Halloween Costume ideas 2015
MPS

Pendidikan Negara: Perspektif Mahasiswa & Anak Muda (Bah.3 - akhir)


Sambungan daripada http://peminggirkota.blogspot.com/2013/01/pendidikan-negara-perspektif-mahasiswa.html


PENDIDIKAN DAN NEGARA

Maka segala punca sekalian jalan-jalan ini (mencari kemajuan), tidak syak lagi ialah ilmu pengetahuan dan pelajaran. Di atas asas-asas inilah dibina bangunan-bangunan yang lain dan daripada inilah diterbitkan persenjataan dan kelengkapan bagi membantu jalan-jalan yang lain.”
(Za’ba, Lembaga Melayu, 6 Jun 1917)

Setiap tamadun besar dunia pastinya menyedari tentang kedudukan ilmu pengetahuan sebagai pra-syarat penting bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati. Bangsa yang membina tamadun besar dan mampu bertahan lama ialah bangsa yang menitikberatkan aspek keilmuwan dan memperkukuh institusi kependidikannya. 

Sejarah telah membuktikan, bangsa yang sekuat dan segagah manapun akhirnya akan tunduk kepada kebudayaan dan tamadun yang lebih tinggi aspek keilmuwannya. Sebagai contoh, Hulagu Khan dan gerombolan bangsa Mongol yang pernah mengganas dan menakluk kerajaan-kerajaan Islam akhirnya tewas kepada ketinggian ketamadunan Islam; mereka akhirnya memeluk Islam. Lihat betapa besarnya pengaruh keilmuwan Yunani Kuno ke atas tamadun bangsa lain, walaupun bangsa Yunani bukanlah sebuah bangsa yang besar dari segi bilangannya. Will Durant, seorang sarjana dan sejarawan terkemuka menyatakan: “every issues that agitates the world today was bruited about in ancient Athens...[1]




Professor Paul Kennedy (Universiti Yale, AS) melakukan analisa kritis dalam bukunya yang bertajuk The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500 – 2000  meletakkan beberapa faktor penting kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar seperti kerajaan Islam Mughal di India, Turki Uthmaniyah, Dinasti Ming China, Jepun, Rusia dan negara-negara Eropah. 

Dua faktor utama yang bersalingan dikemukan sebagai faktor akibat kebangkitan kuasa-kuasa besar ini: 1) kewibawaan sistem dan perekonomian; 2) kekuatan persenjataan. Walau bagaimanapun, kedua-dua faktor ini terbit daripada sikap dan kecenderungan mereka terhadap ilmu pengetahuan.[2] Sekolah, institusi pendidikan, perpustakaan, pusat kajian dan makmal mula dibangunkan dan rakyat diminta untuk mengikuti proses pembelajaran saamada secara formal atau tidak formal. Pendidikan menjadi suatu yang sentral dalam kehidupan masyarakat bertamadun dan budaya ilmu mula disuburkan. Perkembangan ilmu pengetahuan, pengkajian dan kemahiran dilakukan melalui proses pendidikan. 

Sehingga ke hari ini, setiap negara dunia akan dengan sebaik mungkin memformulasi sistem pendidikan demi kepentingan negara masing-masing. Pendidikan diinstitusikan, dasar-dasar dibentuk, sistem pendidikan yang khusus dibina dan peruntukkan negara dikeluarkan bagi membiayai pembangunan pendidikan. Dalam konteks Malaysia, Akta Pendidikan 1996[3] telah menggariskan tujuh perakuan utama yang mencerminkan aspirasi negara tentang pendidikan.


I. Pendidikan di Malaysia

Pada pandangan kami, segala dasar dan praktik pendidikan harus ditunjangi oleh beberapa teras dalam perakuan Akta Pendidikan 1996. Ketujuh-tujuh perakuan tersebut dapat diungkaikan seperti berikut[4]:

Perakuan 1: Ilmu ialah kuasa untuk membawa negara ke arah suatu tamadun dan kuasa untuk keselamatan negara-bangsa dan kedaulatan kerajaan. Tanpa ilmu manusia hidup tanpa tamadun, tanpa adat, tanpa kemanusiaan, dan tanpa kemajuan,

Perakuan 2: Matlamat sistem pendidikan ialah pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, berkemahiran, dan berdaya saing dalam arus kemajuan dan globalisasi yang berterakan perkembangan sains, teknologi dan maklumat.

