PENDIDIKAN NEGARA
DARIPADA PERSPEKTIF MAHASISWA DAN ANAK MUDA[1]
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
PRAWACANA
“Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak kusyuk, nafsu yang tidak pernah puas, dan juga doa yang tidak dimakbulkan”
(Hadith Riwayat Muslim)
Menyikapi isu pendidikan bukan sekadar memfokus kepada aspek prestasi dan kecemerlangan akademik, mahupun prasarana dan fasiliti institusi pendidikan. Ia harus dilihat dan disikapi secara menyeluruh, komprehensif dan meliputi keseluruhan horizonnya yang luas. Menekuni literatur para pemikir kritis dari pelbagai penjuru dunia yang memberikan kritikan pedas tentang pendidikan memberikan gambaran seolah-olah sistem dan amalan pendidikan, bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh dunia sebenarnya berada dalam krisis.
Semakin meningkat usia, semakin kami tertanya-tanya “mengapa bersekolah? Mengapa belajar di universiti? Untuk apa?”. Realiti pendidikan hari ini jelas tersasar daripada keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Institusi pengajian tinggi, persekolahan rendah dan menengah juga tidak terkecuali daripada gelombang kecelaruan. Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan institusi pendidikan samada IPT mahupun sekolah-sekolah di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan ini apakah sebenarnya layak menjadi indikator keberdayaan institusi pendidikan melahirkan insan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group? atau sebaliknya kelumpuhan berlaku lantas meranapkan idea pendidikan sebagai wahana membina wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Pendidikan yang ‘tidak memanusiakan’ ini sebenarnya telah di’komoditi’kan, di’komersialisasi’kan dan di’politisasi’kan. Dr. Siddiq Fadzil dalam kritikannya terhadap pendidikan semasa menyatakan:
“...pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa.
"Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, “Pendidikan Yang Memiskinkan” dan “Orang Miskin Dilarang Sekolah”. Andainya demokratisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.”[2]
Kami menyatakan kegusaran terhadap sistem dan amalan pendidikan negara kerana melihat kualiti generasi yang lahir daripada sistem konvensional ini rata-ratanya tidak punya keupayaan. Generasi ini lemah, meminta-minta, tidak produktif, tidak mandiri, dan tidak mampu mencipta pekerjaan sendiri. Tidak sedikit yang individualistik, mementingkan diri sendiri, hipokrit, tiada kreativiti, tiada idealisme dan bercita-cita kecil. Meminjam istilah Dr. Siddiq Fadzil, generasi hari ini “hanya bercita-cita menjadi jongos terhormat yang bangga menjadi budak suruhan penguasa”.[3]
Makalah ini bertujuan membincangkan beberapa persoalan pokok berkenaan pendidikan, manusia dan negara daripada perspektif mahasiswa dan anak muda. Dari satu sudut, kami tidaklah mendakwa pandangan dan lontaran kami ini mewakili pandangan keseluruhan mahasiswa dan anak muda di Malaysia. Ini kerana sudah semestinya setiap mahasiswa mahupun anak muda itu berbeza. Perbezaan fahaman, ideologi, pengalaman, latar belakang kehidupan dan pengaruh suasana pastinya mempengaruhi cara-pandang dan perspektif masing-masing terhadap pendidikan.
Walau bagaimanapun, kami cuba menyampaikan pandangan kami dalam semangat kemahasiswaan dan anak muda yang sedar dan insaf akan pendidikan anak bangsanya. Pendidikan yang kami bicarakan di sini merujuk kepada ‘pendidikan formal’ iaitu pendidikan yang mempunyai ciri persekolahan, dari sekolah rendah hingga ke universiti. Ia berstruktur dan mempunyai kronologi. Pendidikan formal menawarkan pengajian akademik serta pelbagai jenis kursus khas yang berbentuk professional, teknikal dan vokasional.[4] Makalah ini terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu: Bahagian pertama, Pendidikan dan Manusia yang membicarakan (I) konsep pendidikan; (II) pendidikan dan potensi manusia; (III) pendidikan, manusia dan kasih sayang, dan (IV) Pendidikan masalah remaja dan krisis identiti. Manakala bahagian kedua Pendidikan dan Negara yang membincangkan (I) Pendidikan di Malaysia; (II) Nilai Ilmu Dalam Citra Kemalaysiaan dan Perpaduan Nasional; (III) Pelan Pembangunan Pendidikan Negara: Mana Halatuju Pendidikan? dan (IV) Beberapa Nota Penting: Tertinggal atau Sengaja Ditinggalkan?
PENDIDIKAN: SATU AKSIOMA[5]
Pendidikan merupakan suatu aspek yang sentral dalam kehidupan manusia bertamadun. Kepentingan pendidikan umpama terangnya pancaran sinaran mentari yang tidak terlindung awan; satu hakikat yang tidak perlu dibuktikan. Justeru, adalah tidak menghairankan apabila sesebuah kerajaan mewajibkan semua rakyatnya menjalani sistem pendidikan dan persekolahan pada takat tertentu.
“Semua orang tahu pancaran mentari pada waktu tengahari rembang sangat terang, tetapi masih ramai yang tidak tahu mengapa ia terang”.
Pernyataan di atas secara simbolik menggambarkan keadaan kefahaman banyak pihak terhadap pendidikan. Ramai yang mengetahui pendidikan itu penting, tetapi tidak mengetahui secara jelas mengapa ia penting. Realitinya, banyak pihak masih melihat pendidikan dari perspektif utilitarianisme atau faham gunaan, yang meletakkan nilai yang tinggi kepada sijil, anugerah, peluang pekerjaan, pangkat, kedudukan sosial, harta benda dan pengaruh.[6]
Fahaman seperti inilah yang mendominasi pengamalan pendidikan dalam negara dewasa ini. Fenomena mutakhir memperlihatkan kepada kita pendidikan hari ini sudah menjadi perniagaan yang mula didominasi oleh ‘orang industri’. Malah sektor pendidikan sendiri diberi label ‘industri’ (industri pendidikan), yang tentu membawa implikasi penekanan kepada motif perekonomian dan mencari keuntungan.[7]
Persoalannya, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pendidikan’ yang menjadikan ia diketahui umum sebagai penting? Adakah pendidikan itu sekadar pergi sekolah, belajar dalam kelas, menduduki peperiksaan, majlis anugerah pengijazahan, dan tiket pas masuk ke alam pekerjaan? Jika itu yang diimani sebagai pendidikan, ini bermakna manusia yang sepatutnya ‘dididik’ di institusi pendidikan sudah dibodohkan, dilemahkan dan diturunkan taraf kemanusiaan mereka. Pernyataan ini mungkin agak keras, tapi ia hakikat. Ini jelas kelihatan dalam keghairahan pihak tertentu yang begitu gembira mengaut keuntungan melalui ‘industri’ ini tanpa memikirkan makna dan falsafah pendidikan yang sebenar. Di peringkat pembuat polisi dan pihak berwajib pula, dikotomi pemikiran dan sikap dualistik yang dipamerkan dalam penumpuan aspek ekonomi dan sosio-politik menyebabkan pengabaian serius terhadap aspek yang lebih utama iaitu dimensi intelektual, moral dan keperibadian.
Itu belum lagi kita soroti permasalahan dan krisis yang berlaku dalam sistem dan pengamalan pendidikan dalam negara; keberkesanan sistem pembelajaran dipersoalkan, sistem peperiksaan dikatakan menjadi punca tekanan, masalah berkait persekolahan dan perguruan, keciciran pelajar dan prestasi yang memalukan mengikut piawaian antarabangsa, masalah keboleh-pasaran graduan universiti, rasuah pensyarah, isu PPSMI, isu PTPTN, isu kebebasan akademik, politisasi institusi pendidikan, AUKU yang dikatakan mengongkong mahasiswa, isu plagiarisme dan banyak lagi.
Kami berkeyakinan, pendidikan bukan alat memuaskan kehendak industri, pendidikan bukan semata-mata sekolah atau pusat latihan pekerja. Pendidikan adalah suatu yang suci. Pendidikan mengajarkan manusia memahami kehidupan, mengenali kehebatan perjalanan jagat raya, mengenang kehebatan Pencipta dan menghargai setiap detik dalam kehidupannya. Justeru, makna pendidikan yang sebenar harus difahami, dan nilai pendidikan sewajarnya dikembalikan!
Bersambung di "Pendidikan Negara Daripada Perspektif Mahasiswa dan Anak Muda (Bahagian 2)"
[1] Dibentangkan dalam Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara, pada 18 November 2012, anjuran Yayasan Selangor, bertempat di UNISEL Shah Alam.
[2] Siddiq Fadzil, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka”, Khairaummah.com, 26-10-06
[3] Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu: martabat Ummat dan Daulat Rakyat, (Selangor: Akademi kajian Ketamadunan, 2012), hal. 49
[4] Sufean Hussin, Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah, (Kuala Lumpur: DBP, 2008), hal. 508
[5] Aksioma bermaksud suatu hakikat yang tidak perlu kepada pembuktian.
[6] Zaini Ujang, Universiti, Kreativiti, Inovasi, (Johor: Penerbit UTM, 2009), hal. 15
[7] Forum berkaitan topik ini boleh diakses di www.ustream.tv/channel/pkpim-media atau www.mobtv.my/talkshow-974.html
'Kembali ke daerah ini'
04 Januari 2013/ 21 Safar 1434H
Jumaat, 8.53 malam, Alma Mater
Catat Ulasan
bagus.. ulasan yang baik. saya gembira membaca tulisan tuan. harap tuan dapat menghasilkn lebih bnyak lg penulisan ilmiah yg berkualiti, dan dpt berkongsi dgn kami semua