Halloween Costume ideas 2015
MPS
Latest Post



Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) telah menganjurkan lebih daripada 10 seminar di pelbagai tempat termasuk di luar Lembah Klang. Penganjuran ini telah mendapat perhatian masyarakat di Malaysia dan antara objektif penganjuran adalah seperti berikut;

- menyentuh hal permasalahan masyarakat
- platform kepada penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan yang berkaitan Islam dan budaya Melayu

Justeru bagi mencambahkan lagi budaya penyelidikan di kalangan masyarakat Malaysia terutama golongan muda, ASASI sekali lagi akan menganjurkan Seminar Intelek Muda ASASI. Seminar ini adalah terbuka kepada semua dan para ahli muda ASASI terutamanya berusia di bawah 40 tahun adalah dimohon hadir. Penyertaan juga dibuka kepada mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai ASASI dan mendaftar sebagai
ahli ASASI.

Tarikh : 10 hingga 11 Oktober 2009 (Sabtu-Ahad)
Tempat : Perpustakaan Daerah Hulu Langat (Berhadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Hulu Langat)
Yuran Penyertaan : RM20.00

Penyertaan juga dibuka kepada mereka yang berminat untuk mendaftar keahlian dan ingin memperoleh penerangan langsung tentang ASASI.

Berikut disertakan nama dan tajuk-tajuk pembentangan;

1. Ikhwan - Matematik Tulen Berhalatuju
2. Amin Ahmad - Isu-Isu Perhutanan di Malaysia
3. Hamidi - Peranan Generasi Muda dalam Pembangunan Sains
4. Wan Ahmad Faysal - Universiti dan Minda Terjajah
5. Tarmizi - Menilai Period Pemodenan Bahasa Melayu : Kedatangan Islam ataupun Kolonialisme
6. Hariszuan - Intelektual dan Intelektualisme di Malaysia
7. Firdaus - Demokrasi dalam Negara Islam
8. Kamarul - Pendidikan Senibina kepada Masyarakat, Tanggungjawab siapa?
9. Mohd. Yunus Sharom - Bioinformatik : Penggunaan TMK/ICT dalam Biologi
10. Dr. Roslan - Kualiti Air di Kawasan Perindustrian
11. Yusharina - Sukatan Melayu Semenjak Awal
12. Ashraf - Kalkulus Neston dan Kalkulus Leibniz
13. Rizal - Hak Asasi & Ketaatan dalam Tradisi Melayu : Meninjau Impaknya ke atas Budaya Politik Melayu
14. Zahrin - Peranan Abjad dalam Tamadun Melayu
15. Noraishah - Peranan Wanita dalam Sorotan Sejarah
16. Dr. Mohammad Alinor - Puteri Mayang Mengurai: Ratu “Pertama” Funan/Champa
17. SM Zakir - Perkembangan Sastera di Alam Melayu
18. Aimran - Astrobiologi : Satu Huraian Ringkas
19. Faudzi - Matra-matranya yang Hilang
20. Ali Bukhari - ASASI Halatuju Siswa IPT & Cara Manfaatkan Tenaga Intelektual Muda di Kampus-kampus

Untuk mereka yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan menerusi http://www.kesturi.net/archives/1038#usermessage16a.

Sebarang pertanyaan mengenai Seminar Intelek Muda ASASI 2009 dan ASASI bolehlah dirujuk kepada: asasi@kesturi.net.



Hari raya tahun ini kurasakan kurang meriah. Entah mengapa, aku sendiri kurang kerap berkunjung ke rumah sanak saudara. Rumah kawan-kawan pun macam itu juga. Entahlah..
Selepas beberapa hari menyambut kemeriahan Syawal di kampung datuk-nenek, aku pulang ke rumah. Kampung juga; Kampung Pinang.

Selang sehari dua selepas itu, sanak saudara dari kampung datuk-nenek pula membalas kunjungan kami yang lalu. Selepas makan tengahari dan berrhat seketika – masa itu kira-kira lingkungan tiga ke empat petang. Aku duduk-duduk di dapur.

Bersamaku ada tok (nenek), Mak Tam, Mak Ngah, juga beberapa orang adik sepupu. Aku tak duduk-duduk sahaja. Aku baca buku. Buku tentang pergolakan di Asia Barat moden. Buku ini dihadiahkan oleh Ustaz Fadzil, Yang Dipertua WADAH (sebuah NGO) di Pulau Pinang. Rupa-rupanya, Ustaz Fadzil ini pun orang Kampung Pinang juga.
Aku baca buku. Tiba-tiba Tok menegur aku dengan kata-katanya:

“Hang ni dengan buku ja nu!” nadanya semacam hairan. Hairan dengan kecenderungan ‘luar biasa’ ini!

Memang, kalau ada ulat buku, terasa sesuatu yang pelik dan janggal. Tapi, berlambak-lambak ulat TV (televisyen) yang berlengkar di ruang tamu menghadap TV itu sesuatu yang tidak pula terasa pelik.

Dan ke’pelik’an yang besar bagi aku, namun mungkin tidak bagi kebanyakan masyarakat moden kini ialah tempat letak televisyen. Rata-rata rumah hari ini meletakkan TV di ruang tamu. TV di ruang tamu; perkara pelik yang dipandang normal!! Fenomena yang sudah menjadisuatu yang ‘terbiasa’ bagi masyarakat kita.
Kemunculan ulat TV yang mendadak menyebakan ketidakseimbangan ekosistem! Bencana bakal berlaku! Selamatan dunia daripada ancaman makhluk perosak: ULAT TV

p/s : aku tahu di sini ramai ulat TV.



Suatu hari Khalifah Hisyam bin Abdul Malik masuk ke dalam Masjidil Haram, tiba-tiba dia melihat Salim bin Abdullah bin Umar al-Khatab, seorang ulama besar dan termasuk salah seorang daripada fuqaha’ yang tujuh. Beliau membawa kasutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Ada yang mengatakan bahawa serban, kasut dan bajunya hanya berharga lebih kurang 13 dirham. Maka dilihat oleh Khalifah Hisyam bersama para amir (gabenor), para menteri dan para pengawal, lalu ia bertanya kepadanya: “Wahai Salim, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim berkata: “Tidakkah kamu berasa malu berkata seperti itu di dalam rumah Allah?”

Ketika Hisyam keluar, dia menunggu Salim keluar di luar perkarangan masjid. Hisyam bertanya lagi: “ Wahai Salim tadi kita di dalam Masjidil Haram, sekarang kita berada di luar Masjidil Haram, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim menjawab: “Daripada kepentingan dunia atau akhirat?” Hisyam menjawab: “Tentu sekali daripada kepentingan dunia.”

Salim berkata: “ Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia, saya tidak memohon dunia yang dimilikiNya, bagaimana mungkin saya akan memintanya daripadamu yang sangat miskin ini! Sesungguhnya manusia itu miskin. Apakah manusia itu mengira bahawa kalau dia sudah memiliki wang berjuta-juta atau pelbagai istana, rumah serba mewah, teman-teman yang ramai, dia telah memiliki dunianya? Dia tidak mengetahui bahawa kecukupan dan kekayaan itu menetap di dalam hatii, tatkala hati itu hidup bersama ini.

Dipetik dari Ahasinul Kalimi fi Syarhil Hikam karangan Dr. Zulkifli Mohamad al- Bakri.




Aku duduk di ruang tamu rumah Tok Wanku. Di sebelahku ada Angah dan nenekku yang aku panggil “tok”, panggilan orang utara terhadap nenek yang perempuan. Tok aku ini jenis yang tak berhenti kerja, ada sahaja benda yang nak dibuatnya. Sudah-sudahlah tu Tok! Tok pun dah tua, dah bongkok pun. Rehat-rehatlah! Bagi kami anak cucu ni pulak yang buat kerja.

Malam itu, semua ahli keluarga lain keluar ke rumah terbuka salah seorang pak menakan (bapa saudara) yang berpangkat Pak Tam di Klinik Kesihatan Daerah Kerian di Parit Buntar. Pak Tam ni tukang bawa ambulans.

Tak lama selepas itu, semuanya tiba di rumah. Mak Su berjalan ke ruang tamu lalu duduk di sebelahku.

“mana dia buku falsafah hang, Mak Su baca tak paham langsung!” Mak Su memulakan bicaranya.

Dia merujuk kepada sebuah buku berkenaan falsafah dan pemikiran Plato yang aku sedang cuba habiskan pembacaannya. Entahlah, aku ni ada tabiat buruk yang perlu aku ubah. Aku suka letak barang aku di merata-rata tempat, termasuklah buku-buku aku. Sebab tu sampai sekarang aku tak pakai jam tangan, takut hilang. Hilang sebab aku letak merata-rata lalu tidak mampu mengingat semula di mana tempat letak barangku. Mungkin Mak Su ada ternampak buku falsafah Plato aku tu di mana-mana sebelum ini.

Lantas, Mak Su mengambil beg yang berisi buku kepunyaanku. Habis diselongkarnya. Antara buku yang aku bawa ke kampung rumah Tok Wan termasuklah al-Muqaddimah karya Ibnu Khaldun, Islam and The Problem of Israel oleh Prof. Ismail al-Faruqi dan juga risalah Manzil susunan Maulana Zakariya Kandahlawi.

“hang esok besaq nak jadi apa? Pensyarah ka?” tanya Mak Su. Kenapa pulak mesti jadi pensyarah? Sebab buku-buku yang aku baca ke? Kalau nak diikutkan, secara zahirnya tak ada kaitan pun dengan jurusan yang aku ambil di Universiti. Tapi, tak semestinya tak boleh baca buku-buku semacam itu. Dah kecenderungan aku ke arah itu.
“nak jadi orang” jawabku bersahaja. Jawapan yang mudah dan berbaur ‘escapism’.

“memanglah jadi orang. Engineer ka? Pensyarah ka?” balas Mak Su

Mak Su menambah, “hang nanti lepas ni nak sambung master ka?”

“InsyaAllah” ringkas jawapanku.

Tiba-tiba, aku teringatkan Cikgu Mael, cikgu pendidikan jasmani di sekolah menengah dulu. Teringat konversasi yang berlaku antara aku dan cikgu Mael pada kira-kira dua tahun yang lepas, bertempat di Masjid Maimun; Masjid bagi qaryah Kampung Pinang, tempat tinggalku.

Cikgu Mael bertanya, “sambung belajar ke mana selepas ini?”

Aku menjawab, “ke UIA, engineering.”

“tak dapat tawaran ke oversea?” cikgu Mael bertanya lagi.
“ada, ke Korea Selatan, buat Engineering tajaan JPA, sama macam di UIA juga,” aku menerangkan.

Raut wajah Cikgu Mael berubah. “ngko ni biar betul. Yang ngko pergi tolak tawaran tu pasal apa? Ngko tahu tak berapa ramai graduan IPT dalam negara yang menganggur? Kalau ngko pergi Korea, balik esok confirm dapat kerja. Orang cari kau, tak payah ngko susah-susah pergi cari kerja. Aku rasa ngko rugi la.... cuba ko tengok abang-abang sekolah kau dulu, yang oversea semua dapat kerja, yang dalam negara.......bla..bla...bla...”

Cikgu Mael memang jenis selamba dan bersahaja. Beliau adalah antara guru yang paling rapat dan disenangi oleh para pelajar. Juga, beliau seorang yang agak kritis. Aku suka dia. Dia yang me’mula-cetus’kan panggilan atau gelaran atau laqab “Pinang” kepadaku, sehinggakan seluruh warga sekolah; dari pelajar, guru-guru, staf sokongan, mak cik dewan makan, pak gad (guard), pak cik tukang kebun dan lain-lain memanggilku Pinang sehinggalah sekarang.

Bebelannya itu membuatkan aku rasa kurang senang. Hati kecilku berkata, “bukannya nak bagi semangat, hampeh betul.. “

Aku sudahpun buat keputusan muktamadku ketika itu. Aku nak ke UIA. Keluargaku tak menghalang walaupun ada rasa kecewa kerana aku menolak tawaran yang mungkin jarang-jarang sekali dapat. Namun, siapakah manusia yang mampu menggugat keputusan aku ini? Tak ada yang mampu. Kerana aku orang yang punya prinsip. Pernah suatu ketika semasa di sekolah menengah, semasa aku berucap di hadapan para pelajar di dalam surau dalam ucapan penggulungan Presiden Badan Dakwah, aku ungkapkan sesuatu..
“saya orang yang ada prinsip dan prinsip saya yang saya yakini tak akan tergugat oleh sesiapa sekalipun walaupun orang itu seorang “pengetua”, PK HEM, warden, guru, pelajar, malah Presiden Amerika Syarikat sekalipun tak mampu mengganggu-gugat prinsip yang saya pegang.”

Ungkapan ini sebenarnya ada kisah di sebaliknya. Apa-apa pun, aku tetap berpegang dengan apa yang pernah aku ungkapkan.

Dan aku belajar bukan untuk mencapai pekerjaan. Itu prinsip aku. Aku belajar nak jadi “Orang”, bukan nak jadi “kuli”(pekerja). “Orang lain” hanya nampak belajar itu untuk cari kerja. Apakah kemuliaan bagi seorang penuntut ilmu sekiranya belajar dengan tujuan tertingginya mencapai pekerjaan?

Bicara lanjut tentang pendidikan dan komersialism, tujuan dan peranan ilmu, dan lain-lain yang menyangkut prinsip yang aku pegang mungkin dilaksanakan pada ketika dan kesempatan yang lain.

p/s : kepada Cikgu Mael, saya tak rugi masuk UIA. Kerana saya tahu, kerja bukan satu masalah bagi saya. Saya tak nak jadi kuli. Saya nak jadi “Orang”.




Bismillah ar-Rahmani ar-Rahim

Persoalan Kaum Muslimin; Tinjauan Krisis Utama Umat Islam

oleh

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


Pendahuluan

Secara geografinya, umat Islam mendiami satu kawasan yang luas merentang dari Maghribi (Morocco) di Barat hingga ke Indonesia di kawasan Timur. Jumlah umat Islam yang dianggarkan lebih daripada satu billion jiwa itu terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku, juga menuturkan pelbagai bahasa dalam komunikasi harian. Kepelbagaian ini disatukan dan diikat oleh satu jalinan yang kukuh iaitu akidah Islam.

Umat Islam suatu ketika pernah menjadi sebuah kuasa dunia yang kuat dan berpengaruh terutama sebelum abad ke-18, sehingga memungkinkannya tersebar sehingga ke satu per tiga dunia serta mempengaruhi perkembangan ilmu sains dan teknologi moden. Sebagai sebuah doktrin yang menganjurkan kesempurnaan dan keseluruhan, Islam menggarispandukan kehidupan insan melalui dua sumber utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

Kekuatan umat Islam dewasa itu ditunjangi dua sumber tadi dan budaya-tradisi ilmu terus berkembang dalam masyarakat Islam. Namun, situasi kaum Muslimin kini dilihat jauh berbeza dengan kualiti umat zaman sebelumnya. Kaum Muslimin yang serba-serbi kekurangan ini dilabel sebagai pengganas dan berbahaya sedangkan mereka acapkali ditindas baik dari segi fizikal, ekonomi, politik, psikologikal dan pemikiran. Penindasan terhadap kaum Muslimin bukan hanya terzahir oleh orang luar, malah umat Islam sendiri sehinggakan Islam selaku agama Haq yang menjelmakan prinsip-prinsip kehidupan yang harmoni dan progressif dilihat jumud, statik, kuno dan bersifat mengongkong.

Justeru, makalah ringkas ini berniat untuk mengupas persoalan kaum Muslimin khususnya selepas era imperialisme Barat ke atas dunia Islam yakni sekitar abad ke-18 hingga abad ke-20. Juga, tinjauan sejarah kemunduran umat dan beberapa dilema berkait pemikiran dan kerohanian di samping pendedahan ringkas isu-isu semasa umat Islam sedunia.

Tinjauan Ringkas Sejarah Kemunduran Umat

Umat Islam mula mengalami kemunduran yang ketara selepas Zaman Pertengahan (Medieval Period) iaitu kira-kira abad ke-18. Menurut Lothrop Stoddard dalam bukunya The New World of Islam, pada ketika itu di setiap tempat tiada langsung tanda-tanda terdapatnya unsur-unsur yang sihat. Dalam kata lain, dunia Islam sudah berubah berbanding zaman sebelumnya sehingga membenarkan kuasa asing menjajah mereka. Bumi umat Islam mula dibidak sewenang-wenangnya oleh bangsa Eropah terutama selepas Deklarasi Balfour 1918; menghalalkan dasar divide et impero oleh Kuasa Berikat (Alliance; Britain-France-Italy) selepas Perang Dunia Pertama. Keadaan bertambah buruk dengan pemansuhan sistem Khalifah Islam pasca Turki Uthmaniyah oleh Mustafa Kemal Attartuk yang menganut faham sekular ekstrim. Satu demi satu tanah umat Islam dijajah dan hasil bumi dirampas.Kaum Muslimin diselubungi kelembapan dan kejumudan yang amat. Abul Hassan Ali An-Nadwi juga telah mengemukakan pandangan yang serupa:

“ketandusan intelek dan kemunduran dalam sistem pendidikan bukanlah ciri-ciri khusus pada bangsa Turki , malah keadaannya adalah sama sahaja bagi seluruh Dunia Islam. Umat Islam sejagat telah mengalami kebekuan pemikiran dan kerohanian...

Bermula dari akhir kurun ke-15 M, bangsa Eropah telah melancarkan gerakan perluasan pengaruh secara besar-besaran melalui pelbagai cara. Prof. Ismail Raji al-Faruqi (al-Faruqi) menyatakan bahawa kolonialisme atau penjajahan ke atas umat Islam berlaku melalui penempatan rakyat Eropah di bumi umat Islam seperti yang berlaku di Algeria; kemasukan elemen asing bukan Islam (intrusion of alien non-Muslim element) ke dalam system masyarakat Muslim seperti di Malaysia, Indonesia, Cyprus, dan Palestin; eksploitasi ekonomi, budaya, imperialisme, misi Gereja, halangan terhadap kebangkitan dan pertumbuhan, penyebaran perbalahan dan fitnah – berlaku di mana-mana sahaja dalam Dunia Islam.

Sebenarnya, kemunduran ini bukanlah suatu perkara baharu. Ia tidak berlaku secara mendadak. Imam al-Ghazali menyatakan dalam karyanya al-Asjad al-Masbuk bagi menggambarkan kekuasaan Kerajaan Abbasiyah sebelum keruntuhannya:

“Mereka menumpukan perhatian untuk mendapatkan hartanah dan mengabaikan kepentingan orang ramai, melakukan perkara keduniaan yang dilarang, para petugas sibuk melakukan kezaliman dan mengumpul kekayaan..”

Antara kejadiaan tragis yang menimpa Kaum Muslimin dalam sejarah ialah peristiwa serangan bangsa Mongol atau Tartar pimpinan Hulagu Khan ke atas Kota Baghdad pada tahun 1258 M. Kelemahan dan kehinaan Umat Islam dewasa itu cukup menyedihkan.
Menurut Ibnu Kathir,

“ada satu riwayat yang menyatakan seorang lelaki Tartar telah menangkap seorang Muslim, tetapi si Tartar tidak membawa pedang, lantas katanya : “letakkan kepalamu di atas batu dan jangan bergerak”; lelaki Muslim itu pun meletakkan kepalanya di atas batu sehingga datang semula si Tartar itu dengan pedangnya lalu memenggal kepala lelaki itu”
Umat Islam yang diangkat oleh Allah sebagai ummatan wahidah sudah berpecah-belah. Perpecahan dalaman umat Islam begitu parah. Perkara ini telah pun diperingatkan oleh Rasulullah SAW, sabda baginda:

“aku memohon tiga perkara daripada Rabbku lalu Dia mengabulkanyang dua sementara stu lagi tidak. Aku memohon supaya tidak dibinasakan umatku sepertimana sunnah umat sebelumnya, lalu Dia memberikan kepadaku. Lalu aku memohon kepadaNya agar tidak membinasakan umatku dengan menenggelamkan mereka di laut. Permohonan itu pun diterimanya. Lalu, aku memohon kepadaNya agar tidak menjadikan umatku saling bermusuhan, namun, Dia tidak mengabulkannya”

Antara punca perpecahan dalaman umat pada zaman Abbasiyah termasuklah fanatisme mazhab, penyimpangan dalam amalan keagamaan, pengaruh pemikiran asing seperti Batiniyah dan Falsafah Peripetetik, pelonggokan kekayaan oleh pemerintah yang menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi, huru-hara dalam masyarakat akibat rusuhan, kebejatan akhlak dalam masyarakat, perpecahan dan pertikaian politik antara negeri umat Islam. Perpecahan umat yang parah ini mengundang kemaraan Tentera Salib dan membantu mempercepat kejatuhan kaum Muslimin.

Bencana demi bencana yang melanda kaum Muslimin telah melenyapkan daya pemikiran yang murni dan kemas dalam kalangan umat. Reformasi menyeluruh dalam bidang pemikiran dan ilmu pengetahuan pada kali terakhirnya telah dibuat oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali (m. 1111 M / 505 H), dan berikutnya oleh Shaik al-Islam Ibn Taimiyah (m. 1328 M / 728 H). Sesudah itu, walaupun masih ada para ulama yang member sumbangan dari semasa ke semasa, namun Dunia Islam terus malap dan mundur, terbelenggu dengan taqlid serta percakaran politik yang tidak sudah-sudah.

Dilema Muslim

Pelbagai persoalan menimbun dalam benak kaum Muslimin zaman selepas zaman penjajahan terutama pada era moden dan kini melangkah ke era pasca moden yang lebih mencabar. Persoalan-persoalan mengenai kemunduran dan keciciran masyarakat Islam dalam pebagai bidang seperti sains, teknologi, pendidikan, ekonomi terus meniti di bibir-bibir kaum Muslimin abad moden. Mereka membandingkan Dunia Islam hari ini yang mundur dengan Dunia Barat yang serba-serbi terkehadapan. Maka, tidak hairanlah ada yang tersilau dengan kemajuan Barat sehingga sanggup mengagung-agungkan Barat dan menuduh Islam sebagai punca kemunduran.

Maka, muncul tokoh-tokoh reformis era moden yang berniat mengembalikan dinamisme Islam yang hampir padam. Antaranya, Muhammad Ibn Abdul Wahhab di Arab Saudi, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, Taha Hussien, dan Hassan al-Banna di Mesir, Abdul hamid Bin Badis dan Malik Bennabi di Algeria, Tahir Jalaluddin dan Sayyid al-Hadi di Tanah Melayu, Sutan Alisyahbana di Indonesia, Muhammad Iqbal, al-Maududi dan Abul Hassan An-Nadwi di India-Pakistan serta al-Kawakibiy, Tahir al-Jazairi, Abdul Qadir al-Maghribi dan ramai lagi di serata Dunia Islam. Mereka menyeru kepada pengembalian umat Islam kepada ajaran agama yang sebenar dan menganjurkan pemodenan. Namun, tanpa menafikan jasa mereka, segelintir tokoh pembaharu ini bersifat adaptif yakni cenderung mengadaptasi Barat terutama dalam memahami maksud ‘pembangunan’ dan ‘kemajuan’. Ada yang terjebak dalam kancah modernisasi acuan Barat sehingga tidak sedar akan dampaknya terhadap diri dan masyarakat.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas) menyentuh beberapa persoalan asas yang menjadi dilema umat mutakhir ini. Menurut beliau, faktor dalaman kepada dilema Kaum Muslimin ialah fenomena ‘kehilangan/ keruntuhan adab’ (Loss of Adab). Adab menurut al-Attas ialah pengenalan dan pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana kedudukan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.

Faham adab menurut al-Attas ini merupakan faham yang tidak sempit dan diaplikasikan dalam segenap aspek kehidupan merangkumi perihal Tuhan, masyarakat dan individu. Kehilangan adab ini menatijahkan ‘kehilangan pertimbangan dan keadilan’ yang seterusnya tanpa sedar secara saling berturutan menyebabkan ‘kekeliruan dalam ilmu’ (confusion in knowledge).

Berhubung masyarakat Kaum Muslimin, kekeliruan ilmu Islam dan pandangan alamnya (Islamic worldview) mencipta keadaan yang memungkinkan kelahiran pemimpin yang tidak layak meneraju kepemimpinan masyarakat Muslim. Kemudiannya, pemimpin ini akan cuba memastikan kekeliruan ilmu itu terus berlaku dan terus-menerus melahirkan masyarakat dan pemimpin yang sepertinya.

Secara ringkasnya, dilema yang menyelubungi Kaum Muslimin adalah seperti berikut :

1. Kekeliruan dan kesilapan dalam faham ilmu, mencipta keadaan untuk:

2. Kehilangan adab dalam masyarakat. Keadaan yang muncul daripada (1) dan (2) ialah:

3. Kemunculan para pemimpin yang tidak berkelayakan untuk memimpin kaum Muslimin, yang tidak punya prinsip moral (integrity), tidak mencapai piawaian kualiti intelektual dan spiritual yang selayaknya untuk kepemimpinan dalam Islam, yang dengan kekeliruan dan kerancuannya itu secara terus-menerus mewujudkan keadaan (1) di atas, dan memastikan kesinambungan penguasaan kepentingan Kaum Muslimin di tangan pemimpin yang semacam mereka.

Punca masalah kaum Muslimin seperti yang tertera di atas adalah saling berkaitan dan berikutan kejadiannya, sehingga dia berlaku terus tiada terputus-putus, seolah-oleh sebagai suatu lingkaran rumit yang tiaada hujung pangkalnya.

Maka, bertitik-tolak daripada faktor-faktor yang disebutkan, muncullah kelompok-kelompok yang terkeliru dalam masyarakat Kaum Muslimin abad ke-20 ini. Antaranya, kelompok liberalis yang ekstrim. Mereka mempersoalkan kedudukan hukum hakam dalam Islam, memperjuangkan hermeneutics, mengagumi dan mengagungkan Barat, terlampau longgar dalam berijtihad, menolak kewibawaan (authority) dalam Islam dan pelbagai lagi tindakan mereka yang terlampau bermudah dan longgar sehingga menolak sebahagian besar tradisi keilmuwan Islam. Manakala di pihak yang satu lagi, muncul kelompok literalis ekstrim yang kaku dalam pentafsiran nas. Mereka cukup keras dalam menghukumkan sesuatu, mudah sekali mengeluarkan umat Islam yang berlainan aliran daripada agama, juga menolak wibawa (authority) dan sebahagian besar tradisi keilmuwan Islam.

Isu Semasa Kaum Muslimin

Atas sebab kegentingan inilah, Dunia Islam tidak putus-putus dikunjungi malang. Selepas kejatuhan khalifah pada tahun 1924, Dunia Muslim hilang tempat bergantung. Dunia Arab dipecah-pecahkan sehingga mengikut prinsip divide et imperio membentuk 22 buah Negara yang sehingga kini sering bertelagah. Krisis Negara Haram Israel dan kemerdekaan Palestin pernah selesai sejak pendudukan Israel secara haram di tanah suci itu 60 tahun yang lalu. Saban hari, angka korban meningkat dan keadaan ini seakan-akan tidak dipedulikan Dunia Arab, malah mereka ini jugalah yang bersekongkol dengan kuasa Barat dan Zionis dalam menindas umat Islam Palestin. Nasib umat Islam di Iraq dan Afghanistan juga tidak kurang memilukan.

Alam Melayu yang pernah melahirkan Kesultanan Melayu Islam yang agung, sepeti Kerajaan Islam Perlak, Kesultanan Melayu Samudera Pasai, Kerajaan Islam Demak, Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Melayu Acheh dipecahkan kepada Malaysia dan Indonesia dan diwujudkan Singapura sebagai ‘Israel’ di Asia Tenggara. Manakala, kerajaan-kerajaan Islam yang pernah wujud di Selatan Thai, Kemboja, dan Selatan Filipina dimusnahkan sama sekali. Umat Islam di sana telah di’nasionalisasi’kan dan ditindas oleh pemerintah dari kalangan bukan Islam. Ini dapat dilihat pada nasib yang menimpa Melayu Patani di Thailand, kemelaratan hidup umat Islam Kemboja, nasib bangsa Rohingya yang beragama Islam yang menjadi pelarian di Myanmar, pemerasan umat Islam di Mindanao dan kerancuan pemikiran Muslim Modernis di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Kaum Muslimin yang menjadi minoriti di wilayah lain dunia pula mengalami nasib yang serupa. Di China, suku Uyghur yang beragama Islam diperas. Krisis Kasymir masih belum selesai. Chechnya yang berada dalam wilayah pengaruh Rusia diperlaku sewenangnya oleh pemerintah. Wilayah Islam di Semenanjung Balkan seperti Bosnia-Herzegovina dan Kosovo masih belum habis bergolak.Pertubuhan yang mewakili Umat Islam sedunia seperti Organization of Islamic Countries (OIC) yang tertubuh sejak 60 tahun lalu langsung gagal berperanan dalam mempertahankan kesucian dan maruah umat.

Penutup
Umat Islam sebenarnya mampu kembali bermaruah dan bertakhta serta merajai dunia sebagaimana pencapaiannya suatu masa dahulu. Kebangkitan umat sudah mulai kelihatan dan sinar harapan sudah pun terbit. Dilema umat Islam mampu di atasi dengan mengembalikan adab dalam diri setiap individu muslim.

Kewujudan ‘Insan Adabi’ atau ‘manusia yang beradab’ seperti yang didefinisikan oleh al-Attas sebagai insan yang baik iaitu insan yang berilmu luhur, yang insaf akan tanggungjawab dirinya terhadap Hak Ta’ala, insan yang memahami serta menyelenggara penunaian tanggungjawab terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya, insan yang dalam setiap tingkah lakunya mengasuh dirinya sendiri menuju kesempurnaan mampu memulihkan maruah Islam yang tercalar dan menegakkan cara hidup Islam termasuk dalam bidang pemerintahan, politik, ekonomi dan pengurusan masyarakat.

Makalah ini hanya berniat menyajikan secara ringkas persoalan dan permasalahan Kaum Muslimin dan Dunia Islam;- sesuai dengan tajuknya. Adapun jalan keluar daripada masalah tidak dibincangkan secara terperinci di dalam makalah ini. Juga, tidak diperincikan tentang faktor luaran kejatuhan Islam dan isu semasa Dunia Islam. Justeru, amat signifikan sekali sekiranya pada kesempatan lain, perkara-perkara yang dinyatakan tadi mampu diperincikan. InsyaAllah. Allahu Taala A`lam.


-----------------------------------
Makalah ini merupakan kupasan dan ulasan bagi perenggan satu hingga empat dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin karya Prof Muhammad Naquib al-Attas terbitan ISTAC, Kuala Lumpur: 2001 dan dibentang pertama kali dalam Usrah Pimpinan Pusat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 29 September 2009 di Sekretariat PKPIM, Kg Tengah,Gombak.
Abad ke-18 telah diterima oleh kebanyakan sejarawan sebagai garis pemisah antara zaman Pertengahan (Medieval Age) dengan Zaman Moden (Modern Era).
Lothrop Stoddard, The New World of Islam, New York: Scibner’s, 1921, hlm. 20.
Abul Hassan Ali an-Nadwi menyebut tentang bangsa turki kerana abad ke-18 merupakan zaman pemerintahan Khalifah dari Dinasti Turki Uthmaniyah dan melihatkan keadaan bangsa Turki yang lebih terkehadapan pada masa itu.
Abul Hassan Ali An-Nadwi, Islam and the World, Academy of Islamic Research and Publication, Lucknow: 1973, hlm. 108.
Ismail Raji al-Faruqi, Islam and The Problem of Israel, The Other Press, Kuala Lumpur: 2003, hlm. 3.
Muhammad al-Ghazali, Warisan Islam Menurut Syarak dan Rasional, Cresent, Kuala Lumpur: 2009, hlm. 130.
Abul Hassan Ali An-Nadwi; Pasang Surut Sejarah Ummat Islam: 1982, hlm. 42.
Imam Muslim, Shahih Muslim; Hadis Riwayat Muslim daripada periwayatan langsung Saad Bin Abi Waqqas.
Untuk maklumat lanjut tentang kerancuan dan kekacauan dalam kehidupan umat Islam terutamanya dalam period Abbasiyah, rujuk Dr Majid Irsan Kailani, Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jerussalem ke Pangkuan Islam, Thinkers Library, Kuala Lumpur: 2000
Abul Hassan Ali An-Nadwi, Saviours of Islamic Spirit vol.1, Academy of Islamic Research and Publication, Lucknow: 1976, hlm. 112-176.
Abul Hassan Ali An-Nadwi, Saviours of Islamic Spirit vol.2, Academy of Islamic Research and Publication, Lucknow: 1976, hlm. 3.
Fadhlullah Jamil, Islam di Asia barat Moden; Sejarah Penjajahan dan Pergolakan, Thinker’s Library, Kuala Lumpur: 2000, hlm. 3.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur: 1978, hlm. 99
Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, International Institute of Islamic Thought and Civilization, Kuala Lumpur: 2001, hlm. 118.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, Angkatan Belia Islam Malaysia, Kuala Lumpur: 1978, hlm. 100. Lihat juga, Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, International Institute of Islamic Thought and Civilization, Kuala Lumpur: 2001, hlm. 136-137.
Ibid.
Ibid.
Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, International Institute of Islamic Thought and Civilization, Kuala Lumpur: 2001, hlm. 138.
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, Kuala Lumpur, ISTAC: 1995

Malam Raya ke-2. Seusai solat Isyak di Masjid Sg. Burong, aku bersama adikku Angah beredar pulang ke rumah datuk sebelah bapaku. Sebelum pulang, kami sempat ‘disoal siasat’ oleh beberapa orang veteran kampung merangkap pengunjung tetap masjid. Mungkin masjid ini hampir mengalami kepupusan “spesis muda belia”, sebab itulah kami menjadi tumpuan jemaah malam itu.

“Pak cik nak tanya, hang mai mana? anak sapa?” tanya seorang Pak Cik (yang sepatutnya berpangkat datuk di sisiku) dalam loghat Banjar bercampur loghat utara. Nampak gayanya semacam sebaya atau muda sedikit daripada datukku yang aku panggil “Tok Wan”. Memang itulah panggilan orang yang tinggal di wilayah utara Semenanjung Malaysia untuk datuk, maksud aku datuk yang berjantina lelaki.

“saya cucu Haji Ali,” jawabku. Jawapan ini merupakan jawapan yang sama bagi soalan yang sama kepada orang yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Pak Cik ni sebenarnya Tok Siak Masjid ini. Tahun-tahun sebelum ini pun tanya soalan yang sama. Maklumlah, aku jarang pulang ke kampung datukku; setahun sekali, itupun ada Hari Raya, kalau ditakdirkan tiada Hari Raya....??

“ooo.. biasa mai kan sebelum ni,” jawabnya kembali. Aku mengangguk tanda mengiyakan kata-katanya.

“ooo.. anak Leh. Dah lama tak nampak dia, lepas-lepas dia keluar kampung...” ini pula respon pak cik-pak cik yang lebih junior; sebaya bapaku. Kali ini Angah; anak kedua dalam keluarga diwawancara di beranda masjid. Dia keluar awal sedikit dari aku. Jadi, kenalah layan pak cik-pak cik junior masjid yang masih bertenaga untuk lepak-lepak hisap rokok daun itu.

“Spesis Terancam” perlu kepada konservasi supaya tidak pupus! Aku perlu berusaha memelihara kemandirian “spesis”ku!

p/s: aku bukan tapir

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget