Ancaman virus selesema babi; Isyarat dari Allah
VIRUS H1N1
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa dunia ini telah hampir akhir zaman bahkan Baginda mengumpamakan seperti seorang yang terlalu bongkok. Tentang fenomena alam yang terjadi dan penyakit-penyakit ganjil (seperti Coxsackie, JE, SARS, Selsema Burung dan kini Selsema Babi pula) disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai tanda-tanda qiamat.
Dari Ibnu Umar Rasulullah SAW bersabda;
“Bagaimana keadaan kamu ketika lima perkara berlaku di kalangan kamu, dan aku berlindung dengan Allah dari terjadinya perkara itu kepada kamu atau kamu sempat menempuhnya. Tidak timbul kemungkaran di kalangan satu-satu bangsa melainkan mereka melakukannya secara terang-terang, akan timbul penyakit taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada terhadap orang-orang sebelum mereka (penyakit ganjil).”
(HR: Ibnu Majah)
Selepas dikejutkan dengan Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah yang disebarkan daripada babi, demam Coxsackie, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kini selesema babi menjadi ancaman terbaru penduduk negara ini.
Kemunculan virus selesema babi H1N1 di dalam babi dan juga manusia di Mexico baru-baru ini yang berupaya menyebabkan jangkitan yang membawa maut menunjukkan sejarah mungkin berulang kerana pandemik virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) juga disebabkan oleh virus selesema H1N1.
Tetapi yang uniknya, virus selesema babi H1N1 Mexico muncul dari campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan juga manusia.
Berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang beribu pejabat di Geneva dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico baru-baru ini dan di beberapa negeri di Amerika Syarikat, Kanada dan Sepanyol merupakan virus selesema babi H1N1 yang baru, yang belum pernah ditemui sebelum ini.
Virus babi H1N1 ini mempunyai profil genetik (campuran gen) yang unik yang belum pernah ditemui dalam mana-mana haiwan atau manusia sebelum ini.
Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Omar. Menurut beliau, pada lazimnya, virus selesema babi H1N1 yang ditemui sebelum ini hanya mampu menyebabkan jangkitan yang ringan hingga sederhana pada salur pernafasan dan/atau paru-paru babi yang dijangkiti.
''Bagaimanapun virus tersebut (H1N1) berupaya menyebabkan kadar jangkitan tinggi yang boleh mencecah 100 peratus, meskipun kadar kematiannya adalah rendah," katanya.
Beliau berkata, manusia terutamanya pekerja di ladang babi yang dijangkiti dengan virus H1N1 boleh dijangkiti dengan virus ini, namun jangkitannya tidak berbahaya sekiranya tiada komplikasi.
Tanda klinikal yang kerap berlaku ekoran jangkitan virus selesema babi H1N1 pada manusia adalah demam, selesema, sakit tekak dan batuk selama beberapa hari.
Oleh kerana keupayaan tinggi virus selesema melakukan proses mutasi dan campuran genetik, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ternakan seperti babi, ayam, itik dan spesies burung lain tidak dipelihara bersama.
Ini kerana ia boleh membawa kepada pembentukan virus selesema bersifat pandemik kepada manusia dan virus highly pathogenic avian influenza (HPAI) yang boleh menjangkiti ayam dan juga manusia.
Di samping itu, babi merupakan perumah unik yang boleh berfungsi sebagai mixing vessel bagi kemunculan virus selesema yang berupaya menyebabkan pandemik selesema manusia.
''Ini adalah kerana saluran pernafasan babi mempunyai reseptor bagi menyokong proses replikasi virus selesema dari babi, burung dan juga manusia," kata Dr Abdul Rahman.
Katanya, epidemik selesema dikenal pasti apabila berlakunya peningkatan kematian akibat daripada penyakit selesema dan juga kes radang paru-paru (pneumonia) secara mendadak.
Virus selesema pandemik manusia muncul apabila gen virus selesema haiwan sama ada daripada burung atau babi, yang sebelum ini tidak dijumpai pada manusia secara umum, bercantum dengan virus selesema manusia dalam cantuman genetik yang membolehkan virus campuran berupaya merebak dengan efisien dari manusia ke manusia.
Berdasarkan sejarah, virus selesema yang merebak ke seluruh dunia (pandemik) dan menyebabkan kematian yang tinggi berlaku sebanyak tiga kali (sekali setiap abad) sejak 1700 lagi.
Kata Dr. Abdul Rahman, dalam abad kedua puluh ini, sebanyak tiga virus selesema pandemik telah muncul dan menyebabkan pandemik besar iaitu virus selesema Sepanyol 1918 (1918 Spanish flu virus) yang disebabkan oleh virus H1N1, virus selesema Asia 1957 yang disebabkan oleh virus H2N2 dan virus selesema Hong Kong 1968 yang disebabkan oleh virus H3N2.
Pandemik selesema yang disebabkan oleh virus selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 menyebabkan 50 juta manusia di seluruh dunia mati.
''Manakala, wabak pandemik kemudian yang dikesan pada 1957 jenis H2N2 dan pada 1968 jenis H3N2 telah membunuh lebih daripada satu juta manusia," kata beliau.
Strain (jenis) virus yang menyebabkan pandemik selesema pada tahun 1957 dan 1968 merupakan virus yang mula-mula muncul di Asia melalui proses campuran (reassorted) gen-gen di antara virus unggas (avian), babi dan virus selesema manusia.
Virus selesema yang menyebabkan pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918 muncul menerusi proses campuran virus selesema manusia H1N1 dan babi H1N1 serta kehadiran proses mutasi yang kerap ditemui dalam virus selesema burung.
Menurut beliau lagi, pencirian awal ke atas genom lengkap virus tersebut menunjukkan kemungkinan virus babi H1N1 strain baru ini mempunyai campuran genetik dari virus selesema yang berasal daripada unggas, babi dan juga manusia.
Jujukan nukleotida mengesahkan gen neuramidase (NA) dan matrik (M) virus selesema babi H1N1 ini berasal daripada virus selesema Eurasian manakala jujukan hemagglutinin (HA) berasal daripada virus babi Amerika Utara.
Dengan penemuan yang lebih banyak mengenai virus babi H1N1, penjujukkan genom virus tersebut serta kajian ke atas tahap jangkitan dan sebaran virus selesema tersebut di dalam babi dan manusia, lebih banyak maklumat akan diketahui berhubung dengan virus babi H1N1 yang sedang menular di beberapa negara di dunia.
WHO mengesahkan bahawa dadah anti-virus lama seperti amantadine dan rimantadine tidak berkesan untuk membunuh virus babi H1N1 tetapi ia berkesan terhadap dadah anti-viral baru seperti oseltamivir dan zanamivir.
Dijangkakan juga vaksin bermusim selesema yang ada sekarang tidak berupaya memberi pelindungan terhadap virus selesema babi H1N1. Ini adalah kerana virus selesema babi H1N1 yang ditemui ini mempunyai ciri-ciri genetik dan antigenik yang berlainan dengan vaksin selesema yang sedia ada.
Virus selesema babi H1N1 ini telah diasingkan dari pesakit di Mexico, Kanada, Sepanyol dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Beberapa negara lain seperti New Zealand, Perancis dan Israel telah mengesyaki kehadiran virus ini.
Dijangkakan juga lebih banyak negara akan mengesahkan kehadiran virus selesema H1N1 kerana virus ini berupaya merebak dari manusia ke manusia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan wabak selesema babi H1N1 yang sedang merebak ini boleh membawa kepada berlakunya ancaman kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.
Virus selesema babi H1N1 yang pertama diasingkan (dipencilkan) dari babi pada tahun 1930.
Sejak dari itu lebih daripada 100 virus selesema babi H1N1 telah dikenal pasti. Walaupun terdapat perbezaan genetik terhadap virus H1N1 tersebut, ia tidak menyebabkan jangkitan berbahaya yang boleh membunuh babi dan juga manusia seperti apa yang sedang berlaku di Mexico.
Di Malaysia, kehadiran virus H1N1 ini pernah dikesan secara tidak langsung menerusi kehadiran antibodi spesifik terhadap virus tersebut.
Kehadiran virus H1N1 tersebut dikesan menerusi suatu kajian pemantauan yang dijalankan menerusi projek kerjasama antara UPM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2005-2007.
Kajian tersebut mengambil lebih daripada 700 sampel sera dan cecair kerongkong telah di ambil daripada babi yang diternak secara komersial di Semenanjung Malaysia.
Menurut Dr. Abdul Rahman, hasil kajian menunjukkan sebanyak 12 peratus daripada babi tersebut didapati positif bagi antibodi terhadap virus H1N1.
Namun, ujian pengasingan virus dari sampel cecair kerongkong gagal mengenal pasti kehadiran virus babi H1N1.
Tanda Simptom Selsema Babi
Apakah Selesema Babi?
Selesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.
Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.
Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?
Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.
Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.
Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.
Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.
Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:
* Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.
* Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.
* Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.
* Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Jika anda sakit anda perlu:-
* Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;
* Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah dia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah Al-Nahl Ayat 115)
Pulang dari 'uzlah,
12 Mei 2009
Catat Ulasan
salam.. eden nk copy ini artikel ye..
ambil lah Yuhu.