PENDIDIKAN DAN MANUSIA
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”
(Al-Quran Al-Karim: Surah at-Tin: ayat 4 )
I. Konsep Pendidikan
Pendidikan sepatutnya tidak hanya terhad kepada persekolahan semata-mata. Ia luas dan menjangkau keseluruhan aspek kehidupan manusia. Satu rumusan umum menarik tentang pendidikan dicetuskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, secara umum para cendiakawan bersepakat bahawa pendidikan bermaksud ‘suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia’ (a process of instilling something into human being).[1]
Berdasarkan definisi ini, ‘suatu proses menerapkan/menyuntik’ (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, ‘sesuatu’ (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima.[2]
Menariknya, definisi umum ini menunjukkan manusia secara khusus sebagai penerima proses pendidikan. Betapa besarnya makna pendidikan sehingga ia secara eksklusif digunapakai hanya kepada manusia. Sungguh, perkataan didik, mendidik, pendidikan, terdidik tidak digunakan kepada haiwan mahupun tumbuhan atau barang-barang.
II. Pendidikan dan Potensi Manusia
Oleh yang demikian, kami menyatakan pendirian kami yang bersetuju dengan pandangan sebahagian cendekiawan bahawa pendidikan harus berfokus kepada individu, bukan masyarakat. Pendidikan harus bersifat person-centred, bukan societal-cantered. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menyatakan tujuan pendidikan adalah untuk melahirkan manusia yang baik, bukan pekerja yang baik. Menurut beliau, pekerja yang baik belum tentu merupakan manusia yang baik, tetapi manusia yang baik, sudah pasti akan menjadi pekerja yang baik. Pandangan ini disokong oleh Syed Ali Asraf yang menyatakan bahawa pendidikan seharusnya diarahkan untuk mengembangkan individu sepenuhnya.
Suatu yang menarik perhatian kami ketika membicarakan persoalan pendidikan dan hubungannya dengan manusia ialah perbahasan ahli falsafah tentang fitrah manusiawi. Dalam perbahasan mereka, jiwa manusia mengandungi beberapa ‘keadaan upaya’ atau potensi (quwa) yang termanifestasi dalam hubungannya dengan aspek jasmani manusia. ‘Keadaan upaya’ tersebut ialah jenis-jenis jiwa iaitu (1) jiwa tumbuhan (al-nafs al-nabatiyah), (2) jiwa haiwan (al-nafs al-hayawaniyah), dan (3) jiwa rasional (al-nafs al-natiqah).[3]
Tumbuh-tumbuhan mempunyai kekuatan untuk membesar, kekuatan kesuburan dan produktif. Kekuatan-kekuatan ini juga terdapat pada haiwan dan manusia. Malah haiwan mempunyai kelebihan mampu bergerak berbanding tumbuhan. Boleh dikatakan, manusia mempunyai jiwa-jiwa yang sama dengan haiwan, Cuma yang membezakannya adalah jiwa rasional (al-nafs al-natiqah) yang hanya terdapat pada diri manusia, tidak haiwan mahupun tumbuhan. Keadaan inilah yang menjadikan manusia itu sebagai ‘manusia’ dan sekiranya manusia kehilangan keadaan upaya ini, maka manusia tersebut tiada berbeza dengan haiwan.
Jiwa rasional (al-nafs al-natiqah) merupakan petanda ciri-ciri unggul bagi manusia. Kalimah Natiq (al-natiqah) bermakna daya akliyah yang merujuk kepada fakulti rasional manusia, selari maksudnya dengan perkataan logos (Greek) dan ratio (Latin). Natiq merupakan fakulti dalaman yang menanggap dan memahami realiti-realiti seterusnya memformulasi makna berkaitan membuat keputusan, pengelasan dan penjelasan.[4] Al-nafs al-natiqah juga merujuk kepada akal. Akal merupakan alat untuk memahami dan menguasai alam zahir (Ratio) sekaligus merupakan fakulti untuk merenungi hakikat rohaniah (intellectus). Dengan keistimewaan akal inilah juga yang mengangkat martabat manusia dan menjadikan manusia mulia.
III. Pendidikan, Manusia dan Kasih Sayang
Secara idealnya, pendidikan berperanan memelihara dan memandu fitrah manusiawi. Tiga ‘keadaan upaya’ seperti yang dibicarakan di atas wajar diimbangi bagi pembinaan insan secara utuh dan bersepadu. Kesimpulannya, pendidikan adalah suatu proses ‘memanusiakan manusia’ dan kami percaya, antara esensi utama dalam diri manusia adalah kasih sayang.
Akal manusia, seperti yang disentuh sebelum ini, merupakan ratio dan juga sekaligus intellectus. Seperti kefahaman umum, akal berperanan untuk berfikir, memahami sesuatu perkara yang zahir, memproses maklumat dan mentafsirkannya dan ini merupakan sisi ratio akal. Namun begitu, pada sisi intellectusnya, akal berperanan merenungi aspek perasaan, emosi, spiritualiti dan kerohanian. Justeru, pendidikan bukan sekadar mengasah ‘akal fikiran’ semata, tapi juga mengasah ‘akal budi’ manusia.
Prof. Syed Ali Asyraf pernah mengungkapkan pendidikan sebagai proses penyaluran kasih sayang. Malah, dalam tradisi pengajian ulama-ulama Islam silam juga begitu menekankan aspek ini. Terdapat sebuah hadith Nabi Muhammad SAW yang menjadi pegangan para penuntut ilmu Islam tradisional yang bermaksud, “orang yang berkasih sayang akan disayangi oleh yang Maha Pengasih...”. Hadith yang dikenali sebagai musalsalah bil awwaliyah ini dibacakan sebagai tanda pengiktirafan dan penerimaan seorang guru terhadap muridnya. Jelasnya, kasih sayang menjadi prasyarat kepada proses pengajaran dan pembelajaran dalam tradisi ini dan ini menyempurnakan kehendak psikologi dan emosi manusia.
Namun, realiti hari ini begitu menghampakan. Mungkin ada benarnya ungkapan Max Weber ketika membicarakan tentang pendidikan kapitalistik: “Capitalisme produces a society run along machine-like, rational procedures without inner meaning or value and in which men operate almost as mindless cog”[5]. Kejayaan akademik diukur dengan kecemerlangan peperiksaan dan segala usaha ditujukan untuk ‘cemerlang’ dalam peperiksaan. Gejala exam-oriented ini merupakan satu sindrom yang menekan murid-murid proses pembelajaran mereka. Kesannya, para pelajar tidak mempunyai semangat belajar untuk menimba ilmu dan menjadi orang terdidik. Sudahlah kasih sayang tak disuburkan, tekanan pula ditimpakan.
IV. Pendidikan, Masalah Remaja dan Krisis Identiti
Pendidikan formal selalunya menjurus kepada golongan muda dan remaja. Remaja biasanya dianggap sebagai kelompok usia peralihan antara anak-anak dan dewasa, iaitu antara usia 12 dan 20 tahun atau mungkin lebih. Hilgard menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya ada tiga aspek penting yang menandai peringkat remaja: (1) berlakunya perubahan fizikal (berkembangnya hormon dan organ-organ seksual), (2) berlaku pencarian dan pemantapan identiti diri, dan (3) mempunyai persiapan menghadapi tugas dan tanggung jawab sebagai manusia yang mampu berdikari.[6]
Pendidikan formal bermula seawal usia enam tahun iaitu peringkat pra-sekolah, diikuti sekolah rendah dari usia tujuh tahun hingga 12 tahun, kemudiannya persekolahan menengah sehingga usia tujuh belas tahun. Seterusnya, peringkat pra-universiti dan universiti pun banyak melibatkan golongan muda dan remaja pada usia belasan tahun dan awal usia 20-an. Walaupun begitu, boleh dikatakan masalah sosial dan kebejatan akhlak banyak dilaporkan berlaku dalam kalangan remaja yang mana mereka ini menjalani proses pendidikan baik di sekolah mahupun di IPT. Apakah ini bermakna sistem pendidikan kita telah gagal?
Kajian tentang masalah gejala sosial dan kebejatan akhlak kini bukan sahaja menjadi satu topik perbincangan popular, malah telah menjadi satu bidang kajian khusus. Antara masalah-masalah yang dikaji termasuk jenis-jenis: (1) gejala sosial dan kesannya; (2) salah laku dan masalah disiplin pelajar sekolah; (3) pelaksanaan undang-undang berkaitan jenayah rogol; (3) sumbang mahram dan seks sebelum perkahwinan; (4) kecelaruan gender; (5) gejala hidu gam; (6) perlumbaan haram yang dilakukan mat motor; (7) jenayah juvana; (8) pelacuran; (9) pornografi internet; (10) gejala buli di kalangan pelajar sekolah; (11) penagihan dadah; dan (12) penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.
Secara keseluruhannya, dalam tempoh 2001-2005 terdapat 123 kajian mengenai pelbagai aspek gejala sosial yang berlaku di Malaysia telah dijalankan oleh pengkaji dari pelbagai universiti.[7] Malah, dalam masa setahun (2007), sebanyak 23,220 kes berkaitan kelakuan korang sopan, 21,060 kes ponteng sekolah, dan 18,900 kes berunsur jenayah berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Lebih membimbangkan, sejak tahun 2000 sehingga 2008 sebanyak 252,411 kelahiran tidak sah taraf dilaporkan.[8]
Menurut Azlina Abdullah, seiring dengan kepesatan ekonomi dan perbandaran pesat, Malaysia berdepan dengan pelbagai jenis jenayah dan gejala delikuensi yang boleh mengganggu gugat kemananan dan kesejahteraan masyarakat.[9]Melihat keadaan ini, kami berpandangan masyarakat kita sedang berdepan krisis nilai yang parah. Sistem pendidikan tidak lagi mampu menanamkan nilai yang baik dan mampu dipegang secara bersama. Sama seperti kilang, nilainya cuma produktiviti dan kebendaan. Nilai akhlak diketepikan.
Kecemerlangan dikurung dalam tembok-tembok material dan batas-batas angka manakala nilai ilmu yang sebenar sudah diturunkan tarafnya. Para pelajar, pada peringkat apa pun meletakkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan sementara dalam ujian dan peperiksaan berbanding penguasaan berterusan terhadap ilmu itu sendiri, malah jauh sekali mengamalkannya. Pelajar lemah penguasaan ilmu, dan selalunya ilmu yang dipelajari hilang selepas ia diluahkan dalam dewan peperiksaan.
Satu analisis menarik oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkaitan masalah jurang generasi dan krisis identiti yang melanda masyarakat sekular yang menolak kemutlakan nilai. Berlaku jurang generasi antara golongan belia, golongan usia pertengahan dan golongan tua. Golongan-golongan ini masing-masing menandakan ruang perpisahan antara tiap suatu keturunan sehingga menimbulkan masalah ‘jurang generasi’ (generation gap). Setiap golongan, masing-masing mencari makna diri sehingga menderita penyakit ‘krisis identiti’ (identity crisis).[10]
Golongan belia (termasuk remaja), yang sedang mengalami perubahan hidup, menganggap nilai-nilai warisan golongan setengah umur sudah tidak sesuai dan releven dengan kehidupan mereka. Mereka tidak langsung menganggap golongan lain sebagai pemantau, pemandu dan contoh tauladan kepada mereka, malah menuntut kebebasan dalam menentukan nilai-nilai dan nasib sendiri.[11]
Golongan usia pertengahan pula, yang merupakan ibu bapa golongan belia menyedari bahawa nilai-nilai mereka sendiri tidak mampu memandu kehidupan sendiri, apatah lagi anak-anak mereka. Justeru, mereka memberi kebebasan kepada golongan belia untuk mencari nilai dan menentukan nasib sendiri. Nilai hidup mereka didasari dengan kejayaan dari aspek memperoleh kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan kemewahan harta benda. Maka, segala tenaga dan usaha ditumpukan kepada masyarakat dan negara dalam konteks keduniaan dan kekayaan material.[12]
Jelasnya, masyarakat ini mendakyahkan pembangunan bersifat duniawi dan dimensi ukhrawi ditolak mentah-mentah. Bagi mereka, pembangunan manusia adalah bermatlamatkan keseronokan dunia seperti kata-kata bongkak “The World is all and Enough”.[13] Bertitik tolak dari sini, mereka menganggap manusia sebagai suatu hidupan yang mempunyai diri tanpa roh dan menempati daripada kelas haiwan yang termaju (most evolved species). Hal ehwal rohaniah termasuk nilai telah ditolak secara mutlak sebagai kepercayaan karut dan kerana itu telah digugurkan daripada sebarang perbincangan dan perencanaan rasmi mengenai pembangunan insan dan negara.
Apabila keupayaan fizikal dan akliah telah merosot, golongan usia pertengahan yang sudah tua ini berasa kesal dan pada ketika itu, segala-gala miliknya dahulu seperti kekuatan jasmani, kekayaan, harta, kejayaan, malah keluarga pergi meninggalkan golongan tua sendirian.[14] Golongan tua sudah tidak mempunyai peranan penting dalam masyarakat dan negara, malah dianggap sebagai liabiliti seperti kata pepatah Farsi: “yang muda remaja mungkin mati, yang tua ‘mesti’ mati”.[15] Belenggu pencarian makna diri atau krisis identiti ini terus menerus berputar dalam kehidupan kesemua golongan tadi. Tiada penyelesaian mahupun jalan keluar ditemui. Gejala yang sama semakin dirasakan dalam kalangan masyarakat Malaysia dewasa ini dan akan terus menjadi barah sekiranya kita tidak berubah daripada menuruti jejak langkah masyarakat sekular yang tandus nilai.
Bersambung di "Pendidikan Negara Daripada Perspektif Mahasiswa dan Anak Muda (Bahagian 3)"
[1] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), hal. 19.
[2] Ibid.
[3] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1990), hal. 8
[4] Ibid. hal. 39
[5] Bryan S. Turner, Weber and Islam: A Critical Study, (New York: routledge Keagen and Paul, 1974), hal. 30
[6] Ernest R. Hilgard, Rita L. Atkinson, & Richard C. Atkinson, 1979, Introduction to Psychology, New York: Harcourt Brace Jovanovich, Inc., hal. 88.
[7] Azlina Abdullah, “Penyelidikan tentang Gejala Sosial di Malaysia dalam Dekat 2000-an”, The 7th International Malaysian Studies Conference (MSC7), Critical Transitions: Repositioning the State, Market and Society, 16-18March2010
[8] Mohd Farid Mohd Shahran, “Mengahadapi Dilema Pendidikan: Ta’dib Sebagai Kerangka Pendidikan Terbaik”, Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kependidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, 07-07-2011
[9] Ibid.
[10] Ibid. hal. 93
[11] Ibid. hal. 93
[12] Ibid. hal. 94
[13] Wan Mohd Nor Wan Daud, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna,(KL: ISTAC, 2001), hal. 5
[14] Ibid.
Catat Ulasan