Halloween Costume ideas 2015
MPS
Latest Post


Belalang menjadi burung helang.
Kutu menjadi kura-kura, dan
Ulat berubah menjadi naga.


Itulah syair pujangga Abdullah Abdul Qadir al-Munsyi, ditulis pertengahan abad 19. Sekilas ia seperti sedang membicarakan teori evolusi Darwin, atau cerita Bim Salabim ala Herry Porter. Namun, sebenarnya beliau sedang cuba mengungkapkan sesuatu perubahan yang aneh lagi pelik.

Perubahan tentang bangsanya yang kehilangan adab.

Metafora ini mungkin mudah diterima oleh bangsa Melayu, tapi tidak bagi orang Jawa. Orang Jawa lebih mudah faham dengan dagelan (lakonan pendek yang melucukan) “Petruk (badut) jadi Ratu” Ya dagelan, sebab ada perubahan strata (status sosial) secara tidak ‘alami atau tidak syarie. Bukan gambaran diskriminatif, bukan pula perkauman, tapi lonjkan status yang abnormal.

Munsyi tentu faham belalang mustahil jadi burung helang, kutu jadi kura-kura. Beliau juga faham mengapa Tuhan mengizinkan kepompong boleh bertukar menjadi kupu-kupu yang cantik. Tapi, yang beliau gelisahkan mengapa ini mungkin dan boleh terjadi di dunia manusia. Semua orang berhak mencapai kejayan, tapi mengapa kejayaan dicapai dengan mengorbankan nilai akhlak dan moral.

Kita bakal lebih memahami setelah membaca bait berikutnya:

“Bahkan seorang yang hina dan bodoh dapat pandai dan terhormat,jika memiliki harta. Sedangkan orang miskin tidak dipandang walaupun pandai dan terhormat”



Munsyi seperti sedang memberi tugasan kepada kita untuk menjawab. Di mana silapnya?

Satu jawapan bernas untuk soalan ini dijawab oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas), ulama yang juga pakar sejarah Melayu. Punca kesalahan dan kesilapan, menurut al-Attas, ada pada
Lembaga (autoriti) pendidikan kita hari ini. Pendidikan kita tidak menanam dan membajasuburkan “adab”.

Adab adalah ilmu yang berdimensi iman, ilmu yang mendorong amal dan yang bermuatan akhlak.

Faktor kehilangan adab dalam ummat ada dua: faktor eksternal dan internal. Yang pertama (eksternal) kerana besarnya pengaruh pemikiran sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan Barat. Yang kedua (internal) karena lemahnya daya tahan tubuh umat Islam.

Pendidikan kita tidak menanamkan adab walaupun “ritual” pendidikan memang terus berjalan. Hakikatnya, maqasid-nya (objektif) tidak tercapai. Lembaga pendidikan umat Islam mungkin mampu menghasilkan spesialis, ikhtisas dan pakar dalam bidang teknik, ekonomi, kedoktoran, pengurusan, tapi tidak menghasilkan peradaban Islam.

Manifestasi kehilangan adab sekurangnya ada 3: kezaliman, kebodohan dan kegilaan.

Zalim ‘akasnya (lawannya) adil artinya tidak dapat meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam adab kesopanan orang Jawa disebut tidak ‘empan papan”. “Zalim” itu tidak mampu memahami dan menerapkan konsep secara proporsional (menurut kesesuaian). Ertinya mencampurkan dua atau tiga konsep yang saling bertentangan:- Seperti mencapur keimanan dengan kemusyirikan, mewarnai amal dengan kemaksiatan dan kesombongan. Tauhid dengan faham dikotomis-dualistis, dan sebagainya.

Bodoh atau menurut al-Ghazzali hamaqah bukan jahil dan atau buta huruf. Bodoh tentang cara mencapai tujuan. Oleh sebab tidak tahu apa tujuan hidupnya, seseorang jadi bodoh tentang cara mencapainya.

“Anda boleh capai matlamat dengan segala cara” adalah bisikan Machiaveli yang diterima dengan sukarela. Korupsi, menipu, manipulasi, dan sebagainya pun boleh menjadi cara mendapatkan sesuatu yang diidam-idamkan. Anda boleh sahaja menjual diri asal boleh jadi selebriti dan super star. Anda boleh jadi ketua asal mahir menjilat dan berkhianat. Atas sebab itulah mengapa Islam datang menawarkan jalan dan cara mencapai tujuan yang disebut “syariah”.

Gila artinya salah tujuan,salah menentukan arah dan tujuan hidup, salah arah perjuangan. Akarnya tentunya adalah hamaqah atau kebodohan; yang bodoh mengenai “negeri impian” akan bingung untuk ke mana arah dayungan sampan; yang bodoh akan arti hidup tidak akan tahu apa tujuan hidup; yang jahil tentang arti ibadah tidak akan pernah tahu apa gunanya ibadah dalam kehidupan ini. Akibatnya, aktiviti dan perbuatan yang sebenarnya demi kepentingan peribadi (linnafsi), kehormatan diri (lil jah), harta (lil mal) tiba-tiba didakwa menjadi Demi Allah, (Lillah).

Jika pendidikan kita benar-benar menanamkan adab, mengapa peradaban Islam tidak kokoh berdiri.. Mengapa kita hanya mampu menjustifikasi konsep-konsep asing dan tidak mampu membangun konsep sendiri?

Orang Barat begitu percaya diri dengan konsep ciptaannya, tapi mengapa kita tidak. Cardinal John Newman, misalnya,begitu yakin tentang gambaran university humanisme Kristen dalam “The Idea of University, Defined and Illustrated”. Karl Jasper dalam “The Idea of University” tegas menggambarkan konsep universiti humanis-eksistensialisnya.. J Douglas Brown dalam The Liberal University-nya bisa menggambarkan dengan jelas pelbagai peranan universiti dalam mencetak “manusia sempurna” ala Barat. Tapi mengapa identiti Islam pada Universiti Islam tidak nampak jelas.

Mengapa Muslim malu-malu menggunakan universiti Islam dalam membangun peradaban Islam.

Universiti Islam harus berani membangun konsep ekonomi Islam, politik Islam, sosiologi Islam, sains Islam, budaya Islam dan sebagainya. Universiti Islam harus mampu mencerminkan bangunan pandangan hidup Islam. Universiti Islam tidak hanya menjadi pusat pengembangan ilmu, tapi juga merupakan sumber gerakan moral dan sosial serta agen perubahan. Universiti harus menjadi pelopor dalam mencipta manusia-manusia yang adil dan beradab agar dapat membangun peradaban yang bermartabat.


Translasi dari Hamid Fahmy Zarkasyi

23 Julai 2009
12.58 tengah hari
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Pemimpin

“…tanpa mengharapkan apa-apa balasan, pemimpin itu adalah orang yang mendapat petunjuk Ilahi, bersifat sabar dan istiqamah dalam apa jua urusan, sentiasa menjaga solat, menunai zakat, melaksanakan amar maaruf nahi munkar, bertawakkal kepada Allah, bersikap empati, sehati sejiwa terhadap orang bawahan seperti terungkap dalam ’azizun ‘alaihi ma ‘anittum , sentiasa mengharap dan mendoakan kesejahteraanorang bawahannya dan seterusnya pemimpin itu dengan pengikutnya adalah sebagai ‘jambatan rasa’ seperti yang dibidalkan..

Yang didahulukan selangkah,
Yang ditinggikan seranting,
Yang dilebihkan serambut,
Yang dimuliakan sekuku.




21 Julai 2009
9.16 pagi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Senyap kira-kira sebulan..

Sahabat-sahabat bertanya “bila nak kemaskini laman blog?”. Spontan, saya menjawab “dah baca semua artikel dalam laman blog tu? Namun, hakikat jawaban ini adalah justifikasi bersifat ‘melepaskan diri’ (escapisme) kerana ada ‘sebab utama’ yang men’cetusmula’kan jangka masa ‘senyap’ itu.

“wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu..Maka janganlah kamu mengikutii hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan..”
(surah anNisa`; ayat 13)

Jangka masa ‘senyap’ yang berlaku sebenarnya menyimpan pelbagai kisah, pengalaman, dan kejadian yang cukup signifikan sehingga mampu menganjak beberapa posisi sudut pandang yang baharu dan lebih luas.
Jangka masa senyap yang berlaku adalah satu anugerah yang tidak mampu dinilai oleh neraca timbangan aqal manusia. Segala puji bagi Allah atas ni’am dan rahmatNya.

Benarlah kata orang tua-tua dahulu “..tatkala kata-kata itu perak, diam itu emas”




22 Julai 2009
3.51 petang
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



Bediuzzaman Said Nursi? Siapa tokoh ini? Rata-rata khalayak tidak mengenalinya hatta yang mengaku sebagai pendokong gerakan Islam. Justeru, buku ini dilihat dapat mengungkapkan Bediuzzaman Said Nursi sebagai seorang pejuang Islam yang ulung.

Buku "Badiuzzaman Said Nursi; Sejarah Perjuangan dan Pemikiran" ini merupakan satu kajian mengenai seorang tokoh Islam di Turki yang mendasari sejarah hidup dan penjuangan Nursi. Kupasan yang terkandung dalam buku ini telah dihasilkan oleh Mohamad Zaidin Mat, seorang pensyarah dan Ketua Program Sejarah dan Tamadun Islam di KUSZA. Pengarang menggarap hasil penulisannya ini dengan menarik. Beliau menyentuh tentang suasana yang berlaku dalam masyarakat dan negara Turki ketika itu kerana faktor inilah sebenarnya mencorakkan perjuangan Nursi.

Nursi sebagaimana gelaran yang diberikan kepadanya; Bediuzzaman, ternyata seorang tokoh mujahid dan mujaddid Islam yang unggul di abad ke-14 Hijrah. Bediuzzaman Said Nursi telah muncul sebagai seorang tokoh ulung dalam sejarah Turki di mana beliau sanggup mengorbankan seluruh kehidupannya untuk agama Islam serta mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap Islam. Kehidupan inilah yang telah membentuk dirinya menjadi seorang pejuang yang benar-benar mantap dari pelbagai sudut untuk memikul tanggungjawab yang cukup berat iaitu tugas menyelamatkan manusia dari kegelapan, kekufuran dan kemunafikan kepada cahaya keimanan sejati.

Secara umumnya, buku ini dihasilkan bagi mencapai matlamat berikut, iaitu ke arah mendalami dan memahami realiti sebenar kehidupan serta perjuangan Nursi. Kedua, ke arah menyelami situasi sebenar yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Turki ketika
itu. Ketiganya, ke arah memperkenalkan Bediuzzaman Said Nursi kepada para pembaca dan akhir sekali, buku ini bermatlamat untuk menjawab segala persoalanpersoalan
mengenai ulama, peranan dan tanggungjawab ulama, matlamat perjuangan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ulama.


Buku ini terbahagi kepada tiga bab di mana setiap bab melatari corak masyarakat yang berlainan. Ini dapat dilihat di dalam bab pertama di mana pengarang menceritakan perihal kehidupan Bediuzzaman Said Nursi semasa era pemerintahan Sultan Abd al-Hamid. Secara ringkasnya, Nursi sempat melalui era pemerintahan Sultan Abd al-Hamid selama hampir dua puluh satu tahun. Dalam bab ini juga, pengarang membahagikan kepada dua tajuk utama mengenai Nursi iaitu semasa kehidupan awalnya dan keprihatinannya dalam bidang pendidikan. Pada awal bab ini, pengarang menerangkan bahawa gelaran Nursi adalah merujuk kepada tempat kelahirannya, di mana beliau dilahirkan daripada keluarga petani yang sederhana. Diceritakan juga mengenai latar pendidikan Nursi yang begitu prihatin dalam bidang-bidang keilmuan dan pendidikan. Dalam bab kedua pula, pengarang cuba membawa pembaca tentang Nursi di zaman pergolakan politik.

Keadaan ini dapat dilihat di mana selepas pengisytiharan perlembagaan, Nursi menghadapi pemberontakan dan peperangan daripada pihak-pihak yang tidak bersekongkol dengan pendiriannya. Bab ini merupakan permulaan kepada pendirian dan corak perjuangan Nursi semasa menghadapi kemelut yang melanda Turki ketika itu. Pembaca akan dibawa menyelami setiap keadaan yang berlaku di Istanbul merangkumi aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Nursi dalam memperjuangkan pendiriannya tentang agama Islam. Dalam bab ini juga, terdapat perbualan atau dialog di antara Nursi dengan
orang lain. Sebagai contoh, pembaca boleh melihat satu perbualan menarik di antara Nursi dengan seorang jeneral Rusia semasa melawat khemah tawanan perang.

Selain itu, pengarang juga menceritakan mengenai tentangan terhadap fatwa kerajaan dan terhadap gerakan nasionalisme Kurdi. Dalam bab ketiga pula, pengarang memperlihatkan kisah Nursi dalam era Republik Turki iaitu selama kira-kira tiga puluh lima tahun. Dalam bab ini juga, pengarangmembantu memudahkan pembaca dengan membahagikan kehidupan Nursi dalam dua corak pemerintahan iaitu yang pertama ketika Nursi di bawah pemerintahan Parti Republikan Rakyat (1923-1949) dan pemerintahan Parti Demokratik Turki (1950-1960). Semasa di bawah pemerintahan Parti Republikan Rakyat, pengarang memperihalkan kehidupan Nursi di beberapa buah tempat seperti di Wan, Barla, Iskishihr, Qastamuni, Dinizli, Amirdagh dan Afyun. Manakala di bawah pemerintahan Parti Demokratik pula, pengarang memperlihatkan kehidupan Nursi mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat selepas memenangi pilihanraya 1949. Dalam bab ini juga, pembaca akan diterangkan mengenai kematian Nursi dan selepas kematiannya, kerajaan Parti Demokratik Turki telah digulingkan. Secara umumnya, era terakhir Nursi ini bolehlah dianggap sebagai era pertembungan antara pengaruh Islam dan Sekular. Di akhir buku ini, diselitkan juga bab mengenai Kalimah Pertama serta bab Iman dan Manusia yang mendokong kepada perjuangan suci Nursi dalam memantapkan iman masyarakat Islam ketika itu.


21 Julai 2009
7.50 pagi

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Gombak, Selangor


عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت بنور

الحكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


JADUAL MAJLIS PENGAJIAN


1. Pengajian kitab Bahjatun Nufus (Syarah Mukhtasor Ibn Abi Jamrah) oleh al-Habib Ibrahim Bin Yahya, Pahang.


a) Tarikh: 2 Sya'ban 1430/ 24 Julai 2009 (Jum'at)
Masa: Bermula pada jam 9.00 malam
Lokasi: Pusat Pengajian Ba'alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah. (belakang Zoo Negara)

b) Tarikh: 3 Sya'ban 1430/25 Julai 2009 (Sabtu)
Masa: Bermula jam 10.30 pagi
Lokasi: Pusat Pengajian Ba'alawi, No.9, Jalan UP2A, Prima Ukay, Kemensah.


2. Majlis khataman kitab hadits al-Muwattho karangan Imam Malik bin Anas - dipimpin oleh al-Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim al-Aidarus dari Pondok Pesantren Darul Hadits al-Faqihiyyah, Malang, Jawa Timur, Indonesia


(a) Tarikh: 5 Sya'ban 1430/ 27 Julai 2009 (Itsnain)
Lokasi: Lorong Kubu Gajah 10, Sg Buloh
Jadual pembacaan: 9 pagi - 11pagi; rehat; selepas asar - 1/2 jam sebelum masuk waktu maghrib; selepas maghrib.

(b) Tarikh: 6 Sya'ban 1430/ 28 Julai 2009 (Selasa)
Jadual pembacaan: 9 pagi - 11 pagi.



3. Pengajian kitab Sairus Salikin karangan Syaikh 'Abdus Shamad al-Falimbani - Syaikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Makili An-Nadwi


a) Tarikh: 11 Sya'ban 1430/2 Ogos 2009 (Ahad)
Masa: 9.30 pagi
Lokasi: Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya, Selangor

b) Tarikh 25 Sya'ban 1430/ 16 Ogos 2009 (Ahad)
Masa: 9.30 pagi
Lokasi: Masjid al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor
(dengan perbahasan khusus mengenai Rahasia Puasa dari kitab Sairus Salikin)


4. Jadual Pengajian Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki


(a) Tarikh: 15 Sya'ban 1430/ 6 Ogos 2009
Masa: Selepas sholat Maghrib
Lokasi: Masjid Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Bakar Arang, Sungai Petani
Kitab: Hadits Qudsi

(b) Tarikh 16 Sya'ban 1430/ 7 Ogos 2009
Masa: 9 pagi - 11 pagi
Lokasi: PAKSI Sungai Petani

(c) 17 Sya'ban 1430/ 8 Ogos hingga 20 Sya'ban 1430/ 11 Ogos 2009
Lokasi: Masjid al-Bukhary, Alor Malai, Alor Setar, Kedah
Masa pengajian: 9 pagi - 12 tengahari dan selepas sholat Maghrib.
Kitab: Nashoih ad-Diniyah wal Washoya al-Imaniyah dan Kumpulan Hadits Nabawi Riwayat 10 Shahabat - Jilid 2

(d) 21 Sya'ban 1430/ 12 Ogos 2009 - 23 Sya'ban 1430/ 14 Ogos (Mini Daurah)
Lokasi: Masjid Bakar Arang, Sungai Petani
Jadual:
12 Ogos 2009 : 9 pagi - 12 tengahari dan selepas 'Asar - kitab Umdatus Salik; selepas Maghrib kitab Hadits Qudsi
13 Ogos 2009 : 9 pagi - 12 tengahari dan selepas 'Asar - kitab Umdatus Salik; selepas Maghrib kitab Hadits Qudsi
14 Ogos 2009 : sebelah pagi di PAKSI dan sebelah malam Majlis Penutup Daurah di Masjid Bakar Arang.

(e) 24 Sya'ban 1430/15 Ogos 2009
Masa: Selepas sholat Maghrib
Lokasi: Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur

(f) 25 Sya'ban 1430/ 16 Ogos 2009 - Majlis di Seremban, N9 (akan dikemaskinikan)

(g) 26 Sya'ban 1430/ 17 Ogos 2009 dan 27 Sya'ban 1430/ 18 Ogos 2009 - Majlis di Kuantan, Pahang (akan dikemaskinikan)



*****************************************


JADUAL MAJLIS HAUL


1. Majlis haul al-Habib 'Abdullah al-Aidarus bin Abu Bakar as-Sakran

Tarikh: 10 Sya'ban 1430/ 1 Ogos 2009 (Sabtu)
Masa: bermula dari jam 5.30 petang
Lokasi: Masjid 'Abidin, Jalan Emas, Taman Sri Skudai, Johor

Aturcara:

(a) Bacaan Maulid Daiba'ie di pimpin al-Habib Zain al-Habsyi (Imam Masjid Wadi Hasan)

(b) Ceramah oleh Habib Novel bin Sholeh al-Aidarus (penjaga makam Habib Hussin al-Aidarus - Keramat Luar Batang, Jakarta) - Tajuk ceramah: Fadhilat Majlis Haul

(c) Ceramah oleg Ustaz Zaki Yusuf (Imam Masjid Salleh @ Makam Habib Noh, Singapura). Tajuk ceramah: Contoh Tauladan Auliya'.



sumber : http://majlisilmu.blogspot.com/

MKRdezign

{facebook#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Copyright � 2011 peminggirkota. Dikuasakan oleh Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget