Halloween Costume ideas 2015
MPS
Latest Post


Aziz Bari; Professor di Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM


Saya fikir profesor-profesor itu keliru dan kemudian mengelirukan orang. Profesor Datuk Dr Zainal Kling orang sosiologi dan Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim orang sejarah. Status jajahan (colony) dan negeri lindungan (protectorates or protected states) adalah konsep undang-undang antarabangsa.

Beza antara konsep-konsep itu tidak jelas pada orang biasa. Apa beza antara Melaka dan Pulau Pinang - strait settlements - dan negeri-negeri Melayu seperti Selangor dan Perak? Atau antara kita dengan India yang merupakan tanah jajahan British? 


Tidak nampak. 


British kekalkan status raja - dan negeri mereka - sebagai protectorate kerana mereka hendak mengelakkan penentangan sebagaimana di India. Sebab itu British perkenalkan indirect rule di sini dengan meletakkan residen sebagai penasihat sultan (yang sebenarnya memaksa).

British mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa negeri mereka kekal di tangan Melayu dengan mengekalkan sultan. Tetapi pemerintahan dan pentadbiran sebenar dijalankan oleh British melalui residen mereka.Ini bermakna di atas kertas - yakni teori - memang sultan dan negeri Melayu tidak dijajah (kalau dijajah maka (kedudukan) sultan akan dihapuskan sebagaimana di India dan Burma).

Tetapi praktik dan kenyataannya ialah British yang membuat keputusan.


Hatta urusan agama pun dikacau - meskipun perjanjian melarang ini. Contohnya apa yang dilakukan oleh Sir Andrew Clarke kepada Raja Muda Perak yang mengetuai majlis agama di Perak. 


Sebab itu penentangan kepada pentadbiran British yang dibuat oleh orang-orang seperti Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain mudah dipatahkan kerana nama sultan digunakan.


Pada hakikatnya mereka semua menentang British tetapi mereka berlindung di sebalik sultan. Kita akur bahawa sultan diberi pelbagai kemewahan dan gelaran oleh British. Mereka juga bergaduh sesama sendiri untuk menjadi raja.


Meskipun begitu British akhirnya tidak selesa dan cuba memansuhkan kedudukan raja melalui Malayan Union. Ini ditentang oleh orang Melayu.

Sekiranya Malayan Union itu dilaksanakan sempurnalah penjajahan British dari segi teori dan praktik.Tetapi itu tidak berlaku (Zainal Kling Silap; Malayan Union tidak pernah dilaksanakan).

Sebagai contoh, undang-undang yang dibuat sebelum merdeka di sisi perlembagaan adalah undang-undang yang dibuat oleh Sultan. Ini kerana dewan adalah lantikan sultan dan undang-undang itu ditandatangani oleh sultan. Tetapi apakah itu apa sebenarnya berlaku? 


Tentu tidak kerana sultan hanya menurunkan tandatangan sahaja. Rang undang-undang itu dibuat oleh British. Tetapi di sisi undang-undang ia adalah buatan sultan, bukan British.


Apa pun undang-undang itu, selagi tidak dimansuhkan oleh parlimen atau DUN, sah sehingga sekarang.


Kesilapan Zainal dan Khoo ialah mereka mengitar konsep yang bukan bidang mereka. 


Sedangkan sejarawan sendiri mengatakan British yang mentadbir Tanah Melayu.


Lebih lucu, jika apa yang mereka dakwa itu benar, untuk apa kita sambut merdeka?

Dan lebih malang lagi Tunku Abdul Rahman kehilangan gelaran: beliau bukan lagi bapa kemerdekaan kerana kita tidak pernah dijajah....!!

Tikus baiki labu atau sokong bawa rebah.

Lucu sekali Majlis Profesor (saya tidak jadi ahli) tidak tahu apa yang mereka bebelkan. Mereka ramai-ramai keroyok Mat Sabu... lain yang dia cakap lain pula yang majlis ini tangkap...


Sumber: MalaysiaKini

 Oleh:
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia


Pendahuluan                                                            
Pada saat kekalutan pemikiran dan kecelaruan sukma, manifestasi kebiadaban tampak jelas dalam singkapan demi singkapan terhadap tragedi kelesuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara dewasa ini. Keboborokan faham dan sikap biadap terhadap makna dan hakikat pendidikan akhirnya menggugat dan meranapkan martabat ilmu. Para ilmuwan seolah-olah diludahi; wibawanya tercabar.

Situasi ketercabaran para ilmuwan ini bertepatan dengan kata bidalan, “apabila ular cacing menjadi naga, apabila pepijat menjadi kura-kura, apabila belalang menjadi helang”; sesorang ditempatkan pada posisi yang tidak sesuai dengan kemampuan dan kelayakannya.  Saat ini, ilmuwan berwiba diketepikan lalu ‘golongan berbudaya bebal’ (mediocrity cultured man) diangkat untuk dipikulkan amanah keilmuan ke atasnya sebagaimana kenyataan berikut:


“Kita ditakdirkan hidup dalam era yang dikatakan bahawa serba-serbinya berasaskan ilmu – knowledge based society, knowledge workers, knowledge is power dst – walaupun dalam kenyataannya seringkali berlaku kepura-puraan. Hingga ke saat ini masih berleluasa amalan mengenepikan kriteria ilmu ketika meletakkan seseorang pada sesuatu posisi. Di tengah gembar-gembur, “knowledge is power” sebenarnya kita sedang ditimpa krisis nilai yang ditandai dengan meletakkan nilai ilmu di puncak urutan sistem budaya kita..”[1]

Keruntuhan Adab dan Pengkhianatan Terhadap Amanah Keilmuan
Gejala ‘pengkhianatan terhadap amanah keilmuan’ ini berleluasa dalam pengamalan pendidikan tinggi negara. Maka, analisis Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam mengungkapkan konsep umum tentang ‘keruntuhan adab’ (loss of adab) yang berlaku dalam masyarakat amat bertepatan dengan realiti pendidikan tinggi yang kita bicarakan ini. Makna ‘adab’ di sini dihuraikan sebagai ‘pengenalan dan pengakuan adanya tempat yang wajar bagi sesuatu’.[2] Apabila adab telah runtuh, maka berlakulah kecelaruan dan permasalahan berterusan dalam diri dan masyarakat islam dengan wujudnya pemimpin palsu dalam setiap bidang kehidupan yang akhirnya mempengaruhi orang-orang yang dipimpinnya.


Rajah 1

Al-Attas meringkaskan masalah ini melalui rumusan berikut: (1) kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu (masalah epistemologi), dan keadaan ini membawa akibat (2) keruntuhan adab dalam kalangan masyarakat. Sementara keadaan (1) dan (2) telah menjelmakan natijah (3) kemunculan pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah, dan yang tiada memadai taraf kepimpinan seperti yang sepatutnya. Pemimpin yang sedemikian mengekalkan terjadinya perkara (1) dan (2) dan menjamin berlakunya terus pengeluaran dan penempatan pemimpin sepertinya[3] (Rajah 1). 

Fareed Zakaria dalam makalahnya bertajuk The Education of a President, menyinggung akan permasalahan ini: “One of the minor tragedies of modern America has been the transformation of the college president from public intellectual to fund-raising bureaucrat. Most president steer clear of any involvement in the substance of academic life – the ideas and scholarship – for fear that someone, somewhere, will be offended.”[4] 

Mengulas kenyataan Fareed Zakaria ini, Siddiq Fadzil tanpa berlapik lagi melampiaskan fenomena “one of the minor tragedies” yang berlaku dalam sistem pendidikan tinggi Amerika ini ke atas Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia lewat pertanyaan, “tidakkah kita juga menyaksikan gejala semakin memudarnya wibawa kesarjanaan pimpinan IPT? Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar, sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat. Apakah ini bukan sejenis minor tragedy juga?”[5]


Krisis Pendidikan Tinggi Negara: Persoalan Asasi
Montimer J. Adler, dalam pengalamannya sebagai seorang ahli akademik terkemuka turut melahirkan keluhan beliau terhadap ‘pendidikan’ dan ‘persekolahan’ lewat tulisan beliau berjudul Schooling Is Not Education:

“For more than 40 years, a controlling insight in my educational philosophy has been the recognition that no one has ever been - no one can ever be - educated in school or college.”[6]

Ivan Illich dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang bukan sahaja hilang fungsi ‘mendidik’ tetapi fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut beliau: “Many students, especially those who are poor, intuitively know what the schools do for them. They school them to confuse process and substance. Once these become blurred, a new logic is assumed: the more treatment there is, the better are the results; or, escalation leads to success.”  Tambahnya lagi,“the pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, great advancement with education, a diploma with competence, a fluency and the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”.[7]

Lontaran idea dan kritik di atas ini adalah pada hakikatnya sah dan menggambarkan suasana yang melatari pendidikan semasa yang meratai dunia keseluruhannya. Justeru, adalah menjadi keutamaan bagi kita mempertanyakan persoalan-persoalan asasi yang bersangkutan dengan pendidikan dalam usaha menyingkap permasalahan berkaitan pendidikan tinggi dalam negara.

Zaini Ujang dalam mengungkapkan perkembangan disiplin ilmu di universiti mengakui akan tuntutan dan pengaruh kuat pasaran semasa. Ini mengakibatkan disiplin ilmu asas seperti falsafah, teologi, sejarah, matematik, kimia, ilmu wahyu, sains kemanusiaan dan kajian bahasa tidak begitu mendapat sambutan dalam kalangan calon mahasiswa berbanding jurusan-jurusan seperti sains gunaan, multimedia dan teknologi. Sebab utama – tuntutan pasaran kerja.[8]

Beliau menambah: “sesuai dengan kefahaman serta kefahaman itulah maka falsafah, nilai, gagasan serta peranan university juga berubah mengikut keperluan pasaran kerja, khususnya daripada perspektif ilmu moden…. Kenyataannya, ketika ini ilmu falsafah  yang satu ketika dahulu menjadi ‘ilmu wajib’ sudah hilang peranan dan kepentingannya dari perspektif calon mahasiswa. Disiplin ilmu yang lebih diberi keutamaan ketika iniialah ilmu sains dan sastera gunaan serta teknologi.”.

Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan IPT di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan IPT ini sebenarnya langsung tidak layak menjadi indikator keberdayaan universiti melahirkan graduan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group, sebaliknya kelumpuhan berlaku meranapkan idea university sebagai simbol wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pendidikan’? Secara umum, pendidikan bermaksud ‘suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia’ (a process of instilling something into human being).[9]  Berdasarkan definisi ini, ‘suatu proses menerapkan/menyuntik’ (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, ‘sesuatu’ (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima.[10]  (Rujuk Rajah 2)


Persoalannya, bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini jelas tersasar dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan telah di’komoditi’kan, di’komersialisasi’kan dan di’politisasi’kan. Siddiq Fadzil dalam kritikannya terhadap pendidikan tinggi masa kini menyatakan:

“Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut.  Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti.  Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat.  Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, “Pendidikan Yang Memiskinkan” dan “Orang Miskin Dilarang Sekolah.”[11]


Al-Mustakbirun dan Pendidikan: Komersialisasi dan Politisasi
            Ideologi sekolah pemikiran Chicago pimpinan Milton Freidman atau neo-liberal globalization mulai menular ke seluruh pelosok dunia termasuk negara-negara dunia ketiga. Para pemimpin negara-negara dunia mula menjalankan program penstrukturan semula pentadbiran termasuklah pentadbiran pendidikan berpedomankan ideologi Milton Freidman ini. Bagi Freidman, kerajaan wajar memotong perbelanjaan pembiayaan kepada sekolah awam:

Since education should be each individuals responsibility, parents as well as students should make the necessary sacrifices to ensure the best education and hence a better future.[12]

Andainya demokratisasi dan privatisasi pendidikan mahu direalisasikan harus dipastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau.  Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.

            Dalam konteks hubungan antara pendidikan dengan pemerintah, seringkali pendidikan digunakan sebagai alat bagi mencapai cita-cita dan kehendak pemerintah, juga bagi mengekalkan kuasa sang pemerintah mustakbirun. Tokoh-tokoh pendidikan dunia umpamanya Paolo Freire yang terkenal dengan karya Pedagogy of The Oppressed menyarankan idea pendidikan yang membebaskan dengan metod dialogikal bagi menghentam sistem pendidikan yang membelenggu yang dilakukan kelompok penguasa bagi mengekalkan rakyat dalam keadaan fantasi yang dianggap realiti.

Manakala, tokoh seperti Allan Bloom dalam karyanya The Closing of American Mind muncul dengan kritikan pedas terhadap sistem pendidikan Amerika yang menyebabkan minda orang Amerika terbelenggu dengan awangan kehebatan Amerika semata. Keadaan yang sama juga berlaku .


Al-Mustakbirun dan Upaya Pelemahan
Kebobrokan dan kebodohan bawah sedar (unconscious stupidity) berlaku dalam sosio-intelek masyarakat kampus. Mahasiswa  dalam perbenturan (clash) dengan penguasa (authority) institusi pendidikan tetapi mereka (authority) mempunyai niat buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang menindas mahasiswa demi mencapai cita-cita diablois mereka. Golongan penguasa ini juga kita kenali sebagai golongan al-Mustakbirun.

Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa, disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan. Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan“robotized and machinized society” sudah lama lupa dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan. Dalam kata lain, masyarakat mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya.

Maka, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah“masyarakat bengong”.

Secara psikologinya, ‘masyarakat bengong’ mengalami penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual) yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu al-Sayyib min al-kalimi al-Tayyib

“…kalau sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka, ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”

Allah Ta’ala berfirman,
“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran…”(surah al-Kahfi : ayat 28)

Beralih pula kepada al-Mustakbirun; kelompok elit lagi sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini. Mereka cuba menjadikan pendidikan sebagai suatu wahana keuntungan fizikal (education as a tool for physical beneficial) melalui institusi pendidikan.

Proses‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan. Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif pendidikan Teori Konflik;

“Pendidikan dipersepsikan sebagai sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi menjadi punca konflik dalam masyarakat”

Jadi, menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.

            Sewajarnya, mahasiswa sedar dan tidak sepatutnya terlalu nyaman dengan apa yang dihidangkan di hadapan mata mereka kini. Adapun bagi kelompok yang punya idealisme dan ingin memperjuangkan hak mahasiswa, percaturan dan perencanaan strategi dan tindakan yang bijak adalah amat perlu; tidak terlalu membuta tuli, malah jangan mudah lentur kepada mana-mana pihak atau kelompok kontra-establishment seperti parti pembangkang ataupun senior-senior aktivis agar selayaknya dengan tahap mereka sebagai seorang penuntut ilmu di menara gading.






Rujukan:

[1] Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009)
[2] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin,(KL: ISTAC, 2001), hal. 6
[3] Ibid. Hal. 137-138
[4] Fareed Zakaria, The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards--but he needs to do it for everyone. (Lawrence Summers) (Brief Article), http://www.encyclopedia.com/doc/1G1-81469874.html
[5] Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009), hal. 4
[6] Montimer J. Adler, “Schooloing Is Not Education”, http://www.cooperativeindividualism.org/adler-mortimer_schooling-is-not-education.html
[7] Mark K. Smith, “Ivan Illich: Deschooling, Conviviality and the Possibilities for Informal Education and Lifelong Learning”, http://www.infed.org/thinkers/et-illic.htm  
[8] Zaini Ujang, Universiti, Kreativiti, Inovasi, (Johor: Penerbit UTM, 2009), hal. 36
[9] Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999), hal. 19.
[10] Ibid.
[11] Siddiq Fadzil, “Krisis Kependidikan Masa Kini: Cabaran Membina Generasi Berjiwa Merdeka”, http://www.khairaummah.com, 26-10-06
[12] Pernel Fisher, “The Impact of Disaster Capitalism on England's Education System”, http://www.lilith-ezine.com/articles/politics/Disaster-Capitalism-England.html

oleh:
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh

August Ferdinand Mehren (1822 – 1907)

August Ferdinand Mehren merupakan seorang orientalis terkemuka dari Denmark dan juga ahli bahasa (philologists). Beliau dilahirkan pada 6 April 1822 dan meninggal dunia pada tahun 1907. Beliau merupakan anak jati Helsingør, sebuah bandar di Timur Denmark.

Beliau belajar di tiga buah universiti terkemuka iaitu University of Copenhagen, University of Leipzig dan University of Kiel, dan menyelesaikan sarjana doktor falsafahnya pada tahun 1845. Di University of Leipzig, beliau merupakan anak didik kepada cendekiawan terkemuka, Heinrich Leberecht Fleischer (1801-1888), dan di University of Kiel, beliau belajar di bawah pemerhatian sarjana terkenal Justus Olshausen (1800-1882). Pada tahun 1854, beliau menyandang jawatan professor bidang bahasa-bahasa Semitik di University of Copenhagen.

Dalam karya ilmiahnya, Mehren memfokuskan kepada kajian puisi dan prosa Arab. Pada 1853, beliau menerbitkan sebuah karya besar tentang retorika dan linguistic Arab bertajuk  Die Rhetorik der Araber (1853), dan dua dekad kemudian, beliau menerbitkan sebuah karya agung, kosmografi ahli kaji bumi Syria Muhammed al-Dimashqi (1256-1327) yang beliau translasikan ke dalam bahasa Perancis dengan tajuk Manuel de la cosmographie du moyen age (1874). 

Bersama-sama Prof. Olshausen dan ahli bahasa Denmark, Niels Ludvig Westergaard (1815-1878), beliau mengkatalogkan manuskrip Avestan ke dalam koleksi yang diberi judul Codices Orientales Bibliothecae Regiae Havniensis. Di hujung hayatnya, beliau menulis beberapa karya ilmiah yang berkaitan dengan karya falsafah dan mistik tulisan Ibnu Sina seperti teks dan ulasan yang beliau translasikan ke dalam bahasa Perancis berjudul Traité Mystique d'Abou Ali al-Hosain b. Abdallah b. Sina ou d'Avicenne (1889).



Rujukan:

2.      Wikipedia: The Free Encyclopedia (http://en.wikipedia.org/wiki/August_Ferdinand_Mehren)
3.      Wikipedia: The Free Encyclopedia (http://en.wikipedia.org/wiki/Al-Dimashqi)

oleh:
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh


Rasmus Rask (1787-1832)

Rasmus Rask dilahirkan pada 22 November 1787 di Pulau Funen, Denmark dan meninggal dunia pada 14 November 1832 di Badstuestraede 17, Copenhagen. Pada makam peringatan beliau ditulis dalam bahasa Arab, Sanskrit dan Norse Kuno. Beliau merupakan seorang cendiakwan berbangsa Denmark dan ahli bahasa (philologist).

Rasmus Rask merupakan orang yang pertama merangka ilmu perbandingan bahasa secara sistematik di Barat. Beliau mengemukakan sebuah teori bahasa dikenali sebagai Grimm's Law, dan menulis banyak buku dalam bdang tatabahasa dan linguistik.

Sebelum berusia 18 tahun, beliau belajar secara sendiri tentang Icelandic (epik orang Iceland), dengan hanya berpandukan epik Snorri's Edda dan terjemahannya dalam bahasa Denmark. Beliau merantau ke banyak Negara termasuklah Russia, Parsi, India, Iceland and Scandinavia, berterusan belajar and mengumpul bahasa. Menjelang kematiannya, beliau sudah menguasai hampir 25 bahasa dunia.

Walau bagaimanapun, beliau meninggal dunia dalam usaha yang masih muda iaitu 45 tahun. Beliau tidak berhenti belajar dan tidak pernah berkahwin. Rask belajar di University of Copenhagen dan menunjukkan bakat luar biasanya dalam pengajian bahasa. Pada tahun 1808, beliau dilantik sebagai pembantu penyelia perpustakaan university dan beberapa tahun selepasnya menyandang jawatan Professor dalam Kesusasteraan Sejarah.

Pada tahun 1811, beliau menerbitkan Introduction to the Grammar of the Icelandic and other Ancient Northern Languages yang ditulis dalam bahasa Denmark. Reputasi yang cemerlang menyebabkan beliau ditawarkan untuk berkhidmat di Arnamagnæan Institution, di mana beliau telah dilantik sebagai editor the Icelandic Lexicon of Björn Halldórsson (1814),

Pada Oktober 1816, Rask meninggalkan Denmark untuk ekspedisi bahasa yang dibiayai raja. Beliau menjelajah ke seluruh dunia untuk mengkaji bahasa-bahasa Timur dan mengumpulkan manuskrip untuk perpustakaan University of Copenhagen. Di Sweden, beliau menerbitkan Anglo-Saxon Grammar (1817) dan pada tahun 1818, beliau menerbitkan Essay on the Origin of the Ancient Scandinavian or Icelandic Tongue (1818). Pada tahun yang sama beliau berjaya membawa pulang edisi lengkap Snorri's Edda dan Sæmundr's Edda dalam manuskrip asal beserta terjemahannya dalam Bahasa Sweden.

Pada 1819, di St Petersburg, beliau menulis sebuah makalah dalam Bahasa German bertajuk "The Languages and Literature of Norway, Iceland, Sweden and Finland," Beliau pernah tinggal di Parsi (Iran). Antara tempat yang beliau jelajahi ialah Tabriz, Teheran, Persepolis, and Shiraz. Dalam masa enam minggu, beliau Berjaya menguasai Bahasa Parsi.

Pada tahun 1820, beliau menetap seketika di Bombay, India dan menulis sebuah makalah berbahasa Inggeris bertajuk "A Dissertation on the Authenticity of the Zend Language". Dari Bombay, beliau ke Ceylon, dan tiba pada tahun 1822, dan tidak lama kemudian menulis sebuah artikel berbahasa Inggeris bertajuk "A Dissertation respecting the best Method of expressing the Sounds of the Indian Languages in European Characters," yang dimuatkan dalam The Transactions of the Literary and Agricultural Society of Colombo.

Rask pulang ke Copenhagen pada bulan Mei 1823, membawa pulang bersamanya manuskrip-manuskrip Timur, Parsi, Zand, Pali, Sinhalese, dan lain-lain. Antara waktu kepulangannya dari Timur dengan waktu kematiannya, Rask menerbitkan karya ilmiah berikut dalam bahasa ibundanya: a Spanish Grammar (1824), a Frisian Grammar (1825), an Essay on Danish Orthography (1826), a Treatise respecting the Ancient Egyptian Chronology dan an Italian Grammar (1827), dan the Ancient Jewish Chronology previous to Moses (1828). Beliau juga berperanan sebagai editor untuk an edition of Schneider's Danish Grammar for the use of Englishmen (1830), dan the English translation of his Anglo-Saxon Grammar by Thorpe (1830).

Batu Nisan Rasmus Rask di Copenhagen 
dengan tulisan dalam Bahasa Arab, Sanskrit dan Norse lama


Rujukan:
1.  Britannica Online: Academic Edition
2. Wikipedia: The Free Encyclopedia (http://en.wikipedia.org/wiki/Rasmus_Christian_Rask)


oleh:
Al-Fadhil Ustaz Muhadhir Bin Joll
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Pendahuluan

Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah termasuk di dalam ibadah puasa Tathawwu’ (amalan ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah). Kebanyakan ahlil ilmi mengatakan sunnat berpuasa 6 hari di bulan Syawwal termasuklah Ibn Abbas, Thaus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain[1].

Imam Nawawi mengatakan: Hadith ini (iaitu hadith Abu Ayyub al-Anshari di bawah) jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal)[2].

Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadhan dan boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardhu tersebut[3].

Sesungguhnya puasa selama 6 hari di bulan Syawwal mengandungi pahala yang sangat besar sekali. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Ayyub al-Anshari, sesungguhnya Rasulullah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun[4].


Sebahagian ulama menafsirkan, mengerjakan puasa sepanjang tahun ini merujuk kepada ganjaran kebajikan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunnat di bulan Syawwal ini. Ini lebih jelas disebutkan di dalam hadith daripada Thauban, daripada Rasulullah, sesungguhnya Baginda bersabda:

مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya[5].


Oleh kerana itu, puasa sebulan di bulan Ramadhan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawwal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari)[6].



Di dalam hadith lain daripada Ibn Umar berkata: Rasululullah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya[7].



Waktu dan perlaksanaannya
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhazzab: Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama’ Syafi’iyyah): Dan disunnatkan puasa enam Syawwal itu berturut-turut pada awal Syawwal dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawwal nescaya harus[8].

Ibn Mubarak memilih awal bulan dan beliau mengatakan jika bercerai-cerai harus[9].


Afdhal
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muslim: Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawwal)[10].


Qadha’ puasa dan puasa sunnat Syawwal
Mengqadha’kan puasa bulan Ramadhan adalah sesuatu yang wajib. Jika ia dilakukan secara berasingan (separated) dengan puasa sunnat Syawwal, maka ia jelas difahami akan bolehnya. Persoalan timbul apabila ia dilakukan sekali gus (combined) dengan puasa Syawwal dalam bulan Syawwal. Para ulama’ khilaf mengenainya.

1) Imam Syamsuddin al-Ramli[11] mengatakan:

ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء، حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعًا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرامي وغيرهم، ولكن لا يحصل له الثواب الكامل.

Maknanya: Dan jika seseorang berpuasa pada bulan Syawwal secara qadha’ atau nazar atau selain keduanya atau pada hari seumpama hari 'Asyura`, hasil baginya (dia mendapat) pahala puasa sunnat hari tersebut seperti mana telah difatwakan oleh ayahku (iaitu ayahanda Imam al-Ramli iaitu Imam Syihabuddin al-Ramli) kerana mengikut fatwa Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna[12].

Rumusan:
1- Jika puasa qadha’ atau nazar dilakukan pada bulan Syawwal atau hari Asyura, orang tersebut akan mendapat juga pahala puasa sunnat hari yang dia berpuasa itu (dia akan mendapat pahala puasa sunnat bulan Syawwal atau puasa hari Asyura).

2- Walau bagaimanapun, dia tidak akan mendapat pahala puasa sunnat yang sempurna.

Pendapat Imam Syaikh Ramli ini diikuti oleh ramai ulama termasuk ulama di dunia Melayu. Di sini, dinukilkan pendapat mengenainya seperti yang termaktub di dalam 3 kitab Jawi besar dalam fiqah di dunia Melayu yang menjadi rujukan oleh kitab-kitab fiqah lain.


2) Kitab Sabil al-Muhtadin (di alam Melayu dikenal dengan kitab Sabilal Muhtadin), karangan Al-Alim al-Allamah Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau menulis:

(Soal) Jika seorang puasa qadha’ atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada?

(Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah: Hasil baginya pahala sunnat Syawwal, jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya (selepasnya)[13]. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian (selepas) daripada umpama qadha’ itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi sharif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal. Dan jika tiada, maka sunnat mengqadha’ dia pada bulan Zulqaedah[14].


Rumusan:
1- Jika dia puasa qadha’ atau nazar tanpa sebelumnya ada niat puasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar itu, dia akan mendapat pahala puasa sunnat Syawal. Jika dia ada niat seperti itu, maka dia tidak mendapat pahala sunnat Syawwal.
2- Oleh kerana jika dia sudah berniat berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’, hendaklah dia berpuasa sunnat Syawwal tersebut dalam bulan Syawwal itu juga.

3- Jika bulan Syawwal sudah selesai, maka sunnat dia mengqadha’kan puasa sunnat Syawwal itu di bulan Zulqaedah.


3) Di dalam kitab Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Faththoni, beliau menulis:

(Dan jika ada) padanya puasa qadha’ atau nazar atau lainnya, maka jika ada niatnya hendak puasa sunnat Syawwal itu kemudian daripadanya, maka tiada hasil sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu. Dan jika tiada seperti ia niatkan serta qadha’ atau nazar, sunnat syawwal, hasillah pahala keduanya, atau tiada diniatkan puasa sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu, lepaslah tuntutannya, yakni tiada dituntut puasa sunnat Syawwal lagi. Demikianlah disebut pada Mudabaghi tempatnya. Hasilnya itu, jika tiada diniatkan puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ atau nazar…[15]

Rumusan:
1- Jika dia ada berniat untuk berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak mendapat mendapat pahala sunnat Syawwal, cuma mendapat pahala puasa qadha’ atau nazar sahaja.

2- Jika dia berniat puasa qadha’ atau nazar sahaja, maka dia mendapat pahala puasa kedua-duanya (pahala qadha’ atau nazar dan pahala puasa sunnat Syawwal).

3- Jika dia tidak berniat puasa sunnat Syawwal ketika melakukan puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak dituntut untuk menunaikan puasa sunnat Syawwal.


4) Kitab Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Shafi, karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni. Beliau juga menukilkan pendapat Imam Ramli dalam tulisannya:

(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha’ atau puasa nazar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari 'Asyura` akan puasa qadha’ atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Barazi dan Syaikh Ashfuni dan Syaikh Nasyiri dan al-Faqih Ali bin Shalih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits)[16].

Rumusan:
1- Seperti rumusan pada qawl (pendapat) perkataan Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj di atas.



Natijah:
Daripada perbincangan para ulama’ (di dalam kitab-kitab yang telah disebutkan di atas), dapat diambil panduan hukum iaitu:

Seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa 6 Syawwal walaupun tidak sempurna pahala sunnat puasa 6 itu, sama ada – semasa puasa itu – berniat qadha’ sahaja atau niat qadha’ serta sunnat puasa 6 sekali gus, dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Ini adalah pendapat Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Kabir) dan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Shaghir), termasuklah sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib al-Syarbini, Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathoni dan lain-lain.


Penutup
Beberapa perkara yang boleh dinyatakan di dalam persoalan puasa qadha’ Ramadhan yang disertakan (combined) dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal antaranya:

1) Ia adalah antara perkara khilaf di kalangan para ulama’.

2) Kebanyakan para ulama mengatakan seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa Syawwal dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Justeru, boleh menggabungkan puasa qadha’ dan puasa sunnat Syawwal sekali gus.

3) Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat hanya mendapat pahala qadha’ sahaja dan tidak mendapat pahala sunnat 6, jika hanya berniat qadha’ dan tidak berniat puasa sunnat. Walau bagaimana pun, jika dia berniat qadha’ serta sunnat sekali gus, maka tidak sah dan tidak mendapat pahala untuk kedua-dua puasa tersebut. Ini adalah pendapat Imam Nawawi dan Imam Asnawi[17]. Ada juga ulama yang mengatakan dia hanya mendapat pahala qadha’, tidak mendapat pahala sunnat, melainkan jika ada niat puasa sunnat itu. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami[18].

4) Bagi pandangan al-Faqir- setelah merujuk kepada panduan pendapat para ulama dan masyaikh di dalam kitab dan perbincangan mereka-, jika bulan Syawwal masih panjang, adalah lebih baik menunaikan puasa qadha’ dahulu dan selepas itu menunaikan puasa 6. Ini adalah kerana mengikut kaedah: مَا أَكْثَرَ فِعْلاً أَكْثَرَ فَضْلاً (Apa-apa yang banyak dibuat, maka banyak pula fadhilatnya). Ia juga sebagai suatu ihthiyath (berhati-hati) memandangkan ada pendapat yang tidak membolehkan menyertakan sekali kedua-dua puasa ini. Jika bulan Syawwal sudah di penghujung, maka menggabungkan di antara puasa qadha’ dan sunnat Syawwal adalah baik. Wallahu a’lam.

4) Berusahalah bersama-sama agar kita tidak terlepas untuk menunaikan puasa 6 hari Syawal ini sebagai taqarrub (untuk menghampirkan diri kepada Allah) di samping ganjaran yang besar seperti yang disebut di dalam riwayat hadith.

والله أعلم بالصواب


Nota kaki:

[1] Rujuk Lathaif al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-‘Am min al-Wazhaif, Al-Imam al-Hafiz Zainuddin bin Rajab al-Hanbali, ta’liq Muhammad al-Iskandarani, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/ 1996M, ms 209.

[2] Rujuk Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, Bairut: Dar al-Qalam, 1987, 8/56.

[3] Rujuk Al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, Al-Imam al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, tahzib wa taqdim, Syaikhuna, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Bogor: Al-Ma’had al-Ali li al-Tafaqquh fi al-Din, Cetakan Kedua, 1418H/ 1997M, ms 179.

[4] Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Al-Shiyam, Abu Daud dalam kitab Al-Shiyam,Tirmizi dalam kitab al-Shawm, Ibn Majah dalam kitab Al-Shiyam.

[5] Diriwayatkan Ibn Majah. Hadith ini disebut di dalam kitab Fadhail al-A’mal, Al-Hafiz Dhiyauddin, Muhammad bin Abd al-Wahid bin Ahmad al-Maqdisi, Madinah: Jam’iyyah al-Birr, 1412H, ms 42.

[6] Disebut oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim seperti yang dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi Syarah bagi Mukhtasar Shahih al-Tirmizi, 5/127. Rujuk juga Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Shawab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathoni, Dar al-Fikr, 2/128. Bilangan 360 hari di sini merujuk kepada hari dalam setahun tahun Hijriyyah, bukan Masahiyyah.

[7] Diriwayatkan oleh Tabrani di dalam Al-Awsat.

[8] Bahr al-Mazi, 5/127. Lihat juga Al-Shirat al-Mustaqim, Al-Alim Al-Allamah Syaikh Nuruddin Jilani bin Ali Hasanji bin Muhammad Humaid al-Raniri (kitab ini berada di tepi kitab Sabil al-Muhtadin), ms 138.

[9] Rujuk Bahr al-Mazi , 5/126.

[10] Rujuk Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Syaikh Muhammad Al-Syarbini al-Khatib, Fathoni: Matba’ah Ibn Halabi, t.t, 1/245, Bahr al-Mazi, 5/127, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni, Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif, t.t, ms 65, Kifayah al-Muhtadi pada Menerangkan Cahaya Sulam al-Mubtadi, Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathoni, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, 1351H, ms 162 dan Idaman Penuntut pada Menghuraikan Yang Kusut, Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya, Penggal Pertama, 1983, ms 148.

[11] Beliau ialah salah seorang ulama besar dalam fiqh mazhab Syafi’e. Diberi gelaran Imam Syafi’e al-Shaghir (Imam Syafie kecil) kerana kedalaman dan kewibawaannya dalam ilmu pengetahuan. Kitabnya Nihayah al-Muhtaj dan Tuhfah al-Muhtaj sentiasa menjadi rujukan utama para ulama untuk mengetahui pendapat yang dipakai di dalam mazhab Syafi’e.

[12] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj fi al-Fiqh 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'e, Syaikh Ramli, Egypt: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1993, 3/208–209. Pendapat beliau disokong juga oleh Al-Imam Al-Khatib al-Syarbini (rujuk Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2/184).

[13] Umpamanya dia mengqasadkan (meniatkan) beberapa hari sebelum dia mengerjakan puasa qadha’: “Aku nak puasa qadha’ dulu. Lepas puasa qadha’ ini, aku akan puasa sunnat Syawwal 6 hari pula”. Jika dia berniat seperti itu, maka, dia tidak mendapat pahala puasa sunnat Syawwal 6 hari itu, jika dia menyertakan (combine) puasa qadha’ serta puasa sunnat Syawwal sekaligus kerana dia sudah berniat untuk melakukan puasa sunnat itu tidak sekali (separate) dengan puasa qadha’.

[14] Rujuk Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh bi Amr al-Din, Al-Imam al-Allamah al-Syaikh Muhammad Ahmad bin Abdullah al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, t.t, 2/160–161.

[15] Bughyah al-Tullab, Dar al-Fikr, 2/128.

[16] Rujuk Al-Bahr al-Wafi, kompilasi oleh Syaikhuna al-Marhum, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Soghir bin Abdullah al-Riawi al-Fathoni, Kuala Lumpur: Khazanah Fathoniyyah, Cetakan Kedua, 2005, ms 376.

[17] Rujuk Fath al-Mu’in, Al-Alim al-Allaamah Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari.

[18] Rujuk I’anah al-Tholibin hasyiah bagi Fath al-Mu’in, Syaikh Abu Bakar Syatha al-Bakri al-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Syaikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan. 

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget