Ulasan Sesi Worldview of Islam Intellectual Discourse Series (WISE) Sem 2 (2011)
Modul : 7 - Masalah Luaran Kaum Muslimin & Cabaran Kebudayaan Barat)
Penyampai : Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
Tarikh / Masa : 7 & 14 Mei 2011 / 9.00 pagi – 1.00 tghri
Tempat : Institut Integriti Malaysia (IIM)
Pengulas : Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
“...mereka sedang mengekori hawa-nafsu kebudayaan Barat! Mereka membayangi Kebudayaan Barat dalam cara berfikir, dalam sikap beragama, dalam memahami nilai-nilai kebudayaan dan mengelirukan faham serta tujuan ilmu. Kepada kebudayaan Baratkah akan kita berlindung, akan kita memohon pertolongan, yang akan mencegah tindak-balasan Allah kelak? Waspadalah saudaraku Muslimin sekalian!”
(Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah untuk Kaum Muslimin, halaman 18.)
Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (Al-Attas), kegentingan yang melanda umat Islam (Kaum Muslimin) dewasa ini bertitik tolak daripada dua bentuk cabaran utama yang saling berkait; (1) cabaran dalaman (masalah kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab)[1], dan (2) cabaran luaran (cabaran kebudayaan Barat)[2]. Serangan-serangan pemikiran Barat terhadap kaum Muslimin menampakkan hasil ekoran kerancuan yang berlaku dalam masyarakat kaum muslimin yang menjerumuskan mereka ke dalam kancah kekeliruan dan kecelaruan pemikiran dan tindakan. Justeru, Dr. Farid Shahran dalam mukaddimah syarahannya cuba memandu perbincangan mencari akar permasalahan sebagai langkah mula penyelesaian masalah umat, lewat katanya “mencari sebab (punca) merupakan sebahagian daripada penyelesaian”.
Dalam modul ketujuh ini, perbincangan difokuskan kepada bentuk cabaran kedua yang mendatangi Kaum Muslimin iaitu cabaran Kebudayaan Barat. Seperti yang telah disinggung sebelum ini, punca kepada masalah itu perlu dikenali terlebih dahulu sebagai pra-syarat kepada penyelesaiannya. Walau bagaimanapun, usaha mencari punca atau akar permasalahan perlu dilakukan dengan teliti, supaya tindakan penyelesaiannya tuntas dan efektif, memetik pesan Dr. Farid dalam syarahannya, “wrong diagnosis will lead to a wrong prescription”.
Walaupun sesi ini memfokus pada cabaran kebudayaan Barat, Dr. Farid dalam mukadimah beliau turut menerangkan serba sedikit akan bentuk cabaran pertama yang melanda kaum Muslimin iaitu kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab. Kekeliruan ilmu merupakan penyebab kejatuhan maruah dan kehilangan iman dalam diri masyarakat Islam. Disebabkan masalah ini, masyarakat Islam yang diibaratkan oleh al-Attas sebagai ‘cermin bidal tamsil’ agama Islam, telah menayangkan hakikat zahir Islam yang kotor dan berdebu justeru gagal menggambarkan hakikat batin agama Islam yang sebenar.[3]
Faktor dalaman umat Islam dapat dirumuskan sebagai ‘keruntuhan adab’ (the lost of Adab) yang berlaku dalam pelbagai peringkat termasuk dalam diri manusia itu sendiri.[4] Makna ‘adab’ di sini dihuraikan sebagai ‘pengenalan dan pengakuan adanya tempat yang wajar bagi sesuatu’. Apabila adab telah runtuh, maka berlakulah kecelaruan dan permasalahan berterusan dalam diri dan masyarakat islam dengan wujudnya pemimpin palsu dalam setiap bidang kehidupan yang akhirnya mempengaruhi orang-orang yang dipimpinnya.
Al-Attas meringkaskan masalah ini melalui rumusan berikut: (1) kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu (masalah epistemologi), dan keadaan ini membawa akibat (2) keruntuhan adab dalam kalangan masyarakat Islam. Sementara keadaan (1) dan (2) telah menjelmakan natijah (3) kemunculan pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah, dan yang tiada memadai taraf kepimpinan yang dikehendaki oleh Islam. Pemimpin yang sedemikian mengekalkan terjadinya perkara (1) dan (2) dan menjamin berlakunya terus pengeluaran dan penempatan pemimpin sepertinya. [5] Beliau (al-Attas) mengenalpasti tiga golongan (dalam bidang ilmu khususnya) sebagai penyumbang kepada keruntuhan adab dalam masyarakat Islam iaitu golongan modenis, kelompok pembaharu aliran nakali dan golongan sekular.
Meneruskan perbincangan, ‘Mengapa bercakap tentang Tamadun Barat’? ataupun ‘Mengapa Tamadun Barat itu menjadi cabaran dan masalah kepada Kaum Muslimin?’. Menjawab persoalan-persoalan ini, Dr. Farid Shahran menyenaraikan beberapa perkara pokok dalam perbahasan cabaran Kebudayaan Barat yang terangkum dalam soalan berikut:
(1) Apakah itu Kebudayaan Barat?
(2) Apakah unsur-unsur yang mendominasi Kebudayaan Barat ini yang sebenarnya mencabar pandangan alam Islam dan tindakan Umat Islam sebagai respon terhadap cabaran ini?
(1) Apakah itu Kebudayaan Barat?
Kebudayaan yang dimaksudkan di sini secara umumnya membawa maksud katamadunan. Manakala ‘Barat’ yang dimaksudkan di sini bukanlah semata merujuk kepada Jihah (arah) atau geografi tetapi ideologi dan pandangan alam yang terkendong dalam Kebudayaan atau tamadun Barat itu. Sedar atau tidak, tamadun besar yang muncul dalam sejarah ketamadunan dunia pasti akan merebak, mendominasi dan menjadi kiblat kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Dakwaan ini terbukti benar sebagaimana yang telah berlaku dalam Tamadun Islam pada zaman kegemilangannya yang menjadi kiblat ilmu dan budaya manusia seantero dunia.
Apatah lagi dalam zaman di mana kebudayaan Barat mendominasi dunia dan menjadi kiblat kepada manusia zaman ini, dengan sifatnya yang angkuh dan memaksa manusia lain menganut fahaman mereka sebagaimana terumus dalam nukilan Siddiq Fadzil:
“Seperti yang disebut oleh Francis Fukuyama, tamadun Barat telah mencapai puncak kesempurnaannya pada sistem liberal-demokratik-kapitalistik. Menurut penilaiannya tamadun tersebut dapat memberikan segala keperluan manusia sejagat dan dengan demikian berakhirlah proses pencarian ideologi dan sistem hidup yang muktamad. Atas asas itu ia adalah tamadun yang universal dan manusia Barat adalah manusia universal, jelmaan terakhir manusia yang telah mencapai puncak kesempurnaan. Rasa unggul diri dan optimisme Fukuyama yang sebenarnya sangat simplistik dan kontroversial itulah yang dijadikan salah satu asas pewajaran globalisasi tamadun Barat, hegemoni dan dominasi Amerika.”[6]
Kenyataan Siddiq Fadzil ini dikuatkan lagi dengan ungkapan al-Attas ketika membicarakan sikap manusia barat dan Tamadunnya:
“manusia Barat senantiasa berkecenderungan menganggap budaya dan tamadunnya sebagai pelopor kebudayaan insan; serta pengalaman dan kesedarannya sebagai yang paling mithali dan termaju. Kerana itulah, semua kita yang lain ini, kononnya secara amali sentiasalah ketinggalan di belakang mereka. Dan konon kelaknya nanti, apabila tiba masanya, kita juga bakal menyedari dan mencapai pengalaman dan kesedaran yang sama. Dengan sikap inilah manusia Barat –yang mempercayai anggapan aneh mereka sendiri tentang evolusi manusia – sentiasa menanggapi sejarah, pembangunan, dan agama serta pengalaman dan kesedaran keagamaan.”[7]
(2) Apakah unsur-unsur yang mendominasi Kebudayaan Barat ini yang sebenarnya mencabar pandangan alam Islam?
Kebudayaan Barat sebenarnya merupakan adunan unsur-unsur kebudayaan yang rencam dan pelbagai yang bercampur-baur daripada kelompok-kelompok bangsa Barat dan Eropah yang muncul dalam sejarah peradaban mereka. Dalam kata lain, Pandangan alam Barat terbentuk dari hasil himpunan pelbagai benda dan perkara, nilai, dan penjelmaan kebudayaan yang disepadukan, memetik kata al-Attas,
“Kesepaduan hasil himpunan pelbagai benda ini adalah kesepaduan yang dibuat-buat, tidak ada keaslian, tidak seia sifat bawaan semula jadinya (fitrah) dan oleh sebab itu kesepaduan seperti itu yang menayangkan suatu pandangan alam mesti wajib menempuh perubahan melalui perubahan zaman”.[8]
Pandangan alam Barat juga terbentuk dengan beransur-ansur menepati perkembangan sejarah atau gerak daya falsafah mahupun penemuan ilmu sains yang kesemuanya ini bersifat berubah-ubah mengikut peredaran masa menerusi dialectical iaitu satu seni menilai kebenaran sesuatu teori atau pendapat secara perdebatan dan perbincangan. Lazimnya, dialectical membicarakan tiga keadaan utama; thesis, antithesis, synthesis yang saling berkait dan melalui proses pusingan sejarah (historical cycle proses). Thesis adalah keadaan asal atau permulaan sesuatu. Dengan timbulnya persoalan tertentu yang berlawanan dan menggugat keadaan asal sesuatu itu (thesis), maka keaadaan kedua ini digelar antithesis. Keadaan yang terakhir iaitu synthesis muncul apabila keadaan asal (thesis) dan keadaan kedua (antithesis) digabungkan dengan sebati sehingga melampaui batas kedua-duanya. Antithesis tadi akan kemudiannya menjadi sebuah thesis yang baharu dan digugat oleh antithesis yang lain seterusnya bergabung membentuk synthesis yang baharu.
Pengalaman dan falsafah kebudayaan Barat yang rancam dan rancu bercampur baur antara warisan keagamaan judeo-kristian yang ditahrifkan (diubahsuai) dan falsafah bangsa-bangsa Eropah seperti Yunani Kuno[9], Romawi[10], Jerman, Inggeris dan Perancis.[11] Justeru, asas dan teras sebenar kebudayaan Barat kini adalah falsafah dan agama secara jelas dibelakangkan.
Malah, selepas abad pertengahan di Eropah, unsur-unsur yang mendominasi kebudayaan Barat ialah unsur-unsur sekular yang didasari oleh tiga fahaman penting iaitu ‘humanisme’, ‘dualism’, dan ‘tragik’. ‘Humanisme’ meletakkan keistimewaan manusia dan kebendaan semata-mata sementara ‘dualisme’ menduakan hakikat sesuatu termasuk nilai kebenaran, dan ‘tragik’ merupakan pencarian makna hidup yang tidak tercapai dan penerimaan pengalaman kesengsaraan hidup sebagai satu kepercayaan yang mutlak.[12] Unsur-unsur ini telah melahirkan pelbagai fahaman sekular yang lain seperti penekanan terhadap sangkaan dan syak (doubtness) dalam dalam bidang ilmu pengetahuan, penekanan berlebihan terhadap kenegaraan (nasionalisme), penekanan ekstrem terhadap faham perubahan (change and reform), pembangunan (development) dan kemajuan (advancement) yang tidak berkesudahan.
Menariknya, dalam mengupas peranan falsafah dalam kebudayaan Barat, Dr. Farid telah mencuit perhatian dengan menyinggung ringkas beberapa idea besar para pemikir Yunani seperti Plato dan Aristotle. Sememangnya, peranan dan keunggulan para failasuf dari Tamadun Yunani Kuno ini tak dapat kita nafikan sebagaimana yang di ungkapkan oleh Alfred North Whitehead, “the safest general characterization of the European philosophical tradition is that it consists of a series of footnotes to Plato…”.
Dr. Farid juga menerangkan serba sedikit tentang konsep kemutlakan ‘Idea’ (Theory of Forms) yang digagaskan dalam karya Plato, “Republic”. Katanya, menurut Plato, segala yang wujud dan ditanggap oleh indera manusiawi sebenarnya tidak hakiki (real) kerana berbilang-bilang dan berubah-ubah. Yang hakiki sebenarnya berada dalam alam ‘Idea’. Dalam kata lain, Plato berkeyakinan bahawa alam Idea yang ideal merupakan hakikat mutlak (absolute reality), bukan alam inderawi (external world).
Dr. Farid menjelaskan konsep ini dengan memberi contoh analogi kereta: Kereta itu pelbagai jenis; ada Proton Saga, Produa dan lain-lain. Sekiranya kita mengajar anak kecil untuk mengenal tiga jenis kereta yang dia nampak – itu kereta kancil, itu kereta proton saga, itu kereta Waja – kemudian datang kereta yang keempat yang kita tidak ajarkan kepadanya, dia akan dapat mengenali bahawa kereta keempat itu ialah sejenis kereta. Ini kerana, menurut Plato, idea tentang sesuatu (dalam kes ini kereta - (‘carness’ / kekeretaan)) itu mutlak dan ada pada semua manusia yang membuatkan kita mampu membezakan dan merefleksikan kereta-kereta di sekeliling kita. Maksudnya, dalam akal kita punya idea tentang kereta, hanya ada satu kereta yang ideal dan itulah realiti yang mutlak. Dr. Farid juga ada menceritakan tentang Allegory of the Cave – anologi yang dicipta Plato bagi memudahkan penjelasannya berhubung Theory of Forms.
Menyentuh tentang sumbangan Aristotle, Dr. Farid memperkenalkan para pelajar dengan logik ala-Aristotle. Dengan merujuk kepada tulisan Ibn Sina yang banyak menterjemahkan karya Aristotle, Dr. Farid menyatakan bahawa logik, sebagai satu seni dan cara berfikir dengan betul, mempunyai dua komponen utama; (1) Tasawwurat (conception) dan (2) Tasdiqat (judgement). Komponen Tasawwurat (conception) adalah berkaitan dengan pendefinisian (definition) yang merangkum dua perkara iaitu jins (genus) dan fashl (differentia). Jins bermaksud jenis manakala fashl bermaksud pengkelasan. Manakala, aspek tasdiqat pula berkaitan dengan theory of inference atau lebih dikenali sebagai syllogism atau logik deduktif (deductive reasoning).
Meneruskan perbincangan, Dr. Farid menghuraikan cabaran paling besar yang didepani umat Islam kini (yang berkaitan dengan Kebudayaan Barat) ialah cabaran ilmu, dan kaum Muslimin sewajarnya bertindak dengan hikmah dalam menangani cabaran ini. Menurut al-Attas,
“I venture to maintain that the greatest challenge that has surreptitiously arisen in our age is the challenge of knowledge, indeed not as against ignorance; but knowledge as conceived and disseminated throughout the world by Western civilization; knowledge whose nature has become problematic because it has lost its true purpose due to being unjustly conceived, and it has brought about chaos in man’s life instead of, and rather than justice; knowledge which pretends to be real but which is productive of confusion and scepticism, which has elevated doubt and conjecture to the ‘scientific’ rank in methodology and which regards doubt as an eminently valid epistemological tool in the pursuit of truth; knowledge which has, for the first time in history, brought chaos to the Three Kingdoms of Nature; the animal, vegetal and mineral.”[13]
Jelas, epistemologi ilmu Barat yang merosakkan menjadi tentangan hebat kaum Muslimin apatah lagi dalam zaman ini di mana semua perkara termasuk ilmu harus berkiblatkan Barat. Oleh sebab itu, cendekiawan seperti al-Attas telah mengesyorkan sebuah kerangka pemahaman ilmu yang sebenar dan menganjurkan proses pengislaman ilmu-ilmu semasa yang melibatkan tahapan dewesternisasi dan Islamisasi.[14]
Kesimpulannya, Tamadun dan peradaban Barat sedang berkuasa dan mendominasi dunia pada waktu ini. Sifat budayanya yang memaksa masyarakat lain untuk menganut faham Barat berjalan melalui pelbagai kaedah. Meminjam kata Prof. Wan Mohd Nor, kita ini bukanlah menderita penyakit xenophobia ketika membicarakan tentang Tamadun Barat, tetapi bersikap tegas dan objektif terhadap anasir perosak ini. Jelas, masyarakat kaum Muslimin sudahpun merasai penderitaan penyakit berkaitan jiwa sehingga memaksa perlakuan yang sama sekali jauh daripada norma-norma ketimuran. Penyakit jiwa manusia ini telah mendorong pelbagai perilaku yang menyalahi norma kemanusiaan. Dua faktor utama masalah ini dikenal pasti, faktor dalam insan iaitu kehilangan adab dan ditambahburukkan oleh faktor luaran yakni cabaran kebudayaan Barat terutama cabaran ilmu.
Hakikatnya, pandangan alam Islam adalah sama sekali berbeza dan bertentangan dengan pandangan hidup Barat. Pandangan alam Islam adalah komprehensif dan integral dan menunjukkan manusia nilai-nilai Islam yang hakiki. Manakala pandangan hidup Barat bersifat rencam dan rancu sehingga menyebabkan masyarakat Barat hidup dalam penderitaan mencari makna diri. Psikologi jiwa manusia jelas menunjukkan hakikat kemanusiaan berdasarkan fitrah yang Tuhan ciptakan.
Hasil daripada sumber wahyu yang tulen dan terpelihara, intipati agama Islam tidak mengalami perubahan sebagaimana yang berlaku dalam agama-agama lain. Justeru, masyarakat Islam tidak sewajarnya terikut-ikut dan hanyut dibawa arus globalisasi dan semboyan perubahan dan kemajuan yang ditiup oleh Barat. Sebaliknya, sesuai dengan makna al-din yang antara lain membawa maksud ‘pengembalian kepada fitrah asal yang tunduk kepada Tuhan’, setiap tindakan dan pemikiran Muslim harus dilihat sebagai proses pengembalian diri (raj’) melalui penghambaan diri (‘ubudiyah) kepada Tuhan. Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan akhlaqiyah yang kekal dan berterusan kepada semua generasi umat Islam juga amat penting dalam menanggapi isu-isu yang dicanang oleh Barat seperti kebebasan, akhlak, krisis identiti, jurang generasi, perubahan dan kemajuan.
[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 135, 137-138
[2] Ibid. hal. 18, 20-22
[3] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 6
[4] Ibid. hal. 135
[5] Ibid. hal. 137-138
[6] Siddiq Fadzil, http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=139, 26 -01-06
[7] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 3
[8] Syed Muhammad Naquib Al-Attas ,. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam dalam Himpuan Kertas Kerja Persidangan Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam (Kuala Lumpur: DBP, 2002), hal.
[9] Aspek dalam Kebudayaan Yunani Kuno yang mempengaruhi Kebudayaan Barat antaranya ialah aspek falsafah, pendidikan, kenegaraan, ilmu pengetahuan dan kesenian.
[10] Aspek perundangan dan ketatanegaraan merupakan aspek paling menonjol pada Kebudayaan Romawi yang menjalar pada Kebudayaan Barat kini. Sebagai contoh, kod undang-undang Justinian menjadi asas kepada penal code dalam perundangan yang digunapakai di negara-negara Eropah.
[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 18
[12] Ibid., hal. 20-22
[13] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, (KL: ISTAC, 1993), hal. 133
[14] Maklumat lanjut, sila rujuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam and Secularism, (KL: ISTAC, 1993), bab 5 (The Dewesternization of Knowledge)
Catat Ulasan