Perakuan 3: Peranan sistem pendidikan ialah mencapai hasrat Wawasan 2020, iaitu membina negara bangsa yang demokratik, adil, liberal, bersatu padu, dan dinamik, serta maju pula dari segi ekonomi, sosial, politik, seni budaya, moral dan etika.

Perakuan 4: Misi negara iaitu membentuk suatu sistem pendidikan yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia. Di samping itu, sistem pendidikan berjaya mengembangkan potensi dan kebolehan individu rakyat agar mampu mencapai aspirasi negara dalam berbagai-bagai bidang kehidupan.

Perakuan 5: Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan asas landasan falsafah pendidikan bagi negara. Falsafah pendidikan ialah melahirkan insan yang seimbang dalam semua aspek lembaga diri khususnya pada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Insan yang seimbang ini pula berdedikasi menyumbang tenaga, pemikiran dan kemahiran dalam pembinaan masyarakat sejahtera. Falsafah ini memfokus kepada pembangunan manusia untuk kemanusiaan.

Perakuan 6:  Dasar pendidikan kebangsaan memaktubkan bahawa sistem pendidikan Negara menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama, kurikulum nasional yang piawai dan seragam, kurikulum komprehensif dengan aneka matapelajaran, dan peperiksaan awam untuk sekolah yang piawai dan seragam. Sistem pendidikan menjadi media untuk membentuk integasi nasional, untuk pembangunan negara, dan untuk pembentukan warganegara yang mendokong hasrat Rukun Negara.

Perakuan 7: Sistem pendidikan, bukan sahaja proses pengajaran-pembelajaran, wajar member perhatian kepada aspek kos-faedah agar operasi dan pembangunan sistem pendidikan tidak membebankan kewangan negara. Juga, pendidikan wajar bersifat demokratik, iaitu pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan kerajaan wajar lentur terhadap kehendak ibu bapa pelajar yang berbagai-bagai kaum, adat resam, agama, dan wawasan.

Tujuh perakuan ini sebenarnya menggambarkan citra kependidikan negara yang termanifestasi dalam beberapa dasar-dasar penting berkaitan pendidikan yang telah dilaksanakan sehingga kini. Perlu kami nyatakan apresiasi kami terhadap usaha kerajaan dalam membangunkan pendidikan dalam negara. Usaha-usaha reformasi pendidikan seperti strategi nilai murni merentas kurikulum, kesepaduan antara ilmu kemahiran dan ilmu nilai, kesepaduan antara kurikulum dengan ko-kurikulum, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan beberapa lagi strategi yang baik dan memberi impak walaupun mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu.

            Malangnya, segala perakuan ini mungkin hanya tinggal dokumen lama yang dilupakan. Mungkin hari ini, kuantiti pelajar yang lulus dari IPT meningkat berbanding tahun-tahun dahulu, tetapi apakah itu dapat menjadi kriteria utama mengukur keberkesanan sistem pendidikan negara? Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang termaktub dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”. 


Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi dalam undang-undang negara. FPK yang mendefinisikan pendidikan sebagai usaha berterusan memperkembang potensi individu harus difungsikan sepenuhnya dalam dasar dan pengalaman pendidikan di Malaysia. Tetapi mengapa, ada “bahan buangan” dalam sistem pendidikan berteraskan falsafah yang murni ini? 

Bagi kami, pendidikan seharusnya memainkan peranannya sebagai proses keadilan: menyantuni ‘orang yang pandai’ dan ‘orang yang tidak pandai’. Pelajar yang pandai dinilai dengan grednya. Pelajar yang mendapat gred rendah akan dianggap tidak pandai dan selalunya disisihkan. Hanya pelajar ‘pandai’ bergred tinggi sahaja yang layak melanjutkan pelajaran manakala pelajar ‘tidak pandai’ yang bergred rendah tidak layak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sedangkan, kebolehan dan potensi manusia bukan semata-mata boleh “menjawab peperiksaan dengan baik dan mendapatkan gred yang tinggi”.  Jelas, ini suatu penyimpangan sistem pendidikan negara daripada falsafah pendidikan yang telah ditetapkan.


II. Nilai Ilmu Dalam Citra Kemalaysiaan dan Perpaduan Nasional

Usaha mencipta kecemerlangan wajar bermula dengan mengenal potensi diri, menemukan nilai-nilai dasar yang menerasi watak dan budayanya. Dalam konteks Malaysia, antara nilai-nilai tradisinya yang terpenting ialah nilai ilmu. Nilai ilmu ini pada hakikatnya terkait erat dengan citra kebudayaan rantau ini yang terpamer pada bahasa, persuratan dan kebudayaan Melayu Islam serta kesepakatan kontrak sosial yang tolerans antara kaum dalam menciptakan sistem pendidikan yang bercitra keMalaysiaan yang mampu membina perpaduan nasional dan akhirnya mampu menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran individu, kelurga, masyarakat dan umat manusia sejagat.

Amat menyedihkan, pada saat keghairahan mengejar status negara maju dengan segala macam agenda transformasi cuba dilaksanakan, pendidikan seolah-olah dianaktirikan. Saharusnya, dasar pendidikan menjadi asas kepada dasar pembangunan negara. Namun, dewasa ini, hakikat yang tidak ternafi ialah pendidikan dipandu oleh keghairahan ekonomi, pembangunan dan kemajuan lahiriah. Justeru, merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, disarankan agar Kerajaan Malaysia kembali sedar dan insaf bahawa ‘ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa’.

Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan halatuju pendidikan negara, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:[5]



1.         Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.

2.         Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah ‘pendidikan’ harus digunakan semula menggantikan istilah ‘pelajaran’ yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.

3.         Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar. Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.

4.        Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan dan penghayatan bahasa dan kebudayaan, pengajaran Bahasa Melayu harus dirancakkan dengan penerapan nilai ilmu dan kebudayaan. Kreativiti dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah amat diperlukan dengan mengoptimumkan penggunaan teknologi dan pengoperasian makmal bahasa di sekolah masing-masing.

5.         Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan hikmah kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi. Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam.

6.         Kerajaan harus tegas dengan pendirian, dasar-dasar utama dan persepakatan tentang Bahasa Melayu dan teras sistem persekolah Kebangsaan. Segala tuntutan dan cadangan yang menyalahi persepakatan ini adalah wajar untuk tidak dilayan.

7.         Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana dan sistem persekolahan kebangsaan, mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan swasta yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.



III. Pelan Pembangunan Pendidikan Negara: Mana Halatuju Pendidikan?


Melepasi alaf baharu, atas kesedaran cabaran globalisasi dan arus liberalisasi yang mempengaruhi dunia global, Pelan Pembangunan Pendidikan (2001-2010) dirangka berdasarkan empat anjakan: (1) meningkatkan akses kepada pendidikan; (2) meningkatkan ekuiti dalam pendidikan; (3) meningkatkan kualiti pendidikan; dan (4) meningkatkan tahap kompetensi dan kecekapan pengurusan pendidikan.[6] Pada tahun 2006 pula, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) pula diperkenalkan bagi memperinci agenda pendidikan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Pelan ini pula menggariskan enam teras iaitu (1) membina negara bangsa; (2) membangunkan modal insan; (3) memperkasa sekolah kebangsaan; (4) merapatkan jurang pendidikan; (5) memartabatkan profesion perguruan; dan (6) melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.[7]

Pada tahun 2010 pula, kerajaan melancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Empat inisiatif diberikan tumpuan bagi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti: (1) Meningkat enrolmen prasekolah; (2) memastikan literasi Bahasa Malaysia dan numerasi; (3) membangun sekolah berprestasi tinggi; dan (4) memperkenalkan Bai’ah untuk pemimpin sekolah. Hasil laporan terkini setelah dua tahun NKRA diperkenalkan menunjukkan tanda positif dengan “keputusan memberangsangkan dalam peningkatan akses”. Akan tetapi, keputusan yang sebaliknya diperoleh dalam kajian-kajian univeriti tempatan terhadap aspek sistem dan amalan pendidikan negara.[8]

Pada tahun 2008, Malaysia berada pada kedudukan ke-16 dunia dalam senarai negara dengan perbelanjaan tertinggi dalam pendidikan. Profil pendidikan Malaysia seperti pada Jun 2011 menunjukkan perbelanjaan untuk pendidikan mencecah RM 37 billion iaitu 16% daripada jumlah bajet persekutuan 2011. Ini tidak termasuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, juga tidak termasuk tambahan RM 12 billion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi lain yang menyediakan perkhidmatan berasaskan pendidikan.[9] Perbelanjaan yang tinggi ini walau bagaimanapun tidak mampu melonjak tahap pendidikan ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan sama ada dari sudut prestasi akademik pelajar, mahupun dari aspek pembentukan sahsiah serta pembinaan negara bangsa. 

Pada September 2012 pula, dibentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Pelan kali ini dikatakan lebih komprehensif dengan pengilibatan yang lebih menyeluruh daripada para ‘pemegang taruh’ (stakeholders) yang terbabit dalam pendidikan. Kajian dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk World Bank, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), dan kajian oleh enam universiti tempatan serta penglibatan ahli masyarakat termasuk guru, ibu bapa, pertubuhan sivil dan orang awam yang dijalankan dalam siri Dialog Nasional Pendidikan Negara seluruh Malaysia.[10] Pelan ini mensasarkan 11 anjakan untuk trasformasi sistem, seperti berikut:

1.      Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa;
2.      Memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris;
3.      Melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai;
4.      Transformasi keguruan sebagai profesyen pilihan;
5.      Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah;
6.      Mengupayakan JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan;
7.      Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran;
8.      Mentrasformasikan keboleh-upayaan dan kapasiti penyampaian kementerian;
9.      Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sector swasta secara meluas;
10.  Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap Ringgit
11.  Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.


IV. Beberapa Nota Penting: Tertinggal atau Sengaja Ditinggalkan?

Setelah meneliti laporan awal pelan ini, kami berpendapat bahawa laporan awal ini dikarang dengan laras bahasa yang baik dan kandungannya meliputi keseluruhan elemen dalam sistem pendidikan dengan pemetaan perancangan untuk menggerakkan pelan tersebut. Namun begitu, terdapat keraguan dan kegusaran dalam beberapa perkara khususnya apabila membabitkan aspek operasi yang sebenarnya akan mencabuli Falsafah Pendidikan Kebangsaan demi kepentingan jangka masa pendek pihak tertentu. Antaranya ialah:


1.      Perlu ada satu definisi yang jelas berkaitan ‘maju’, ini kerana sesebuah bangsa yang maju seharusnya mengekalkan nilai-nilai budaya dalam kemajuan. Dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan mengikut piawai antarabangsa, perlu diteliti mekanisme terbaik agar nilai-nilai budaya tidak terabai dan pelajar tidak terbeban dengan segala macam program transformasi yang ditambah dalam sesi pengajaran-pembelajaran tanpa sebarang pengurangan atau pengecualian dibuat pada aspek yang lain.


2.      Sistem pendidikan Negara yang sedia ada terlalu dipolitikkan serta di komersialkan sehingga menggangu perkembangan sebenar anak-anak yang berada di dalam sistem. Peneraju kepimpinan dalam sistem pendidikan negara seharusnya terdiri dari mereka yang arif dalam bidang tersebut. sebarang tindakan berkaitan pendidikan yang melibatkan kepentingan awam tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru. Program ‘kalut’ yang diperkenalkan seperti ‘program sempoa’, ‘PPSMI’, ‘program berfikir I-Think’, ‘Sekolah Bestari’, ‘program khas pendidikan jasmani’ dan banak lagi harus dielakkan. Program-program seperti ini pastinya memerlukan perbelanjaan besar apabila ia melibatkan penyediaan instrument, alat bantu mengajar dan kemasukan kepakaran dari luar, tetapi impaknya yang sangat minima dan selepas beberapa tahun terhenti seterusnya senyap tanpa khabar berita.

3.      Fenomena Sekolah Antarabangsa yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta di berikan ruang yang seluas-luasnya oleh kerajaan bukan sahaja akan membina jurang antara yang kaya dan miskin tetapi ia juga membawa kepada suatu sistem nilai yang lari dari budaya serta adat masyarakat Timur amnya dan masyarakat Malaysia khasnya disebabkan pendidikan di sini bebas daripada kurikulum kebangsaan.

4.      Penubuhan sekolah-sekolah khas bagi pelajar cemerlang seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) perlu kembali kepada asas penubuhannya bagi membantu kelompok yang berpotensi tetapi kurang berkemampuan. Pada masa yang sama, idealisme kemasyarakatan dan kepedulian sosial harus diterapkan dalam sistem persekolahan seperti ini bagi mengelakkan kemunculan kelompok kapitalis baharu yang tidak sedar diri. Sebarang cadangan untuk menghantar pelajar-pelajar pintar yang kurang berkeupayaan ke sekolah anarabangsa dan swasta adalah suatu cadangan yang mengarut dan kontradik seperti yang berlaku dalam Anjakan ke-9 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Ini sebenarnya usaha menciptakan kelompok elitis baharu yang tidak dipandu dengan nilai-nilai kebudayaan negara kerana sekolah antarabangsa dan swasta tidak tertakluk dalam pelaksanaan kurikulum nasional.

5.      Kualiti guru tidak seharusnya dikompromi samada dari aspek kepimpinan mahupun ilmu yang mereka miliki. Berdasarkan kajian, 45% guru tidak ada persediaan menjadi pemimpin institui persekolahan. Seharusnya guru perlu ada ‘prophetic qualities’ dimana guru harus bertindak sebagai ‘Human transformer & Culture builder’. Selain itu, peranan guru perlu diketengahkan berbanding teknologi kerana guru merupakan manusia yang mampu melakukan proses penyaluran kasih-sayang dalam pendidikan; sedangkan teknologi tidak.


6.   Sekolah Agama Rakyat (SAR) perlu terus diperjuangkan dan dipertegaskan akan kepentingan kewujudannya. Sekolah Agama Rakyat tidak seharusnya diambil-alih oleh kerajaan. Rata-rata SAR menjalankan kurikulum kebangsaan dalam sistem pendidikan mereka. SAR harus dibantu dan dimartabatkan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap usaha rakyat. Sebenarnya SAR merupakan lambang partisipasi rakyat sebagai pemegang-taruh (stakeholders) dalam pendidikan negara.

7.      Mewujudkan “semua sekolah di bawah satu bumbung”. Kebanyakkan sekolah swasta dan persendirian tidak mahu bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia kerana kecurigaan mereka terhadap pengambil-alihan oleh kementerian. Sejak sebelum merdeka hingga kini terdapat puluhan sekolah cina yang bebas. Mereka bernaung di bawah pertubuhan kebudayaan cina dan lantang menuntut hak mereka. Nasib buruk menimpa SAR yang tidak berkemampuan yang akhirnya diambil-alih oleh kerajaan dan seterusnya memudarkan aspirasi sebenar penubuhan sekolah. Kami bersetuju untuk semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, swasta, antarabangsa, dan persendirian berada di bawah satu bumbung tetapi dengan besyarat. Persetujuan kami ini adalah kerana memikirkan betapa pentingnya kurikulum kebangsaan yang mempunyai nilai-nilai kebudayaan dan keMalaysiaan ini diterapkan kepada para pelajar bagi membentuk peribadi individu dan warganegara yang baik.

8.     Sistem Pendidikan menyeluruh atau bersepadu seperti yang diketengahkan oleh NGO-NGO yang berkaitan perlu dijadikan contoh. Kandungan pendidikan komprehensif dan bersepadu dengan penerapan nilai-nilai agama seharusnya mampu membina kerangka pemikiran yang membina watak bangsa.

9.      Pendidikan kreatif serta analitikal seharusnya berlandaskan perspektif Islam yang membawa kepada Allah seharusnya dibezakan daripada kebebasan berekspresi. Cadangan pelan ini untuk mewujudkan kurikulum yang membangunkan daya fikir pelajar dengan penumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) perlu diteliti dengan baik. Kami menyokong usaha HOTS, cuma jangan sampai ianya menjadi suatu lagi subjek terstruktur yang kaku aplikasi. Kurikulum sekolah seharusnya dilakukan penilaian agar ianya bersepadu dan tidak berlaku kesesakan kepada konten yang seharusnya diterimapakai oleh pelajar sekolah.

10.  Peningkatan kualiti sekolah seperti stuktur asas setiap sekolah tidak boleh dikompromi begitu juga sistem sokongan kepada guru. Pada masa yang sama, bantuan secara per-kapita harus dinilai semula. Sesetengah sekolah yang tidak berkeupayaan sepatutnya diberikan bantuan mengikut keperluan.

11.  Dalam laporan ini, peranan konsultan antarabangsa McKinsey and Company tidak dinyatakan. Malah, beberapa cadangan penting daripada panel yang mengendalikan dialog nasional pendidikan dan siri persidangan meja bulat di bawah pimpinan Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin tidak dimasukkan. Justeru, ia mendatangkan andaian apakah sebenarnya pelan ini merupakan template yang disediakan oleh McKinsey and Company yang dijaja kepada negara-negara seluruh dunia? dan usaha kajian serta pungutan pandangan yang dilakukan sekadar untuk mengaburi mata rakyat Malaysia? Walau apapun, ini masih sekadar andaian.

 
12.  Kemungkinan ada untuk kita membangun sistem pendidikan yang baik dari sudut pengamalan, prestasi dan keberhasilan material, tetapi bagaimana dengan pembangunan spiritual, emosi serta penguasaan dan pengembangan ilmu? Ada fasiliti, ada kemudahan, ada pelan; tetapi tiada ‘budaya’. Kita perlu mencipta budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia keseluruhannya. budaya ilmu yang dimaksudkan ialah seperti yang dikonsepsikan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud[11] sebagai: 

a.       Kewujudan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung atau tidak langsung dalam kegiatan keilmuwan bagi setiap kesempatan
b.      Kewujudan suatu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun syura.
c.       Budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dan keutamaan lainnya yang dicari dan dikembangkan pada setiap masa dan setiap tempat.



KESIMPULAN

Pendidikan bukan suatu komoditi, bukan hakmilik industri, bukan proses indoktrinasi, bukan ruang politisasi, bukan untuk dikomersialkan. Makna pendidikan yang sebenar harus difahami, dan nilai pendidikan harus dikembalikan dalam pengamalan pendidikan negara. Malaysia mempunyai potensi besar untuk maju dalam bidang pendidikan, yang dengan kemajuan ini akan melonjak kemakmuran negara dari segi kebahagian negara dan rakyat keharmonian kaum, kemajuan ekonomi, kehidupan sosial yang baik, dan kestabilan politik dalaman. Peranan pendidikan yang besar tidak sewajarnya disempitkan hanya kepada kepentingan material yang berjangka masa pendek. Keadaan ini hanya meranapkan keseluruhan institusi kemasyarakatan seperti yang terungkap dalam puisi nukilan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud[12]:


Jika ibu bapa hanya pintar 
                        melahirkan anak
Jika pelajar hanya mahu lulus periksa
                        dan cari kerja
Jika guru, pensyarah kehilangan arah,
                        ilmu terpaku di dada ijazah
Jika peniaga bermain politik dan bertuhankan laba
dan ahli politik memperniaga segala prinsip dan akhlak
jika cendekiawan cuma mengikut
                        dan membuat komen,
Adam akan menyesal
dan iblis berkenduri besar.





Khamis, 01 Muharram 1434 H/ 15 November 2012

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sekretariat PKPIM Pusat, Lot 2965, Jln Kg. Tengah 7,
Kg Tengah, Batu 6 ½, Jln Gombak 53100, Kuala Lumpur


'Kembali ke daerah ini'
08 Januari 2013/ 25 Safar 1434H
Selasa, 01.26 petang, Alma Mater



[1] Will Durrant, The Story of Civilization Jil. 2, (New York: Simon and Schuster, 1939), hlm. 152.
[2] Ibid.
[3] Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-peraturan terpilih, (Kuala Lumpur: International Law Book services, 1998)
[4] Sufean Hussin, Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia; Teori dan Analisis, (Kuala Lumpur: DBP, 2002), hal. 180
[5] Sila rujuk dokumen Memorandum Halatuju Pendidikan Nasional & Masa Depan Negara Dalam Konteks Bahasa Melayu Dan Persekolahan Kebangsaan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diserahkan Kepada Y.A.B. Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin Pada 28hb Jun 2012
[6] Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025), Kementerian Pelajaran Malaysia, September 2012, hal. A-5
[7] Ibid.
[8] Rujuk dokumen-dokumen Sidang Meja Bulat Halatuju Pendidikan Nasional dan Prospek Masa Depan Negara, 10 Jun 2012, anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
[9] Ibid., ekshibit 3-1
[10] Ibid., E-2
[11] Wan Mohd Nor Wan Daud, Penjelasan Budaya Ilmu, (Kuala Lumpur: DBP, 1997), hal. 34
[12] Wan Mohd Nor Wan Daud, “Islam dan Tentangan Kebudayaan Barat,”, 2 Bahagian, Dewan Budaya, Okt-Nov, 1983, 2: 25.
Labels:

Catat Ulasan

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget