
taruh’ (stakeholders) yang terbabit dalam pendidikan. Kajian dijalankan
oleh pelbagai pihak termasuk World Bank, United Nations Educational,
Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Organization for Economic
Cooperation and Development (OECD), dan kajian oleh enam universiti
tempatan serta penglibatan ahli masyarakat termasuk guru, ibu bapa, pertubuhan
sivil dan orang awam yang dijalankan dalam siri Dialog Nasional Pendidikan
Negara seluruh Malaysia.
Pelan ini mensasarkan 11 anjakan untuk trasformasi sistem, seperti berikut:
1.
Menyediakan
kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa;
2.
Memastikan
setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris;
3.
Melahirkan
rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai;
4.
Transformasi
keguruan sebagai profesyen pilihan;
5.
Memastikan
kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah;
6.
Mengupayakan
JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan
keperluan;
7.
Memanfaatkan
ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran;
8.
Mentrasformasikan
keboleh-upayaan dan kapasiti penyampaian kementerian;
9.
Bekerjasama
dengan ibubapa, komuniti dan sector swasta secara meluas;
10.
Memaksimumkan
keberhasilan murid bagi setiap Ringgit
11.
Meningkatkan
ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.
IV. Beberapa Nota Penting: Tertinggal atau Sengaja Ditinggalkan?
Setelah meneliti laporan awal pelan ini, kami berpendapat bahawa
laporan awal ini dikarang dengan laras bahasa yang baik dan kandungannya
meliputi keseluruhan elemen dalam sistem pendidikan dengan pemetaan perancangan
untuk menggerakkan pelan tersebut. Namun begitu, terdapat keraguan dan
kegusaran dalam beberapa perkara khususnya apabila membabitkan aspek operasi
yang sebenarnya akan mencabuli Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi kepentingan
jangka masa pendek pihak tertentu. Antaranya ialah:
1.
Perlu
ada satu definisi yang jelas berkaitan ‘maju’, ini kerana sesebuah bangsa yang
maju seharusnya mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kemajuan. Dalam usaha
meningkatkan prestasi pendidikan mengikut piawai antarabangsa, perlu diteliti
mekanisme terbaik agar nilai-nilai budaya tidak terabai dan pelajar tidak
terbeban dengan segala macam program transformasi yang ditambah dalam sesi
pengajaran-pembelajaran tanpa sebarang pengurangan atau pengecualian dibuat pada
aspek yang lain.
2.
Sistem
pendidikan Negara yang sedia ada terlalu dipolitikkan serta di komersialkan
sehingga menggangu perkembangan sebenar anak-anak yang berada di dalam sistem.
Peneraju kepimpinan dalam sistem pendidikan negara seharusnya terdiri dari
mereka yang arif dalam bidang tersebut. sebarang tindakan berkaitan pendidikan
yang melibatkan kepentingan awam tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru.
Program ‘kalut’ yang diperkenalkan seperti ‘program sempoa’, ‘PPSMI’, ‘program
berfikir I-Think’, ‘Sekolah Bestari’, ‘program khas pendidikan jasmani’ dan banak
lagi harus dielakkan. Program-program seperti ini pastinya memerlukan
perbelanjaan besar apabila ia melibatkan penyediaan instrument, alat bantu
mengajar dan kemasukan kepakaran dari luar, tetapi impaknya yang sangat minima
dan selepas beberapa tahun terhenti seterusnya senyap tanpa khabar berita.
3.
Fenomena
Sekolah Antarabangsa yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat
serta di berikan ruang yang seluas-luasnya oleh kerajaan bukan sahaja akan
membina jurang antara yang kaya dan miskin tetapi ia juga membawa kepada suatu
sistem nilai yang lari dari budaya serta adat masyarakat Timur amnya dan
masyarakat Malaysia khasnya disebabkan pendidikan di sini bebas daripada
kurikulum kebangsaan.
4.
Penubuhan
sekolah-sekolah khas bagi pelajar cemerlang seperti Sekolah Berasrama Penuh
(SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) perlu kembali kepada asas
penubuhannya bagi membantu kelompok yang berpotensi tetapi kurang berkemampuan.
Pada masa yang sama, idealisme kemasyarakatan dan kepedulian sosial harus
diterapkan dalam sistem persekolahan seperti ini bagi mengelakkan kemunculan
kelompok kapitalis baharu yang tidak sedar diri. Sebarang cadangan untuk
menghantar pelajar-pelajar pintar yang kurang berkeupayaan ke sekolah
anarabangsa dan swasta adalah suatu cadangan yang mengarut dan kontradik
seperti yang berlaku dalam Anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(2013-2025). Ini sebenarnya usaha menciptakan kelompok elitis baharu yang tidak
dipandu dengan nilai-nilai kebudayaan negara kerana sekolah antarabangsa dan
swasta tidak tertakluk dalam pelaksanaan kurikulum nasional.
5.
Kualiti
guru tidak seharusnya dikompromi samada dari aspek kepimpinan mahupun ilmu yang
mereka miliki. Berdasarkan kajian, 45% guru tidak ada persediaan menjadi
pemimpin institui persekolahan. Seharusnya guru perlu ada ‘prophetic
qualities’ dimana guru harus bertindak sebagai ‘Human transformer &
Culture builder’. Selain itu, peranan guru perlu diketengahkan berbanding
teknologi kerana guru merupakan manusia yang mampu melakukan proses penyaluran
kasih-sayang dalam pendidikan; sedangkan teknologi tidak.
6. Sekolah
Agama Rakyat (SAR) perlu terus diperjuangkan dan dipertegaskan akan kepentingan
kewujudannya. Sekolah Agama Rakyat tidak seharusnya diambil-alih oleh kerajaan.
Rata-rata SAR menjalankan kurikulum kebangsaan dalam sistem pendidikan mereka.
SAR harus dibantu dan dimartabatkan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap
usaha rakyat. Sebenarnya SAR merupakan lambang partisipasi rakyat sebagai
pemegang-taruh (stakeholders) dalam pendidikan negara.
7.
Mewujudkan
“semua sekolah di bawah satu bumbung”. Kebanyakkan sekolah swasta dan
persendirian tidak mahu bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia kerana
kecurigaan mereka terhadap pengambil-alihan oleh kementerian. Sejak sebelum
merdeka hingga kini terdapat puluhan sekolah cina yang bebas. Mereka bernaung
di bawah pertubuhan kebudayaan cina dan lantang menuntut hak mereka. Nasib
buruk menimpa SAR yang tidak berkemampuan yang akhirnya diambil-alih oleh
kerajaan dan seterusnya memudarkan aspirasi sebenar penubuhan sekolah. Kami
bersetuju untuk semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, swasta,
antarabangsa, dan persendirian berada di bawah satu bumbung tetapi dengan
besyarat. Persetujuan kami ini adalah kerana memikirkan betapa pentingnya
kurikulum kebangsaan yang mempunyai nilai-nilai kebudayaan dan keMalaysiaan ini
diterapkan kepada para pelajar bagi membentuk peribadi individu dan warganegara
yang baik.
8. Sistem
Pendidikan menyeluruh atau bersepadu seperti yang diketengahkan oleh NGO-NGO
yang berkaitan perlu dijadikan contoh. Kandungan pendidikan komprehensif dan
bersepadu dengan penerapan nilai-nilai agama seharusnya mampu membina kerangka
pemikiran yang membina watak bangsa.
9.
Pendidikan
kreatif serta analitikal seharusnya berlandaskan perspektif Islam yang membawa
kepada Allah seharusnya dibezakan daripada kebebasan berekspresi. Cadangan
pelan ini untuk mewujudkan kurikulum yang membangunkan daya fikir pelajar
dengan penumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) perlu diteliti
dengan baik. Kami menyokong usaha HOTS, cuma jangan sampai ianya menjadi suatu
lagi subjek terstruktur yang kaku aplikasi. Kurikulum sekolah seharusnya
dilakukan penilaian agar ianya bersepadu dan tidak berlaku kesesakan kepada
konten yang seharusnya diterimapakai oleh pelajar sekolah.
10.
Peningkatan
kualiti sekolah seperti stuktur asas setiap sekolah tidak boleh dikompromi
begitu juga sistem sokongan kepada guru. Pada masa yang sama, bantuan secara
per-kapita harus dinilai semula. Sesetengah sekolah yang tidak berkeupayaan
sepatutnya diberikan bantuan mengikut keperluan.
11.
Dalam
laporan ini, peranan konsultan antarabangsa McKinsey and Company tidak
dinyatakan. Malah, beberapa cadangan penting daripada panel yang mengendalikan
dialog nasional pendidikan dan siri persidangan meja bulat di bawah pimpinan
Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin tidak dimasukkan. Justeru, ia mendatangkan andaian
apakah sebenarnya pelan ini merupakan template yang disediakan oleh
McKinsey and Company yang dijaja kepada negara-negara seluruh dunia? dan usaha
kajian serta pungutan pandangan yang dilakukan sekadar untuk mengaburi mata
rakyat Malaysia? Walau apapun, ini masih sekadar andaian.
12.
Kemungkinan
ada untuk kita membangun sistem pendidikan yang baik dari sudut pengamalan,
prestasi dan keberhasilan material, tetapi bagaimana dengan pembangunan
spiritual, emosi serta penguasaan dan pengembangan ilmu? Ada fasiliti, ada
kemudahan, ada pelan; tetapi tiada ‘budaya’. Kita perlu mencipta budaya ilmu
dalam masyarakat Malaysia keseluruhannya. budaya ilmu yang dimaksudkan ialah
seperti yang dikonsepsikan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud
sebagai:
a.
Kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan
diri baik secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan keilmuwan bagi
setiap kesempatan
b.
Kewujudan
suatu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi
di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu
pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura.
c.
Budaya
yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci
segala kebaikan dan keutamaan lainnya yang dicari dan dikembangkan pada setiap
masa dan setiap tempat.
KESIMPULAN
Pendidikan bukan suatu komoditi, bukan hakmilik industri, bukan
proses indoktrinasi, bukan ruang politisasi, bukan untuk dikomersialkan. Makna
pendidikan yang sebenar harus difahami, dan nilai pendidikan harus dikembalikan
dalam pengamalan pendidikan negara. Malaysia mempunyai potensi besar untuk maju
dalam bidang pendidikan, yang dengan kemajuan ini akan melonjak kemakmuran
negara dari segi kebahagian negara dan rakyat keharmonian kaum, kemajuan
ekonomi, kehidupan sosial yang baik, dan kestabilan politik dalaman. Peranan
pendidikan yang besar tidak sewajarnya disempitkan hanya kepada kepentingan
material yang berjangka masa pendek. Keadaan ini hanya meranapkan keseluruhan
institusi kemasyarakatan seperti yang terungkap dalam puisi nukilan Prof Wan
Mohd Nor Wan Daud:
Jika ibu bapa
hanya pintar
melahirkan anak
Jika pelajar
hanya mahu lulus periksa
dan cari kerja
Jika guru,
pensyarah kehilangan arah,
ilmu terpaku di dada
ijazah
Jika peniaga
bermain politik dan bertuhankan laba
dan ahli politik memperniaga segala prinsip dan akhlak
jika
cendekiawan cuma mengikut
dan membuat komen,
Adam akan
menyesal
dan iblis berkenduri besar.
Khamis, 01 Muharram 1434 H/ 15 November 2012
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM Pusat, Lot 2965, Jln Kg. Tengah 7,
Kg Tengah, Batu 6 ½, Jln Gombak 53100, Kuala Lumpur